Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Rakyat Malaysia di Singapura bantu hantar kertas undi pos

SINGAPURA, 8 MAC: Ketika rakyat Johor mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 pada Sabtu ini, pengundi yang bekerja dan menetap di seberang tambak turut mengundi melalui undi pos.

Justeru, sukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia di bawah naungan 1thirdmedia, berganding bahu mengumpul kertas undi pos tersebut di sekitar republik ini dan dihantar ke Johor.

Kira-kira 5,000 kertas undi pos dikumpul setakat ini.

“Dua penghantaran telah dibuat pada 6 dan 8 Mac. Penghantaran ketiga iaitu yang terakhir akan dibuat pada 10 Mac ini,” menurut sukarelawan Farrah Diyana Mohamad Ali kepada Bernama.

Menurut Diyana, 34, lima pusat pengumpulan ditetapkan meliputi kawasan tengah, timur, barat, utara dan selatan pulau Singapura sebelum ia disatukan untuk dihantar ke Johor.

“Ia bagi memudahkan mereka yang terikat dengan waktu kerja untuk menghantar sampul kertas undi ke perkhidmatan pos di sini. Sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan masa dan kos,” kata Diyana.

Untuk tiga hari pertama sejak 1 Mac Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan sudah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada yang layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.

Dari jumlah itu, sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara.

Semua kertas undi pos perlu dikembalikan kepada pegawai pengurus Dewan Undangan Negeri berkaitan sebelum 5 petang pada hari mengundi iaitu Sabtu (12 Mac).

Sementara itu, Hafeez A Jaz, 36, yang sanggup mengambil tanggungjawab untuk menghantar kertas undi tersebut pada 10 Mac nanti merasa bangga dapat melakukan tugas itu demi negara.

“Saya tidak rasa ia sesuatu yang membebankan. Malah ini merupakan amanah bagi menentukan hala tuju negeri Johor untuk lima tahun akan datang,” kata bapa dua anak ini.

Beliau akan menggunakan laluan perjalanan lengkap vaksin (VTL) darat pada Khamis ini dan dijangka tiba di Larkin Sentral pada 1.30 petang.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPR keluarkan 7,601 kertas undi pos PRN Melaka

MELAKA, 10 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 7,601 kertas undi pos kepada pemilih yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata jumlah itu meliputi 6,871 kategori Borang 1A  membabitkan petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.

Beliau memberitahu sebanyak 511 kertas undi pos bagi kategori Borang 1B dikeluarkan kepada warganegara di luar negara dan 113 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) serta 106 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“Kertas undi pos berkenaan dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.

“Pengeluaran kertas undi pos pada 9 November (Selasa) dijalankan oleh petugas pilihan raya di semua 28 kawasan DUN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“Semua pengundi pos diingatkan supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi 20 November (Sabtu).

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala undi awal pada 16 November.

Pilihan raya negeri diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perbaiki proses undi pos antara tumpuan SPR – Azmi

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Usaha menambah baik proses pengundian pos adalah antara tumpuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ini bagi mengukuhkan sistem penjalanan pilihan raya negara.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata sebuah jawatankuasa khusus diketuai Ahli SPR Datuk Chin Phaik Yoong sedang mengkaji perkara berkenaan terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai isu undi pos termasuk hal kertas undi tidak sampai kepada pengundi.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, sistem undi pos menghadapi banyak masalah dengan berlaku peratusan yang sangat tinggi (kertas undi pos) tidak sampai. Ini tidak patut berlaku,” katanya dalam wawancara bersama Bernama di sini.

Azmi berkata SPR mengambil maklum hal berkaitan kertas undi pos yang dibangkitkan beberapa pihak termasuk desakan terbaharu yang mahukan suruhanjaya itu mempertimbangkan cadangan membenarkan pengundi Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, bulan depan.

Menyentuh hal itu, beliau berkata kemudahan undi pos tidak dapat diberikan kepada pengundi luar kawasan seperti yang berada di Semenanjung Malaysia berikutan sistem sedia ada tidak mampu menampung jumlah yang besar.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 pada 17 Ogos 2020. Foto BERNAMA

Katanya, faktor pertambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada 60 kepada 73 kerusi juga menyebabkan kemudahan itu sukar dilaksanakan, selain SPR tidak sempat menambah baik sistem undi pos memandangkan ia adalah pilihan raya mengejut.

Azmi berkata SPR memahami kekecewaan pengundi Sabah berhubung perkara berkenaan dan sebagai sebuah agensi yang matang, SPR mendengar setiap kritikan yang dilemparkan dan akan berusaha gigih memperbaiki proses undi pos negara ini.

“Jika kita tak dapat sediakan satu sistem yang sempurna dan selamat, ia lebih berbahaya jika kita melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa. Ia mungkin menimbulkan lebih masalah daripada apa yang kita hendak selesaikan.

“Kita ingin menyelesaikan suatu masalah tetapi kita mungkin menyebabkan timbul masalah lain. Jadi, adalah lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian. Saya faham, tetapi inilah penjelasan saya, kalau rakyat Sabah masih marah, saya minta maaf,” jelasnya.

SPR menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 September, dengan hari pencalonan pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September, membabitkan 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Mengenai sistem pilihan raya negara secara keseluruhannya, Azmi yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya, berkata terdapat banyak penambahbaikan yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan rakyat, antaranya sistem ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) dan sistem pemerhati.

Menurut Azmi, kehadiran PACA bagi memantau proses pengundian dan pengiraan undi di setiap saluran tidak memungkinkan berlaku penipuan seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

“Dahulu ada yang menyatakan muncul kotak baharu dan sebagainya, tetapi kini saya rasa hampir mustahil perkara itu boleh berlaku kerana apa yang penting adalah Borang 14 (penyata pengundian selepas pengiraan undi) yang ditandatangani oleh saksi iaitu PACA dan ketua tempat mengundi.

“Jika ada sistem sebegini dan sistem pemerhati yang datang boleh menyaksikan perkara yang berlaku, ini bermakna proses pengundian itu adalah lebih telus. Kalau kita terbuka dengan apa yang kita lakukan, susah untuk mengundang perkara yang tidak elok berlaku,” katanya yang terlibat dalam pengendalian enam pilihan raya kecil, sejak dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR pada Februari 2019.

Mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan bertanding sebagai calon serta pendaftaran pengundi secara automatik, Azmi berkata SPR sedang bertungkus-lumus menyediakan sistem yang baik dan selamat bagi melaksanakan pindaan berkenaan.

Katanya sistem pendaftaran secara automatik dijangka tersedia pada pertengahan tahun depan berikutan SPR perlu menyelesaikan pelbagai isu termasuk kesukaran menentukan daerah tempat mengundi kerana alamat yang tidak lengkap, selain bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara.

“Kalau orang itu dalam penjara dia tak boleh mengundi, begitu juga yang dalam hospital mental, kita tak boleh daftarkan. Ini bukan perkara mudah dengan sekadar mengambil (data) dari JPN. Sistem harus dijamin selamat sehingga data yang dipindahkan terpelihara,” jelasnya.

Azmi berkata dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, SPR menjangkakan bilangan pemilih berdaftar yang ketika ini berjumlah kira-kira 15 juta akan meningkat kepada lebih 19 juta orang, termasuk kira-kira empat juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi apabila sistem berkenaan siap kelak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan rakam, tular gambar kertas undi pos – SPR

TANJUNG MALIM, 17 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan para pengundi pos Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim supaya tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularnya di laman media sosial.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata individu yang didapati melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman sewajarnya.

SPR telah mengeluarkan sebanyak 78 kertas undi pos bagi PRK DUN Slim, semalam dan daripada jumlah itu 75 untuk petugas pilihan raya dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua untuk pengundi tidak hadir luar negara manakala satu kepada warganegara Malaysia di luar negara.

Beliau berkata proses pengeluaran kertas undi pada jam 2.30 petang di Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Slim River turut dihadiri wakil calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftarkan.

“Sebanyak 68 sampul keutamaan diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada para pemohon manakala 10 sampul keutamaan diambil oleh Pegawai Yang Bertanggungjawab PDRM untuk diserahkan kepada anggota terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ikmalrudin mengingatkan semua pengundi pos supaya segera mengembalikan borang yang telah lengkap diisi kepada pegawai pengurus PRK DUN Slim sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 29 Ogos ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi, Amir Khusyairi dan seorang lagi calon Bebas S. Santharasekaran.

-BERNAMA