Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wujudkan akta kuat kuasa jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Isu penguatkuasaan jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial, peluang pendidikan kanak-kanak dan persediaan menghadapi negara tua, antara perkara diberi tumpuan dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN), yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan mesyuarat secara sidang video itu, bersetuju agar satu undang-undang mewajibkan penyimpanan data pelanggan seragam oleh penyedia perkhidmatan internet, akan dibangunkan bagi meningkatkan penguatkuasaan jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial.

“Mesyuarat itu juga membangkitkan mengenai keperluan memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak, termasuklah kanak-kanak di sekolah pemulihan dan juga banduan muda yang sedang menjalani hukuman.

“MSN turut bersetuju untuk tindakan yang berkaitan dengan pindaan Seksyen 77 (3) Akta Kanak-kanak 2001, dilaksanakan bagi membolehkan lebih ramai banduan muda di Sekolah Henry Gurney, mendapat peluang pembelajaran yang lebih holistik,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, mesyuarat tersebut turut dimaklumkan, berkaitan inisiatif yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dikurangkan dalam kalangan pekerja asing.

Menurut kenyataan itu mesyuarat juga menyentuh isu persediaan Malaysia ke arah Negara Tua pada tahun 2030, berdasarkan unjuran peratusan penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas, yang akan mencecah 15.3 peratus daripada keseluruhan bilangan penduduk.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan pegawai kanan kementerian, serta agensi terlibat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kaji undang-undang percepat roboh kilang haram

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan Negeri mengkaji undang-undang yang sesuai bagi mempercepat perobohan struktur kilang haram.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu diambil kerana terdapat kilang dibina di tanah persendirian dan jika didapati bersalah pemilik bertanggungjawab membersihkannya.

“Tapi kalau menggunakan (akta) Kanun Tanah (negara), kita (Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah) kena hantar dulu Notis 7A (kepada pemilik). Notis 7A ini adalah untuk memulihkan tanah-tanah mereka.

“Dengan erti kata, kalau mereka buang sampah mereka kena bersihkan sampah. Mereka (pemilik) kena bubarkan bangunan-bangunan dan struktur yang ada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Program The Amin Idris Show di Facebook baru-baru ini.

Beliau menjelaskan pemilik premis pernah menang kes di peringkat perundangan selepas tidak diberikan tempoh secukupnya untuk memindahkan barang.

“Ini kekangan undang-undang yang kita hadapi dan Kerajaan Negeri mengambil garis-garis ini dan melihat keseluruhan undang-undang yang timbul dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah kilang yang dibina di atas tanah kerajaan boleh diroboh dalam tempoh 24 jam walaupun premis berkenaan tidak menjadi punca pencemaran sungai.

Pada 9 September, Amirudin berkata semua kilang haram diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk melaksanakan proses pemutihan dan penempatan semula premis.

Categories
AGENDA NASIONAL

Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkuat kuasa hari ini – SPRM

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018) yang berkuat kuasa mulai hari ini akan menggalakkan aktiviti perniagaan dengan integriti tanpa rasuah selain mempromosi amalan tadbir urus korporat yang baik.

SPRM dalam kenyataan berkata tarikh penguatkuasaan itu telah dikeluarkan melalui kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan P.U (B) 247 bertarikh 27 Mei 2020.

Menurut kenyataan berkenaan, Parlimen sebelum ini telah meluluskan pindaan akta itu pada 5 April 2018, yang diwartakan pada 4 Mei 2018, dan kerajaan turut membenarkan penangguhan tempoh dua tahun diberikan kepada organisasi komersil mulai tarikh itu bagi melakukan persediaan sewajarnya sebelum peruntukan undang-undang baharu berkenaan dikuat kuasa sepenuhnya.

Secara asasnya, menerusi Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018), organisasi komersil juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah.

“Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan, hukuman di bawah Seksyen 17A(2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagaimanapun organisasi komersial boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa organisasi itu mempunyai ‘tatacara mencukupi’ yang telah dilaksanakan bagi mencegah berlakunya rasuah dalam operasi atau akvititi perniagaan mereka,” kata kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan peruntukan undang-undang baharu ini boleh melayari portal rasmi SPRM di https://www.sprm.gov.my/ manakala bagi mendapatkan garis panduan tatacara mencukupi pula, boleh melayari pautan http://giacc.jpm.gov.my/garis-panduan-tatacara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KEADILAN timbang ambil tindakan undang-undang

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 FEB: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mendesak supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi penjelasan segera berhubung pendedahan satu rakaman audio berhubung tindakan memanipulasi undi dalam pilihan raya.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin berkata, KEADILAN juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang penipuan seperti itu terus dilakukan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

“KEADILAN melahirkan rasa terkejut dan gusar bila kami sudah dibekalkan dengan satu rakaman audio yang didakwa menampilkan ucapan seorang pemimpin Umno bahagian Permatang Pauh di dalam satu program Pemukiman Jentera Pilihan Raya Umno Cawangan dalam Parlimen Permatang Pauh berlangsung di Politeknik Seberang Perai, pada 28 Januari lalu,” katanyadi Ibu Pejabat KEADILAN, di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, KEADILAN mengambil langkah melindungi indentiti pemberi maklumat terbabit.

“Di negara ini, tiada jaminan orang yang mendedahkan penyelewengan akan dilindungi undang-undang seperti yang berlaku kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan seorang kerani,” katanya.

Nurul Izzah berkata, rakaman itu turut menunjukkan tidak mustahil tindakan manipulasi undi turut berlaku di kawasan pilihan raya lain dengan jumlah undi lebih besar.

Terdahulu, wakil media yang menghadiri sidang media terbabit turut diperdengarkan rakaman audio ucapan seorang pemimpin Umno Bahagian Permatang Pauh yang jelas menyebut perbuatan memanipulasi lebih 800 undi pos atau undi awal anggota polis.

Categories
NASIONAL

Xavier ambil tindakan undang-undang terhadap Chegu Bard, Malaysia Kini

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 12 JUN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Badrul Hisham Shaharin, Malaysia Kini dan Tamil Malar.

Dr Xavier berkata, tindakan itu diambil berikutan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat yang dikeluarkan Badrul Hisham atau Chegu Bard yang diterbitkan di portal berita MalaysiaKini dan akhbar Tamil Malar.

“Pada 5 Jun lalu, satu artikel yang diterbitkan MalaysiaKini.com mendakwa saya terbabit dalam tindakan merasuah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR 2014 yang sedang dilangsungkan.

20140612_114052“Tindakan itu mengakibatkan penderitaan kepada saya dan keluarga,” katanya dalam sidang media di Pejabat ADUN Seri Andalas, di sini, hari ini.

Dr Xavier berkata, tindakan itu diambil terhadap dua pihak penerbitan bercetak dan media elektronik yang menyiarkan artikel itu.

“Saya tidak mempunyai pilihan bagi mempertahankan intergriti dan nama baik saya dan mengarahkan peguam, Chambers of Firdaus mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan undang-undang sudah dimulakan dengan menghantar ‘Letter of Demand’ (LOD).

Pemilihan 2014Katanya, walaupun beliau menentang undang-undang menekan media, namun tindakan itu perlu diambil kerana laporan yang disiarkan itu tidak benar dan tidak bertanggungjawab sehingga mencemarkan nama baiknya.

Dr Xavier berkata, beliau yang juga bertanding merebut salah satu kerusi Naib Presiden PKR berjaya membuktikan pembabitannua sepanjang 15 tahun di dalam PKR bersih.

“Saya salah seorang anggota lama PKR yang banyak menghabiskan masa, tenaga dan kewangan untuk membantu pasti sepanjang 15 tahun ini,” katanya.

Dr Xavier turut melahirkan keyakinan bahawa jawatankuasa khas yang diketuai veteran parti, Dr Syed Husin Ali akan menyiasat isu itu membabitkan semua aspek.

-NFN-