Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yawas yakin kerjasama dengan Unisel mampu perkasa golongan OKU

BESTARI JAYA, 2 MAC: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menyambut baik Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai bersama Universiti Selangor (Unisel) yang disifatkan mampu membantu pembangunan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata majlis itu juga merupakan tanda aras amat bermakna bagi yayasan itu dalam usaha membangunkan sistem pendidikan khas yang inklusif kepada anak istimewa.

“Usaha ini selaras dengan pelan strategik yang terkandung dalam dasar OKU 2016-2022 iaitu untuk meningkatkan pendedahan golongan tersebut kepada pendidikan.

“Melalui MoU ini juga, Unisel akan bekerjasama untuk membangunkan sijil ikhtisas Anak Istimewa Selangor (ANIS). Saya harap inisiatif ini berjalan lancar dan terima kasih kerana sudi bekerjasama dengan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MoU antara Unisel dan Yawas di Unisel Bestari Jaya di sini semalam.

Turut hadir EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud serta Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Muhammad Redzuan Othman.

Sementara itu, Dr Muhammad Redzuan berkata pihaknya bersedia memberi perkhidmatan terbaik dan inklusif terutama kepada warga OKU serta berkeperluan khas.

“Kita sentiasa berusaha menyediakan persekitaran dan kemudahan yang mampu menyokong pelajar kelompok ini untuk bergerak bebas dan berdikari serta dapat menjalani kehidupan yang baik di Unisel,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 2,500 warga Unisel terlibat 68 misi bantuan banjir

KUALA SELANGOR, 6 FEB: Seramai 2,512 warga Universiti Selangor (Unisel) terbabit dalam misi bantuan susulan banjir besar di negeri ini pada Disember tahun lalu.

Canselor, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alahaj Raja Tun Uda Alhaj berkata jumlah itu merangkumi pelajar dan staf yang terlibat dalam 68 misi bantuan.

“Unisel merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi yang aktif melakukan misi bantuan banjir di mana seramai 2,254 pelajar dan 258 staf terlibat.

“Unisel melalui Tabung Amanah Pendidikan Unisel juga memberikan sumbangan lebih RM30,000 kepada lebih 100 staf yang terjejas akibat banjir,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini, semalam.

Sebelum ini dilaporkan Unisel menawarkan bantuan penempatan selama tiga bulan secara percuma kepada seorang kakitangannya yang terjejas banjir.

Pengarah Komunikasi Korporat Hasril Abu Hassan berkata pembantu perpustakaan Siti Mariani Mohd Yusof bersama keluarga ditempatkan di perumahan staf sepanjang tempoh terbabit.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gagal di sekolah cetus semangat belajar, graduan terima Anugerah Canselor

KUALA SELANGOR, 6 FEB: Gagal dalam peperiksaan di sekolah tidak mematikan semangat seorang graduan belajar bersungguh-sungguh hingga meraih Anugerah Canselor Universiti Selangor (Unisel) 2020.

Muhammad Farid Wahid, 27, yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berkata, ketika bersekolah, beliau juga merupakan pelajar di kelas belakang.

“Saya bukan kelas pandai tetapi kelas belakang. Cikgu pernah cakap kalau awak gagal tak bermakna tak boleh berjaya dalam kehidupan yang penting terus usaha belajar. Belajar dari kegagalan.

“Saya tak pernah jangka untuk terima anugerah ini kerana ada orang yang lebih bijak. Tiada apa-apa rahsia cuma saya belajar hanya untuk faham seperti orang lain,” katanya yang kini bekerja sebagai eksekutif di Petronas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini semalam.

Sementara itu, penerima Anugerah Canselor 2021, Muhammad Yusairi Yusuf Yap, 24, berkata minat mendalam terhadap teknologi komputer sejak berusia empat tahun membantunya mencapai keputusan cemerlang.

“Waktu berusia 12 tahun saya sudah mencipta permainan komputer dan aplikasi untuk telefon, jadi bila sambung belajar saya pilih bidang berkaitan.

“Sejujurnya saya tidak jangka terima anugerah ini kerana saya belajar kerana minat terhadap teknologi,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Perisian Komputer.

Kejayaan Muhammad Yusairi yang kini bekerja sebagai jurutera perisian di Razer Inc dan Muhammad Farid membolehkan masing-masing menerima plak, sijil dan wang tunai RM5,000.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Ibu sebak terima ijazah anak meninggal akibat batuk kering

KUALA SELANGOR, 5 FEB: Perasaan sedih terpancar pada wajah ibu arwah Nursafiq Hafizan Jafri, yang mewakilinya menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Pengurusan Perpustakaan) secara anumerta pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Universiti Selangor (Unisel) hari ini.

Jamiah Wahab, 51, yang dipimpin anak keduanya, Nur Lily Shafiqah Jafri, 21, naik ke atas pentas menerima ijazah yang disampaikan oleh Canselor, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj.

Jamiah Wahab

Ketika ditemui, beliau mengakui berbangga dengan pencapaian anak sulungnya itu, namun tidak dapat menahan sebak mengenangkan anaknya sudah meninggal dunia akibat batuk kering pada 4 Mei tahun lalu.

“Saya berasa amat-amat bangga, cuma terkilan dia sudah tiada. Harapan saya kini pada adik-adik arwah yang berjanji akan menyambung dan mengikuti jejak abang mereka.

“Sebelum meninggal dunia, arwah berulang kali menyatakan hasrat untuk membantu keluarga, beli rumah, bawa naik kereta tetapi itulah sudah ketentuannya,” katanya.

Seramai 2,868 graduan Unisel dirai pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 yang berlangsung hari ini sehingga 9 Februari ini.

Istiadat konvokesyen yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini diadakan secara fizikal selepas dua tahun ditangguhkan akibat Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

2,868 graduan terima ijazah pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel

KUALA SELANGOR, 5 FEB: Seramai 2,868 graduan Universiti Selangor (Unisel) dirai pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 yang berlangsung hari ini sehingga 9 Februari ini.

Istiadat konvokesyen yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini diadakan secara fizikal selepas dua tahun ditangguhkan akibat Covid-19.

Canselornya, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj berkata kekangan akibat pandemik tidak menghalang pelajar untuk mengikuti pengajian secara dalam talian.

“Unisel menyediakan kemudahan platform e-learning V4 yang lebih mesra pelajar. Sepanjang tempoh pandemik, lebih 4,900 kursus dan lebih 96,000 jam rakaman kuliah telah dihoskan.

“Survei kepuasan pengguna juga menunjukkan sebanyak 89.3 peratus pelajar berpuas hati dengan pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang dijalankan Unisel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini, hari ini.

Konvokesyen kali ini dibahagikan kepada lima sidang bermula dengan sidang pertama pada hari ini dan berakhir pada 9 Februari.

Bagi mencegah penularan Covid-19, Unisel mengadakan majlis pengurniaan ijazah pada sesi pagi sahaja, bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan pada waktu petang untuk sesi konvokesyen berikutnya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Unisel terima dana RM3 juta tingkat data internet

KUALA SELANGOR, 5 FEB: Sebanyak RM3 juta diperuntukan Kerajaan Negeri kepada Universiti Selangor (Unisel) bagi meningkatkan data internet pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada Belanjawan Selangor 2022 yang dibentangkan pada November lalu.

“Sebagai kerajaan yang cakna dan komited terhadap bidang pendidikan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada Unisel bagi meningkatkan data internet.

“Saya percaya, peruntukan ini mampu memberi kemudahan kepada pelajar dan memberi nilai tambah kepada universiti milik Kerajaan Negeri ini untuk terus berdaya saing,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PIYSB berkata demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini.

Amirudin berkata pihaknya menganggap usaha meningkatkan data internet adalah penting dan sebahagian daripada usaha menjadikan Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

Seramai 2,864 graduan dirai pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 yang disempurnakan oleh Canselor, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj.

Konvokesyen kali ini dibahagikan kepada lima sidang bermula dengan sidang pertama pada hari ini dan berakhir pada 9 Februari.

Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel wujud ruang khas, mudahkan penuntut belajar dalam talian

SHAH ALAM, 18 JAN: Universiti Selangor (Unisel) mewujudkan ruang khas bagi memudahkan pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Presiden dan Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata Ruang Karel di perpustakaan kampus Bestari Jaya itu menempatkan 20 unit komputer berdefinisi tinggi untuk kemudahan penuntut.

“Ruang Karel ini dilihat sebagai satu tarikan besar buat pelajar selain kemudahan yang sedia ada di dalam perpustakaan ini.

Ruang Karel yang diwujudkan bagi memudahkan pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian. Foto Facebook Unisel

“Komputer berdefinisi tinggi mampu memudahkan pelajar melaksanakan tugasan kuliah sekali gus bermanfaat dalam pencarian bahan penyelidikan,” katanya menerusi Facebook.

Ruang berkenaan dirasmikan Dr Mohammad Redzuan selain dihadiri Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh.

Pada masa sama, sebanyak 12 unit komputer riba turut diserahkan kepada pusat informasi dan komunikasi teknologi (CICT) bagi kegunaan sistem audio visual serta pendaftaran pelajar di kampus Bestari Jaya serta Shah Alam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Unisel antara terawal laksana pembelajaran dalam talian, elak jejas mahasiswa sepanjang PKP

BESTARI JAYA, 13 JAN: Kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang diaplikasikan Universiti Selangor (Unisel) membantu institusi pendidikan mendepani penularan pandemik Covid-19.

Presiden dan Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata Unisel antara universiti terawal menjalankan inisiatif itu melibatkan semua peringkat sama ada fakulti atau jabatan.

“Dari segi sistem pembelajan Unisel tidak terjejas teruk berbanding institusi pendidikan lain ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak.

“Antara program lain dijalankan wacana, Quarantine Tea Talk, Bicara Budiman, Kaunselor Chit Chat selain turut menjalankan pemasaran melalui kaedah sama,” katanya berucap di majlis penyerahan watikah pelantikan Canselor dan Pro Canselor Unisel hari ini.

Majlis berlangsung di Kampus Bestari Jaya itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata komitmen semua warga Unisel serta keprihatinan Kerajaan Selangor membolehkan institusi itu terus ke hadapan.

“Walaupun berdepan suasana sukar dan persaingan hebat, Unisel mampu bertahan dalam dunia pendidikan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Unisel anjur konvokesyen secara fizikal Februari, babit 2,838 graduan

BESTARI JAYA, 13 JAN: Universiti Selangor (Unisel) mengadakan istiadat konvokesyen secara fizikal selepas dua tahun ditangguhkan akibat Covid-19, kata presiden dan naib canselornya.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata istiadat kali ke-15 itu berlangsung pada 5 hingga 10 Februari melibatkan 2,838 graduan.

“Istiadat melalui lima sidang yang dijalankan waktu pagi. Unisel akan memastikan majlis berjalan mengikut SOP (tatacara operasi piawaian) ditetapkan kerajaan,” katanya berucap di majlis penyerahan watikah pelantikan canselor dan pro Canselor Unisel hari ini.

Majlis berlangsung di Kampus Bestari Jaya itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu beliau berkata pihaknya menyasarkan kedudukan 100 universiti terbaik dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada 2020 Unisel sertai Ranking Universiti Dunia UI-Greenmetric dan menduduki tempat ke-486 daripada 912 institusi manakala tahun lalu di kedudukan 424 daripada 956,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Unisel mampu hadapi cabaran, lahirkan insan cemerlang

BESTARI JAYA, 13 JAN: Dato’ Menteri Besar yakin pentadbiran Universiti Selangor (Unisel) dari peringkat bawah hingga canselor mampu menempuh cabaran mendatang jika bersedia semua aspek.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri itu perlu bersedia sama ada bidang ilmu pengetahuan serta teknologi untuk mendepani cabaran baharu.

“Kita dalam pertarungan, kena bersedia dalam pelbagai hal dan perkara. Kerajaan Negeri akan berganding bahu dengan semua jabatan dan agensi bagi menjadikan institusi pendidikan ini mampu melahirkan insan cemerlang.

“Semangat muafakat mampu jadikan kita hebat, terulung dan boleh lahirkan insan berguna,” katanya berucap dalam majlis penyerahan watikah pelantikan canselor dan pro canselor Unisel di Kampus Bestari Jaya hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan watikah pelantikan canselor kepada Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj manakala pro-canselor kepada Dato’ Setia Dr Anuar Masduki dan Tan Sri Ismail Adam.

Jelas Amirudin, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyeragamkan tarikh pelantikan itu berkuatkuasa 1 Mac 2021.

“Baginda berkenan menyambung pelantikan Arshad sebagai Canselor sehingga 28 Februari 2026 manakala Anuar dan Ismail dilantik semula hingga 29 Februari 2024.

“Saya mewakili semua ahli lembaga pengarah PIYSB dan keluarga Unisel mengucapkan tahniah atas pelantikan ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Unisel tawar khidmat percuma lupus al-Quran rosak akibat banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya menawarkan khidmat melupuskan naskhah al-Quran yang rosak akibat banjir secara percuma.

Pengarah Komunikasi Korporat berkata pembukaan pusat pengumpulan al-Quran rosak itu sebagai inisiatif bagi memastikan proses pelupusan lebih teratur dan sempurna dalam menjaga kemuliaannya.

“Individu atau mangsa banjir sekitar universiti yang mempunyai al-Quran terjejas boleh hantar ke Masjid Unisel Kampus Bestari Jaya sebelum diserahkan kepada pihak berwajib untuk dilupuskan.

“Kami akan menanggung segala kos pelupusan dan proses pengumpulan akan terus dilaksanakan hingga selesai semua proses pembersihan rumah mangsa banjir kawasan sekitar,” kata Hasril Abu Hassan.

Tambah beliau mana-mana pihak yang ingin menghantar al-Quran rosak boleh menghubungi Pengarah Pusat Islam Ab Razak Aripin di talian 019-782 2897.

Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel terima sumbangan RM50,000, gerak misi bantuan banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Universiti Selangor (Unisel) menerima dana berjumlah RM50,000 daripada kerajaan Pulau Pinang bagi menggerakkan misi bantuan pascabanjir.

Presiden dan naib canselornya berkata bantuan yang disampaikan melalui Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mampu meringankan beban mangsa terjejas bencana negeri ini.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kerajaan Pulau Pinang berbesar hati menyalurkan bantuan tersebut berikutan Unisel antara institusi pengajian tinggi (IPT) paling aktif menggerakkan misi terbabit.

“Kita juga menerima sumbangan sebanyak RM15,000 berupa barangan keperluan logistik daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Kedah untuk misi bantuan ini.

“Kita rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak menyumbang terutama dari aspek tenaga serta kewangan bagi membantu mereka terkesan dengan banjir,” katanya dalam kenyataan.

Dr Mohammad Redzuan turut memaklumkan seluruh aset digerakkan bagi menjayakan misi yang dianggotai 2,340 sukarelawan terdiri pelajar, kakitangan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, lebih 300 rumah termasuk beberapa sekolah sekitar Permatang, Ijok, Jeram, Padang Jawa, Sri Muda, Hulu Langat dan Kuala Langat dibersihkan sukarelawan terbabit sejak 21 Disember lalu.

Individu yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian ke akaun bernombor 8600836700-Cimb (Universiti Selangor) dengan rujukan BANJIR 2021.

Selain wang ringgit, orang ramai juga boleh menyumbang makanan dan barangan logistik kepada petugas dan mangsa banjir dengan menghubungi Pengarah Pusat Jaringan Komuniti Izwan Suhadak Ishak di talian 017-6560102.