Categories
AGENDA NASIONAL

Bermula kecil-kecilan, kini pes oden raih jualan enam angka

KOTA BHARU, 6 MEI: Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan menjual pes oden keluaran sendiri di tapak gerai kampus, dua pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini tersenyum lebar apabila hasil jualan yang diperoleh mereka sudah mencecah enam angka.

Lebih membanggakan, perniagaan produk perencah untuk makanan popular berasal dari Jepun yang diusahakan penuntut Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Wan Azehan Helmi Wan Abdul Halim, 24, dan Imer Jibril Mohd Nasir, 24, sejak awal tahun lepas itu turut menembusi pasaran antarabangsa.

Wan Azehan Helmi berkata pada mulanya mereka hanya berniaga pes itu yang menggunakan resipi olahan sendiri dan disajikan bersama bebola ikan, isi ketam, sosej dan lain-lain, di gerai ketika berada di kampus.

“Idea untuk berniaga oden timbul apabila makanan tersebut seakan menjadi trend ketika itu dan digemari dalam kalangan pelajar, bagaimanapun penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ketiadaan pelajar di kampus membuatkan kami terfikir untuk mengkomersialkan pes oden ini secara dalam talian pada April tahun lepas.

“Alhamdulillah, strategi pasaran dalam talian menerusi Facebook dan Instagram membuahkan kejayaan apabila kami mampu meraih hasil jualan sekitar RM500 dalam tempoh sebulan dan kini mencecah RM100,000,” katanya ketika ditemui pemberita di kedai King Oden miliknya di Jalan Salor Lama, di sini.

Bercerita lanjut, Wan Azehan Helmi berkata pada awal perniagaan, pes oden dengan jenama King Oden itu diproses secara manual di rumah, namun kini pemprosesan dilakukan di kilang mereka di Bachok yang beroperasi sejak Mac lepas.

“Pelbagai teknik pemasaran dan jualan kami lakukan, termasuk mengambil kira-kira 10 orang ejen yang terdiri daripada pelajar UMK bagi memberikan mereka pendapatan sampingan.

“Kini kami mempunyai 500 ejen di seluruh negara, malah pes oden ini juga turut mendapat permintaan daripada pelanggan di luar Malaysia termasuk di Indonesia,” kata penuntut tahun akhir itu.

Menurut Wan Azehan Helmi, mereka yang kini memiliki lapan pekerja, mampu mengeluarkan dan memasarkan kira-kira 30,000 hingga 40,000 pek pes oden sebulan yang ditawarkan dalam tiga perasa iaitu asli, lebih pedas dan asam laksa, berharga RM10 setiap pek dan boleh bertahan hingga lapan bulan.

“Kami berharap kejayaan yang dikecapi ini memberi inspirasi kepada lebih ramai lagi pelajar di luar sana untuk menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan,” katanya yang menyasarkan hasil jualan RM1 juta menjelang akhir tahun ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

UMK kuarantin pelajar dari Sabah, zon merah

KOTA BHARU, 5 OKT: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan bangunan khas sebagai pusat kuarantin pelajar dari Sabah dan zon merah Covid-19 bagi membendung penularan wabak dalam kalangan pelajar baharu sesi 2020/2021 yang tiba awal di kampus.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata mereka akan dikuarantin selama dua minggu selepas menjalani ujian swab oleh Kementerian Kesihatan.

“Bagi pelajar dari kawasan lain, pihak universiti memberi dua pilihan kepada mereka, sama ada kembali ke kampung halaman masing-masing selepas mendaftar atau menetap di kolej kediaman dengan mengikut tatacara operasi piawai yang ditetapkan,” katanya pada sidang media mengenai kemasukan pelajar baharu di Galeri Pembangunan Kampus Kota, Pengkalan Chepa semalam.

Menurutnya, seperti mana saranan Kementerian Pengajian Tinggi, pihak UMK juga menjalankan pendaftaran secara dalam talian dan pandu lalu.

“UMK juga telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian yang telah dilaksanakan sejak 2015 selain pengalaman semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama pada Mac lalu,” katanya.

Menurutnya platform eCampus UMK 2.0 juga mampu menampung penggunaan hingga 10,000 pelajar pada satu-satu masa.

“Mereka juga akan dapat bimbingan daripada Task Force eLearning termasuk modul pembelajaran dan sebagainya yang tidak akan mengganggu kualiti pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Noor Azizi berkata bagi sesi 2020/2021, seramai 3,192 termasuk 150 dari Sabah bersetuju menerima tawaran belajar di UMK daripada 3,780 yang ditawarkan.

“Setakat tengah hari tadi, 65 peratus telah mendaftar secara dalam talian dan hanya dua peratus telah mendaftar secara fizikal,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyelidik UMK cipta sistem saringan integrasi tanpa sentuh

BACHOK, 13 JULAI: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menghasilkan produk inovasi membolehkan proses saringan suhu di pintu masuk utama universiti itu dilakukan tanpa sentuh dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UMK Dr Abdul Hafidz Yusoff berkata sistem integrasi yang dinamakan ‘UMK V-Integrated Screening System’ atau UMK-VISS itu dibangunkan oleh penyelidik dari Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), diketuai Dr Sarizam Mamat.

“Jika sebelum ini khidmat pengawal diperlukan bagi menyukat suhu, tetapi dengan penggunaan inovasi yang dihasilkan ini, membolehkan warga UMK hanya perlu melalui UMK-VISS dan bacaan suhu akan dipaparkan di skrin.

“Sekiranya suhu melebihi 36.5 darjah Celsius, buzzle akan berbunyi dan individu berkenaan tidak dibenarkan masuk ke dalam kampus UMK,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Produk inovasi itu, katanya mengggabungkan tiga elemen utama dalam satu sistem iaitu pengecam muka, pemeriksaan suhu badan dan cecair pembasmi kuman automatik.

Ia mampu melancarkan proses saringan kesihatan selaras dengan kemasukan pelajar UMK yang akan memulakan pengajian semula pada Oktober nanti selain dapat mengurangkan kontak antara manusia.

Beliau berkata, sistem pembasmi kuman automatik yang ada pada produk itu akan mengeluarkan cecair apabila diletakkan tapak tangan dan ini dapat mengelakkan jangkitan melalui sentuhan tangan ketika proses mensanitasi tangan.

“Warga UMK tidak perlu lagi memicit botol menggunakan tangan, sebaliknya sistem ini akan mengeluarkan cecair pembasmi kuman yang dihasilkan sendiri oleh penyelidik UMK berpandukan piawaian dan formulasi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Bagaimanapun, pada masa yang sama semua langkah pencegahan lain seperti penjarakan sosial, kerap membasuh tangan, pemakaian pelitup muka, menjauhi kawasan sesak tetap perlu diamalkan oleh semua staf semasa bertugas di pejabat,” katanya.

Katanya, selain sebagai persediaan untuk saringan kepada kemasukan pelajar UMK, alat saringan kesihatan ini juga dilihat amat sesuai untuk ditempatkan di lokasi lain yang berisiko, termasuk hospital, klinik-klinik kesihatan, balai polis dan jabatan kerajaan yang lain.

-BERNAMA