Categories
AGENDA NASIONAL

Elak terpedaya pakej tawar giliran haji awal

IPOH, 20 NOV: Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan berkaitan pakej haji, umrah dan badal haji yang menawarkan giliran lebih awal untuk menunaikan ibadah haji, khususnya ketika aktiviti rentas negara dibenarkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata jika aktiviti penipuan itu tidak dibanteras dan ditangani, ia dikhuatiri akan memperdayakan bakal jemaah dan pendeposit di Tabung Haji (TH) sehingga kerugian sejumlah wang yang besar.

“Penipuan ini biasa, bukan TH sahaja terkena, ada yang libatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pesara kerajaan yang dapat pencen dan lain-lain. Seelok-eloknya kena dengar pengumuman rasmi TH (tentang giliran menunaikan haji).

“Perkara ini membimbangkan bukan sahaja dari aspek pengoperasiaan tetapi juga untuk jemaah dan pendeposit. Kita selalu uar-uarkan perkara ini di semua platform iaitu kita tidak memberi tawaran badal haji dan tawaran haji kecuali melalui giliran seperti sebelum ini.

“Kalau ada yang kata masukkan duit, bagi nama, itu tidak betul. Panggilan tawaran haji biasanya kita buat disusuli dokumen, bukan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan bantuan zakat di bawah Program TH Prihatin 2021 Perak kepada peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada aktiviti penipuan membabitkan tawaran ke Tanah Suci, Makkah yang menggunakan aplikasi WhatsApp kononnya bakal jemaah atau pendeposit akan mendapat giliran lebih cepat tanpa perlu menunggu panggilan daripada TH, setelah membayar sejumlah wang.

Idris berkata sehubungan itu, bakal jemaah dan pendeposit yang ada menerima mesej mengenai tawaran mengerjakan ibadah itu daripada aplikasi tersebut diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa dan TH untuk tindakan seterusnya.

“Elok buat laporan agar TH boleh kesan nombor telefon dan identiti (dalang penipuan),” katanya dan menambah laporan boleh dibuat dengan menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 0362071919.

Dalam pada itu, ditanya mengenai status Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH, Idris berkata senarai keanggotaan membabitkan tujuh individu telah diputuskan dan disiapkan semalam untuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong Jumaat depan.

Menurutnya, jika diperkenankan, RCI ini tidak akan mengganggu gugat pengoperasian, urusan deposit dan segalanya yang membabitkan TH ketika ini kerana ia diwujudkan bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan badan tersebut antara 2014 hingga 2020.

Penubuhan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) pada Julai lepas bertujuan membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jemaah umrah boleh dapatkan visa melalui aplikasi telefon

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kebenaran bagi jemaah dari luar Arab Saudi untuk mendapatkan visa melalui aplikasi telefon “Eatmarna” dan “Tawakkalna”.

Menurut Twitter rasmi kementerian itu, jemaah juga boleh mendapatkan kebenaran untuk menunaikan solat di Masjidil Haram dan menziarahi Masjid Nabawi melalui kedua-dua aplikasi berkenaan, selepas mendaftar melalui platform “Quddum” sebaik tiba di Arab Saudi.

“Bagi mempermudah urusan tetamu al-Rahman, kini jemaah dari luar Arab Saudi boleh mendapatkan visa umrah menerusi aplikasi “Eatmarna” dan “Tawakkalna” yang disediakan pada platform Google Play, App Store, App Gallery, Galaxy Store”,” menurut kementerian itu.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kementerian menyatakan kebenaran ini bagaimanapun terhad kepada jemaah yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi, selain mereka yang mendapat pengecualian seperti tertera pada aplikasi “Tawakkalna”.

Sementara itu, bagi pemegang visa umrah yang belum lengkap dua dos vaksin pula diminta untuk segera mendapatkan suntikan dos kedua dalam masa 48 jam di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di negara berkenaan.

Syarat-syarat ini ditetapkan demi memelihara kesihatan jemaah seperti mana ditetapkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua tahun tertangguh, pelakon Ashraf Muslim antara 11 terawal tunai umrah

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Impian 11 jemaah Malaysia menunaikan ibadah umrah akhirnya tercapai selepas tertangguh hampir dua tahun susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Arab Saudi sehingga memaksa penutupan pintu sempadan.

Jemaah tersebut yang merupakan kumpulan pertama berpeluang mengerjakan umrah selepas kebenaran diberikan kepada rakyat Malaysia berkuat kuasa 18 Oktober lepas, meluahkan rasa gembira dan teruja kerana tidak menyangka akan dijemput awal ke tanah suci Makkah dan Madinah.

Berkongsi pengalaman itu, pelakon Ashraf Muslim, 40, yang kini berada di Tanah Suci, berkata beliau telah mempersiapkan diri bagi menjalani ibadah tersebut dengan norma baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Kita sendiri sudah terbiasa dengan peraturan SOP di Malaysia. Walaupun di sini (Arab Saudi) ada SOP tertentu, ia banyak membantu jemaah dalam konteks umrah dalam norma baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ashraf yang telah menunaikan ibadah haji pada 2019 serta berpengalaman beberapa kali menjejakkan kaki di tanah suci sebelum pandemik Covid-19, turut berkongsi berkenaan penggunaan aplikasi Eatmarna yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi bagi memudahkan urusan beribadah dan membolehkan jemaah membuat tempahan tempat lebih awal.

Jelasnya aplikasi itu digunakan bagi membuat tempahan tempat termasuk untuk menunaikan solat lima waktu di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, menziarahi kawasan Raudah dan makam Nabi Muhammad SAW selain membantu pemantauan keselamatan serta melancarkan pendaftaran jemaah.

“Umpamanya kalau masuk ke kawasan Raudah, dulu sebelum ada SOP kita akan bersesak dengan bilangan jemaah yang ramai, tapi dengan aplikasi Eatmarna dapat mengawal jumlah jemaah dalam satu-satu masa.

“Kalau tidak buat tempahan awal kita tidak dibenarkan solat dan perlu menunggu tempahan baharu dibuka,” katanya.

Bagi perunding kewangan Nurfadzilah Abd Rahim, 38, yang lama menyimpan hasrat menunaikan ibadah umrah tidak menyangka pengalaman kali pertamanya mengerjakan ibadah itu dijalani dengan pematuhan SOP.

Nurfadzilah yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata pemakaian pelitup muka diwajibkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi manakala solat berjemaah kini pada kapasiti penuh dan tiada lagi penjarakan fizikal.

“Perasaan saya bercampur baur antara sedih dan gembira, niat mahu bercuti selepas rentas negara dibenarkan tapi Allah jemput saya ke sini dulu (tanah suci),” katanya.

Turut berkongsi perasaan sama, Shafwan Ramli, 27, yang menyifatkan peluang tersebut sebagai rezeki berganda memandangkan ia bukan sahaja kunjungan kali pertamanya ke Tanah Suci, malah menjadi antara rakyat Malaysia terawal dapat menunaikan umrah selepas lama ditutup kerana wabak Covid-19.

“Saya dapat tawaran mengerjakan umrah ini agak cepat apatah lagi ini pengalaman pertama saya, jadi pengetahuan dan persediaan itu tidak banyak. Alhamdulillah menerusi bimbingan mutawif segala urusan telah dipermudahkan,” katanya yang turut teruja berpeluang solat bersebelahan makam Nabi Muhammad SAW.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu penerima Sinovac dapatkan dos penggalak bagi tunai umrah

SHAH ALAM, 20 OKT: Lembaga Tabung Haji memohon kerajaan membantu penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak bagi membolehkan mereka menunaikan umrah.

Ia berikutan kerajaan Arab Saudi hanya memperakui dan membenarkan kemasukan jemaah yang mengambil suntikan Pfizer dan AstraZeneca, kata ketua pegawai eksekutif TH Travel and Services Sdn Bhd.

“Mewakili jemaah umrah, saya mengharapkan pertimbangan pihak berwajib atas ruang yang ada bagi membolehkan mereka (penerima vaksin Sinovac) mendapat dos penggalak.

“Isu vaksinasi menyebabkan mereka tidak layak dan gagal menetapkan tarikh menunaikan umrah kerana masih tertunggu kebenaran Arab Saudi,” kata Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata ramai individu berusia bawah 60 tahun berhasrat menunaikan umrah tetapi tidak memenuhi kelayakan kerana keutamaan dos penggalak untuk berstatus komorbid atau berisiko tinggi.

“Kerajaan ada pilihan lain, mungkin mempertimbang ruang kepada swasta dan bayar dengan harga munasabah untuk pemberian dos penggalak,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia meluluskan dos penggalak vaksin Pfizer membabitkan warga emas dan petugas hadapan yang menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.

Setakat semalam, sebanyak 32,121 dos penggalak vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahir guna telefon pintar mudahkan urusan di Mekah

SHAH ALAM, 20 OKT: Mahir menggunakan telefon pintar antara persediaan yang perlu dibuat bakal jemaah selain mematuhi syarat menunaikan umrah.

Ia berikutan hampir setiap pergerakan di Mekah menggunakan aplikasi untuk mendaftar masuk, kata
ketua pegawai eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd.

Aktiviti termasuk tawaf dan solat fardu di masjid yang memerlukan jemaah menunjukkan permit serta kad vaksinasi pada telefon masing-masing, jelas Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali.

“Kali ini banyak aktiviti di sana memerlukan penggunaan aplikasi, paling tidak pun para jemaah mesti ada peranti telefon pintar sendiri.

“Daripada segi penggunaannya, mungkin perlu dirujuk kepada orang yang lebih muda sekiranya tidak tahu menggunakan telefon,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk memilih ejen pelancongan berlesen dan berdaftar dengan pihak berwajib bagi mengelakkan ditipu.

“Pilihlah yang ada lesen, kemudian kita perlu tengok penerbangan terus kerana gelembung perjalanan ini tidak boleh ada transit di mana-mana,” kata Ahmad Ruzman.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tetapkan kos minimum ibadah umrah RM6,900

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan harga lantai RM6,900 kepada syarikat pengendali umrah berlesen untuk mengerjakan umrah bagi 12 hari 10 malam.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan itu dibuat selaras dengan perkembangan semasa iaitu peningkatan kos mengerjakan umrah memandangkan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) di pihak Arab Saudi dan pihak kerajaan Malaysia.

“Harga lantai akan disemak semula apabila wabak Covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal dengan kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“Harga ini juga merupakan panduan bagi pihak kementerian dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah manakala orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan dalam memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOTAC antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus daripada jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian calitan Covid-19.

Kenyataan itu memaklumkan MOTAC telah berbincang bersama persatuan-persatuan terlibat bagi menetapkan harga lantai umrah dengan penetapan kali terakhir harga adalah pada 2017 dengan paras RM4,900.

MOTAC sehubungan itu mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya mendapati harga ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang ditetapkan bagi mengelak kes penipuan pakej umrah dan menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman sesawang rasmi kementerian untuk mengenal pasti syarikat-syarikat dilesenkan.

Menurut kenyataan itu, sebagai inisiatif menangani kes-kes penipuan pakej umrah, kementerian itu turut mewajibkan mana-mana syarikat pengendali umrah berlesen untuk memohon kebenaran bagi mengiklankan promosi umrah.

Perkara itu selaras Peraturan 6(1A)(a) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang menyatakan ‘pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan’.

“Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan Nombor Siri Khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan-iklan yang akan dipromosi. Ini bertujuan untuk membantu kementerian mengenal pasti iklan-iklan haram pakej umrah,” menurut kenyataan itu dengan menambah sehingga kini MOTAC telah menerima 31 permohonan iklan.

Borang permohonan iklan pakej umrah boleh dimuat turun daripada laman sesawang rasmi kementerian di www.motac.gov.my.

MOTAC memaklumkan berdasarkan sesi libat urus dengan persatuan pengendali umrah, persatuan terlibat memahami dan menyokong inisiatif yang dilaksanakan MOTAC demi memelihara kepentingan Keluarga Malaysia serta pemain industri umrah itu sendiri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi iktiraf Sinovac, penerima vaksin boleh tunai haji, umrah

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Kerajaan Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi memasuki negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata orang ramai boleh menyampaikan berita gembira itu kepada ahli keluarga yang berniat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah pada masa akan datang.

“Sama-Sama kita doakan urusan jemaah haji Malaysia yang diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi beliau.

Zulkifli turut berkongsi pautan ke laman sesawang Kementerian Kesihatan Arab Saudi https://eservices.moh.gov.sa untuk rujukan permohonan masuk ke negara itu.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Arab Saudi kini mengiktiraf enam jenis vaksin bagi Covid-19 iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Janssen, Sinopharm dan Sinovac.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi dilaporkan membuat ketetapan hanya jemaah yang menerima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca dibenar menunaikan haji sekali gus menimbulkan keresahan rakyat Malaysia yang menerima vaksin Sinovac.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Individu tunai umrah tanpa permit berdepan denda RM11,000

SHAH ALAM, 9 APRIL: Individu memasuki Mekah untuk menunaikan umrah di Masjidil Haram tanpa permit sah pada bulan Ramadan berdepan denda sebanyak SR10,000 (RM11,015).

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi berkata peraturan baharu itu dilaksanakan hingga berakhirnya pandemik dan kehidupan masyarakat kembali normal, lapor Berita Harian.

“Individu yang memasuki Mekah untuk menunaikan solat di Masjidil Haram tanpa permit perlu membayar denda SR1,000 (RM1,100),” kata kementerian itu.

Tambahnya, orang awam dan ekspatriat boleh mendapatkan permit menunaikan umrah dan solat di tempat suci itu melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Sebelum ini, Arab Saudi dilaporkan bersedia untuk menerima jemaah umrah yang sudah menerima suntikan vaksin sempena Ramadan.

Permit umrah akan diberikan kepada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, mereka yang imun selepas 14 hari menerima dos pertama, dan mereka yang imun serta sudah pulih daripada jangkitan.

Categories
AGAMA AGENDA GLOBAL

Mekah sedia terima jemaah umrah divaksin sempena Ramadan

JEDDAH, 8 APRIL: Mekah bersedia untuk menerima jemaah umrah yang sudah menerima suntikan vaksin sempena Ramadan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Perkara itu diumumkan pihak berkuasa berkaitan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Haji yang dipengerusikan Penasihat kepada Penjaga Dua Masjid Suci, selaku Gabenor Mekah Putera Khaled Al-Faisal, pada Rabu.

Putera Khaled yang juga pengerusi jawatankuasa itu menekankan mengenai kepentingan usaha dan koordinasi bersepadu untuk memastikan semua persediaan menyambut kedatangan jemaah berjalan lancar demi keselamatan pengunjung di Dua Masjid Suci.

Dalam mesyuarat itu, Kementerian Haji dan Umrah turut mengemukakan pelan musim Ramadan, meliputi peningkatan operasi Masjidil Haram sambil mematuhi semua langkah pencegahan dikeluarkan pihak berwajib.

Permit menunaikan Umrah akan diberikan kepada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, mereka yang imun selepas 14 hari menerima dos pertama, dan mereka yang imun serta sudah pulih daripada jangkitan.

Permohonan permit untuk menunaikan Umrah, solat dan lawatan, slot waktu yang ada dan pengesahan akan dibuat melalui aplikasi (Eatmarna) dan (Tawakkalna).

Pengurusan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut mengemukakan pelan operasi mereka sepanjang Ramadan yang akan dilaksana oleh 4,422 petugas.

Di bawah pelan operasi itu, 14 laluan disediakan untuk Tawaf dan tiga laluan paling hampir dengan Ka’bah dikhaskan kepada warga emas serta orang kurang upaya.

Hampir 5,000 pekerja lelaki dan wanita akan melakukan operasi pensterilan dan pembasmian kuman secara kerap, poster panduan turut akan diletakkan di semua ruang solat untuk meningkatkan kepatuhan kepada penjarakan sosial.

Di samping itu, Lapangan Terbang King Abdulaziz, turut menempatkan pasukan khas untuk menyambut ketibaan jemaah dan akan bekerjasama dengan agensi kerajaan serta penyedia perkhidmatan.

Pasukan itu akan mengendalikan jemaah semasa di lapangan terbang termasuk di terminal ketibaan dan pelepasan untuk memastikan jemaah mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Semua kemudahan pengangkutan turut disediakan termasuk perkhidmatan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain serta menetapkan laluan ekspres untuk jemaah umrah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi selesai buat persediaan terima jemaah umrah Ramadan ini

MEKAH, 6 APRIL: Pengurusan Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi selesai melakukan semua persiapan untuk menerima jemaah umrah yang sudah divaksin pada Ramadan nanti, dengan protokol kesihatan dan langkah pencegahan yang ketat.

Agensi Berita Arab Saudi melaporkan perkara itu selaras dengan aplikasi Tawakkalna untuk kategori imunisasi (individu yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19 / individu yang telah 14 hari divaksin dos pertama Covid-19 / individu yang telah sembuh dari jangkitan).

Menurut jurucakapnya Hani Hosni Haider pihak pengurusan mewajibkan semua pekerja yang terlibat turut disuntik vaksin bagi memastikan keselamatan mereka dan semua pengunjung Masjidil Haram.

Beliau berkata kerja pensterilan akan dilakukan secara kerap di Dua Masjid Suci itu dan dipergiat sempena kedatangan Ramadan.

Seramai 5,000 pekerja terbabit dalam operasi pensterilan dan pembasmian kuman. Pembersihan dan pensterilan di seluruh Masjidil Haram dilakukan sehingga 10 kali sehari.

Berkenaan umrah, jurucakap itu berkata pihak pengurusan memperuntukkan halaman Mataf untuk jemaah umrah sahaja, membuat 14 laluan maya untuk tawaf (tawaf), dengan mempertimbangkan jarak fizikal, dan tiga laluan paling hampir dengan Kaabah ditetapkan untuk warga emas dan orang kurang upaya.

Katanya, pihak berwajib akan memastikan semua langkah pencegahan akan dilaksana dengan teliti .

Beliau juga meminta semua jemaah untuk bekerjasama dan mematuhi langkah pencegahan serta jarak fizikal demi kesihatan dan keselamatan mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Selepas lapan bulan, jemaah luar negara dibenar tunai umrah

MEKAH, 5 NOV: Kumpulan pertama jemaah luar negara menunaikan umrah pada Rabu selepas ibadah itu ditangguhkan selama lapan bulan disebabkan penularan wabak Covid-19.

Menurut laporan Agensi Anadolu jemaah pada awalnya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari sebaik ketibaan sebelum boleh meneruskan perjalanan ke Masjidil Haram.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di Twitter berkata jemaah luar negara tidak dikuarantin dan meneruskan perjalanan ke Masjidil Haram.

Minggu lalu, penerbangan pertama yang membawa jemaah umrah termasuk dari Indonesia dan Pakistan mendarat di lapangan terbang Jeddah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rujuk MKN, KKM sebelum hantar jemaah umrah

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Khidmat nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan dirujuk dalam penghantaran jemaah umrah Malaysia ke Tanah Suci.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan bersama berkata bagi kerajaan, keselamatan serta kesihatan jemaah umrah Malaysia adalah keutamaan tertinggi.

Menyambut baik keputusan kerajaan Arab Saudi yang memberi kebenaran kepada jemaah luar mengerjakan umrah selama 10 hari, kedua-dua menteri berkata pihak mereka akan bekerjasama rapat dalam memastikan umat Islam di Malaysia turut dapat mengerjakan ibadah itu.

“Kerajaan akan terus memantau situasi Covid-19 khususnya di Malaysia dan pada masa sama, meneliti dari semasa ke semasa SOP ibadah umrah yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia khususnya jemaah umrah yang bakal ke Tanah Suci kelak,” menurut kedua-dua menteri.

Pada 23 Sept lepas, Arab Saudi mengumumkan empat fasa secara berperingkat bagi menerima semula kemasukan jemaah umrah dengan syarat perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan pihak berkuasa tempatan negara itu.

-BERNAMA