Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar: Pusat pemindahan ikut SOP, cegah Covid-19

SHAH ALAM, 12 NOV: Semua 21 pusat pemindahan sementara yang akan menempatkan penduduk terjejas susulan fenomena air pasang besar menitikberatkan tatacara operasi piawai (SOP).

Pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri berkata aspek penjarakan sosial, kebersihan dan susun atur khemah diutamakan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kita akan menjarakkan khemah bagi mengelakkan orang ramai berhimpit dan menyukat suhu bagi memastikan semua yang dipindahkan berada dalam keadaan sihat.

Yap Yong Ho, 22, mengeluarkan air bertakung dalam kasutnya ketika menyeberang kawasan halaman rumahnya yang dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Janggut, Klang pada 18 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Jika ada lokasi yang jumlah mangsa banjirnya besar, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuka pusat pemindahan lain berdekatan dewan bagi mematuhi SOP,” kata Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir ketika dihubungi.

Beliau berkata persiapan rapi dibuat bagi berdepan gelombang ketiga air pasang besar yang dijangka berlaku pada 15 dan 16 November ini.

Muhammad Izzat Haziq turut menasihatkan penduduk berhampiran pesisir pantai menghentikan semua aktiviti air pada tempoh berkenaan.

“Kita bimbang gelombang ketiga ini akan berlakunya banjir jika hujan lebat,” katanya lagi.

Kejadian air pasang besar dengan ketinggian air laut mencecah hingga 5.8 meter, dijangka tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Tahun ini, ia berlaku pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober dan 15 hingga 16 November.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar: Penduduk dinasihat hentikan sementara aktiviti pantai

SHAH ALAM, 9 NOV: Penduduk berhampiran pesisir pantai diminta menghentikan semua aktiviti air berikutan fenomena air pasang besar dijangka pada 15 dan 16 November.

Pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) berkata persiapan rapi dibuat bagi berdepan kejadian ketiga itu yang akan mengakibatkan banjir jika hujan lebat.

Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir menasihatkan semua pihak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) terutama di pusat pemindahan sementara memandangkan fenomena kali ini berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Contohnya, jika sebelum ini kira-kira 20 keluarga boleh ditempatkan dalam sebuah dewan, mungkin kita akan kurangkan jumlah itu untuk mewujudkan penjarakan fizikal dan susun atur khemah,” katanya ketika dihubungi.

Limpahan air laut susulan fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang pada 20 September 2020. Foto Pusat Khidmat Rakyat Pelabuhan Klang

Beliau menjelaskan UPBN mengenal pasti beberapa pusat pemindahan jika fenomena air pasang besar menjejaskan kawasan berpenduduk di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Muhammat Izzat Haziq berkata pihaknya meninjau secara berkala beberapa lokasi yang diramal dilanda fenomena tersebut selain menggunakan dron dan membina beberapa benteng tambahan.

Kejadian air pasang besar dengan ketinggian air laut mencecah hingga 5.8 meter, dijangka tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Tahun ini, ia berlaku pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober dan 15 hingga 16 November.

Berikut senarai pusat pemindahan dan nombor perhubungan bilik gerakan daerah:

1) Sepang (03-8706 4613)
Pusat pemindahan: Maahad Integrasi Tahfiz Selangor

2) Kuala Langat (03-3182 2565)
Pusat pemindahan: Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang

3) Klang (03-3371 6700)
Pusat pemindahan: Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang, SRA Kampung Batu 4 Jalan Kapar, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang

4) Kuala Selangor (03-2289 7632 / 03-2289 6225 (APM)
Pusat pemindahan: Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Dewan SRJK(C) Pasir Penambang, SMK Seri Tanjong, SK Pasangan, SK Asam Jawa, Balai raya JKKK Kampung Pasir Tuntong, Dewan Orang Ramai Jeram, Balai JKKK Kampung Sugai Sembilang, Dewan Orang Ramai Sungai Buloh dan SK Tambak Jawa

5) Sabak Bernam (03-3224 7058 / 03-3224 1749 (APM)
Pusat pemindahan: Dewan Sri Sekinchan, Dewan Sri Bernam, Dewan Parit Baru dan Dewan Sri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar

6) Unit Pengurusan Bencana Negeri (03-5544 7324 / 03-5521 2440)

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat kawasan terlibat projek kurangkan risiko bencana di Selangor

SHAH ALAM, 21 JAN: Tiga kawasan di Selangor serta sebuah perkampungan di Kemboja dipilih sebagai tapak kajian pelaksanaan projek pelan daya tahan bencana, kata penolong setiausaha unit pengurusan bencana negeri.

Bercakap pada Bengkel Memupuk Keusahawanan Sosial Dalam Pengurusan Risiko Bencana Untuk Membangunkan Komuniti Berdaya Tahan di Hotel Concorde hari ini, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata kawasan itu ialah Kuala Selangor, Shah Alam, Bukit Antarabangsa dan Kampung Speu, Kemboja.

“Projek ini akan menjalankan siasatan terhadap bahaya muncul cepat seperti banjir kilat dan tanah runtuh juga bahaya muncul lambat seperti kenaikan paras air laut serta kemasinan air bawah tanah menggunakan sistem maklumat geografi dan sumber orang ramai,” katanya.

Beliau berkata projek terbabit dijangka membantu Kerajaan Negeri dan wilayah Kampung Speu membangunkan strategi pengurangan risiko bencana untuk manfaat 5.79 juta penduduk Selangor dan 700,000 di Kemboja.

Pelan daya tahan itu dijalankan Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Geologi Malaysia, Pertubuhan Perkhidmatan Pengurangan Risiko Bencana Malaysia dan Royal University of Phnom Penh di Kemboja selama tiga tahun.