Categories
SELANGOR

Blue print Royal Klang Heritage Walk, tingkat destinasi pelancongan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB : Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) giat melaksanakan blue print bagi lanjutan pembangunan Royal Klang Heritage Walk.

Sub-Seksyen Jawatankuasa Tetap Pelancongan UPEN – Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Ahmad Nazmi Razali berkata, ia meliputi aspek penyediaan dasar dan prospek pembangunan pelancongan sepanjang tahun.

“Kita kini fokus ke arah pembangunan Royal Klang Heritage Walk dan pembangunan ini dalam peringkat proses menghasilkan blue print.

“Penyediaannya dibuat untuk tujuan pembangunan jangka panjang dan penyediaannya masih di peringkat dasar sebelum diteruskan untuk tempoh 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui pada sesi taklimat dan bengkel pelancongan Klang, di Hotel Puteri Garden, semalam.

Terdahulu, Royal Klang Heritage Walk mula dibangunkan ketika pemerintahan zaman kegemilangan British, sekitar 1800 dan pertengahan 1900.

Ia merupakan kawasan pentadbiran awal British di Selangor yang kini menjadi antara peninggalan sejarah pemerintahan British di Selangor.

Kini, kawasan itu menjadi antara destinasi tarikan pelancongan Klang yang memberi peluang kepada pelancong melihat kesan sejarah dan peninggalan artifak British.

Categories
SELANGOR

Strategi Program Pembangunan Desa tumpu keperluan sebenar

kenali kampungku

SHAH ALAM, 11 SEPT : Kerajaan negeri bertekad untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan konsep keempunyaan sesuatu projek di kalangan masyarakat desa supaya wilayah luar bandar bergerak seiring dengan arus kemajuan Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata strategi Program Pembangunan Desa sedia ada akan diubah menjadi konsep menyeluruh bagi memastikan pembangunan di kampung-kampung dimajukan secara bersepadu dan mampan.

Namun resipi utama konsep ini nanti adalah pembangunan yang bakal dijalankan bersendikan kepada maklum-balas masyarakat desa di kawasan-kawasan terlibat.

“Pembangunan Desa merupakan perkara yang menjadi fokus utama dalam tempoh lima tahun penggal kedua pentadbiran Pakatan Rakyat menerajui Selangor.

“Dalam masa tiga empat tahun ini, Kerajaan Negeri akan memastikan pendapatan penduduk desa di seluruh Selangor dapat ditingkatkan atau ditambah pada kadar yang dapat dibanggakan oleh penduduk kampung,” jelasnya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap di majlis penutup ‘Bengkel Kenali Kampungku’ di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Sekurang-kurangnya 131 Ketua kampung dan anggota Jawatakuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor menghadiri bengkel tersebut.

Bengkel Kenali Kampungku ini merupakan langkah pertama dalam Projek Pembangunan Desa. Tujuan bengkel ini diadakan adalah bagi memastikan Ketua-Ketua Kampung dan JKKK duduk bersama berbincang serta memberi pendapat dan maklumat bagi meningkatkan sumber ekonomi penduduk kampung.

Pada majlis penutupan bengkel tersebut, dua wakil dari setiap daerah menyerahkan dokumen perbincangan dan idea mereka kepada Abdul Khalid.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Sallehen Muhyi dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Sejajar dengan objektif penganjuran bengkel ini, Abdul Khalid turut berharap Ketua-Ketua Kampung dan JKKK dapat menzahirkan idea-idea bernas berhubung sumber ekonomi, kemahiran penduduk dan potensi kampung yang boleh dijadikan sebagai aset menjana pendapatan tradisi dan baharu.

Abdul Khalid menambah, sistem sokongan yang kukuh dari jaringan keselamatan, penggunaan tanah dan khidmat sokongan jabatan-jabatan berkaitan diperingkat negeri dan Persekutuan sangat diperlukan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kita mahu agar penduduk kampung atau desa yang turut berjasa kepada negeri ini, dapat menikmati kehidupan yang bahagia suasana keselesaan daripada segi pemerolehan pendapatan perkapita di negeri yang bertaraf maju ini sebagaimana dinikmati kebanyakan penduduk di bandar atau bandar raya di negeri ini,”ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

430 Projek Tertangguh Didakwa BN, Sudah Diselesaikan Kerajaan Negeri

mb

SHAH ALAM 4 FEB : Krisis air yang menyebabkan 430 projek pembangunan ditangguhkan seperti yang didakwa oleh Umno-BN kini sudah diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hal itu diselesaikan selepas Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) membenarkan perkara itu diluluskan.

Katanya, selain Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Kerajaan Negeri turut mempunyai kuasa bagi memberi kelulusan projek pembangunan dilaksanakan mengikut perjanjian konsesi.

“Semua pentadbiran air ini dibawah Pengarah Kawal Selia Air di bawah UPEN, jadi jika Syabas tidak beri kelulusan tetapi UPEN beri kelulusan maka ia boleh dilaksanakan.

“Jadi ia tidak ada masalah, sebab UPEN sudah beri kelulusan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Pendidikan 2013 di Universiti Selangor (Unisel).

Hadir sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ; Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa krisis air di Selangor menyebabkan 430 projek pembangunan terpaksa ditangguh dan berbilion pelaburan tidak diperoleh di Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba menyelamatkan Syabas dengan tambahan peruntukan sebanyak RM120 juta.

Peruntukan ini dakwanya lagi menjadikan jumlah dana yang diberi kepada Syabas meningkat menjadi RM3.41 bilion dalam tempoh empat tahun.

Katanya, peruntukan tambahan itu juga membuktikan bahawa krisis air di Selangor dan Kuala Lumpur tiada kaitan dengan keperluan untuk penyaluran air dari projek Langat 2.

“Sebaliknya, ia membuktikan bahawa krisis itu adalah disengajakan oleh SYABAS untuk menaik taraf loji rawatan, membina kapasiti air tambahan yang dirawat serta membaiki dan menggantikan paip lama dan pecah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Laporan Projek Pendemokrasian Selangor Dedah 134,675 Pengundi Tidak Dikenali

SHAH ALAM 23 NOV : Seramai 134,675 pengundi tidak dikenali dikenal pasti didaftar di negeri Selangor dedah Laporan Projek Pendemokrasian.

Jumlah ini mewakili kira-kira 28 peratus daripada jumlah 497,084 pemilih baru yang didaftarkan. Sebagai rekod sehingga kini jumlah pengundi di negeri ini mencecah 1,924,281 orang.

Semakan daftar pemilih bagi jumlah itu berdasarkan daftar pemilih induk (DPI) suku ke empat 2011 yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta dilaksanakan mengikut 56 DUN yang dilakukan oleh Ketua Kampung, Ahli Majlis, kakitangan Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Mengikut laporan Projek Pendemokrasian Negeri Selangor yang dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) itu mencatatkan DUN Sri Serdang mengalami bilangan pengundi tidak dikenali yang paling ramai iaitu lebih 9,000 orang.

Ia diikuti dengan DUN Subang Jaya 8,000 orang, Hulu Kelang 5,500 orang dan Sri Muda 5,000 orang.

Daripada jumlah keseluruhan pemilih baru itu, sebanyak 51 peratus daripadanya terdiri daripada mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun.

Manakala bagi pemilih yang tidak dikenal pasti iaitu seramai 134,675 orang itu, sebanyak 44 peratus daripadanya terdiri daripada mereka yang berusia lingkungan 21 hingga 30 tahun.

Dari aspek jantina, sebanyak 51 peratus pemilih baru merupakan lelaki dan 49 peratus wanita.

Manakala, bagi kajian pemilih yang tidak dikenal pasti pasti turut mendapati 51 peratus adalah lelaki dan 49 peratus wanita.

Mengikut aspek bangsa pula, bangsa Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 49 peratus, diikuti Cina sebanyak 34 peratus dan India sebanyak 13 peratus daripada keseluruhan jumlah pemilih berdasarkan DPI suku ke empat tahun 2011.

Bagi pemilih baru, ia menunjukkan 55 peratus daripada bangsa Melayu merupakan pemilih baru manakala 45 peratus tidak dapat dikenal pasti berdasarkan semakan yang dilakukan.

Selain itu, kaum Cina sebanyak 28 peratus pemilih baru dan 35 peratus tidak dapat dikenal pasti.

Manakala bagi India, sebanyak 11 peratus pemilih baru dan 13 peratus tidak dapat dikenal pasti berdasarkan semakan yang dijalankan.

Sementara itu, lain-lain sebanyak 8,561 pemilih baru yang terdiri antaranya Orang Asli Semenanjung, Punjabi, Eurasian, Jawa, Pakistan, Sri Lanka dan Hakka.

Laporan terbabit juga memaklumkan penambahan pemilih baru pada setiap suku tahun iaitu bermula suku ke empat 2011 hingga suku tahun ke tiga 2012 mendapati mengalami peningkatan.

Hal itu dibuktikan seramai 497,084 orang dengan peratusan 32 peratus pada suku ke empat 2011 ; 563,471 orang dengan peratusan 36 peratus pada suku pertama 2012 ; 600,406 orang dengan peratusan 38 peratus pada suku kedua 2012 dan meningkat kepada 625,210 orang dengan peratusan 40 peratus bagi suku ke empat 2012.

Jumlah pemilih berdasar suku ke tiga 2012 (belum digazetkan) seramai 2,025,153 orang serta daripada jumlah itu seramai 513,074 pemilih baru yang mencatatkan 51 peratus lelaki dan 49 peratus wanita.

Laporan Projek Pendemokrasian diserahkan kepada Dewan Negeri Selangor(DNS) hari ini dan diedarkan kepada Adun.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan dalam satu sidang media, laporan ini akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) sebaik sidang DNS berakhir minggu depan.

Laporan Penuh: Laporan Projek Pendemokrasian Negeri Selangor

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

UPEN Sahkan Selangor Mampu Hasilkan Air Terawat

SHAH ALAM 8 OGOS : Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) mengesahkan Selangor mampu menghasilkan air terawat yang mencukupi untuk kegunaan penduduk di Lembah Klang.

Timbalan Pengarahnya, Nor Azmi Diron berkata Jawatankuasa Pemantauan Air yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian krisis air mendapati, 34 loji yang sedia ada mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 4,807 juta liter sehari (JLH).

Katanya, jumlah pengeluaran air itu mengatasi jumlah penggunaan air penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu sebanyak 2,944 JLH.

Azmi menjelaskan jumlah pengeluaran air terawat itu juga berlebihan kerana Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) hanya mengagihkan air sebanyak 4,371 hingga 4,411 JLH sahaja.

“Manakala kadar pengeluaran air yang tidak terhasil (NRW) oleh Syabas sebanyak 1,389 JLH atau 32 peratus.

“Jumlah NRW ini adalah air yang tidak sampai kepada pengguna. Jadi Syabas gagal memenuhi tanggung jawab untuk membekalkan air terawat yang secukupnya kepada pengguna seperti yang dipersetujui dalam Penjanjian Penswastaan Air 2004,” katanya dalam taklimat isu air  dan hutang Talam di Shah Alam Convention Centre, di sini.

Beliau berkata dua daripada loji terawat iaitu Loji Langat dan Semenyih mampu mengeluarkan lebih 20 peratus air terawat kerana reka bentuknya sejak 20 tahun lalu.

“Manakala ada juga loji yang hanya mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 800 JLH iaitu Sungai Selangor fasa 3 kerana reka bentuknya,” katanya.

Justeru,  catuan air yang dicadangkan oleh Syabas kepada kerajaan adalah tidak tepat dan merupakan pendirian yang tidak boleh diterima.

Jawatankuasa Pemantauan Air itu dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi dan dianggotai oleh pegawai-pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri, Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor.