Categories
KENYATAAN MEDIA

Ucapan sambutan kemerdekaan ke-58 peringkat Selangor

Oleh: YAB Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya jua kita dapat bersama-sama berhimpun dalam Sambutan Hari Kemerdekaan Ke 58 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada malam ini.

2. Rakyat Malaysia bersyukur di atas anugerah kemerdekaan yang telah dikecapi sejak 58 tahun yang lalu. Kecintaan (patriotisme) terhadap negara adalah satu semangat yang menuntut tanggungjawab, ketaatan dan pengorbanan.

Kita seharusnya mengambil kesempatan daripada sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini untuk mengulangi ikrar dan tekad kita sebagai rakyat yang bermaruah untuk memperbaharui semangat patriotisme kita terhadap negara.

MB Azmin3. Patriotisme bukan slogan dan simbol semata-mata tetapi semangat yang mencetuskan pengaruh yang kuat terhadap tingkahlaku manusia untuk mempertahankan kedaulatan Negara dan mensejahterakan rakyat.

4. Di Malaysia, sejarah kebangkitan bangsa daripada belenggu penjajahan untuk membentuk negara yang bebas merdeka memperlihatkan perjuangan satu bangsa yang penuh dengan semangat patriotisme. Semangat patriotisme yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu sehingga sanggup berkorban demi mempertahankan negara adalah contoh yang patut dihidupkan sepanjang masa.

5. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil perjuangan generasi terdahulu bermula sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Para pejuang kemerdekaan seperti Tun Perak di Melaka, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung di Terengganu, Mat Kilau di Pahang, Mat Saleh di Sarawak, Tuan Guru Haji Hasan Monas atau Tok Janggut di Kelantan, Raja Haji di Selangor dan ramai lagi berjuang menentang penjajah asing di atas nama kebebasan dan keadilan untuk masa depan anak bangsa mereka. Mereka berjuang dengan penuh ketabahan, kesabaran dan kecintaan terhadap tanahair ini.

6. Nenek moyang kita sehati sejiwa sehingga berjaya menurunkan bendera Union Jack untuk digantikan dengan Jalur Gemilang yang berkibar megah. Hasil perjuangan mereka dan semangat patriotism yang kental, kini kita berdiri di atas bumi yang berdaulat dan merdeka.

Le Tour De Langkawi di Dataran kemerdekaan Shah Alam (19)7. Semangat patriotisme memainkan peranan yang amat penting seperti yang sering disebut “kasihkan watan itu sebahagian daripada iman.”

8. Patriotisme tidak boleh membenarkan “exploitation de l’homme par l’homme” – penindasan manusia ke atas manusia iaitu satu bentuk penjajahan minda masa kini.

Penjajahan ala ketenteraan telah meninggalkan bumi bertuah ini tetapi penindasan dan eksploitasi yang dilakukan oleh penjajah asing kini berpindah kepada pribumi melalui penjajahan minda.

9. Generasi hari ini perlu sehati sejiwa, untuk memaknai semula citra kemerdekaan.

10. Sudah tiba masanya kita melihat semula erti kemerdekaan seperti yang dimasyhurkan oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau menegaskan bahawa negara yang merdeka dan berdaulat ini, perlu diperintah “atas prinsip kebebasan dan keadilan, dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya.”

11. Pengisian kepada Permasyhuran Kemerdekaan yang ditegaskan oleh Tunku Abdul Rahman bermaksud menegakkan prinsip keadilan yang akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan.

12. Rakyat Selangor harus bersatu padu untuk menghadapi krisis ekonomi yang melanda Negara dan kecelaruan politik yang boleh mengugat prinsip-prinsip asas Pemashyuran Kemerdekaan.

Apakah suasana ekonomi hari ini dapat menjamin pertumbuhan yang mapan ? Apakah setelah 58 tahun Negara mencapai kemerdekaan, kekayaan Negara dapat menjamin keadilan pengagihan (distributive justice) ? Apakah kepimpinan Negara berpaksi kepada politik nilai dan kebertanggungjawaban untuk menjamin kesejahteraan rakyat ?

13. Justeru itu, tanggungjawab kita hari ini adalah untuk menggilap semula erti kemerdekaan yang semakin lesu, menyapu debu-debu kekotoran yang menutupi jiwa dan jasad negara. Ini mesti dilakukan dengan jiwa yang merdeka dan tidak menjadi jiwa perhambaan.

14. Sang pemerintah tidak boleh meminggirkan suara ratusan ribu rakyat yang berhimpun secara aman menjelang ambang kemerdekaan untuk bersama menyelamatkan negara dan maju ke hadapan untuk membina Malaysia yang gagah.

15. Malam ini kita berhimpun dengan jiwa dan semangat merdeka. Kita mengimbau jerit perih nenek moyang kita bangkit untuk melawan penjajah. Mereka berjuang untuk menebus maruah dan mengembalikan hak dan kebebasan untuk memerintah negara sendiri sebagai Negara yang berdaulat. Ayuh, mari kita membawa obor kemerdekaan yang dinyalakan oleh anak watan negara ini dan kita bertekad untuk mengisi kemerdekaan dengan prinsip keadilan, kebebasan, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Ucapan MB sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-57

http://tv.selangorku.com