Categories
PBT SELANGOR

MBSJ: Kongsi ucapan pendek, hadiah wang tunai menanti

SHAH ALAM, 23 OKT: Penduduk Subang Jaya dipelawa menyertai pertandingan video pendek bagi menzahirkan ucapan sempena ulang tahun pertama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) diisytihar sebagai bandar raya.

Menerusi Facebook, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan hadiah wang tunai sehingga RM1,800 ditawarkan dan peserta boleh mula sertai sejak 20 hingga 29 Oktober ini.

“Ekspresikan ucapan ulang tahun pertama MBSJ secara paling kreatif dan ungkapkan keunikan mendiami bandaraya ini dalam satu video pendek berdurasi tidak melebihi dua minit.

“Penyertaan adalah terbuka kepada seluruh komuniti Bandaraya Subang Jaya. Hadiah wang tunai yang lumayan menanti anda!,” kata kenyataan itu.

Hadiah pertama sebanyak RM500 ditawarkan manakala tempat kedua (RM400), tempat ketiga (RM300) dan tiga hadiah saguhati sejumlah RM200 kepada setiap peserta.

Setiap penyertaan perlu dimuat turun ke akaun media sosial dan peserta diwajibkan tag akaun rasmi MBSJ antaranya Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya, Instagram dan Twitter @sjcitycouncil serta tanda pagar #ucapanmbsjsetahun

Imbas kod QR yang tertera di poster untuk mengetahui syarat pertandingan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rai ulang tahun pertama, Seldec tawar hadiah termasuk iPhone 12

SHAH ALAM, 22 JUN: Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk iPhone 12 kepada pelanggan sempena sambutan ulang tahun pertamanya esok.

Pengurus besar pembangunan perniagaannya berkata pemenang merupakan pembeli di portal e-dagang tersebut antara 16 April hingga 31 Mei lalu yang ditentukan menerusi cabutan bertuah.

“Esok kita akan pilih 50 pembeli bertuah yang menerima wang tunai berjumlah RM100 seorang. Mereka merupakan pembeli nilai barangan RM50 ke atas.

“Pusingan kedua akan dilakukan dalam masa terdekat dengan menawarkan iPhone 12 sebagai hadiah utama selain barangan elektrik,” kata Mohd Fauzan Elham dalam rancangan Bual Bicara Seldec: Platform Bantu Peniaga Selangor hari ini.

Beliau berkata senarai pemenang diumumkan jam 9 malam menerusi program maya yang disiarkan di Facebook Seldec.

“Kami akan terus membangunkan platform e-dagang ini dengan lebih hebat bagi membantu orang awam terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Pada Oktober 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelancaran Seldec bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

Bagaimanapun program mula berjalan sepenuhnya pada Jun tahun lalu bagi memasarkan hasil tani, produk usahawan kecil dan barangan basah secara meluas.