Categories
NASIONAL

MBB kutuk kekejaman, gesa PBB segera atasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Belia Malaysia (MBB) mengutuk kekejaman tentera Myanmar ke atas umat Islam Rohingya dalam konflik terbaharu wilayah Rakhine, sejak 25 Ogos lalu.

Presidennya, Muaamar Ghadafi Jamal Jamaluddin berkata, siri kezaliman berkenaan semakin memuncak apabila lebih 400 rumah dibakar, etnik Rohingya diburu, diseksa dan dibunuh kejam.

Katanya, jenayah kemanusiaan itu memerlukan perhatian segera dunia sekaligus menyeru seluruh rakyat Malaysia bangkit mengutuk kekejaman itu.

ROHINGNYA 1“Dijangkakan hampir 125,000 etnik Rohingya terpaksa keluar meninggalkan Myanmar ke Bangladesh dalam masa kira-kira dua minggu kebelakangan ini.

“Kegagalan kerajaan Myanmar menghentikan segala kekejaman ini ke atas etnik Rohingya menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakatnya antarabangsa tentang keikhlasan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Aung San Suu Kyi,” katanya dalam kenyataan.

Muaamar berkata, MBM menyeru agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan sidang khas secepat mungkin bagi membincangkan penyelesaian terbaik.

“Kita desak supaya PBB segera memanggil wakil kerajaan Myanmar dan wakil etnik Rohingya dalam satu sidang khas bagi menyelesaikan konflik berdarah ini secepat mungkin.

“Jenayah penghapusan etnik di wilayah Rakhine itu tidak ubah seperti jenayah perang yang dilakukan puak Serbia ke atas umat Islam di Bosnia pada awal 1990-an lalu,” katanya.

IMEJ SATELITTerbaru, kira-kira 700 rumah yang didiami etnik Rohingya musnah dibakar oleh tentera Myanmar menerusi imej satelit terbaru.

Dalam imej itu, menunjukkan sebuah perkampungan musnah akibat dibakar dalam insiden keganasan terbaru di Rakhine.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) mendakwa tentera Myanmar sengaja membakar seluruh kampung Cheir Khar Li yang didiami penduduk Islam Rohingya pada minggu lalu untuk menutup pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan ke atas etnik minoriti itu.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Perlu Proaktif Bantu Umat Islam Di Myanmar

KUALA LUMPUR, 16 OKT : Kerajaan Pusat digesa mengambil pendekatan proaktif dalam menangani masalah kemanusian yang berlaku kepada umat Islam di Myanmar.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dalam masa yang sama Pakatan Rakyat (PR) mengalu-alukan perjanjian damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina.

Sebelum ini, Kerajaan Filipina dan MILF menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi di Istana Malacanang di Manila bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.

“Semoga segala perjanjian yang ditandatangani itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama pimpinan tertinggi PR di Parlimen.

Beliau berkata, jika kerajaan boleh berperanan dalam membantu masalah di Filipina maka ia bukan masalah untuk mengambil pendekatan sama terhadap penyelesaian umat Islam di Myanmar yang terlibat dalam persengketaan konflik untuk diselesaikan secara aman.

“Kita mahu juga diberi perhatian masalah di Selatan Thailand untuk diadakan perdamaian,” katanya.

Abdul Hadi juga mendesak agar kerajaan memainkan peranan dan fungsinya dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi membela nasib umat Islam di sana.