Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir surut, tiga pusat pemindahan negeri ditutup

SHAH ALAM, 6 JAN: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang menempatkan seramai 170 mangsa banjir ditutup semalam.

Pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata penutupan melibatkan Balai Raya Kampung Baru A dan Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah, kedua-duanya di Hulu Selangor.

Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Kuala Selangor pula ditutup tengah hari tadi selepas banjir surut sepenuhnya.

“Setakat ini hanya satu PPS masih dibuka iaitu Balai Raya Kampung Alah Batu, Gedangsa yang menempatkan 13 mangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pasukan petugas bencana bersedia terhadap sebarang kemungkinan jika kejadian banjir berulang susulan cuaca tidak menentu.

Pada Ahad, beberapa kampung dilanda banjir berikutan hujan berterusan yang menyebabkan limpahan air Sungai Inki dan Sungai Bernam.

Insiden tersebut menjejaskan Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Alah Batu dan Kampung Belakang Sekolah di Hulu Selangor serta Kampung Rantau Panjang di Kuala Selangor.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Ban pecah dan rosak dibaiki, kawal limpahan air pasang besar bulan depan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Ban rosak dan pecah pada hujung minggu lalu akibat air pasang besar akan dibaiki sebagai persediaan menghadapi fenomena sama bulan depan.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata senarai kerosakan akan diserahkan kepada bahagian teknikal untuk tindakan lanjut.

“Kawasan air melimpah akan terus dikawal. Kita jangkakan paras ais pasang pada Oktober nanti lebih tinggi iaitu 5.8 meter berbanding bulan ini di paras 5.7 meter.

“Kejadian kali ini masih dapat dikawal kerana persediaan awal dibuat selepas ramalan. Pusat pemindahan sementara tetap disediakan namun tiada mangsa ditempatkan,” kata Ahmad Fairuz Mohd Yusof kepada SelangorKini hari ini.

Beliau menjelaskan kawasan sekitar Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor difokuskan bulan depan kerana paras air tinggi dijangka berlaku di situ.

Fenomena berkenaan berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi Sabtu dan Ahad lalu serta dijangka berlarutan pada 17 hingga 19 Oktober dan 15 hingga 16 November.

Pusat Hidrografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JPS bina dinding lindungi rumah terjejas air pasang besar

SHAH ALAM, 20 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membina dinding di sekeliling empat kediaman di Kampung Sungai Janggut, Jeram yang sering terjejas susulan kejadian air pasang besar.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor memaklumkan ketika ini JPS meletakkan satu unit pam berhampiran kawasan tersebut untuk menyedut keluar air laut yang melimpah.

“Kawasan penempatan yang dinaiki air pasang mulai surut beransur-ansur. Kerja-kerja pembaikan kekal ban akan dilaksanakan sebaik selesai fenomena ini,” kata agensi tersebut dalam laporannya.

Kemasukan air pasang besar di kampung tersebut pagi semalam berikutan hakisan teruk pada benteng pantai sekali gus menjejaskan empat kediaman di kawasan berhampiran.

UPBN juga memaklumkan sebuah pusat pemindahan dibuka berdekatan Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa bagi menempatkan mangsa yang terkesan dengan insiden itu.

Kawasan lain yang turut terjejas di Kuala Selangor ialah Medan Muara Ikan Bakar Jeram, Pantai Remis, Sungai Sembilang, Apartmen Warisan Sungai Sembilang, Sasaran Sungai Buloh, Jeti Sungai Janggut dan Jalan Utama Klang-Telok Intan (Pasir Penambang).

Kelmarin, benteng di beberapa kawasan sekitar pantai Kuala Langat turut runtuh susulan ombak kuat dan kerja baik pulih giat dijalankan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air pasang besar: Hanya limpahan kecil, tiada rumah terjejas teruk

SHAH ALAM, 20 SEPT: Hanya limpahan kecil dikesan melepasi ban di pesisiran pantai lima daerah di negeri ini berikutan fenomena air pasang besar bermula semalam.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan cuaca cerah sejak semalam mempengaruhi keadaan semasa selain benteng berada dalam keadaan baik dan kukuh.

“Setakat semalam, empat buah rumah di Kampung Sungai Janggut, Jeram dinaiki air, namun beransur surut. Sebuah pusat pemindahan berdekatan Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa dibuka bagi menempatkan mangsa yang terkesan.

Jeti Pengkalan Nelayan Sementara di Pelabuhan Klang dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar. Foto ihsan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor

“Tiga buah rumah di kawasan Kampung Pendamar, Klang turut dinaiki air, namun surut beransur-ansur,” katanya dalam laporan hari ini.

Agensi tersebut memaklumkan kejadian ban pecah di Pantai Morib, Kampung Sawah dan Pantai Kelanang kelmarin sedang giat dibaiki dengan meletakkan beg pasir bagi mengurangkan hakisan.

Pusat Hidografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Berikutan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga.

Berikut adalah laporan pemantauan fenomena air pasang besar:

1. Kuala Langat
– Lain-lain kawasan hanya sedikit limpahan kecil dikesan melepasi ban
– Tiada kawasan penempatan yang terjejas
– Ban/benteng di pesisir pantai kukuh dan dalam keadaan baik
– Keadaan selamat dan terkawal
– Cuaca baik dan cerah

Keadaan halaman sebuah rumah di Kampung Sungai Janggut, Jeram yang dtenggelami air susulan fenomena air pasang besar. Foto ihsan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor

2. Kuala Selangor
– Limpahan kecil di Medan Muara Ikan Bakar Jeram, Pantai Remis, Sungai Sembilang, Apartmen Warisan Sungai Sembilang, Sasaran Sungai Buloh, Jeti Sungai Janggut, Jalan Utama Klang – Telok Intan (Pasir Penambang)
– Ban/benteng di pesisir pantai kukuh dan dalam keadaan baik
– Keadaan selamat dan terkawal
– Cuaca baik dan cerah

3. Klang
– Limpahan kecil di Ban Sungai Keramat Kampug Batu 4, Ban Batu 7 (Kampung Sementa), Kampung Tok Muda, Pengkalan Nelayan Batu 7 Kampung Sementa, Pengkalan Nelayan Kampung Delek, Jalan Banting Pandamaran, Pengkalan Sungai Udang Kampung Baru Telok Gong, Kampung Tradisi dan Kampung Pendamar
– Ban/benteng di pesisir pantai kukuh dan dalam keadaan baik
– Keadaan selamat dan terkawal
– Cuaca baik dan cerah

4. Sabak Bernam
– Limpahan kecil di Bagan Sekinchan, Pantai Batu 23, Sungai Haji Dorani, Bagan Sungai Besar, BNO, Sungai Burung, Parit Baru Baruh, Kampung Baru dan Sungai Nibong
– Tiada kawasan penempatan yang terjejas
– Ban/benteng di pesisir pantai kukuh dan dalam keadaan baik
– Keadaan selamat dan terkawal
– Cuaca baik dan cerah

5. Sepang
– Limpahan kecil di Jeti sepang kecil, Jeti Wak Sempoh, Pintu Air Bagan Lalang dan Kampung Org Asli Bagan Lalang
– Tiada kawasan penempatan yang terjejas
– Ban/benteng di pesisir pantai kukuh dan dalam keadaan baik
– Keadaan selamat dan terkawal
– Cuaca baik dan cerah

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Terkawal, tiada banjir serius akibat air pasang besar

SHAH ALAM, 19 SEPT: Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor hari ini dilaporkan terkawal dan tiada sebarang limpahan sehingga mengakibatkan kejadian banjir serius.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) Ahmad Fairuz Mohd Yusof ketika dihubungi berkata hanya halaman sebuah rumah di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor dikesan dinaiki air ekoran hakisan pada benteng Pantai Remis awal pagi tadi.

Beliau berkata pihaknya turut mengesan limpahan minimum di kawasan Pantai Morib ekoran kejadian benteng pemecah ombak runtuh di kawasan itu semalam, selain dua hakisan ban di Pantai Kelanang dan Kampung Sawah, Banting, namun ia hanya dalam skala kecil.

UPBN sebelum ini menjangka lima daerah di Selangor akan dilanda fenomena air laut pasang besar bermula hari ini sehingga November dengan ketinggian paras air laut diramal mencecah sehingga paras 5.8 meter.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

JPS nilai pembaikan struktur benteng di Pantai Remis

SHAH ALAM, 19 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) akan menilai struktur benteng di Pantai Remis yang terhakis teruk susulan fenomena air pasang besar pagi tadi.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata penilaian merangkumi kiraan kos serta jangka masa baik pulih yang akan dilakukan.

“Berikutan kejadian itu, sebanyak empat buah rumah di Kampung Sungai Janggut, Jeram yang terletak berdekatan pantai berkenaan dimasuki air kira-kira jam 7 pagi tadi.

“Setakat ini penduduk belum berpindah, namun pemantauan akan dibuat dari masa ke semasa,” katanya memaklumkan benteng berkenaan terhakis akibat ombak setinggi 5.7 meter.

Semalam, benteng di beberapa kawasan sekitar pantai Kuala Langat turut runtuh susulan ombak kuat dan kerja baik pulih giat dijalankan.

Pusat Hidografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Berikutan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai bermula hari ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Air pasang besar hakis benteng pantai di Jeram, jejas empat rumah

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kemasukan air pasang besar dikesan di Kampung Sungai Janggut, Jeram pagi ini susulan hakisan teruk pada benteng pantai.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof memaklumkan insiden tersebut menjejaskan empat kediaman di kawasan berhampiran.

Benteng di Pantai Remis yang terhakis susulan ombak kuat. Foto ihsan Unit Bencana Negeri Selangor

“Kejadian berlaku selepas ban pecah akibat ombak setinggi 5.7 meter. Berikutan itu, sebanyak empat buah rumah berdekatan Pantai Remis dimasuki air,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, benteng di beberapa kawasan sekitar pantai Kuala Langat runtuh susulan ombak kuat dan kerja baik pulih giat dijalankan.

Pusat Hidografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Berikutan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai bermula hari ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga ban pesisir pantai Kuala Langat dibaik pulih

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kerja baik pulih ban dijalankan di tiga lokasi sepanjang pantai Kuala Langat hari ini, menurut Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Menurut agensi itu, kerja pembaikan, penambakan serta meninggikan ban yang mendap dilakukan di Jeti Kampung Sawah, Pantai Kelanang dan Dataran Morib.

“Peratusan pembaikan ban di Jeti Kampung Sawah selesai 60 peratus dan selesai 50 peratus di ban Pantai Kelanang.

Kerja baik pulih di Jeti Kampung Sawah pada 18 Sept 2020. Foto Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor

“Sementara kerja pemasangan ‘sand bag’ di lokasi runtuhan di ban Dataran Morib selesai 35 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, unit itu terus memantau dan membuat tindakan susulan berhubung kejadian yang berlaku dan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Kerja baik pulih di Pantai Kelanang pada 18 Sept 2020. Foto Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor

Sebelum ini, benteng pemecah ombak di Pantai Morib dilaporkan runtuh pada jam 6.50 pagi dan ia ditutup untuk kerja baik pulih. Orang ramai juga dilarang menghampiri lokasi kejadian.

Unit itu menjangka fenomena air pasang besar berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fenomena air pasang besar diramal landa pantai di lima daerah Selangor

SHAH ALAM, 3 SEPT: Fenomena air pasang besar diramalkan berlaku di Selangor pada 19 dan 20 September, 17 sehingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter.

Justeru Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS) mengarahkan persediaan bencana tahap tinggi dilaksanakan di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi menghadapi fenomena tersebut.

“Sekiranya cuaca hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku, risiko berlakunya banjir akan meningkat.

“Kerajaan Selangor menasihatkan agar penduduk di kawasan berisiko dapat mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dari semasa ke semasa, serta mengehadkan aktitiviti pesisiran pantai” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut UPBNS, kawasan berisiko di Sepang adalah pesisir pantai Bagan Lalang, Kampung Tanjung Rhu dan Kampung Orang Asli Bagan Lalang.

“Kuala Langat membabitkan pantai Kelanang, Ban Sijangkang, Jalan Harmoni, Istana Pantai Bahagia, Pesisir Pantai Tanjung Sepat, Pantai Batu Laut, Pantai Morib, Ban Kampung Kundamg, Pekan Tanjung Sepat dan Rumah Peranginan Persekutian Morib

“Turut terjejas pangkalan Tok Muda, Ban Sementa, Ban Sungai Keramat, Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Kampung Sungai Serdang, Kampung Perepat, Pelabuhan Utara, Pulau Ketam dan Telok Gong di Klang.

“Pantai Remis Jeram, Kampung Lembah Pantai, Kampung Tok Adam, Kampung Bagan Pasir, Bagan Pasir Tanjung Karang, Bagan Pasir Penambang, Sungai Kajang, Kampung Lembah Pantai, Kampung Sungai Semilang, Kampung Sungai Janggut dan Bagan Tengkorak di Kuala Selangor,” katanya.

Kawasan berisiko disenaraikan di Sabak Bernam ialah Kampung Sungai Air Tawar, Bagan Sungai Besar, Tebuk Mendeleng, Pantai Bagan Nakhoda Omar, Sungai Lang, Pantai Batu 23 Sungai Nibong, Kampung Sungai Tengar, Parit Baru dan Institut Latihan dan Dakwah Selangor ( ILDAS).

“Turut berisiko ialah Politeknik Sultan Idris Shah, Persisiran Pantai Bedena, Sekolah Menengah Agama Pasir Panjang, Bagan Sekinchan, Bagan Sungai Besar, Bagan Sungai Burong dan Jalan Seri Sentosa Kampung Sekendi,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Cuaca tidak menentu, unit bencana fokus kawasan banjir kilat

SHAH ALAM, 7 OGOS: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memantau setiap masa kawasan kerap dilanda banjir kilat memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Ketuanya, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata antara kawasan terbabit di sekitar Kajang, Dengkil, Meru, Kapar dan Klang.

“Masalah ini banyak berlaku di Selangor jadi kita utamakan kawasan kerap mengalaminya. Dalam masa sama kita turut memantau keadaan ban yang berisiko pecah atau runtuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut berkomunikasi dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan semua kawasan terkawal.

“Agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bersedia 24 jam dalam berdepan masalah seperti banjir kilat, tanah runtuh atau sebagainya,” katanya.

Pada 19 Julai lalu, sebanyak 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang dilanda banjir menyebabkan 265 penduduk daripada 62 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Perkara sama berulang lagi pada 31 Julai lalu di 20 kawasan sekitar daerah Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

291 mangsa banjir di Sepang ditempatkan di empat pusat pemindahan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Seramai 291 mangsa banjir sekitar Sepang masih ditempatkan di pusat pemindahan, kata ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata walaupun jumlah mangsa berkurangan berbanding semalam namun empat pusat pemindahan tetap dibuka bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

“Setiap pusat menempatkan antara 39 hingga 125 mangsa banjir. Setakat 11 pagi tadi 114 mangsa dari 28 keluarga sudah pulang ke rumah masing-masing.

“Kami akan terus memantau dan membuat tindakan susulan terhadap kejadian ini selaian memastikan kebajikan mangsa terjaga,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Empat pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dewan Orang Ramai Dengkil, Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil dan SRA Ahmad Razali.

Kelmarin sebanyak 20 kawasan di daerah Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Selangor mengalami banjir kilat susulan hujan lebat.

Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan dibekalkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kawasan risiko bencana ke MTES, rangka atasi masalah

SHAH ALAM, 12 JULAI: Semua kawasan dikenal pasti berisiko bencana akan dibawa ke Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk tindakan segera, kata ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata MTES akan meneliti masalah kawasan berkenaan selanjutnya mempertimbangkan langkah penyelesaian termasuk kelulusan kos.

“Setiap insiden diterima akan mendapat perhatian sewajarnya. Kerjasama dari pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memudahkan semua urusan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Menurut Ahmad Fairuz setiap kawasan berisiko akan diselenggara dan dipantau jabatan atau agensi tertentu seperti PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya.

“Sekiranya pantauan mereka mendapati ada tanda awal kepada banjir, banjir kilat dan tanah runtuh, laporan akan terus dibuat,” katanya.