Categories
PENDAPAT RENCANA

Benarkan kanabis, ketum digunakan untuk ubat, cadang pakar

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Sebagai ahli psikiatri dan juga pakar merawat ketagihan dadah, Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid menyaksikan sendiri kesan marijuana atau ganja ke atas pesakit, termasuk mencetuskan psikosis dalam kalangan penghidap skizofrenia dan lain-lain gangguan mental.

Justeru, beliau terperanjat apabila mendapati bahan itu dapat menenangkan seorang individu autistik teruk. Individu tersebut merupakan anak lelaki pesakitnya yang mengalami kemurungan kerana tidak mampu menangani situasi si anak.

“Wanita itu memberikan minyak CBD (cannabidiol) kepada anaknya – dia cuma letakkan beberapa titik di bawah lidah si anak setiap hari – dia dapati kelakuan hiperaktif dan melampau anaknya berkurangan,” katanya.

Hal itu menimbulkan rasa ingin tahu Dr Rusdi tentang potensi kebaikan kanabis dari segi perubatan dan penggunaannya, terutama CBD iaitu bahagian bukan psikogenik pada tumbuhan itu, terhadap individu autistik teruk yang lebih tua.

Hasrat beliau dan beberapa penyelidik lain untuk mengkaji faedah perubatan kanabis dan ketum – sejenis dadah psikotropik yang berkait rapat dengan opium namun kurang dikenali, menghangatkan lagi polemik tentang “menghalalkan” dua dadah berkenaan di Malaysia, antara negara yang mengenakan hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah.

Di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, pemilikan lebih 200 gram kanabis atau resin ganja dianggap sebagai bukti niat untuk mengedar, dan mereka yang ditangkap dengan jumlah itu akan berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Ketum pula disenaraikan di bawah Akta Racun 1952. Walaupun tidak dikategorikan sebagai narkotik, dan penanaman pokoknya serta penggunaan dibenarkan, penjualan bahan itu diharamkan melainkan oleh ejen sah.

Ini bermakna, jika Dr Rusdi yang juga Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya, cuba menjalankan kajian mengenai keberkesanan CBD dalam merawat masalah kelakuan dengan menjalankan eksperimen sendiri menggunakan minyak CBD, beliau berisiko menghadapi hukuman mati.

Namun ada perkembangan yang mungkin dapat mengubah senario itu.

Susulan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggugurkan marijuana perubatan daripada senarai dadah berbahaya, Malaysia kini menimbang untuk membolehkan penggunaan, penjualan dan pengedaran kanabis serta ketum bagi tujuan perubatan, melalui penubuhan kaukus bipartisan bagi mengkaji aspek perundangan.

Boleh dari segi teknikal

Pada 9 November lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu Parlimen bahawa penggunaan kanabis dibenarkan untuk tujuan perubatan di bawah undang-undang sedia ada, namun menambah produk mesti didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Beliau berkata penjual mesti mempunyai lesen dan permit di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik, Akta Racun serta Akta Dadah Berbahaya bagi mengimport dan menjual produk kanabis di Malaysia. Hanya pengamal perubatan berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 boleh membekalkan produk itu.

“Kanabis (hemp) turut dikawal di bawah Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 dan tersenarai di bawah Jadual I Konvensyen tersebut. Kawalan utama dikenakan ke atas bahan yang tersenarai dalam Jadual I adalah dihadkan hanya untuk tujuan perubatan atau saintifik yang melibatkan pengeluaran, pembuatan, eksport, import, pengedaran, perdagangan, penggunaan dan pemilikan,” kata Khairy.

Ramai pakar sedia maklum tentang peruntukan itu, namun mereka keberatan untuk memohon kebenaran daripada Kementerian Kesihatan kerana proses yang agak sukar.

Dr Rusdi berkata sekalipun penyelidik dapat meyakinkan jawatankuasa kelulusan mengenai merit kajian mereka, kos kajian terlalu tinggi untuk diteruskan kerana mereka perlu membeli bekalan kanabis, bukan menanam sendiri yang memerlukan satu lagi proses permohonan kebenaran.

Bagaimanapun susulan kenyataan Khairy itu, ramai yang menyatakan hasrat ingin berbuat demikian.

Seorang daripada ahli kaukus itu, Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen berharap dapat menangani permasalahan berkenaan bagi membolehkan kajian dijalankan dan seterusnya membentuk strategi kukuh bagi membenarkan dan mengawal selia penggunaan kanabis dan ketum.

“Kebenaran di sisi undang-undang tidak bermakna bahan itu akan diedarkan secara meluas di pasaran terbuka, iaitu dengan tanggapan setiap orang menggunakannya untuk khayal dan macam-macam lagi. Sebaliknya, kebenaran itu hanya bagi tujuan perubatan dan ekonomi,” jelas Dr Yii.

Beliau berkata dengan membenarkan penggunaan tumbuhan itu untuk tujuan perubatan, negara akan beroleh faedah dari segi kesihatan dan juga ekonomi, mengurangkan penjualan dadah di pasaran gelap selain memastikan produk itu selamat untuk digunakan.

Antara potensi kebaikan tumbuhan itu ialah melegakan kesakitan, relaksan otot (meredakan tegang otot), antiemetik/antimuntah dan antikonvulsan, selain sebagai pengganti untuk penyalahgunaan bahan.

“(Menerusi undang-undang ini) ada elemen kawalan, kita boleh memantau pelaksanaan, kita boleh kenakan cukai, kita boleh kawal pengeluaran dan penjualan serta menilai impak secara berterusan,” tambah Dr Yii.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia Prof Dr B. Vicknasingam melihat ada potensi ekonomi daripada penanaman dan penjualan kanabis serta ketum di pasaran antarabangsa, namun berpendapat Malaysia patut menerajui penyelidikan ketum bersandarkan pada sejarah penggunaannya sebagai ubat tradisional sejak sekian lama di negara ini.

Tidak seperti kanabis, tidak banyak halangan untuk mengkaji ketum di Malaysia.

“Kita ada kelebihan. Kita selalu beritahu mereka yang berminat untuk melakukan penyelidikan tentang marijuana dan kanabis bahawa dunia Barat sudah mendahului dan mereka juga sudah mengeluarkan produk di pasaran,” katanya.

Beliau antara lain ingin mengkaji potensi ketum sebagai ubat melegakan kesakitan dan juga dalam rawatan salah guna bahan.

Sekiranya dibenarkan di sisi undang-undang, Malaysia akan menuruti langkah beberapa negara yang telah “menghalalkan” kanabis serta menjadi negara kedua di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan kanabis dan ketum untuk perubatan selepas Thailand.

Guna terima dan cegah salah guna

Kebenaran penggunaan kanabis dan ketum untuk perubatan akan membawa perubahan kepada banyak sektor.

Pakar-pakar yang dihubungi Bernama, baik peguam mahupun pegawai perubatan atau aktivis antidadah, menyatakan sokongan terhadap marijuana perubatan. Bagaimanapun sokongan mereka berserta kaveat – peraturan mesti ketat bagi mencegah dan menghukum penyalahgunaan apabila penanaman dan penjualan dadah itu dibenarkan untuk tujuan perubatan.

Masyarakat tahu pasaran kanabis dunia bernilai berbilion dolar dan ketum juga berpotensi memberi nilai yang sama. Pulangan besar sedemikian pastinya menarik pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Peguam hak asasi manusia Samantha Chong berkata Malaysia boleh mencontohi Colorado, sebuah negeri di Amerika Syarikat, tentang bagaimana untuk menanam, memproses dan mengedar kanabis.

Namun katanya kerajaan perlu mengubah suai model itu agar menepati kebudayaan dan masyarakat Malaysia.

Menggambarkan perjalanannya untuk mengkaji industri kanabis di Colarado sebagai “pembuka mata”, beliau berkata industri itu melibatkan semua sektor – pelesenan, impak alam sekitar, penguat kuasa undang-undang, keselamatan pekerja, sekuriti serta pengangkutan dan jualan.

“Semua tanaman dipantau menerusi CCTV dan setiap pokok ditag dengan kod bar RFID… setiap pokok kanabis boleh dijejaki daripada penanaman hingga ke dispensari,” katanya.

Menurutnya, pendapatan daripada jualan marijuana itu digunakan oleh Colorado untuk membiayai perkhidmatan sosial serta latihan pekerja dalam industri berkenaan.

Dalam pada itu, pakar perundangan berkata undang-undang mesti dipinda untuk mencerminkan status quo, seperti menggugurkan kanabis daripada senarai Jadual Pertama dalam Akta Dadah Berbahaya dan mungkin memasukkannya dalam Akta Racun seperti ketum.

Chong berkata wujud keperluan undang-undang untuk mencegah salah guna kuasa selain mengemas kini undang-undang lain termasuk Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Penjara 1995.

Kerajaan juga perlu bersedia untuk mengurangkan hukuman ke atas pesalah yang dikenakan hukuman mati atas penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

“Sekiranya pindaan dibuat, pindaan hendaklah diaplikasikan secara retrospektif dan kemudian diaplikasikan dalam kes seperti Amiruddin,” kata Ramkarpal Singh, peguam bagi Amiruddin Nadarajan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dr Ganja, pesakit kanser berusia 63 tahun yang berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengedar kanabis.

Dari sudut perubatan, pakar berkata ada keperluan untuk mengubah cara kerajaan menangani masalah penagihan dan pemulihan yang pada masa ini menggunakan kaedah berbentuk hukuman.

Pakar perubatan yang berpandangan tidak sukar untuk membenarkan penggunaan kanabis perubatan dan ketum, berkata kerajaan boleh menggunakan rangka kerja sedia ada mengenai ubat-ubatan mengandungi bahan terkawal seperti opioid dan metadon.

Dr Rusdi berkata kaedah semasa melibatkan diagnosis dan preskripsi oleh pengamal perubatan terlatih dan bertauliah. Pesakit kemudian mendapatkan ubat-ubatan daripada farmasi berdaftar.

Pesakit juga perlu membawa kad perubatan yang menyatakan mereka telah dipreskripsikan bahan terkawal dan oleh siapa, sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa.

Beliau juga tidak menjangka timbul kesukaran untuk menghalang salah guna.

“Jika tidak ada diagnosis yang sahih dan kita syak mereka pengguna dadah rekreasi, maka jangan keluarkan preskripsi,” katanya.

Tentang kanabis

Hemp dan marijuana adalah kanabis, namun hemp merujuk kepada tumbuhan kanabis yang mengandungi 0.3 peratus tetrahydrocannabinol (THC) — bahan kimia yang membuatkan seseorang khayal. Semua tumbuhan kanabis — C. sativa, C. indica dan C. ruderalis — mengandungi jumlah-jumlah tertentu THC dan cannabidiol (CBD).

Penyelidik perubatan dan saintis paling berminat terhadap CBD, kandungan yang kebanyakannya ditemukan dalam hemp, khususnya jenis C. sativa. Kajian-kajian terhad yang dijalankan sebelum ini menunjukkan ada faedah perubatan. Daun dan bunga pokok hemp digunakan untuk membuat minyak CBD, bahan lazim dalam kebanyakan produk penjagaan diri seperti penjagaan kulit.

Hemp juga digunakan untuk membuat kertas, pakaian, tali dan kain layar.

Ketum pula merupakan tumbuhan lazim di rantau Asia Tenggara yang digunakan sebagai ubat tradisional oleh penduduknya sejak beratus tahun dahulu. Tumbuhan yang berkait rapat dengan opium itu semakin popular di Amerika Syarikat, khususnya bagi mengawal gejala penarikan ketagihan dadah. Tumbuhan ini berpotensi menjadi faktor pengubah dalam usaha negara mengawal krisis penagihan dadah.

Hingga kini belum ada laporan tentang seseorang mengalami dos berlebihan ketum di Malaysia. Di Amerika Syarikat, kematian akibat penggunaan ketum dilaporkan berlaku akibat dicampurkan dengan dadah lain dan ubat-ubatan seperti antihistamin.

(Sumber: Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid, Prof B. Vicknasingam, American Society for Biochemistry and Molecular Biology, National Institute on Drug Abuse dan Medical News Today.)

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Didik masyarakat elak terpedaya guna ubat didakwa ‘penawar’ Covid-19

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Laporan demi laporan disiarkan oleh media, bersumberkan autoriti sahih, bahawa hingga kini Covid-19 belum ada penawar, namun masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia terpedaya dengan pelbagai ubat-ubatan yang kononnya mampu merawat jangkitan itu.

Iklan mengenai ubat-ubatan sedemikian masih berleluasa di platform media sosial, dan antara ubat yang popular dan mendapat permintaan tinggi ialah Ivermectin, ubat yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) hanya untuk merawat parasit seperti cacing.

Diberi julukan “pil cegah mati”, Ivermectin didakwa mampu mencegah kematian dan kesan serius akibat Covid-19, sekali gus menjadi “penawar” yang dicari-cari oleh kebanyakan ahli masyarakat dan turut membawa kepada lambakan ubat itu dari luar negara.

Malah, menurut Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan (KKM), harga pil itu juga naik berkali ganda daripada RM5 sepapan (10 biji) kepada RM60 termasuk caj penghantaran.

Namun ternyata dakwaan “pil cegah mati” itu tidak berasas kerana KKM pada 3 Nov lepas, mengumumkan kajian Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) mendapati Ivermectin tidak mencegah penyakit Covid-19 daripada menjadi lebih serius, justeru tidak disarankan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada.

Orang ramai diminta tidak mendapatkan Ivermectin bagi mencegah dan merawat Covid-19 kerana tiada bukti menyokong penggunaan produk itu bagi tujuan berkenaan. Foto Facebook KKM

Kajian itu membabitkan 500 pesakit Covid-19 kategori 2 atau 3 di 20 buah hospital kerajaan serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 MAEPS 2.0.

Fenomena global

Mengulas isu populariti Ivermectin sebagai “ubat Covid-19”, pensyarah perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fitri Fareez Ramli berkata kepercayaan terhadap “keberkesanan” Ivermectin dalam merawat Covid-19 merupakan fenomena global.

“Perkara ini masih berlanjutan kerana sebahagian masyarakat berasa bimbang dan ingin mencari alternatif bagi mencegah atau merawat jangkitan Covid-19. Isu melibatkan Ivermectin ini merupakan antara contoh bahawa sebahagian ahli masyarakat begitu mudah mempercayai dakwaan pihak tidak bertanggungjawab tanpa bukti saintifik yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi.

Tegas beliau, pengambilan ubat-ubatan yang belum dipastikan keberkesanan adalah berbahaya kerana berpotensi membawa komplikasi kesihatan yang tidak diingini.

Perkara itu ada kebenaran kerana KKM semasa mengumumkan keputusan kajian terhadap Ivermectin dalam merawat Covid-19 turut mendedahkan penggunaan ubat tersebut menyebabkan kesan advers (sampingan) tiga kali lebih kerap berlaku kepada pesakit – paling kerap ialah cirit-birit.

Kembangkan ilmu pengetahuan

Sementara itu, Dr Fitri Fareez menyarankan golongan profesional dalam bidang kesihatan agar sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang terkini, bersumberkan jurnal dan pakar sahih, sebelum menterjemahkan maklumat yang diterima ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat umum.

Para pesakit Covid-19 melakukan pendaftaran sejurus tiba di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu Covid-19 (PKRC) di MAEPS Serdang pada 29 Mei 2021. Foto BERNAMA

Usaha itu katanya penting bagi mendidik masyarakat secara berterusan, sekali gus mengelakkan pengguna terpedaya dengan kaedah rawatan yang tidak terbukti secara saintifik.

“Selain itu, penggunaan pelbagai saluran seperti media arus perdana, media sosial dan laman sesawang juga perlu bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Beliau berkata golongan profesional penjagaan kesihatan juga boleh memanfaatkan forum umum bagi membolehkan masyarakat atau pengguna media sosial membuat pertanyaan secara langsung kepada mereka.

Selain itu, penggunaan infografik menarik yang mudah difahami dan dalam pelbagai bahasa juga merupakan antara kaedah yang dapat menarik perhatian umum, tambah beliau.

Kekang penularan maklumat palsu

Sementara itu, Dr Nurul ‘Izzah Ibrahim, juga pensyarah di Jabatan Farmakologi UKM, berkata penyebaran maklumat palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab perlu dihentikan sama sekali.

Untuk itu katanya orang awam perlu diberi kesedaran agar tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang dibaca menerusi media sosial.

“Orang awam perlu dididik agar menyemak dahulu kesahihan maklumat dan jika didapati tidak benar, mereka perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (bagi menghentikan penularan maklumat palsu),” katanya.

Menurut Seksyen 211 dan Seksyen 233 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mereka yang didapati bersalah menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Dr Nurul ‘Izzah turut mengulas ada segelintir klinik swasta menjadi pengedar pil Ivermectin.

“Perbuatan ini sudah semestinya menyalahi amalan perubatan. Perbuatan tidak bertanggungjawab menjual ubat-ubatan seperti Ivermectin secara off the record , iaitu tidak dimasukkan dalam preskripsi rasmi ini dilakukan demi mendapatkan keuntungan, haruslah dihentikan dengan segera.

“Pihak berwajib harus menjalankan siasatan terperinci mengenai pemberian Ivermectin secara tidak bertanggungjawab ini,” tegasnya, menambah mereka yang didapati bersalah juga harus dikenakan tindakan tegas bagi memberi pengajaran kepada yang lain.

Kerajaan cakna

Dalam pada itu, Dr Nurul ‘Izzah memuji pelan kerajaan melalui KKM menandatangani surat aku janji (Letter of Undertaking) bagi pembelian ubat antiviral Molnupiravir dengan Merck Sharp & Dohme baru-baru ini.

Beliau melihat perkara itu sebagai satu usaha proaktif yang dapat membantu mengurangkan kebimbangan masyarakat, sekali gus mengelakkan mereka daripada terus tertipu dengan dakwaan “keberkesanan” ubat-ubat tertentu dalam merawat jangkitan virus berkenaan.

“Ubat ini bekerja dengan mengganggu proses virus menyalin bahan genetiknya, asid ribonukleik (RNA). Penggunaan ubat ini dapat menghalang virus daripada merebak di dalam badan dan boleh membantu merawat pesakit yang berisiko untuk (mengalami) jangkitan virus yang teruk.

“Percubaan klinikal menggunakan ubat ini menunjukkan keputusan yang memberangsangkan, yang mana analisis awal percubaan fasa ketiga menunjukkan Molnupiravir dapat mengurangkan kemasukan hospital dan kematian kira-kira 50 peratus berbanding plasebo (kumpulan kawalan).

“Oleh itu, langkah kerajaan menandatangani surat aku janji pembelian Molnupiravir boleh dikatakan tepat, kerana ada bukti saintifik yang menunjukkan keberkesanan ubat ini,” katanya, menambah hal itu menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat rawatan terbaik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Ubat Baricitinib rawat pesakit Covid-19 kategori empat, lima

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan ubat baharu, Baricitinib bagi merawat pesakit Covid-19 yang tenat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penggunaan formulasi baharu ubat itu memberi kesan lebih baik berbanding ubat yang digunakan sebelum ini.

Menurutnya perkembangan itu memberi harapan baharu untuk meningkatkan keberkesanan rawatan pesakit terutama dalam kategori empat dan lima yang menjadi keutamaannya kini.

“Insya-Allah ia juga dapat membantu mengurangkan kadar kematian,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM38 juta bagi membeli ubat baharu berkenaan.

Pesakit kategori tiga ialah individu mempunyai radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen, kategori empat mempunyai radang paru-paru dan memerlukan oksigen, manakala kategori lima memerlukan bantuan pernafasan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: KKM uji ubat Ivermectin ke atas pesakit berisiko tinggi

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) telah memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases namun belum ada bukti yang konklusif untuk mengesyorkan penggunaan Ivermectin bagi merawat Covid-19

“Penggunaan ‘off-label’ Ivermectin telah meraih perhatian global berikutan terdapat beberapa kajian kes dan ujian klinikal menunjukkan keputusan yang baik.

“FDA tidak meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat dan mencegah Covid-19 pada manusia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal di mana pesakit perlu dipantau dengan teliti oleh doktor pakar dan penyelidik berpengalaman untuk menjamin keselamatan serta keberkesanan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata oleh itu, ujian klinikal perlu diteruskan dengan teliti bagi mengenal pasti peranan Ivermectin dalam merawat Covid-19.

Katanya KKM dan ICR telah memulakan ujian Keberkesanan Rawatan Ivermectin ke atas Pesakit Covid-19 Berisiko Tinggi (Kajian I-TECH) yang diketuai pakar Penyakit Berjangkit Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dengan dibantu sepasukan pakar dan penyelidik Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) di 12 hospital di bawah KKM.

Dr Noor Hisham berkata ujian itu telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan pada 25 Mei yang menyaksikan perbandingan antara rawatan Ivermectin (dos tertentu dengan tempoh tertentu) dengan rawatan standard semata-mata.

Beliau berkata kajian itu akan melibatkan 500 subjek daripada kumpulan berisiko tinggi berusia 50 tahun dan ke atas yang dimasukkan ke hospital KKM dengan gejala ringan atau sederhana Covid-19 (kategori dua hingga tiga).

“Kajian itu bertujuan menentukan keberkesanan Ivermectin dalam mencegah Covid-19 daripada menjadi lebih serius (kategori empat dan lima) dan mengurangkan kematian.

“ICR telah menubuhkan Lembaga Pemantauan Data (DMB) yang terdiri daripada doktor biasa yang bebas, ahli farmasi ujian klinikal serta pakar metodologi bagi melindungi pesakit yang diuji dari segi keselamatan dan keberkesanan produk penyelidikan seperti ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

Beliau berkata kajian itu dimulakan pada 31 Mei lepas dan setakat ini, lapan pesakit telah didaftar dalam ujian klinikal tersebut yang dijangka selesai menjelang September 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM rampas ubat, kosmetik beracun lebih RM800,000

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 105 jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai lebih RM800,000 daripada tiga premis di Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata produk yang dirampas merangkumi pelbagai jenis produk termasuk produk bina badan tidak berdaftar serta mengandungi racun antaranya yohimbine dan hormon testosteron.

“Rampasan ini adalah hasil pemeriksaan berdasarkan maklumat yang diterima oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Perak bahawa terdapat penjualan keluaran-keluaran tersebut secara runcit oleh pemilik premis terbabit.

“Operasi telah dilakukan pada 5 April lepas di tiga buah premis di Ipoh. Semua premis berkaitan disyaki merupakan salah satu rangkaian pengedar terbesar keluaran-keluaran tersebut ke pasaran di sekitar Perak,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata hormon testosteron dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor serta ahli farmasi dan hormon ini kerap disalahgunakan individu untuk tujuan membina otot badan.

“Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual ubat dan kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika disabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan individu atau syarikat yang menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan produk-produk tersebut tidak terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.

“KKM menyarankan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik daripada media sosial.

“Orang ramai perlu menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan ‘Product Status’ atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Ubat, gaya hidup sihat penting bagi mengurus penyakit kronik

Oleh Sakini Mohd Said

Isu buang ubat dalam kalangan masyarakat di negara ini termasuk pesakit yang diberi ubat oleh hospital kerajaan mungkin bukan perkara baru dan mungkin juga ianya masih berterusan.

Artikel lima siri ini antaranya menyentuh aspek sikap yang bukan sahaja menjurus kepada pembaziran tetapi juga isu perundangan, masalah kesihatan terutama penyakit tidak berjangkit yang wajar diberi perhatian serta kesan kepada alam sekitar akibat cara pelupusan ubat yang tidak tepat.

Ini siri keempat daripada lima siri.

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Benarkah makan ubat darah tinggi ataupun kencing manis boleh mengakibatkan buah pinggang rosak pada jangka masa panjang?

Itu persoalan penulis kepada beberapa pesakit golongan itu ketika mempertikaikan kepercayaan segelintir mereka yang teguh beranggapan bahawa ubatan klinik mahupun hospital begitu berisiko memudaratkan organ perkumuhan penting bagi setiap individu ini.

Malah, kerana kepercayaan itu jugalah membuatkan golongan ini bertindak tidak patuh kepada pengambilan ubat mereka bahkan ada yang sanggup menggunakan rawatan alternatif/tradisional seperti herba yang tidak diketahui jaminan kesihatannya mahupun membeli ratusan ringgit produk suplemen bagi menggantikan ubat doktor.

Walhal, ubat yang diperoleh secara percuma di klinik mahupun hospital kerajaan adalah sangat menyedihkan kerana ia bukan sahaja tidak dimakan tetapi disimpan dan akhirnya dibuang, ini diakui sendiri oleh suri rumah sepenuh masa yang hanya mahu dikenali sebagai Ziela Yahya, 55 tahun.

Lima tahun diserang penyakit kencing manis atau diabetes, darah tinggi dan kolesterol, ibu kepada tiga orang anak ini mempunyai persepsi sangat negatif terhadap ubat hospital kerana baginya ubatan itulah yang menjadi punca kepada kerosakan buah pinggangnya sehingga perlu menjalani rawatan dialisis.

“Akak pelik mengapa buah pinggang boleh rosak sedangkan patuh makan ubat (pada awalnya), tidak ambil suplemen lain mahupun rawatan herba. Ketika itu, umur akak 53 tahun semasa diberitahu doktor mengenai kerosakan buah pinggang.

“Sejak saat itu, akak mula selang-seli makan ubat dan lama kelamaan langsung tidak makan sehinggalah ke hari ini. Hanya ubat kolesterol sahaja akak makan dan itu pun ketika sebulan hendak jumpa doktor barulah ambil.

“Diabetes akak sudah terkawal dan walaupun doktor hendak bagi ubat, akak tidak mahu. Sekarang ini, akak tumpu pada penjagaan makanan sahaja. Akak ada tanya mengapa buah pinggang rosak walaupun patuh makan ubat (pada awalnya) dan doktor ada beritahu antara puncanya adalah gaya hidup tidak sihat.

“Tetapi, bagi akak ubatan itulah yang menyebabkan buah pinggang rosak sebab kimia. Sebabnya, akak patuh makan ubat selama ini dan sepatutnya tidak rosaklah,” katanya dalam satu temu ramah bersama Bernama baru-baru ini.

APAKAH BENAR?

Tidak dinafikan, wanita ini mengakui gaya hidupnya sebelum ini tidak begitu mementingkan amalan pemakanan sihat bahkan dia juga seorang penggemar minuman manis. Boleh dikatakan, air manis sahajalah yang menjadi minumannya sepanjang masa mahupun setiap hari.

Malah, biarpun telah didiagnos dengan penyakit itu, Ziela tetap meneruskan tabiat pemakanan tidak sihat serta langsung tidak melakukan sebarang senaman disebabkan kesibukan bekerja sebagai pekerja hotel sebelum ini.

“Walaupun akak sudah tidak makan ubat doktor tetapi akak tetap pergi klinik untuk pemeriksaan. Ubat darah tinggi akak ambil tetapi dalam kuantiti sedikit untuk ‘standby’ kecemasan. Tetapi, akhirnya tidak makan.

“Sekarang, akak hanya makan produk suplemen organik yang dibeli di farmasi dengan harga RM84. Ada 30 paket dan makan sekali sehari, cukup untuk setengah bulan,” katanya.

Akan tetapi, apakah benar kepercayaan wanita ini mahupun segelintir pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD) lain bahawa pematuhan pemakanan ubatan darah tinggi atau hipertensi mahupun diabetes dari klinik/hospital berisiko merosakkan buah pinggang pada jangka masa panjang?

KEPERCAYAAN PALSU

Hakikatnya, polemik ‘persepsi’ itu bukanlah baharu bahkan ia sudah lama berantaian dalam sistem kehidupan masyarakat dan sememangnya antara cabaran hebat yang perlu dihadapi dalam kalangan pakar perubatan merangkumi doktor mahupun ahli farmasi khususnya di klinik dan hospital kerajaan.

Malah, situasi berkenaan juga sudah begitu sebati dalam jadual rawatan Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Dr Nor Fadhlina Zakaria selama lebih tujuh tahun berkhidmat sebagai pakar perubatan buah pinggang.

“Kebanyakan pesakit menyangka ubat hipertensi dan diabetes akan memberikan impak kerosakan buah pinggang mereka pada jangka masa panjang adalah tidak benar kerana adalah tidak beretika seorang doktor bertauliah memberikan ubatan yang menyebabkan kerosakan kepada pesakit mereka.

“Prinsip ‘Do Not Harm’ atau tidak menyebabkan kerosakan/keburukan di dalam Hippocratic Oath, perlu dipegang setiap pengamal perubatan yang merawat pesakit mereka. Memang ada sesetengah ubat boleh mengganggu fungsi sesetengah organ tetapi pemberian ubatan ini akan dipantau ketat oleh pegawai/pakar perubatan.

“Sekiranya kesan ubatan menjangkaui kadar selamat, maka ubatan itu akan dihentikan dan diganti dengan ubatan lain. Yang penting, dalam rawatan NCD adalah untuk mendapatkan kawalan penyakit bagi mengelakkan komplikasi lebih buruk yang boleh memberikan kesan jangka masa panjang lebih menyedihkan atau merumitkan pesakit,” katanya yang turut berkhidmat di Hospital Serdang.

Kepercayaan itu yang wujud akibat daripada kurangnya pengetahuan pesakit mengenai penyakit mereka adalah membimbangkan kerana kerosakan buah pinggang pastinya boleh berlaku sekiranya diabetes atau hipertensi tidak dijaga dengan baik.

Walhal, dengan pematuhan pemakanan ubat secara konsisten yang digabung amalan pemakanan dan kehidupan sihat adalah wahana sebetulnya yang boleh mencegah daripada berlakunya kerosakan organ perkumuhan penting manusia ini.

HOLISTIK

Merujuk kepada kes Ziela, Dr Nor Fadhlina berkata adalah amat penting pendidikan perubatan diberikan kepada pesakit secara berterusan supaya mereka maklum bahawa keberkesanan rawatan tidak akan berjaya sekiranya ia tidak digabungkan secara holistik iaitu bukan sahaja pematuhan pemakanan ubat tetapi juga gaya hidup sihat turut memainkan peranan jitu.

Konsepnya mudah. Bayangkan, ubatan yang diberikan bertujuan mengawal kadar diabetes dan hipertensi yang antaranya berpunca daripada pemakanan dan gaya hidup tidak sihat tetapi hanya dimakan begitu sahaja walhal pada masa sama masih lagi meneruskan cara hidup sedentari, jadi bagaimana rawatan boleh berjaya?

Dan, hakikat inilah yang sewajarnya perlu diperjelaskan kepada pesakit NCD supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah palsu itu.

“Pesakit yang menolak ubat hospital biasanya akan menggunakan rawatan tradisional seperti herba ataupun terpengaruh dengan rawatan yang tidak diketahui keberkesanannya secara kajian saintifik. Ini termasuklah memakan suplemen tanpa pemantauan doktor.

“Adalah lebih berbahaya sekiranya pesakit menggunakan kaedah itu kerana keselamatan ubatan/herba tidak diketahui dengan baik dan ia mungkin juga akan merosakkan organ atau tubuh badan,” katanya yang juga pensyarah kanan perubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selain kerosakan buah pinggang yang digeruni, kegagalan pengurusan diabetes dan hipertensi dengan baik turut mengundang kepada komplikasi lain, contohnya, serangan jantung, angin ahmar mahupun berisiko menyebabkan kematian.

MENYEDIHKAN

Polemik ini terbukti apabila menyusuri data tahun 2018 daripada laman sesawang Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNP) yang mendedahkan di Malaysia, pesakit hipertensi mempunyai tahap kepatuhan ubat yang rendah iaitu hanya sekitar 53 peratus sahaja manakala kajian juga menunjukkan sekitar 50 peratus sahaja pesakit diabetes mematuhi pengambilan ubat.

Keadaan ini, bagi Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Unit Nefrologi dan Dialisis, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Prof Madya Dr Ruslinda Mustafar adalah sangat menyedihkan kerana ia bukan sahaja memudaratkan keadaan kesihatan pesakit.

Tetapi juga, mengakibatkan negara mengalami kerugian yang kemungkinan berjutaan ringgit.

Ia akibat daripada sikap mereka yang tetap berkehendakkan mengambil ubat tetapi tidak dimakan mengikut aturan yang ditetapkan, ada yang dibuang mahupun dipulangkan balik kepada farmasi klinik/hospital tanpa secubit pun rasa bersalah dengan pembaziran itu.

Biasanya, pelbagai alasan diberikan pesakit NCD untuk ‘menghalalkan’ sikap mereka seperti terlupalah dan sibuk kerjalah walhal niat golongan ini adalah sememangnya tidak mahu memakan ubat atas dasar kepercayaan berkenaan (rosak buah pinggang).

Bagaimanapun, mereka tetap mahu berjumpa doktor hanya sekadar untuk dijadikan platform pengesahan bahawa produk suplemen atau rawatan herba yang diambil adalah dipercayai kononnya lebih berkesan bagi rawatan hipertensi mahupun diabetes.

Bagi kalangan doktor, alasan sebegini sudah lapuk kerana rekod kesihatan serta perubahan yang berlaku pada sistem badan pesakit menjelaskan keadaan sebenar sama ada pesakit itu patuh kepada penjagaan pengurusan diabetes dan hipertensi dengan baik mahupun sebaliknya.

“Kebanyakan pesakit saya yang patuh makan ubat dan mengamalkan kehidupan sihat, keadaan buah pinggang mereka stabil dan tidak berlaku kerosakan berbanding yang tidak patuh, yang biasanya akan datang dengan pelbagai komplikasi.

“Sebab itu, saya rasa sedih sangat apabila banyak kali berhadapan situasi, apabila ahli farmasi tunjukkan saya banyak ubatan yang dipulangkan pesakit. Ada ubat mahal, ada yang memerlukan penjagaan sensitif seperti disimpan dalam peti sejuk dan bila dipulangkan dalam keadaan begitu, berpuluh ribu ringgit habis.

“Contoh, insulin. Ada yang harganya sangat mahal dan hakikatnya di negara luar seperti di United Kingdom, ada yang tidak mampu membeli insulin kerana tidak termasuk perlindungan insurans mereka. Ini menunjukkan betapa mahalnya kos rawatan diabetes secara umumnya.

“Tetapi, apabila melihat ubat sedemikan dipulangkan balik dan kita tidak akan guna balik ubat itu kerana tidak tahu cara penyimpanan oleh pesakit sebelum ini, ada ketikanya saya merasakan lebih baik ubatan berkenaan dikenakan bayaran supaya rakyat lebih menghargai,” katanya.

MASALAH NEGARA

Berdasarkan tinjauan penulis di beberapa farmasi sekitar Lembah Klang, mendapati harga insulin adalah lebih RM100 dan ia bergantung kepada jenis, jenama serta dos yang digunakan.

Begitu juga rawatan hipertensi dan diabetes yang ditanya penulis di beberapa klinik swasta di Lembah Klang, ratusan ringgit perlu disediakan pesakit bergantung kepada keadaan penyakit dan ubat dipreskripsikan doktor untuk sekali rawatan.

Berlainan pula dengan rawatan di klinik/hospital kerajaan, hanya RM1 yang dikenakan untuk berjumpa doktor dan mendapat ubat, namun masih ramai tidak mengikuti nasihat doktor dan pematuhan rawatan sebaiknya.

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Malaysia pada tahun 2017, kos tahunan keseluruhan pengurusan diabetes dianggarkan sekitar RM2.04 bilion dan sebanyak RM1.40 bilion daripadanya ditanggung kerajaan Malaysia. Hakikat yang pasti, jumlah ini meningkat saban tahun.

Mungkin, adalah sebaiknya kos setiap butir ubat itu ditulis secara ketara pada label ubat bagi menyedarkan pesakit supaya lebih menghargai rawatan memandangkan kos sebenar rawatan diabetes dan hipertensi, sebenarnya bukanlah murah.

Apatah lagi, apabila ia membabitkan komplikasi yang pastinya akan menyebabkan kos rawatan lebih mahal.

Ini jugalah yang membimbangkan kerajaan apatah lagi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menganggarkan 3.9 juta (18.3 peratus) rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes, peningkatan ketara berbanding 11.2 peratus pada 2011 dan 13.4 peratus pada 2015.

Dengan peningkatan ini, bayangkan sekiranya kepercayaan palsu itu tidak dijelaskan sebaiknya kepada pesakit mahupun masih ada tidak menghargai ubatan yang diberi percuma di fasiliti awam, maka, tidak mustahil senario ini akan menyebabkan kerajaan berterusan menanggung beban kewangan besar rawatan NCD selain memberikan impak negatif ke atas kualiti kehidupan pesakit.

“Tidak ada mana-mana doktor yang merawat pesakit hendak melihat keadaan pesakit mereka menjadi lebih teruk. Kalau boleh, saya hendak pastikan pesakit saya tidak mengalami kerosakan buah pinggang sepanjang rawatan.

“Kerana itulah, saya tekankan kefahaman penyakit, ubatan sangat penting dan ini perlu dilakukan melalui kepercayaan terjalin dan komunikasi berkesan antara doktor, ahli farmasi serta pesakit,” katanya.

(Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani)

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak perlu ke hospital, khidmat pos dapatkan bekalan ubat

SHAH ALAM, 7 APRIL: Bagi meringankan beban rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pesakit kronik tidak perlu ke hospital bagi mendapatkan bekalan ubat, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bekalan kini boleh diperoleh menggunakan khidmat Ubat Melalui Pos (UMP).

“Pesakit digalakkan menggunakan perkhidmatan pembekalan UMP dalam tempoh PKP.

“Perkhidmatan UMP ini membolehkan ubat dihantar terus ke rumah pesakit tanpa pesakit perlu datang ke hospital atau klinik kesihatan bagi mengambil bekalan ubat susulan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kos penghantaran bagi UMP bernilai RM5.30 hingga RM10.60 mengikut berat serta zon penghantaran.

Namun bermula semalam hingga 30 Jun ini, kerajaan akan menanggung kos penghantaran tersebut.

Selain UMP, Kementerian Kesihatan (KKM) juga menawarkan tiga lagi perkhidmatan iaitu farmasi pandu lalu, Locker4U dan sistem temujanji farmasi.

Categories
NASIONAL

Kementerian Kesihatan alu-alukan siasatan SPRM terhadap dakwaan monopoli ubat

PUTRAJAYA 16 JUN: Kementerian Kesihatan mengalu-alukan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan sebuah syarikat memiliki monopoli ke atas bekalan ubat-ubatan di negara ini, kata menterinya Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kementerian tiada masalah (siasatan oleh SPRM)…tetapi mesti ada bukti dan bukannya tuduhan begitu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2018 di Seri Perdana di sini, semalam.

Beliau berkata kementeriannya memberi perhatian terhadap tuduhan monopoli ubat-ubatan itu, sambil menambah “jika ada salah laku, maka SPRM akan mengambil tindakan”.

Katanya lagi, kementerian kesihatan mahu melakukan yang terbaik dengan tadbir urus yang bertanggungjawab.

“Kita kena tahu pasaran ada sentimen dan kena jaga semua pihak. Andai berlaku salah laku, pihak SPRM akan bertindak,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata kementeriannya akan sentiasa memperbaiki perkhidmatan supaya dapat memberi bekalan ubat kepada rakyat pada harga yang nilai untuk wang.

Menurut laporan akhbar, sebelum ini Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, dari PKR, menulis di Twitternya, meminta Dr Dzulkefly memecahkan sebarang monopoli ubat-ubatan oleh syarikat yang dimiliki ahli politik dari pentadbiran sebelum ini.

Pada Rabu, sebuah portal membuat pendedahan mendakwa syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik yang rapat dengan kerajaan dulu mengawal bekalan ubat bernilai berbilion ringgit.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, monopoli yang dimiliki syarikat itu mungkin menjadi punca peningkatan kos ubat-ubatan yang dibekalkan ke hospital dan klinik kerajaan seluruh negara.

Mengenai sambutan Hari Raya tahun ini, Dr Dzulkefly berkata seramai 80,000 kehadiran pengunjung membuktikan semangat perpaduan yang membara di kalangan rakyat.

Beliau yakin sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia akan diraikan dengan satu letupan patriotism yang akan memberi lonjakan dalam membina semula negara, ekonomi dan memperkukuhkan perpaduan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian Kesihatan perlu tingkat kecekapan pengurusan ubat

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen menggesa Kementerian Kesihatan mempercepatkan pembangunan sistem teknologi maklumat (IT) bagi memastikan pengurusan ubat lebih cekap.

Pengerusi PAC, Datuk Sri Hasan Arifin berkata, dalam isu Pengurusan Bekalan Ubat di Klinik Kesihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipanggil memberikan penjelasan pada prosiding yang bermula, pada 7 Disember 2016.

Dalam prosiding berkenaan, PAC Parlimen membangkitkan isu ubat lewat dibekalkan dan penguatkuasaan denda serta penyimpanan stok ubat berdasarkan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2015 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, pada 21 November 2016.

Ubat Moden“Jawatankuasa ini berpuas hati dengan penjelasan diberikan Kementerian Kesihatan terutama bagi aspek penambahbaikan dalam penyimpanan stok ubat serta kawalan dalam perolehan ubat,” katanya dalam kenyataan.

Antara syor yang dikemukakan PAC Parlimen adalah Kementerian Kesihatan diminta mengambil tindakan Jabatan Audit Negara (JAN) mengisi kekosongan jawatan di Bahagian Audit Dalaman KKM bagi mengukuhkan kawalan dalaman dan pengurusan ubat.

Katanya, prosedur kewangan juga perlu sentiasa dipatuhi terutama dalam aspek perolehan, pentadbiran kontrak dan pengurusan bayaran serta meningkatkan aspek pemantauan prestasi pembekal.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga perlu mempertingkatkan publisiti dan kesedaran dalam kalangan rakyat bagi mengelakkan pembaziran ubat.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KKM tarik balik ubat hipertensi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JAN: Pesakit hipertensi yang menerima produk Ternolol 50 Film-Coated Tablet keluaran syarikat Hovid Berhad dinasihatkan menyemak sama ada terdapat kelompok BG04645 dalam simpanan mereka.

ternolol-tabletKetua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah mengeluarkan arahan kepada syarikat pengeluar itu untuk memanggil balik kelompok berkenaan.

Katanya, arahan itu dibuat berikutan kotak luar kelompok itu dilabel Ternolol 50, manakala label pada blister dicetak Ternolol Tab 100 miligram (100mg).

“Sekiranya kelompok berkenaan ada dalam simpanan pesakit, kerjasama dipohon agar tidak mengambil ubat dan memulangkannya dengan kadar segera ke klinik, farmasi komuniti atau fasiliti kesihatan di mana ianya dibekalkan.

“Sila berjumpa dengan pengamal perubatan untuk mendapatkan nasihat atau pemeriksaan sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, NPRA dan pihak pengilang sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti punca masalah.

“Produk itu didaftarkan Pihak Bekuasa Kawalan Dadah (PBKD) dengan nombor pendaftaran MAL19940057AZ.

“Ternolol 50 Film-Coated Tablet mengandungi bahan aktif atenolol yang dipreskrib untuk rawatan hipertensi,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi NPRA di talian 03-78835538 atau Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian 1800 88 6722.

-NFN-