SHAH ALAM, 8 MAC: Hari ini merupakan ulang tahun keputeraan yang ke-95 ayahanda DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang merupakan Sultan Selangor kelapan diputerakan pada 8 Mac 1926 di Istana Bandar Temasya, Kuala Langat.
“Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor pada 3 September 1960, ditabal dan dimahkotakan sebagai sultan pada 26 Jun 1961 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj pada 1 September 1960.
“Pada 23 September 1999, menerusi sistem penggiliran, baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-11,” menurut Selangor Royal Office di Facebook.
Menurutnya lagi, Sultan Salahuddin mangkat pada 21 November 2001 di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur pada usia 75 tahun berikutan masalah jantung.
“Ketika mangkat, baginda masih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan kemangkatan baginda ditangisi segenap lapisan masyarakat di Malaysia,” katanya.