Categories
AGENDA NASIONAL

Rebah ketika main bola, pelajar maut di UK selamat dikebumi

SEREMBAN, 14 APRIL: Jenazah penuntut Malaysia Muhammad Hafidz Abdullah yang meninggal dunia selepas menerima rawatan selama empat hari di unit rawatan kritikal sebuah hospital di United Kingdom (UK), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Senawang di sini kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Jenazahnya yang tiba dari UK dibawa ke Masjid Negeri di sini kira-kira pukul 7 malam untuk disembahyangkan sebelum tiba di tanah perkuburan sekitar 8.40 malam ini untuk dikebumikan di kampung halaman isterinya, Nazihahwati Mohiddin, 36 tahun.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan berkenaan dengan kehadiran lebih 50 ahli keluarga.

Muhammad Hafidz, 36, pelajar tahun dua pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Sheffield disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.35 pagi 8 April lepas selepas isterinya membuat keputusan membenarkan pihak hospital Northern General Hospital di Sheffield mematikan alat bantuan pernafasan atas nasihat pasukan perubatan.

Beliau yang merupakan kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaporkan tiba-tiba pengsan semasa bermain bola di Pusat Sukan Goodwin di Sheffield pada 4 April lepas dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan semasa rawatan.

Sementara itu bapa Allahyarham, Abdullah Kasim, 65, mengakui sangat sedih dan terkejut selain menyifatkan pemergian Muhammad Hafidz merupakan satu kehilangan besar buat keluarganya.

Beliau yang tiba dari Shah Alam turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana membantu urusan membawa pulang jenazah anaknya.

Menurutnya, mereka bercadang untuk menziarahi Allahyarham sebaik mengetahui keadaan kesihatan anaknya itu semakin merosot namun terpaksa menangguhkannya kerana kekangan susulan penularan pandemik Covid-19.

“Kami tunggu keadaannya makin pulih tetapi tak sempat kerana dia pergi dulu…dia anak yang baik, bagaimanapun kami reda dengan pemergiannya.

Kali terakhir kami bersua muka sebelum dia ke UK pada September 2019, dan ketika dia berada di sana pun setiap hari dia telefon kami untuk bertanya khabar dan kali terakhir kami berkomunikasi adalah sehari sebelum arwah pengsan,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka 4.1120/1150 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati.

Pelabur berbuat demikian selepas kuasa ekonomi dunia AS, United Kingdom, Kesatuan Eropah dan Kanada mengumumkan sekatan ke atas China berikutan isu hak asasi manusia.

Pada 9 pagi, ringgit dibuka pada 4.1120/1150 berbanding dolar AS daripada 4.1120/1160 ketika ditutup pada Isnin.

China dikenakan sekatan berikutan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia ke atas komuniti Islam Uyghur di Xinjiang, sekali gus mendorong tindakan balas segera dari Beijing.

“Ini akan meningkatkan kebimbangan mengenai perdagangan akan datang yang melibatkan negara-negara ini.

“AS dan China, contohnya, merupakan rakan dagang utama Malaysia dan apa sahaja yang berlaku ke atas kedua-dua negara itu akan menjejaskan pasaran mata wang, termasuk ringgit,” kata peniaga kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata mata wang tempatan akan terus diniagakan pada kecenderungan lemah disebabkan penurunan harga minyak mentah yang ketika ini didagangkan pada US$64.06 setong, susut 0.87 peratus.

“Bagaimanapun, susulan pulangan ke atas bon AS yang sedikit rendah dan dolar AS yang secara amnya lemah di seluruh papan pada pagi ini, maka ringgit dan mata wang negara Asia sewajarnya diniagakan lebih positif pada Selasa,” katanya.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 3.7777/7815 daripada 3.7843/7883 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6935/6993 daripada 5.6964/7031.

Unit tempatan bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0664/0693 daripada 3.0652/0689 serta rendah berbanding euro kepada 4.9060/9113 daripada 4.8929/8985.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Empat menteri UK mungkin letak jawatan

LONDON 12 NOV: Empat menteri British yang menyokong untuk kekal bersama Kesatuan Eropah (EU) mungkin akan meninggalkan kerajaan Theresa May susulan Brexit, kata Sunday Times ketika tekanan dari semua pihak kian memuncak ke atas perdana menteri itu.

Akhbar itu berkata, EU turut menolak rancangan May untuk menggunakan mekanisma bebas bagi mengawasi pengunduran Britain dari sebarang aturan sementara kastam yang dipersetujui.

Britain mencadangkan satu perjanjian kastam meluas sementara dengan EU untuk menyelesaikan masalah itu tetapi penyokong Brexit dalam partinya mahu London memberi kata putus sebaik aturan itu berakhir. Ia bertujuan untuk mengelak daripada terikat selama-lamanya dengan blok berkenaan.

“Inilah masanya beliau perlu bertegas dengan Brussels dan menjelaskan bahawa mereka perlu berkompromi, atau kita berundur tanpa sebarang perjanjian,” kata seorang menteri kanan kabinet.

Seorang diplomat EU berkata semalam, mereka sangat berharap sidang kemuncak EU akan diadakan bulan ini untuk mengesahkan perjanjian itu tetapi keadaan yang tidak menentu di Britain menjadikannya sukar untuk diramalkan.

Beberapa isu lain juga masih belum dapat diselesaikan.

Mei dijangka bertemu dengan kabinetnya minggu ini untuk membentangkan rancangan berhubung perjanjian pengunduran itu.

Britain dijangka meninggalkan Kesatuan Eropah pada 29 Mac 2019, tetapi syarat pengunduran masih lagi samar.

SUMBER: REUTERS

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Malaysia – UK tingkat kerjasama dua hala pendidikan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 JUN: Malaysia dan United Kingdom (UK) berhasrat untuk meluaskan lagi jaringan kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, pihaknya mahu penguatkuasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan tenaga pengajar bagi sektor kemahiran diperluaskan lagi di negara ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi UK ke Malaysia, Her Excellency Vicki Treadel di pejabatnya semalam.

“Kita akan memberi tumpuan dalam menyediakan latihan bahasa Inggeris kepada tenaga pengajar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kementerian juga berusaha untuk menambah peluang, memperbaiki kekurangan dan mengukuhkan kerjasama pintar antara kedua negara untuk dimanfaatkan tenaga pengajar dan pelajar juga rakyat,” katanya.

Dalam kunjungan itu juga, mereka turut membincangkan bilateral antara kedua negara dalam bidang pendidikan agar kekal berpanjangan.

Katanya lagi, sehingga kini, dianggarkan lebih 18,000 pelajar Malaysia sedang menyambung pengajian dalam pelbagai bidang termasuk di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di negara berkenaan.

=EZY=

Categories
GLOBAL

AS, Britain beri amaran, kempen serangan siber Russia

LONDON 17 APR: Britain dan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran semalam, penggodam ditaja kerajaan Russia menggodam perkakasan utama pihak berkuasa dan rangkaian komputer perniagaan seperti router dan firewall, memberi mereka kawalan aliran data maya.

Dalam satu kenyataan bersama, Washington dan London berkata, operasi itu dilakukan bagi menyokong pengintipan, mengekstrak harta intelek, mengekalkan akses tetap terhadap rangkaian mangsa dan berpotensi memberi asas untuk operasi serangan akan datang.

“Penggodam ditaja Russia menggunakan router dikompromi bagi menjalankan serangan sekali gus menyokong pengintipan, mengekstrak harta intelek, mengekalkan akses tetap terhadap rangkaian mangsa dan berpotensi memberi tapak kepada operasi serangan akan datang.

“Sesiapa sahaja yang mengawal infrastruktur laluan sesebuah rangkaian, pada akhirnya mengawal aliran data yang melalui rangkaian itu,” katanya.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS) berkata, godaman itu adalah sebahagian operasi meluas digelar Grizzly Steppe, yang dikatakan jabatan itu menumpukan serangan siber oleh agensi awam dan perisikan tentera Moscow.

Operasi menggodam router menyasar kedua-dua sektor kerajaan dan swasta serta penyedia utama infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan internet disediakan mereka.

Pengumuman itu dibuat dalam satu amaran bersama tidak dijangka, menekankan kerjasama lebih rapat antara kerajaan Barat berjuang menentang apa yang mereka katakan kempen berterusan, godaman pelbagai peringkat dan salah maklumat dalam talian oleh Moscow.

Amaran itu dikeluarkan Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Britain, DHS dan Biro Siasatan Persekutuan AS.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Czech tolak dakwaan jadi negara asal agen saraf

PRAGUE 18 MAC: Menteri Luar Czech, Martin Stropnicky semalam menafikan tuduhan Moscow bahawa agen saraf yang digunakan terhadap bekas ejen Russia dan anak perempuannya di selatan England datang dari Republik Czech.

Jurucakap kementerian luar negara Russia, Maria Zakharova memberitahu saluran TV 24 Rossiya bahawa sumber agen saraf Novichok adalah dari Britain sendiri atau Republik Czech, Slovakia, Sweden atau Amerika Syarikat.

Russia mengusir 23 diplomat British semalam sebagai langkah tindak balas terhadap London, yang menuduh Kremlin menyusun serangan agen saraf dan mengarahkan pengusiran jumlah diplomat Russia yang sama.

“Kami menolak dakwaan mengenai asal usul (toksin) yang tidak mempunyai bukti kukuh,” kata Stropnicky di Twitter rasminya.

Menteri Pertahanan Czech, Karla Slechtova, di akaun Twitter beliau menyifatkan cadangan bahawa toksin itu mungkin berasal dari Republik Czech sebagai ‘tidak masuk akal.’

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

KFC di Britain tak cukup ayam, DHL gagal hantar bekalan cukup

LONDON 20 FEB: Rangkaian restoran makanan segera Amerika Syarikat memaklumkan ratusan cawangannya di Britain terpaksa ditutup selepas pembekalnya, DHL dari Jerman gagal menghantar bekalan secukupnya.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan KFC berkata, lebih 700 daripada jumlah 900 cawangannya di seluruh Britain terpaksa ditutup, sejak hujung minggu sementara ada rangkaian hanya menawarkan menu terhad atau waktu operasi lebih singkat.

“Kami sudah mendapatkan rakan pembekal baharu, namun mereka ada beberapa masalah. Usaha menghantar ayam segar ke 900 restoran di seluruh negara ini agak kompleks.

“Kami tidak berkompromi dalam kualiti, justeru masalah penghantaran menyebabkan sejumlah restoran KFC ditutup dan ada yang beroperasi dengan menu terhad atau hanya dibuka untuk waktu singkat,” kata satu kenyataan KFC.

“Kami memahami ia menyebabkan masalah dan mengecewakan pelanggan yang mahukan ayam goreng sejak beberapa hari lalu. Kami memohon maaf.”

Dalam pada itu, DHL dalam satu kenyataan berasingan berkata pihak mereka sedang bekerja mengatasi masalah itu.

SUMBER: AFP

 

Categories
NASIONAL

Malaysia berisiko berlaku serangan pengganas

SHAH ALAM, 2 JAN: Malaysia tersenarai sebagai antara negara berdepan risiko berlaku serangan pengganas selain Indonesia Thailand dan Filipina.

Kementerian Luar United Kingdom (UK) dalam lamannya melaporkan negara lain termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Jerman dan Belgium.

Amaran itu dikeluarkan ke atas 225 negara khusus buat rakyat negara Eropah terbabit yang ingin mengunjungi Malaysia, pada 6 Oktober lalu dan dikemas kini, hari ini.

Memetik laporan Astro Awani, Pejabat Luar dan Komanwel (FCO) menasihatkan rakyatnya mengelak daripada berkunjung ke kawasan pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau, termasuk Lankayan, Mabul, Pom Pom, Kapalai, Litigan, Sipadan dan Mataking.

“Pengganas kemungkinan besar akan cuba melakukan serangan di Malaysia. Serangan boleh berlaku di mana sahaja, termasuk di tempat dilawati pelancong asing.

“Berhati-hati, pantau media tempatan dan ikuti nasihat pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Ia ekoran ancaman diterima terhadap risiko penculikan warga asing di pantai timur Sabah, terutama pulau berhampiran Kepulauan Sulu, di selatan Filipina.

Kes penculikan terakhir berlaku pada Mei 2015, membabitkan dua rakyat Malaysia diculik di Sandakan, dengan salah seorang daripadanya terbunuh.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor zahir harapan kerjasama erat Selangor-UK

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 12 OKT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan harapan tinggi untuk melihat kerjasama erat di antara Selangor dan pelabur United Kingdom (UK), kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, ia selaras dengan misi Selangor bergelar ‘regional smart state’ yang kini sedang giat dijayakan Kerajaan Negeri dan komponennya.

Katanya, Kerajaan Negeri juga bukan menumpukan sasaran Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment-FDI) sahaja tetapi optimis untuk menjadi pintu masuk utama pelabur ke pasaran Asia Pasifik.

“Kita berkumpul bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan antara kedua kerajaan tetapi juga menjayakan pertemuan perniagaan ke perniagaan ‘business to business’-B2B) di antara Selangor dan UK.

“Ia bagi mencari rakan strategik dalam penyelesaian digital dan ‘internet of things’ menerusi pelbagai platform,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam UK Mega Technology Mission to Malaysia, di Istana Selangor, di sini, pada 10 Oktober lalu.

Turut serta, Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor (Invest), Dato’ Hasan Azhari Idris.

Mohamed Azmin berkata, Invest sentiasa bersedia membantu pelabur UK untuk menjayakan pelan strategik mereka di Selangor.

“Saya percaya pelabur UK membuat pilihan tepat untuk datang ke Malaysia terutamanya Selangor bagi melihat peluang baru.

“Saya juga yakin kita bakal menyaksikan kerjasama jangka panjang di antara Selangor dan syarikat UK dalam masa terdekat,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Wujudkan kerjasama dengan syarikat besar UK

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan Negeri berbesar hati dan mengalukan lebih 70 delegasi United Kingdom (UK) melengkapkan Misi Mega Teknologi ke Malaysia menerusi Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, misi disertai pelabur penting UK itu mengintai peluang baru melebar perniagaan mereka khususnya dalam bidang teknologi tinggi.

Katanya, ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan Selangor sebagai ‘regional smart state’.

“Invest Selangor sebagai agensi Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan untuk memainkan peranan penting dalam melihat peluang baru ini.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dan komuniti bisnes Selangor dapat mengambil peluang ini untuk mewujudkan kolaborasi dengan syarikat besar daripada UK,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau mengetuai Kerajaan Negeri menyambut delegasi UK yang diketuai Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell, di Istana Selangor, semalam.

Turut serta, Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Mohamed Azmin berkata, pelabur menunjukkan respon positif dan keyakinan terhadap potensi Selangor sebagai hab pembangunan teknologi.

“Pelabur merasakan dasar ‘Internet of Things’ adalah tepat untuk menjayakan masa depan global yang memerlukan pendekatan baru bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi mampan di rantau ini,” katanya.

=EZY=

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

UK bakal uji konvoi lori tanpa pemandu

UNITED KINGDOM 26 OGOS: Britain bakal melaksanakan ujian ke atas projek konvoi lori tanpa pemandu di jalan raya utama di negara ini menjelang tahun depan.

Agensi Berita Antarabangsa BBC NEWS melaporkan, Makmal Penyelidikan Pengangkutan (TRL) Britain diberi tanggungjawab melaksanakan ujian itu.

Berdasarkan perancangan dilakukan, konvoi itu bakal melibatkan formasi tiga lori dan pergerakannya termasuk pe­utan dan brek dikawal sebuah kenderaan utama dipandu manual oleh manusia.

TRL akan melaksanakan ujian teknologi pada trek percubaan dan kesemua ujian ini di jangka dilakukan di jalan raya utama menjelang akhir 2018.

Kerajaan merancang projek berkenaan sejak 2014 dan mengumumkan untuk melaksanakan ujian percubaan pada tahun lalu sebelum menangguhkannnya berikutan beberapa usahawan lori Eropah menolak untuk menyertai projek tersebut.

Ujian lori tanpa pemandu sudah dijalankan di beberapa negara lain di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Jepun.

Bagaimanapun, pelaksanaan ujian berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam konteks keselamatan.

Presiden Persatuan Permotoran British AA, Edmund King berkata, semua pihak ingin mempromosi kaedah menjimatkan penggunaan petrol dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, namun tidak melihat lori tanpa pemandu sebagai jalan penyelesaian terbaik.

“Konvoi lori boleh menyebabkan pemandu lain tidak dapat melihat jalan raya dengan jelas, selain tidak sesuai dilakukan di jalan raya yang sibuk.

“Konvoi itu boleh dilakukan di jalan raya yang lengang dan panjang seperti di Arizona atau Nevada, namun ini bukan AS,” katanya.
SUMBER: AGENSI