Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor pinda Undang-Undang Tubuh, benar 18 tahun bertanding pilihan raya

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan meminda Undang-Undang Tubuh Negeri untuk menurunkan umur warganegara layak bertanding dalam pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun.

EXCO generasi muda berkata pindaan itu akan dilakukan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) mulai 26 November yang turut membabitkan pembentangan Belanjawan 2022.

“Pindaan dibuat dalam sidang DNS akan datang ini adalah tanda Kerajaan Negeri mendukung inspirasi penuh dan pembangunan belia di Selangor untuk masa depan.

“Oleh sebab itu, sebagai permulaan kita mengadakan program seperti Town Hall Undi 18 dengan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia untuk mendengar pandangan mereka,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau ditemui pada program TownHall Undi 18 Wacana Pemicuan Undi 18 Selangor yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Jubli Perak hari ini.

Mohd Khairuddin berkata pihaknya akan mendekati golongan belia di setiap daerah dengan melibatkan persatuan belia pada tahun depan untuk memupuk minat dalam politik.

“Kita akui minat golongan belia dalam politik rendah dan cara Kerajaan Negeri mendekati mereka ini dengan menganjurkan program-program tertentu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Undi 18 dilaksana mulai Januari tahun depan

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Undi 18 akan dilaksanakan bermula 1 Jan tahun hadapan sepertimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.

Beliau berkata Kabinet membuat keputusan untuk tidak merayu keputusan berkenaan walaupun sebelum ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan memaklumkan persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang Sept tahun hadapan.

“Bila mahkamah buat keputusan, kerajaan boleh merayu keputusan ini, tetapi bagi menghargai dan menghormati anak-anak muda, Kabinet telah putuskan kita tidak akan merayu keputusan dibuat Mahkamah Sarawak.

“Tidak merayu bermakna keputusan kekal, bermakna tarikh akhir 31 Dis (Untuk laksanakan Undi 18), dan 1 Jan bermulalah pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Undi 18: Selangor pinda undang-undang tubuh pada sidang Dewan Negeri

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Selangor akan meminda Undang-Undang Tubuh Negeri untuk membolehkan warganegara berusia 18 tahun mengundi pada pilihan raya akan datang.

Pindaan itu dibuat pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) mulai 26 November yang turut membabitkan pembentangan Belanjawan 2022, kata EXCO generasi muda.

“Kita fokus kepada undi 18 berkaitan Undang-Undang Tubuh Negeri selain Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor untuk meletakkan persatuan belia negeri ini ditadbir bawah satu pergerakan.

“Ini yang kita akan fokus bawah generasi muda pada sidang nanti,” kata Mohd Khairuddin Othman selepas meninjau program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pilihan raya menggunakan sistem had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik mulai Februari 2022.

Untuk itu, Suruhanjaya Pilihan Raya akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember tahun ini dan digunakan awal tahun hadapan.

Wan Junaidi juga dilaporkan berkata lima negeri belum membuat pindaan untuk membolehkan warganegara berumur 18 tahun mengundi atau menjadi calon Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Undi 18: Pendaftaran automatik, termasuk individu di luar negara

SHAH ALAM, 6 OKT: Individu berusia 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pengundi apabila penguatkuasaan undang-undang dibuat, kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata penguatkuasaan turut melibatkan individu berada di luar negara walaupun tidak berdaftar sebagai pemilih.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komited melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik. Segala maklumat warganegara turut didaftarkan dan kalau ikut undang-undang termaktub tiada yang terkecuali.

“Pendaftaran automatik yang akan dilaksanakan pada 31 Disember ini bersandarkan keputusan Mahkamah Kuching,” katanya pada sesi soal jawab dalam Dewan Rakyat,” hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, pilihan raya akan menggunakan sistem berkaitan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik bermula Februari tahun depan.

Untuk itu, SPR akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember tahun ini dan digunakan awal tahun hadapan.

Awal September, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Undi 18: Kerajaan putuskan tidak rayu keputusan mahkamah

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kerajaan persekutuan tidak akan mengemukakan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik yang perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan keputusan itu dibuat jemaah menteri menerusi mesyuarat pada 10 September lalu.

“Kerajaan persekutuan akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan merintis usaha terbaik bagi memastikan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik di negara ini berupaya dilaksanakan lebih awal daripada jadual asal.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga komited melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini selaras keputusan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Gobind Singh Deo (PAKATAN-Puchong) yang bertanya status pelaksanaan Undi 18 dan langkah yang akan diambil kerajaan untuk melaksanakannya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 3 September, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sidang Parlimen: Status pelaksanaan Undi 18 antara isu tumpuan

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Status pelaksanaan Undi 18 dan langkah yang akan diambil kerajaan untuk melaksanakannya antara isu yang bakal dikupas pada persidangan Parlimen hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang akan diajukan oleh Gobind Singh Deo (PH-Puchong) kepada Perdana Menteri.

Pada sesi soal jawab lisan itu juga, Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu- Libaran) meminta Menteri Sains, Teknologi dan inovasi untuk menyatakan jumlah perbelanjaan yang telah dibelanjakan untuk program vaksinasi di seluruh negara mengikut Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) pada sesi Pertanyaan Menteri akan meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyatakan sama ada kementerian akan menurunkan harga maksimum Kit Ujian Kendiri Covid-19 secara berperingkat daripada harga siling RM19.90 yang ditetapkan ketika ini.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini juga akan menyambung semula perbahasan Titah Diraja.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Tinggi arah SPR laksana Undi 18 menjelang Disember

KUCHING, 3 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Mahkamah dengan ini membenarkan perintah mandamus bahawa responden mengambil semua langkah yang diperlukan bagi membolehkan Seksyen 3 (Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019) berkuat kuasa secepat mungkin dan dalam apa jua keadaan menjelang 31 Disember 2021,” katanya.

Beliau turut membenarkan permohonan kelima-lima anak muda untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden (Perdana Menteri ketika itu, kerajaaan dan SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 berkenaan selepas September 2022.

Seksyen 3 menyatakan bahawa umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang menyaksikan rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

Siew berkata mahkamah turut mendapati bahawa adalah tidak masuk akal bermula dari 2019 hingga 10 Mac 2021, responden berulang kali menyatakan bahawa mereka di landasan yang betul untuk melaksanakan Seksyen 3 menjelang Julai 2021 namun dua minggu kemudian pada bulan sama, mendakwa bahawa pelaksanaannya hanya boleh dilakukan paling awal pada September 2022.

“Mahkamah juga mendapati bahawa sebarang keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 selepas September 2022 bukan sahaja benar-benar tidak rasional malah tidak sah,” katanya.

Permohonan semakan kehakiman itu telah difailkan oleh kelima-lima anak muda yang berumur lingkungan 18 hingga 21 tahun pada 4 Mei lepas.

Mereka diwakili peguam Simon Siah dan Clarice Chan manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad mewakili responden.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN desak PM baharu laksana Undi 18, akta antilompat parti

SHAH ALAM, 24 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa pentadbiran Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan Undi 18 dan Akta AntiLompat Parti.

Majlis Presiden menerusi kenyataan berkata langkah reformasi itu perlu bagi menyelamatkan rakyat daripada pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan kemelut politik.

“Memandangkan Kerajaan terdahulu yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal menangani pelbagai masalah termasuk isu Covid-19.

“Memandangkan Jemaah Menteri yang baharu bakal dibentuk, PAKATAN Berpandangan Perdana Menteri wajar memberikan pertimbangan terhadap isu yang dibangkitkan di atas demi rakyat dan negara,” katanya menerusi kenyataan bersama.

Kenyataan dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Antara dasar dan langkah reformasi lain yang digaris PAKATAN termasuk:

  • Menambah baik Pelan Pemulihan Negara dengan pelaksanaan program FTTIS+V (find, test, trace, isolate and support plus vaccinate) dan memastikan sokongan tambahan kepada sistem kesihatan awam
  • Reformasi fiskal dengan meningkatkan jumlah bantuan termasuk suntikan tunai RM45 bilion secara langsung kepada pekerja, perniagaan dan sektor kesihatan dan program moratorium tanpa faedah
  • Reformasi institusi dengan memperkasa Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, memperkukuh fungsi semak imbang Parlimen dan mengiktiraf peranan pembangkang
Categories
AGENDA NASIONAL

18 anak muda dibenar cabar tindakan kerajaan tangguh laksana Undi 18

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Sekumpulan 18 anak muda hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 iaitu langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik (AVR).

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, ketika membenarkan permohonan kumpulan itu yang mewakili gerakan Undi 18 bagi mengemukakan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berkata pemohon telah memenuhi kriteria bagi memperoleh kebenaran dan kes itu bukan sesuatu yang remeh atau menjengkelkan.

Beliau berkata oleh itu, mahkamah harus membenarkan isu ini diteruskan ke peringkat yang substantif dan membolehkan responden memberi penjelasan melalui afidavit.

“Saya bersetuju dengan hujah pemohon bahawa pindaan kepada akta dan peraturan yang berkaitan adalah isu kedua yang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pindaan perlembagaan untuk dilaksanakan.

“Pindaan perlembagaan yang menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat perkenan Agong. Isu yang masih tergantung ialah bila ia boleh dilaksanakan,” katanya dalam penghakiman bertulis 22 muka surat yang dikeluarkan kepada media hari ini.

Ahmad Kamal berkata berdasarkan Hansard Dewan Rakyat, Perdana Menteri pada 16 Julai 2019 ketika membahaskan pindaan perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa semua undang-undang serta peraturan yang berkaitan perlu dipinda untuk menguatkuasakan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan Seksyen 3(b) akta sama.

Seksyen 3(a) adalah berkaitan langkah menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun manakala Seksyen 3(b) adalah berkaitan langkah membenarkan pendaftaran pengundi automatik bagi menggantikan sistem sedia ada iaitu rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

Beliau berkata ketiga-tiga responden dikategorikan sebagai pihak berkuasa awam.

“Justeru, pada pandangan saya keputusan responden pertama (Muhyiddin) bagi pihak responden kedua (kerajaan) pada 27 Mac 2021 dalam menerima dan mengesahkan keputusan responden ketiga (SPR) pada 25 Mac 2021 untuk menangguhkan pelaksanaan langkah menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun dari Julai 2021 hingga selepas 1 Sept 2022 adalah satu keputusan yang sah dan mengikat semua pihak yang berkaitan,” katanya.

Hakim itu juga berkata Perintah 53 Aturan 2(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 menyatakan bahawa mana-mana individu yang terjejas secara advers dengan keputusan mana-mana pihak berkuasa awam berhak mengemukakan permohonan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Julai untuk pengurusan kes melalui e-Review.

Kumpulan itu diwakili peguam Datuk S. Ambiga dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad mewakili responden pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Pada 2 April lepas, kumpulan anak muda itu yang berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun, memfailkan tindakan undang-undang memohon beberapa perintah mahkamah susulan tindakan responden yang menangguhkan pelaksanaan Undi 18.

Menerusi permohonan itu, mereka memohon satu deklarasi bahawa tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan langkah menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 sebagai tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang serta adalah satu bentuk penindasan pengundi.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa anak muda yang berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun adalah berhak mengundi pada atau sebelum Julai 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Tangguh Undi 18, kerajaan digesa beri penjelasan

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan disaran memberi penjelasan berhubung penangguhan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun (Undi 18).

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berkata perkara tersebut seharusnya dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila diluluskan Dewan Rakyat dua tahun lalu.

“Isu ini bukan sebab diusul dan diluluskan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) tetapi ia adalah hak rakyat.

“Perkara telah dipersetujui, kerajaan tetap harus melaksanakan Undi 18 kerana kita mahu ramai terlibat dalam pilihan raya akan datang,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini.

Sebelum ini, SPR mengumumkan Undi 18 yang sepatutnya bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019 Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ia disusuli kelulusan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019 dengan majoriti dua pertiga.

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: Keluarga Neelofa, penganjur himpunan tuntut Undi 18 beri keterangan

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Polis mengambil keterangan daripada keluarga selebriti tempatan terkenal, Neelofa dan penganjur Himpunan Tuntut Undi 18 yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata susulan dakwaan majlis perkahwinan selebriti itu tidak mematuhi SOP, lima individu termasuk ahli keluarga Neelofa dan penganjur majlis tersebut tampil memberi keterangan.

Ahad lepas, majlis perkahwinan Neelofa, 32, dan pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara didakwa tidak mengikut SOP serta tiada penjarakan fizikal.

Mohamad Zainal berkata penganjur Himpunan Tuntut Undi 18 turut hadir hari ini untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan yang diadakan bagi membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan isu had umur kelayakan mengundi 18 tahun.

“Seramai lapan individu termasuk penganjur dan peserta perhimpunan itu telah hadir bagi memberi keterangan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Antara yang hadir ialah bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari Young Syefura Othman.

Sabtu lepas, kira-kira 200 peserta terdiri daripada golongan mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan itu di hadapan bangunan Parlimen di sini.

Siasatan kedua-dua kes dijalankan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Mohamad Zainal berkata bagi Himpunan Tuntut Undi 18, siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Dakwaan pengundi 18 tahun belum matang tidak rasional

SHAH ALAM, 30 MAC: Pandangan pihak tertentu yang mendakwa pengundi berusia 18 tahun belum matang dianggap tidak munasabah dan wajar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama berkata perkara tersebut sepatutnya dibangkitkan sebelum parlimen meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan dua tahun lalu.

“Tidak masuk akal kalau mahu tarik balik atau menangguhkannya dengan alasan diberi sedangkan pada usia itu ramai dalam kalangan generasi muda membuktikan kemampuan dalam bidang diceburi.

“Saya tidak faham mengapa ada pemimpin berkata begitu sedangkan ia (Undi-18) sudah disokong dan diluluskan majoriti ahli parlimen di Dewan Rakyat,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tampil memberi penjelasan masalah teknikal dan pandemik Covid-19 sebagai faktor penangguhan pendaftaran pemilih serta kelayakan mengundi pada usia 18 tahun kerana telah memaklumkan akan menyelesaikannya selewat-lewatnya pada Julai ini.

“Selepas kelulusan dicapai, mereka (SPR) perlu memikirkan langkah untuk melaksanakannya tetapi sebaliknya berlaku dan tiada penjelasan apa kaitan isu pandemik dengan penangguhan tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini, SPR memaklumkan Undi 18 yang dijadual bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ia disusuli kelulusan Dewan Negara pada 25 Julai 2019, dengan majoriti dua pertiga.