Categories
AGENDA SUKANKINI

UCL: Permulaan tempang Liverpool dan Chelsea

SHAH ALAM, 18 SEPT: Dua kelab England, Liverpool dan Chelsea memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan langkah sumbang apabila masing-masing tewas, awal pagi tadi.

Turun dengan status juara bertahan, Liverpool gagal menebus kekalahan musim lalu apabila tewas 2-0 kepada Napoli di San Paolo dalam aksi Kumpulan E.

Bagaimanapun, dua jaringan tuan rumah pada 10 minit akhir permainan hadir hasil penalti Dries Martens dan Fernando Llorente.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan E, hatrik daripada Erling Braut Haaland membantu RB Salzburg membelasah Genk 6-2 di laman sendiri.

Aksi Kumpulan F menyaksikan dua perlawanan berakhir dengan keputusan seri apabila Inter Milan terikat 1-1 ketika menentang Slavia Prague manakala tiada jaringan dihasilkan dalam pertemuan Borussia Dortmund dan Barcelona.

RB Leipzig pula menghuni tangga teratas Kumpulan G apabila menewaskan Benfica 1-2 di gelanggang lawan manakala perlawanan Lyon dan Zenit St Petersburg berkesudahan seri 1-1.

Juara Piala Europa, Chelsea pula kecewa di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada Valencia hasil jaringan tunggal Rodrigo, pada minit ke-74.

Skuad bimbingan Frank Lampard sepatutnya berpeluang mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-88 tetapi gagal disempurnakan Ross Barkley.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulah H, Ajax Amsterdam tidak berdepan masalah mengutip mata penuh apabila menewaskan Lille 3-0.

Categories
SUKANKINI

UCL: Hatrik Lucas Moura bawa Spurs ke final

OLEH AFIX REDZUAN

AMSTERDAM, 9 MEI: Tottenham Hotspur memastikan pentas final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini didominasi kelab England apabila melakar kemenangan dramatik 2-3 ke atas Ajax Amsterdam, awal pagi tadi.

Kebangkitan itu menyaksikan Spurs berjaya mengikat agregat 3-3 dan mara ke perlawanan akhir menerusi peraturan gol tempat lawan hasil jaringan hatrik Lucas Moura pada perlawanan separuh akhir kedua di Johan Cruijff Arena.

Bagaimanapun, Spurs terlebih dahulu ketinggalan 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Matthijs de Ligt seawal minit kelima dan Hakim Ziyech selang 30 minit kemudian.

Moura memulakan kebangkitan skuad bimbingan Mouricio Pochettino pada minit ke-55 menerusi gerakan satu dua bersama Dele Alli.

Selang empat minit kemudian, Moura menyamakan kedudukan 2-2 apabila berjaya memanfaatkan kekalutan di hadapan gawang Ajax selepas pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola dalam kotak penalti.

Menuju minit akhir masa tambahan lima minit, Moura sekali lagi muncul wira Spurs apabila berjaya meledak gol ketiga bagi memastikan pasukannya mara ke pentas akhir buat pertama kali dalam sejarah.

Spurs dijadualkan bertemu Liverpool 1 Jun ini di Madrid bagi menentukan juara eropah musim ini, sekali gus mengakhiri penguasaan kelab dari Sepanyol dalam tempoh enam tahun.

Kredit Foto: UEFA Champions League

 

Categories
SUKANKINI

UCL: Amukan Liverpool singkirkan Barcelona di Anfield

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 8 MEI: Liverpool melakar satu lagi sejarah kebangkitan mengagumkan dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menewaskan Barcelona 4-0 untuk mara ke pentas akhir di Madrid dengan agregat 4-3.

Ketinggalan 0-3 menerusi agregat susulan kekalahan pada separuh akhir pertama dan tanpa kelibat Mohamed Salah serta Roberto Firmino, The Reds memastikan semua itu boleh diatasi dengan sorakan padu penyokong sendiri.

Divock Origi memulakan pesta di Anfield dengan gol pertama tuan rumah pada minit ketujuh selepas menolak masuk bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol, Ter Stagen bagi gol pertama The Reds.

Barcelona cuba bangkit dengan percubaan Lionel Messi tetapi gagal menemui jaringan dan kedudukan 1-0 kekal pada babak pertama.

Malang buat Liverpool apabila kehilangan khidmat pertahanan kiri, Andy Robertson yang cedera dan Jurgen Klopp terpaksa membawa masuk Georginio Wjanaldum.

Kemasukan bintang Belanda itu membuahkan hasil apabila menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-54 apabila menyambut hantaran Trent Alexander-Arnold bagi kedudukan 2-0.

Selang dua minit kemudian, Wjanaldum menjadikan kedudukan 3-0, sekali gus menyamakan agregat 3-3 apabila melonjak tinggi untuk menanduk hantaran Xherdan Shaqiri.

Messi cuba untuk menghasilkan gol menerusi sepakan percuma seperti yang dilakukan di Nou Camp minggu lalu tetapi benteng pertahanan yang diketuai Vigil Van Dijk berjaya menafikannya.

Gol keempat yang dicari Liverpool akhirnya menjelma pada minit ke-79 sekali lagi menerusi Origi apabila dia mudah menampan sepakan penjuru Alexander-Arnold bagi kedudukan 4-0.

Benteng Liverpool berjaya menyerap tekanan sehingga tamat masa tambahan lima minit bagi memastikan mereka mara ke final UCL buat kali kesembilan dalam sejarah kejohanan.

Setakat ini Liverpool sudah menjulang lima trofi UCL dan kali terakhir pada 2005 di Istanbul, Turki.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Liverpool singkir Bayern, Barca menang mudah

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 14 MAC: Liverpool melenyapkan kritikan pelbagai pihak dengan mempamerkan aksi terbaik apabila menyingkirkan Bayern Munich 1-3, di Allianz Arena awal pagi tadi untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Tanpa sebarang jaringan pada perlawanan pertama di Anfield, Sadio Mane membuka jaringan pertama buat Liverpool, pada minit ke-26 apabila tenang mengawal hantaran jauh Virgil Van Dijk dan memperdaya penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, sebelum mudah melambungkan bola ke gawang tuan rumah.

Bayern kembali bangkit menceriakan penyokong sendiri apabila menyamakan kedudukan 1-1, pada minit ke-39 menerusi jaringan sendiri Joel Matip yang tertampan hantaran Serge Gnabry.

Bersambung babak kedua, Van Dijk memberikan kelebihan buat The Reds dengan gol kedua apabila menanduk masuk sepakan penjuru James Milner, pada minit ke-69 bagi kedudukan 1-2.

Tuan rumah cuba untuk bangkit tetapi disiplin pertahanan Liverpool yang merantai pergerakan penyerang Bayern, Robert Lewandowski, menyukarkan mereka mencari gol penyamaan.

Sebaliknya, skuad bimbingan Jurgen Klopp membunuh sisa perjuangan pendahulu Bundesliga itu dengan gol ketiga, pada minit ke-84 apabila Mane sekali lagi menanduk masuk hantaran Mohamed Salah bagi kedudukan 1-3.

Kejayaan Liverpool itu sekali gus menyaksikan empat kelab daripada Liga Perdana Inggeris; Manchester United, Manchester City dan Tottenham Hotspurs berjaya menempatkan diri di peringkat suku akhir UCL musim ini.

Dalam satu lagi perlawanan, Barcelona mudah membenam Lyon 5-1 di Nou Camp dengan Lionel Messi menjadi tunjang utama kejayaan apabila menyumbang dua gol.

Barcelona akan bersama FC Porto, Juventus dan Ajax Amsterdam dalam undian suku akhir yang akan berlangsung Jumaat ini.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: FC Porto bangkit singkirkan Roma

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 7 MAC: FC Porto bangkit pada penghujung masa tambahan untuk menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan AS Roma, 3-1, di laman sendiri awal pagi tadi.

Walaupun tewas 2-1 pada perlawanan pertama, FC Porto berjaya mengikat agregat 2-2, pada minit ke-26 melalui tampanan Tiquinho hasil lorongan Moussa Marega.

Roma berjaya menjadikan kedudukan 1-1, pada minit ke-37 hasil sepakan penalti Daniele De Rossi.

Masuk babak kedua, giliran Marega kembali meletakkan tuan rumah di hadapan dengan gol kedua, pada minit ke-52 selepas melepasi perangkap ‘offside’ untuk menampan hantaran Jesus Corona bagi kedudukan 2-1.

Tanpa sebarang jaringan tambahan, perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan 30 minit yang menyaksikan FC Porto dihadiahkan sepakan penalti, pada minit ke-115.

Alessandro Florenzi melakukan kesilapan dengan menarik baju Fernando Santos selepas tayangan semula video bantuan pengadil (VAR) dilakukan pengadil, Cuneyt Cakir.

Alex Telles tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Roma, Robin Olsen untuk membawa FC Porto ke suku akhir.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Manchester United singkir PSG di Paris

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 7 MAC: Manchester United meleburkan impian Paris Saint Germain (PSG) untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan kebangkitan penuh dramatik menerusi kemenangan 1-3, awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 3-3 tetapi peraturan gol tempat lawan memberikan kelebihan buat United, sekali gus memadam kekecewaan tewas 0-2, di laman sendiri sebelum ini.

Romelu Lukaku terlebih dahulu memceriakan kem United dengan jaringan seawal minit kedua selepas memperdaya pertahanan Thiago Silva dan penjaga gol, Gianlugi Buffon sebelum menolak masuk bola ke gawang gol.

10 minit kemudian, Juan Bernat menyamakan kedudukan 1-1 buat PSG selepas menampan masuk tolakan Kylian Mbappe.

PSG yang ghairah menyerang bagaimanapun tersentak dengan jaringan kedua Lukaku bagi kedudukan 1-2, pada minit ke-30 selepas memanfaatkan bola yang gagal ditangkap kemas Buffon hasil percubaan jarak jauh Marcus Rashford.

Bersambung babak kedua, PSG hampir menyamakan keuddukan menerusi Angel Di Maria tetapi jaringannya dibatalkan kerana ‘offside’.

Menuju penghujung permainan, United dihadiahkan sepakan penalti susulan tindakan kurang bijak Presnel Kimpembe menampan bola menggunakan tangan.

Pengadil, Damir Skomina memberikan sepakan itu selepas menilai bantahan dikemukakan United melalui tayangan video bantuan pengadil (VAR).

Rashford tidak mensia-siakan peluang untuk meletakkan bola ke jaring, sekali gus membawa pasukannya ke peringkat suku akhir UCL.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

Asensio pastikan Real Madrid tundukkan Ajax

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 14 FEB: Real Madrid meneruskan langkah mempertahankan trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan kemenangan tipis 1-2, ke atas Ajax Amsterdam dalam aksi peringkat 16 pasukan awal pagi tadi.

Tanpa sebarang jaringan pada babak pertama, Karim Benzema meleraikan kebuntuan selepas sejam permainan dengan meledak gol pertama apabila memanfaatkan tolakan Vinicius Junior sebelum melepaskan rembatan kencang ke gawang Ajax.

15 minit kemudian, Hakim Ziyech menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol penyamaan 1-1 selepas berjaya menolak mudah hantaran David Neres.

Ketika perlawanan hampir menuju ke wisel penamat, Marco Asensio muncul wira Madrid apabila menampan masuk hantaran Dani Carvajal, pada minit ke-87 bagi memastikan pasukan pelawat membawa bekalan selesa pada aksi timbal balik di laman sendiri, awal Mac hadapan.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Roma selesa benam FC Porto

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 13 FEB: AS Roma membawa bekalan tipis dalam pusingan timbal balik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menewaskan FC Porto, 2-1 dalam aksi laman sendiri awal pagi tadi

Nicolo Zaniolo membuka tirai jaringan Roma, pada minit ke-70 selepas berjaya melepaskan rembatan ke gawang menewaskan Iker Casillas apabila menerima umpanan Eden Dzeko.

Zaniolo sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring bagi gol kedua Roma, pada minit ke-76 apabila mudah menampan masuk bola yang terlebih dahulu terkena tiang hasil percubaan awal Dzeko.

FC Porto berjaya merapatkan jurang jaringan 2-1 tiga minit kemudian menerusi rembatan kencang Adrian Lopez.

Kredit Foto: UEFA Champions League

 

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Di Maria bantu PSG ‘Ole’ Manchester United

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 13 FEB: Kehadiran semula Angel Di Maria ke Old Trafford nyata memberikan masalah buat Manchester United apabila membantu Paris Saint Germain (PSG) menang selesa 0-2, dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.

Di Maria menjadi tonggak utama dengan membantu jaringan pertama PSG, pada minit ke-53 apabila sepakan penjuru beliau berjaya ditampan Presnel Kimpembe tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, David De Gea.

Selang tujuh minit kemudian, beliau sekali lagi membuka ruang buat Kylian Mbappe menambah jaringan buat PSG dengan tampanan mudah selepas melakukan lorongan ke tengah kotak penalti, bagi kedudukan 0-2.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjer cuba untuk bangkit tetapi gagal menembusi gawang di kawal Gianlugi Buffon.

Dua gol tempat lawan itu memberikan kelebihan selesa buat skuad bimbingan Thomas Tuchel dalam pertembungan timbal balik kedua, pada awal Mac di Paris.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Anak Malaysia peraga baju kebangsaan tonton final UCL

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 MEI: Dua anak Malaysia menongkah arus apabila mengenakan baju kebangsaan ketika menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) antara Real Madrid dan Liverpool awal pagi tadi.

Saiful Adli Aziz menggayakan baju melayu putih sebagai tanda sokongan kepada Real Madrid manakala Ahmad Shakir Asri berbaju merah menyokong Liverpool.

Kedua-dua mereka berpeluang menyaksikan pertembungan dua kelab terbaik eropah di Stadium Nasional Olimpiyskiy, Kyiv, Ukraine secara langsung.

Menurutnya kepada SelangorKini, beberapa penyokong dari Malaysia dan tempatan yang hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir turut memuji tindakan mereka itu.

Sebelum ini, Saiful Adli pernah mengenakan baju melayu biru ketika menyaksikan perlawanan Piala Dunia di Brazil pada 2014.

Pada aksi final awal pagi tadi Real Madrid menewaskan Liverpool 3-1 hasil dua jaringan Gareth Bale serta Karim Benzema bagi melakar kejuaraan UCL ke-13 dan keempat dalam tempoh lima tahun.

 

Kredit Foto: Facebook Saiful Adli Aziz

Categories
SUKANKINI

UCL: Kyiv sedia sambut Real Madrid dan Liverpool

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 24 MEI: Stadium Nasional Olimpiyskiy, Kyiv, Ukraine bersedia menanti kehadirian lebih 70,000 penyokong bagi perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) antara Real Madrid dan Liverpool, hujung minggu ini.

Turun selaku juara tiga edisi dalam tempoh empat tahun, Real Madrid pasti mahu melakar kemenangan ke-13 dalam sejarah UCL, manakala Liverpool mengharapkan penantian lebih 10 tahun untuk ke pentas akhir menjadi mimpi indah.

Pihak penganjur sudah melakukan persiapan akhir dalam memastikan paparan iklan, kualiti padang dan keselamatan penyokong berada, pada tahap terbaik menjelang aksi hujung minggu ini.

Dua pengurus pasukan, Zinedine Zidane dan Jurgen Klopp pastinya sedang melakukan persiapan akhir serta melaungkan keyakinan tinggi untuk mendakap trofi Eropah dalam karier sebagai pengurus pasukan terbaik.

Tumpuan pastinya terarah kepada rangkaian serangan ‘MFS’ Liverpool yang dipelopori Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah, manakala Cristiano Ronaldo bakal mengetuai bahagian hadapan ‘BBC’ Real Madrid dengan membentuk gandingan bersama Karim Benzema serta Gareth Bale.

Dalam perkembangan lain, portal Independent.com melaporkan, firma keselamatan Ukraine mengeluarkan amaran bahawa perlawanan akhir antara Real Madrid dan Liverpool bakal diancam serangan siber dari Rusia.

“Pakar Perkhidmatan Keselamatan percaya serangan perkakasan (siber) di wilayah Ukraine adalah persiapan untuk tindakan agresif siber lain oleh Persekutuan Rusia yang bertujuan menggugat kestabilan situasi semasa final Liga Juara-Juara,” katanya.

Kredit Foto:UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Liverpool ke Kyiv, hampakan kebangkitan Roma

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 3 MEI: Roma gagal menyekat kemaraan Liverpool untuk melangkah ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan agregat, 7-6 walaupun menang bergaya, 4-2 di Stadium Olympico, awal pagi tadi.

Sadio Mane melenyapkan sorakan penyokong Roma dengan gol pertama Liverpool seawal minit kesembilan.

Berpunca daripada kesilapan hantaran ke belakang Radja Nainggolan, Roberto Firmino pantas melarikan bola bagi membuka ruang di sebelah kiri disusuli lorongan kepada Mane yang berjaya melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol, Alisson Becker untuk kedudukan 0-1.

Kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Roma menyamakan kedudukan, pada minit ke-15 hasil jaringan sendiri, James Milner.

Kesilapan Dejan Lovren mengeluarkan tandukan Lorenzo Pellegrini memakan diri apabila sepakannya terkena kepala Milner dan melantun masuk ke dalam gawang Liverpool tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Loris Karius.

Bagaimanapun, Liverpool kembali mendahului perlawanan 1-2 hasil tandukan Georginio Wijnaldum, pada minit ke-25 selepas berjaya memanfaatkan kesilapan Edin Dzeko yang gagal menanduk keluar sepakan penjuru Milner dengan kemas.

Stephan El Shaarawy hampir menjadikan kedudukan 2-2, pada minit ke-35 apabila rembatannya terkena Milner tetapi sekadar singgah ke tiang gol Liverpool.

Bersambung babak kedua, kesilapan Karius hampir menghadiahkan sepakan penalti buat Roma apabila menjatuhkan Dzeko, pada minit ke-49 tetapi beliau terlebih dahulu berada dalam kedudukan offside.

Akhirnya Dzeko menebus kesilapan apabila mudah meletakkan bola ke gawang Liverpool bagi kedudukan 2-2 di minit ke-52 selepas memanfaatkan peluang terhidang hasil percubaan awal El Sharaawy.

Cengiz Under turut terlepas peluang meletakkan Roma di hadapan apabila tampanannya berjaya diselamatkan Karius, pada minit ke-60.

Masuk minit ke-85, Nainggolan akhirnya meletakkan Roma mendahului Liverpool, 3-2 selepas melepaskan rembatan kencang yang terkena tiang sebelum masuk memperdaya Loris Karius.

Ketika perlawanan masuk ke masa tambahan, Roma dihadiahkan sepakan penalti selepas Ragnar Klavan tertampan bola menggunakan tangan.

Nainggolan tenang menyempurnakannya bagi keputusan 4-2 memihak Roma untuk meleburkan rekod tanpa kalah skuad bimbingan Jurgen Klopp dalam kancah UCL musim ini.

Namun, ia gagal menyekat kemaraan Liverpool yang bakal bertemu juara bertahan, Real Madrid pada perlawanan akhir di Kyiv, Ukraine, pada 27 Mei ini.

Kredit Foto: UEFA Champions League