Categories
AGENSI SELANGOR

Pembinaan Lebuhraya SUKE punca gangguan bekalan elektrik di Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerja pengorekan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenal pasti sebagai punca berlaku gangguan bekalan elektrik di Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana baru-baru ini.

Ketua (Operasi) Rangkaian Pembahagian TNB Mohd Yusof Ibrahim berkata siasatan awal TNB mendapati kerosakan pada kabel TNB berlaku pada 1 Feb telah dibaiki, namun kerosakan sama berulang di laluan kabel sama pada 2 dan 7 Feb lepas.

“Situasi tersebut memaksa TNB menyalurkan bekalan kepada pengguna melalui set jana kuasa bergerak sementara kerosakan kabel diperbaiki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, TNB menyerahkan notis arahan berhenti kerja dan tuntutan balik kos pembaikan serta akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Kami memohon kerjasama semua pihak yang menjalankan kerja pengorekan agar merujuk dengan TNB terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian seumpama berulang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata semakan awal boleh mengurangkan risiko kejadian kerosakan kabel bawah tanah TNB selain mengurangkan gangguan bekalan elektrik.

Katanya, pihak kontraktor boleh memaklumkan kerja pengorekan yang bakal dilakukan melalui portal ‘Call Before You Dig’ (www.cbyd.com.my), serta menyemak dengan pembekal utiliti mengenai saluran kabel atau paip di kawasan yang bakal dilaksanakan kerja pengorekan.

Untuk rekod, beliau berkata bagi lima minggu pertama tahun ini sahaja, lebih 45,000 pengguna TNB terkesan akibat kerja pengorekan pihak ketiga.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Pergerakan tanah masih aktif, penduduk usah khuatir – UPBN

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Penduduk kawasan berhampiran Taman Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa di sini yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh Sabtu lepas, tidak perlu bimbang walaupun pergerakan tanah di kawasan itu masih aktif.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata ini kerana pemantauan gerak cerun secara manual sejak dua hari lepas mendapati pergerakan tanah yang aktif mengikut kawasan berbeza.

“Pergerakan tanah ada berlaku tetapi penduduk tidak perlu bimbang kerana kawasan rumah yang lain berada dalam keadaan tidak berisiko berbanding kawasan rumah terjejas.

“Namun, kita akan mengambil langkah berjaga-jaga dan pemantauan dari semasa ke semasa akan dilakukan. Setakat ini, Majlis Perbandaran Ampang Jaya melalui kontraktor yang dilantik, telah menutup rekahan tanah dengan kanvas seluas 1,200 meter persegi bagi mengelakkan berlaku mendapan tanah,” katanya.

Ahmad Fairuz berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja baik pulih kawasan kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan itu, di sini hari ini.

Ahmad Fairuz berkata penanaman dinding besi bagi menahan pergerakan tanah di Sungai Sering juga dilaksanakan dan proses itu dijangka siap esok sebelum proses membaiki struktur anak sungai dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Proses baik pulih cerun ini akan memakan masa enam bulan untuk siap dan penduduk terjejas dinasihat mengosongkan rumah atas faktor keselamatan ,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata tujuh anggota akan memantau dan berkawal dalam tempoh dua minggu ini bagi memastikan kawasan kejadian dan rumah penduduk selamat.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati masih ada penduduk yang terjejas pulang ke rumah untuk mengambil barang selepas diarah mengosongkan rumah susulan kejadian tanah runtuh tersebut.

Difahamkan penduduk hanya boleh mengambil barang di rumah tetapi tidak boleh mendiami rumah mereka dalam tempoh dijangka enam bulan susulan kerja baik pulih yang dijalankan di kawasan itu.

Sabtu lepas, tujuh rumah teres dua tingkat di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay di sini, terjejas oleh kejadian tanah runtuh di bahagian belakang kediaman terbabit menyebabkan 32 orang daripada enam keluarga diarah meninggalkan rumah masing-masing.

Mereka kini ditempatkan di Hotel De Palma, Ampang selama seminggu sebelum mencari kediaman lain.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang RM550,000 kepada surau dan masjid di Ukay Perdana

OLEH NAZLI IBRAHIM

BUKIT ANTARABANGSA, 9 FEB: Kerajaan Negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menghulurkan sumbangan bernilai RM550,000 kepada 11 surau dan masjid, di Ukay Perdana.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sumbangan itu digunakan untuk membiayai kerja baik pulih surau dan masjid terbabit.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja memastikan pertumbuhan ekonomi dan kewangan kita berkembang tetapi bertanggungjawab mengimbanginya dengan pembangunan kerohanian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa itu berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Surau Dan Masjid Serta Solat Jumaat, di Masjid Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan tanpa disertakan pembangunan kerohanian akan menyebabkan pembangunan sesebuah negara atau negeri menjadi tempang.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menumpukan pembangunan membabitkan institusi pendidikan seperti sekolah agama di Bukit Antarabangsa selain sumbangan untuk masjid dan surau.

Sementara itu, dalam lawatan kerja sama, Mohamed Azmin turut diberi taklimat berhubung pembangunan prasarana lain seperti jejantas, jalan raya dan lebuhraya East Klang Valley Exspressway (EKVE).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bekalan Air Terawat Masih Mencukupi – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 04072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Air Selangor, Datuk Khusrin Munawi menyangkal dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bahawa rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air berada pada tahap membimbangkan.

2. Susulan kejadian tebing runtuh di tapak pembinaan Sierra Garden, Ukay Perdana pagi semalam, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk mengeluarkan notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan dengan serta merta.

3. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan penduduk Blok E PJS 1 sejurus selesai persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijangka tamat pada minggu hadapan.

4. Kerajaan Negeri akan memikirkan cara holistik bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasi masalah kebanjiran premis judi di sekitar Selangor.

5. Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk membangunkan semula rumah-rumah rakyat yang sudah usang (Urban Renewal).

6. Kawasan-kawasan Parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat hanya akan mendapat peruntukan antara RM0.3 juta hingga RM0.5 juta manakala kawasan BN akan diberikan RM1 juta hingga RM1.5 juta.

7. Pakatan Rakyat mengemukakan usul untuk merujuk Ahli Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Meng ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen atas kenyataan yang mendakwa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki wang ratusan juta ringgit di akaun bank luar negara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Ukay Perdana Puas Hati Prestasi PR

Saari Sungib

HUKU KLANG 28 APRIL: Penduduk Ukay Perdana yang ditemui melahirkan rasa puas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Mereka juga mengharapkan wakil rakyat yang akan dipilih nanti dapat mengekalkan prestasi sekarang dan berharap ia dapat dipertingkatkan dalam beberapa perkara berbangkit.

Bagi Khaizir Irwan Nordin, beliau berpuas hati dengan tahap keselamatan di kawasan ini selain mengharapkan masalah jalan dapat dipertingkatkan.Khaizir Irwan Nordin

“Setakat ini semua okey, kes-kes (jenayah) pun tidak banyak.

“Di sini masalah yang kita nampak adalah jalan walaupun ada perlu dinaik taraf.

“Dari segi sampah pula tiada masalah memandangkan saya tinggal di Apartment Sri Putri semua mengikut jadual,” jelasnya.

Manakala Abdul Malik Mohamed Ibrahim berkata, secara keseluruhan beliau puas hati dan mengharapkan keadaan ini dapat dikekalkan.

Beliau menyarankan agar peniaga-peniaga diberi ruang perniagaan yang lebih bersistematik berbanding sekarang yang agak berselerak.

“Ruang perniagaan yang berselerak ini menyebabkan sistem pengurusan sampah agak bermasalah,”katanya.

Sementara itu, penyandang DUN Hulu Kelang, Saari Sungib dalam reaksi awal menjelaskan, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyediakan hampir 400 unit tong sampah terutama di kawasan komersil.

Apa yang penting katanya, sistem pemantauan kutipan secara terus perlu dibuat oleh MPAJ agar ia lebih berkesan.

Beliau turut mengharapkan agar pihak MPAJ dapat mempertingkatkan harga kontrak projek kebersihan dan membaik pulih infra memandangkan ada segelintir kontraktor berhadapan masalah kekurangan peralatan serta pekerja untuk melaksanakan tugas.

Categories
SELANGOR

Safety Riding DUN Hulu Klang Bagi Menyelamatkan Nyawa

HULU KELANG 21 OKT: Ancaman kemalangan kepada penunggang motosikal khususnya golongan belia, menjadi dorongan kepada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Zon 4  di Ampang untuk menganjurkan program ‘Safety Riding’.

Pengerusi PeBT Zon 4, Muthanna Saari berkata, program ini mengajar belia tentang teknik-teknik membawa motosikal dengan betul dan mencegah kemalangan.

“Program ini memberi peluang kepada golongan belia di kawasan ini mengetahui cara-cara mengawal motosikal dalam waktu kecemasan bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya yang sering menimpa penunggang motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program itu di Tapak Pasar malam di Ukay Perdana petang semalam.

Program kerjasama Alternative Riding Club (ARC) dan Pusat Khidmat DUN Hulu Kelang turut menyediakan pelbagai aktiviti dan pertandingan khusus bagi belia dan penduduk di sini.

Antaranya perkhidmatan menukar minyak hitam motosikal secara percuma, demonstrasi teknik penunggangan selamat oleh bekas penunggang Cub Prix Malaysia Hamizan Ahmad, pertandingan motosikal tercantik dan pertandingan motosikal perlahan.

Turut hadir bagi menyaksikan program ‘Safety Riding’ ini ialah ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan kira-kira 300 belia dan penduduk kawasan Ukay Perdana.

Bagi golongan belia yang hadir, rata-ratanya tidak mengetahui cara-cara mengendalikan motosikal dengan betul dan program ini banyak membantu mereka.

Faizal Rozali, 20, berpendapat program dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti berfaedah di hujung minggu sebaliknya mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial.

“Saya dapat menukar minyak hitam secara percuma dan mempelajari perkara penting bagi setiap penunggang motosikal melalui demonstrasi yang dilakukan oleh ahli ARC ini,” katanya yang tinggal di Taman Keramat.

Bagi Firdaus Aziz, 23, beliau merasakan program seperti ini perlu diteruskan di tempat lain kerana terdapat pelbagai manfaat.

Katanya, selain penerangan mengenai motosikal, golongan belia dapat bersantai dan merapatkan hubungan bersama rakan-rakan lain.

“Program ini bercirikan hiburan yang ringan dan dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah bagi golongan muda untuk beriadah secara sihat bersama rakan-rakan lain,” katanya yang tinggal di Taman Melati, Gombak.

Dalam pada itu, Saari berkata, minat golongan belia terhadap sesuatu perkara seperti menunggang motosikal tidak perlu disekat tetapi hendaklah disalurkan melalui cara yang sihat.

“Kita tidak perlu sekat minat golongan ini dan sentiasa memberi galakan dan penerangan dari semasa ke semasa bagi mencegah perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan motosikal,” katanya.