Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadangan sebagai kawasan warisan bantu Kuala Kubu Bharu jadi tapak Unesco

SHAH ALAM, 22 OKT: Cadangan Kerajaan Negeri mengangkat Kuala Kubu Bharu sebagai kawasan warisan negara menyokong usaha mencalonkannya sebagai tapak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Ahli Dewan Negerinya berkata langkah itu dapat memulihara nilai sejarah yang ada pada daerah itu antaranya deretan kedai lama berusia 100 tahun di Pekan Kuala Kubu Bharu.

Menurut Lee Kee Hiong pemuliharaan bangunan dan lokasi bersejarah di daerah itu pastinya dapat menyokong usaha menyenaraikan Kuala Kubu Bharu sebagai tapak Unesco pada masa depan.

“Ini juga bakal menjadi tarikan baharu pelancongan, jika dahulu bila sebut Kuala Kubu Bharu orang ramai pasti membayangkan sungai untuk mandi-manda.

“Tetapi jangan dilupa tarikan sejarah sini serta kekayaan seni yang kami terapkan sejak sekian lama untuk menarik pengunjung,” katanya ketika dihubungi.

Pada 10 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kuala Kubu Bharu bakal didaftar sebagai kawasan warisan negara sekali gus menjadi tarikan baharu di Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pendaftaran sedang dilakukan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Kee Hiong menjelaskan berdasarkan jawapan sidang Dewan Negeri Selangor sebelum ini, kajian mendapati usaha mencalonkan Kuala Kubu Bharu sebagai tapak Unesco secara bersendiri adalah tidak kukuh.

“Kajian mencadangkan pencalonan bersama tapak lain seperti pencalonan Melaka dan Georgetown,” katanya.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pengangguran dalam kalangan miskin bandar di KL meningkat – Unicef

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Pengangguran dalam kalangan ketua keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di pangsapuri kos rendah di bandaraya Kuala Lumpur meningkat sekali ganda sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada tahun lepas, demikian menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Unicef dalam kenyataan semalam memaklumkan kajian oleh Unicef dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Disember tahun lepas menunjukkan bahawa situasi sosioekonomi bagi kira-kira separuh daripada jumlah isi rumah yang dikaji terus merosot.

Berdasarkan Bahagian Tiga laporan ‘Families on the Edge,’ pengangguran dalam kalangan ketua keluarga meningkat sekali ganda daripada tujuh peratus pada September 2020 kepada 15 peratus pada Disember 2020 manakala satu daripada tiga orang dewasa dalam isi rumah yang mengambil bahagian masih menganggur.

“Pengangguran dalam kalangan wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menjadi ketua keluarga juga meningkat masing-masing kepada 13.4 peratus dan 50 peratus.

“Kadar kemiskinan dalam kalangan kesemua keluarga ini kekal tinggi pada 42 peratus meskipun mendapat bantuan kerajaan bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh tersebut dan kemiskinan lebih ketara dalam kalangan wanita dan OKU yang menjadi ketua keluarga (55 peratus) dengan satu daripada dua dan enam daripada 10 keluarga hidup dalam kemiskinan,” menurut kenyataan itu.

Unicef berkata kadar kemiskinan dalam kalangan keluarga yang diketuai wanita meningkat daripada 47 peratus pada September 2020 kepada 61 peratus pada Disember 2020 dan trend sama berlaku dalam kalangan keluarga yang diketuai OKU dengan lebih separuh (55 peratus) adalah miskin tegar manakala hampir semua hidup dalam kemiskinan relatif (98 peratus).

Wakil Unicef di Malaysia merangkap Wakil Khas agensi badan dunia itu ke Brunei Darussalam Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata data terkini daripada Families on the Edge itu mencadangkan bahawa meskipun keadaan sesetengah keluarga sudah mulai pulih, yang lain terus merosot dan pada awal pelaksanaan PKP 2.0, hampir mencapai tahap paling teruk.

“Kita perlu memikirkan semula isu perlindungan sosial untuk golongan yang paling rentan termasuk melalui pengembangan liputan sokongan pendapatan untuk keluarga berpendapatan rendah, penyediaan bantuan sara hidup yang disasarkan terutama untuk mereka yang bekerja sendiri.

“Kami telah memberikan sokongan kepada kerajaan dan berharap dapat bekerjasama untuk memperkukuhkan dasar dan program untuk keluarga yang memerlukan,” katanya

Menurut Wakil UNFPA di Malaysia Najib Assifi, dinamik sosial kesemua keluarga ini akan berubah apabila mereka melakukan yang terbaik dalam mendepani situasi ekonomi yang semakin memburuk.

“Dengan peningkatan situasi yang memburukkan lagi masalah kesihatan mental, ia mula membentuk kehidupan tidak sihat dalam persekitaran; secara psikologi dan kadang-kadang secara fizikal.

“Tiada yang lebih terjejas daripada kanak-kanak, mereka yang menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya dan tentunya individu yang menjaga mereka,” katanya.

Bahagian 3 laporan Families on the Edge adalah berdasarkan pengumpulan data pusingan ketiga yang menggambarkan status sosioekonomi dan kesejahteraan sekumpulan 500 keluarga yang mempunyai anak dan tinggal di pangsapuri kos rendah di Kuala Lumpur.

Bahagian keempat dan terakhir akan dikeluarkan pada April 2021.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Masjid Hagia Sophia di Turki dibuka semula selepas 86 tahun

ISTANBUL, 25 JULAI: Masjid Hagia Sophia yang terkenal di Turki dibuka semula untuk ibadah buat pertama kalinya selepas 86 tahun dengan solat Jumaat, lapor agensi Anadolu.

Monumen ikonik itu berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul, dan sebuah masjid dari tahun 1453 hingga 1934 – hampir 500 tahun – dan terakhir sebagai muzium selama 86 tahun.

Salah satu bangunan bersejarah di Turki paling banyak dikunjungi pelancong tempatan dan antarbangsa, pada 1985, semasa dijadikan muzium, Hagia Sophia dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.

Pada 10 Julai, sebuah mahkamah Turki membatalkan keputusan Kabinet 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium, membuka jalan untuk ia digunakan kembali sebagai masjid selepas 86 tahun.

Di era baru Hagia Sophia, Pengarah Hal Ehwal Agama Turki  memantau perkhidmatan keagamaan di masjid, sementara Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pula mengawasi kerja-kerja pemulihan serta pemuliharaan.

Khazanah seni bina itu juga  dibuka untuk pelancong domestik dan luar secara percuma.

Pada Khamis, pihak berkuasa tertinggi agama Turki melantik tiga imam dan lima muazin untuk Masjid Hagia Sophia.

Ketua Hal Ehwal Agama Turki (Diyanet) Ali Erbas berkata Mehmet Boynukalin, Ferruh Mustuer, dan Bunyamin Topcuoglu dilantik sebagai imam masjid.

Boynukalin adalah seorang profesor di Jabatan Sains Agama Universiti Marmara.

Menurut Erbas, mereka melantik ulama terkenal sebagai imam sesuai dengan tradisi Uthmaniyyah.

Selain itu Mustuer dan Topcuoglu telah memenangi pertandingan membaca al-Quran antarabangsa.

Ketika solat berlangsung, lukisan, gambar, dan mozek ditutup dengan tirai dan dibuka semula selepas selesai.

Pada Khamis, Presiden Turki melancarkan plat nama baharu Masjid Hagia Sophia.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Ubah jajaran ECRL gugat peluang Permatang Kuarza Gombak diiktiraf Unesco

SHAH ALAM, 6 JULAI: Usaha Selangor untuk meraih status Tapak Warisan Dunia Unesco bagi Permatang Kuarza Gombak terjejas sekiranya jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dikekalkan kepada pelan asal.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata hasrat meraih pengiktirafan dunia kian positif selepas kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengubah laluan ke Klawang, Jelebu dan Nilai.

“Melalui pelan asal (Bentong ke Gombak), jajaran ECRL berisiko terkena Permatang Kuarza Gombak, namun diubah kerajaan PAKATAN ketika itu dan kita lega. Bagaimanapun, impian mungkin tinggal harapan kerana dikhabarkan laluan ECRL ditukar semula,” katanya ketika dihubungi.

Sze Han yang turut memegang portfolio Kerajaan Tempatan menggesa kerajaan membuat kajian terperinci termasuk mengutamakan pemeliharaan khazanah alam dan meminimumkan harta individu yang terjejas.

Baru-baru ini, sebuah portal perniagaan melaporkan Putrajaya sedang berbincang kemungkinan mengembalikan jajaran asal melalui Kelantan, Terengganu, dan Pahang menuju Selangor melalui Gombak dan Serendah serta Pelabuhan Klang.

Kerajaan Selangor sebelum ini membantah keras keputusan itu berdasarkan prinsip permohonan mendapatkan status Unesco bagi permatang kuarza terpanjang di dunia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL PENDIDIKAN

UIAM diisytihar Pusat Kepakaran Serantau oleh UNU

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diisytihar sebagai Pusat Kepakaran Serantau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (RCE) oleh Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut UIAM dalam kenyataannya, sijil pengisytiharan itu diberikan UNU atas komitmen universiti itu dalam membina masa depan lestari melalui pendidikan iaitu salah satu agenda Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Pusat kepakaran serantau yang diberi nama RCE Greater Gombak itu adalah yang pertama seumpamanya yang berteraskan fungsi dalam pendidikan untuk pembangunan lestari.

Untuk rekod, kesemua pusat kepakaran serantau berteraskan geografi kecuali RCE Greater Gombak UIAM sahaja yang berlandaskan fungsi.

Di bawah RCE Greater Gombak ini, UIAM memainkan peranannya dalam menerajui aktiviti dan initiatif pendidikan lestari bersama masyarakat, industri serta sektor kerajaan, dan antara aktiviti yang telah dijalankan adalah pendidikan asnaf di Perlis, pelancongan lestari di Pagoh, Johor, kesihatan lestari di Kuantan, Pahang dan sekolah sejahtera di Terengganu.

UIAM kini menyertai 180 pusat kepakaran serantau di dunia yang memberikan fokus kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan.

Rektor UIAM, Professor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam kenyataan itu berkata peranan universiti itu lebih besar dan meluas serta sentiasa mendukung segala usaha dalam melestarikan pendidikan supaya masyarakat sekeliling tidak ketinggalan.

“Ini bermakna sekarang universiti ini mempunyai peranan global dalam menentukan pendidikan bagi membina masyarakat di sekeliling kita.

“Ini adalah satu rencana di bawah bangsa bangsa bersatu dimana sekarang ini pendidikan diberikan keutamaan dalam menentukan apakah bentuk masa hadapan yang kita akan ungkapkan bersama bukan sahaja bagi universiti tapi bagi masyarakat sekitarnya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Permatang Kuarza: Tangguh kejar status Unesco, jadi tapak warisan

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan Negeri menangguhkan hasrat menjadikan Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) sebagai tapak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Sebaliknya, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan berkata Selangor ingin mewartakan kuarza sepanjang 14 kilometer sebagai Tapak Warisan Kebangsaan, lapor The Star.

“Piawaian sangat ketat membabitkan pensijilan Unesco dan pakar mendapati PKGS belum memenuhi kriteria, justeru kita akan beri perhatian untuk bangunkannya sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

“Dokumen bagi memohon pewartaan itu sedang disediakan untuk dibentangkan kepada Jabatan Warisan Negara,” kata Datuk Abdul Rashid Asari.

Katanya Kerajaan Negeri juga akan menumpukan pembangunan kuarza semula jadi sebahagian daripada Geopark Gombak-Hulu Langat bersama 22 lagi geosit di Selangor.

Selain PKGS, beberapa tapak lain turut dipertimbangkan untuk geosit termasuk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Hutan Simpan Bukit Lagong dan Bukit Broga.

Categories
AGENDA GLOBAL

Unesco pilih Malaysia untuk kerjasama aktiviti kebebasan media Asia Pasifik

PARIS, 21 NOV: Unesco teruja untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menganjurkan aktiviti peringkat serantau berhubung kebebasan media di peringkat Asia-Pasifik pada tahun depan, demikian dinyatakan di sini.

Aktiviti berkenaan mungkin dalam bentuk forum atau seminar media antarabangsa, kata Penolong Ketua Pengarah Komunikasi dan Maklumat Unesco, Moez Chakchouk.

Beliau menyampaikan mesej itu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Suriani Ahmad semasa mengunjungi beliau di pejabatnya di sini.

Suriani telah menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Komunikasi dan Maklumat pada Persidangan Agung Ke-40 Unesco.

Chakchouk turut memuji Malaysia berhubung pencapaiannya dalam menyokong kebebasan media.

Menyatakan Malaysia telah mencatatkan banyak kejayaan dalam menyokong kebebasan media, beliau berkata, negara itu turut “menunjukkan iltizam untuk berkerjasama dengan kami”.

“Acara-acara serantau akan diperlukan untuk menggalakkan literasi media di peringkat Asia Pasifik jadi mungkin Malaysia boleh menjadi tuan rumah bagi acara tertentu pada 2020.

“Kami mahu mengadakan libat urus dengan kerajaan Malaysia untuk menggalakkan negara lain untuk mencontohi pencapaian Malaysia,” katanya.

Chakchouk berkata, kemajuan dicapai Malaysia dalam menangani isu berkaitan dengan kebebasan media menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memastikan kelancaran liputan berita.

Ini merupakan sesuatu yang positif dalam usaha pembaharuan media global, katanya.

Menurut Indeks World Press Freedom 2019 dikumpulkan oleh Reporters Without Borders (RSF), Malaysia naik ke tempat ke-22 berbanding tangga 123 sebelumnya daripada 180 negara.

Ia turut mengatasi negara Asia Tenggara yang lain. Indonesia menduduki tangga 124, Filipina (134) Thailand (136), Myanmar (138), Kemboja (143), Singapura (151), Brunei Darussalam (152), Laos (171) dan Vietnam (176).

Laporan RSF menyatakan persekitaran secara umumnya bagi wartawan di Malaysia adalah lebih relaks, tapisan sendiri telah menurun dengan ketara dan media cetak kini menawarkan pelbagai sudut pandangan yang lebih luas dan seimbang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FRIM pilih UKM bantu pencalonan Tapak Warisan Dunia UNESCO

SHAH ALAM, 2 SEPT: Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), bagi membantu proses pencalonan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, projek (pencalonan) itu akan melalui tiga fasa dan akan dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan.

“Fasa pertama adalah penyelidikan perundangan, UKM akan membuat perbandingan berhubung tapak warisan UNESCO lain bagi mendedahkan FRIM terhadap isu yang akan dihadapi apabila mendapat status itu.

“Data penyelidikan akan dianalisis dan diterbitkan serta dirujuk sebagai ‘dossier’ pencalonan FRIM bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Pelan Pengurusan Pemuliharaan tapak warisan FRIM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UKM dan FRIM, baru-baru ini.

Dr Abdul Wahab berkata, fasa kedua adalah penyediaan undang-undang kecil bagi pemerkasaan perundangan FRIM yang dilihat masih mempunyai kepincangan.

“Untuk fasa terakhir, penyelidik UKM akan menyediakan modul latihan dan mengadakan sesi latihan kepada pegawai penguat kuasa serta pentadbiran FRIM berhubung perundangan berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mahmod berkata, implementasi aspek perundangan melalui penggubalan undang-undang kecil tapak warisan perlu bagi menjamin kecekapan pengurusan dan pemuliharaan hutan warisan supaya terhindar daripada ancaman serta halangan.

“Harapan dan impian saya adalah bagi memastikan FRIM menjadi kawasan bersejarah bukan sahaja sebagai ‘the biggest forest’ tetapi satu-satunya harta yang perlu dilindungi.

“Terima kasih kepada UKM kerana sanggup mengambil inisiatif ini bersama FRIM untuk memastikan projek ini berjaya,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

3 kawasan di Selangor bakal diiktiraf tapak warisan dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Selangor mengenal pasti tiga lokasi di negeri ini untuk diwartakan sebagai Tapak Warisan Semulajadi Dunia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, lokasi itu ialah Permatang Kuartza, Gombak; Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong dan Kuala Kubu Bharu.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memberi persetujuan bagi lokasi berkenaan untuk diikturaf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kawasan Permatang Kuartza, Gombak mempunyai keluasan 2,157.51 hektar, FRIM (544.3 hektar) dan Kuala Kubu Bharu sebagai bandar terancang pertama dikenali sebagai ‘First Garden City Of Malaya’ yang dibangunkan pada 1925,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Selangor 2018, di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.

Turut mencemar duli, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Muhammad Ridzuan Arshad berkata, pihaknya sedang meneruskan usaha penyediaan ‘Conservation Management Plan (CMP)’ dan ‘Pre-Dossier’ bagi lokasi berkenaan.

Katanya, ia untuk merealisasikan matlamat Kerajaan Negeri bagi menjadikan lokasi itu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Dokumen ini akan dijadikan sebagai panduan bagi mengawal pembangunan di kawasan Permatang Kuartza dan Pre-Dossier bagi membawa FRIM ke arah Tapak Warisan Kebangsaan serta Tapak Warisan Dunia.

“JPBD turut menyediakan kajian bandar Kuala Kubu Bharu sebagai Tapak Warisan Kebangsaan membabitkan Majlis Daerah Hulu Selangor yang akan dikemukakan kepada UNESCO untuk persetujuan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Arah Aktiviti Lombong Permatang Kuartza Di Henti Serta Merta

mb

SHAH ALAM, 5 JUN : Kerajaan Negeri menggesa supaya aktiviti perlombongan batu di Permatang Kuartza, Gombak dihentikan serta-merta berikutan lesen perlombongan di kawasan itu tidak pernah dikeluarkan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebaliknya, menurut Abdul Khalid, kawasan perlombongan sepanjang lima kilometer Permatang Kuartza itu akan diusahakan bagi mendapat pengiktirafan sebagai Taman Warisan Dunia daripada UNESCO.

Justeru tegasnya, aktiviti perlombongan yang dijalankan sekarang seperti yang dilaporkan media sebelum ini adalah suatu aktiviti haram.

“Perlu ditekankan di sini bahawa walaupun mendapat banyak permohonan daripada syarikat dalam dan luar negara termasuk China, Jepun dan Korea, namun Kerajaan Negeri Selangor tetap tidak akan mengeluarkan lesen.

“Kerajaan Negeri memandang berat kes perlombongan haram dan komited dalam menjayakan Projek Pemeliharaan Permatang Kuartza Klang Gates yang merupakan permatang kuartza terpanjang di dunia,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco, di sini petang tadi.

Tegasnya, Kerajaan Negeri juga mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains untuk menyediakan laporan terperinci jumlah batu kuartza yang sudah dikeluarkan dari kawasan itu dan kerosakan akibat perlombongan haram ini.

Tambahnya, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat turut diarahkan supaya meningkatkan pemantauan di kawasan Permatang Kuartza.

“Laporan dijangka disiapkan dalam tempoh dua minggu bagi memberi peluang pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti kawasan batu kuartza yang mungkin telah diceroboh.

“Mereka yang didapati terlibat menjalankan perlombongan haram ini boleh didakwa atas kesalahan menjalankan perlombongan tanpa lesen, menceroboh dan mencuri,” katanya lagi.