Categories
AGENDA NASIONAL

Ujian enam hari Covid-19 bagi pengembara luar negara dimansuh

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui tiga program tidak perlu lagi menjalani ujian enam hari Covid-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) (kendiri dan profesional) selepas ketibaan, bermula Khamis ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata prosedur baharu itu terpakai untuk pengembara memasuki Malaysia melalui program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan Pusat Sehentian (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut menggugurkan keperluan menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag (profesional) bagi pengembara yang tiba di Malaysia di bawah program LITB sebelum keluar dari Pulau Langkawi.

Selain itu, Khairy berkata KKM turut menggugurkan keperluan menjalani ujian kendiri RTK-Ag bagi pengembara umum dari United Kingdom yang sebelum ini perlu dilakukan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.

Katanya, keperluan Pegawai Pengiring bagi pelawat perniagaan jangka pendek Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menggunakan kemudahan OSC untuk memasuki Malaysia turut digugurkan, namun masih perlu mengikut jadual program terkawal yang diluluskan oleh Jawatankuasa OSC.

“Walaubagaimanapun, ujian pengesanan Covid-19 yang perlu dijalani dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan di Malaysia masih dikekalkan seperti protokol sedia ada.

“Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa prosedur baharu ini hanya terpakai ke atas pengembara yang memasuki Malaysia melalui program VTL, LITB dan OSC sahaja,” katanya.

Khairy berkata bagi pengembara yang bukan memasuki Malaysia melalui tiga program berkenaan, prosedur atau protokol sedia ada masih terpakai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan kit ujian kendiri Covid-19 laris di SELangkah

SHAH ALAM, 9 NOV: Jualan kit ujian kendiri Covid-19 melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) menerima sambutan baik sejak dipasarkan awal bulan ini.

Dua jenis kit dijual iaitu ujian pantas antigen (RTK-Ag) salixium dan air liur yang dibekalkan Farmasi Selcare pada harga RM19.90 seunit, kata pengarah projek SELangkah.

Tanpa mendedahkan jumlah unit terjual, Dr Helmi Zakariah berkata permintaan tinggi daripada mereka yang melancong ke luar negeri dan memiliki ahli keluarga ramai.

“Kita perkenal jualan dalam talian, terhad kepada dua jenis kit paling popular untuk memudahkan orang ramai dengan memilih sama ada guna khidmat penghantaran atau ambil sendiri.

“Penghantaran dicaj RM8 dengan mengambil masa antara dua hingga lima hari bergantung kepada lokasi,” katanya ketika dihubungi.

Pengarah Projek SELangkah Dr Helmi Zakariah menjawab pertanyaan moderator dalam program Bual Bicara: Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin di Media Selangor pada 28 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Dr Helmi berkata kit air liur mudah dikendalikan selain membantu individu mengenal pasti dan mengawal risiko jangkitan Covid-19 tanpa hadir ke fasiliti kesihatan.

Sementara kit Salixium pula, katanya, pensampelan air liur dan hidung dibuat menggunakan dua alat calitan dan keputusan ujian antara 10 hingga 15 minit.

“Mereka yang membeli kit air liur dibekalkan alat uji, buffer, peranti pengumpulan seperti corong, tiub dan hujung tiub serta beg biokeselamatan.

“Manakala kit Salixium disertakan tiub penyangga pengekstrakan dan penitis, dua calitan pakai buang termasuk beg biokeselamatan,” katanya lagi.

SELangkah menampilkan fungsi terbaharu tempahan janji temu saringan Covid-19 dan pembelian kit ujian kendiri dengan orang ramai perlu mengemas kini aplikasi untuk menggunakannya.

Selangor membangunkan aplikasi sendiri pada 4 Mei tahun lalu bagi mengelak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat untuk memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM siasat dakwaan palsu keputusan ujian Covid-19

PUTRAJAYA, 16 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) akan menyiasat kes keputusan ujian Covid-19 dipalsukan seperti yang didakwa oleh sebuah klinik swasta di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM akan bekerjasama rapat dengan pihak polis dan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan isu tersebut dapat dirungkai.

Beliau berkata perbuatan memalsukan keputusan Covid-19 merupakan satu kesalahan dan tindakan boleh diambil di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sebelum menggunakan akta lain bagi tindakan lanjut.

“Bagi makmal-makmal swasta yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan, kementerian sentiasa memastikan pemeriksaan audit dan audit berkala bagi memastikan ujian yang dijalankan itu menepati standard.

“… dan kita (KKM) juga dapat menggunakan Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (Simka) untuk kita mengenal pasti kes kalau ada kes yang dipalsukan,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berkaitan sebuah klinik swasta di Rawang yang membuat laporan polis selepas mendapati keputusan Covid-19 dipalsukan dan pengasas klinik itu mendakwa pihaknya mengenal pasti hampir 20 kes pemalsuan keputusan Covid-19.

Dr Noor Hisham turut menjelaskan ‘lain-lain saringan’ merupakan kes positif Covid-19 yang mendapat jangkitan selain daripada kluster yang dikenal pasti.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat beberapa makmal swasta yang masih belum mengintegrasi data berkaitan kes positif Covid-19 menerusi Simka dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) harus dimaklumkan secepat mungkin sekiranya terdapat kes positif supaya tindakan bersesuaian dapat dijalankan secepat mungkin.

“Kita juga maklum ada kekangan dari segi pelaksanaan, mungkin keputusan itu lambat dikeluarkan jadi kes yang positif itu duduk di rumah.

“Jadi kita syorkan mereka yang menjalani ujian dan disyaki terdedah kepada kes positif duduk di rumah dan menunggu keputusan.

“Kedua, pastikan notifikasi telahpun diberi kepada PKD dan kita akan menyusuli… dan kalau kita ada juga kes-kes yang kita lambat menyusuli, contohnya di Sabah, yang penting duduk di rumah dulu dan kita akan hantar ambulans atau kenderaan ke rumah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan ramai pesakit Covid-19 yang didapati positif di daerah Klang, Selangor lambat dihantar ke hospital dan ada yang tinggal di rumah sehingga lima hari walaupun positif.

Selain itu, menyentuh keputusan membenarkan tiga ahli parlimen hadir ke persidangan Dewan Rakyat minggu ini dengan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE), beliau berkata penilaian risiko telah dijalankan selaras dengan Akta 342 sebelum keputusan tersebut dibuat.

-BERNAMA