Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja bantu majikan ambil pekerja berkualiti, tingkat operasi

HULU LANGAT, 13 NOV: Inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan program Jelajah Selangor Bekerja 2021 membantu majikan menggajikan bakal pekerja berkualiti dalam membantu memulihkan operasi yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

Pegawai pengambilan pekerja Safeguards G4S Sdn Bhd berkata pembukaan lebih banyak sektor ekonomi pada masa kini memerlukan syarikat mencari lebih ramai pekerja untuk menampung keperluan operasi syarikat.

Menurut Ummar Mohd Nasir, ramai peserta yang hadir pada program itu mempunyai kelayakan dan memberi pilihan kepada syarikat memilih yang terbaik.

“Setakat ini kami sudah menawarkan pekerjaan kepada 15 individu dalam tiga jelajah program dan berharap dapat mengambil seramai mungkin untuk menampung operasi.

“Gaji ditawarkan sehingga RM2,600 yang turut termasuk elaun, untuk mereka tiada pengalaman kami akan sediakan latihan,” katanya.

Ummar berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Demesne di Bandar Baru Bangi, Hulu Langat hari ini.

Sebanyak 31 majikan menawarkan lebih 1,000 pekerjaan pada program itu.