Categories
AGENDA NASIONAL

Empat beranak ugut, serang wanita direman empat hari

SHAH ALAM, 28 NOV: Polis menahan empat sekeluarga selepas disyaki mengugut serta melakukan perbuatan khianat terhadap seorang suri rumah dalam kejadian sekitar Jalan Besar Kampung Tumbuk Darat,Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 24 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh dalam kenyataan memaklumkan kesemua suspek yang ditahan di rumah di Jalan Besar, Kampung Tumbuk Darat sekitar 9 malam itu berusia 21 hingga 49 tahun terdiri daripada pasangan bapa ibu dan dua anak perempuan.

“Tangkapan tersebut dilaksanakan susulan laporan yang dibuat oleh mangsa berusia 41 tahun itu yang mendakwa keretanya telah ditahan enam individu termasuk tiga wanita ketika melalui Jalan Parit A, Kampung Tumbok Darat sekitar jam 12 tengah hari Rabu lalu.

Mangsa mendakwa ditahan di mana salah seorang daripada mereka telah menggunakan sebatang kayu memukul keretanya dan bertindak untuk memecahkan cermin keretanya,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata punca kejadian dipercayai salah faham susulan wanita itu memuat naik kenyataan di aplikasi media sosialnya mengenai isu anti vaksin dan katanya lagi, mangsa pernah ke rumah suspek bagi memujuk ibu mertua salah seorang suspek untuk mengambil suntikan vaksin bagaimanapun ditolak.

“Suspek dipercayai tidak berpuas hati dan tersinggung dengan status yang dimuat naik wanita itu kemudian bertindak menyerang mangsa bersama ahli keluarga yang lain,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata kesemua mereka direman empat hari bermula 25 Nov lalu sehingga esok dan kes disiasat bawah Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 19 saat dari aplikasi Tik Tok menunjukkan beberapa individu seakan mengepung sebuah kenderaan dan salah seorangnya dilihat memegang sebatang kayu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita guna kata kesat, ugut polis di media sosial ditahan

PUTRAJAYA, 7 MEI: Polis menahan seorang wanita yang disyaki memuat naik hantaran mengandungi perkataan kesat dan berunsur ugutan terhadap pihak polis yang bertugas di sekatan jalan raya, menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata wanita berusia 36 tahun itu ditahan malam tadi susulan satu laporan polis yang dibuat terhadap pemilik akaun Facebook ‘Diana Mat’.

Siasatan awal mendapati beberapa tangkap layar hantaran menerusi akaun itu yang mengandungi kata-kata kesat dan berunsur ugutan terhadap polis, tular melalui media sosial, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fadzil berkata kes disiasat menurut Seksyen 507 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penagih ugut bunuh ibu sendiri ditahan

KEPALA BATAS, 13 JUN: Seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah ditahan polis semalam kerana mencederakan ibu kandungnya dan mengugut untuk membunuhnya, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor, hari ini.

Beliau berkata lelaki berumur 36 tahun itu yang mempunyai empat rekod jenayah dan dadah, ditahan kira-kira 4 petang di rumah keluarganya di Penaga dekat sini, ekoran satu laporan polis yang dibuat ibunya yang berumur 60 tahun.

“Wanita itu melaporkan anaknya pulang ke rumah dalam keadaan marah-marah dan mengamuk sebelum bertindak menolak motosikalnya sehingga hampir terkena ibunya,” katanya di sini.

Suspek kemudiannya mencekik leher ibunya selain mengancam untuk membunuhnya, namun mangsa yang tercedera di bahagian punggung semasa pergelutan itu bertindak menggigit tangan suspek sebelum melepaskan diri.

“Mangsa yang dibantu anak bongsunya kemudian telah ke balai polis di sini sebelum sepasukan polis bertindak menahan suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah,” katanya.

Seksyen 506 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ugut guru sokong DAP, BN makin melampau

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Gangguan pegawai kanan Kementerian Pendidikan terhadap guru yang memuat naik poster calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan di facebooknya adalah tindakan keterlaluan.

Memetik Keadilan Daily, hal itu berlaku apabila pegawai berkenaan menghubungi guru terbabit dan turut memberi ‘nasihat’.

Pengarah Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abbas Awang, berkata tindakan itu dianggap beliau sebagai ugutan serta menyekat kebebasan guru untuk bersuara.

abas-awang-4-300x200“Ini tindakan terkebelakang, kementerian tidak seharusnya menyekat kebebasan guru untuk menyatakan pendirian mereka. Dengan sekatan itu, bermakna kementerian sedang menjadikan mutu guru merosot,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang guru yang tidak mahu namanya disiar mendakwa dihubungi seorang pegawai kanan kementerian yang meminta dia menutup laman facebooknya dan menyatakan sedang ‘diawasi’.

Guru yang berkhidmat selama 16 tahun itu mendakwa, kementerian lebih berminat memantau laman sosialnya berbanding mengambil tindakan terhadap sebilangan guru yang terbabit dalam masalah lebih serius.

Abbas yang juga bekas Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan tidak terkejut dengan tindakan kementerian dan beranggapan ia dilakukan atas arahan pihak tertentu.

Jelasnya, arahan itu dikeluarkan akibat ketakutan dan rasa terancam BN terhadap sokongan guru dan penjawat awam terhadap
kemaraan Pakatan Rakyat.

“Inilah punca kualiti pendidikan kita merudum kerana ada pihak lebih utamakan kuasa politik berbanding berusaha mempertingkatkan mutu pendidikan negara,” katanya.