Categories
AGENSI SELANGOR

Fasiliti Kolej Kediaman Unisel Bestari Jaya lengkap, jamin keselesaan pelajar

SHAH ALAM, 8 NOV: Universiti Selangor (Unisel) menyediakan pelbagai fasiliti lengkap di Kolej Kediaman Kampus Bestari Jaya (KKBJ) bagi menjamin keselesaan pelajar, kata pengarah komunikasi korporatnya.

Hasril Abu Hassan berkata KKBJ berkonsepkan apartment tiga bilik dilengkapi kemudahan seperti dua bilik air, satu ruang tamu yang luas, dapur dan ruang ampaian bagi setiap unit.

Menurutnya institusi tersebut juga menyediakan sukan gelanggang futsal, sepak takraw, bola tampar, badminton dan gimnasium bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penuntut.

“Kemudahan seperti kafeteria, mesin teler automatik (ATM), perkhidmatan dobi dan pasar mini tersedia bagi memudahkan urusan seharian pelajar.

Kemudahan lengkap disediakan di Kolej Kediaman Bestari Jaya (KKBJ) memberi keselesaan kepada pelajar. Foto Facebook Unisel

“Pihak pengurusan universiti juga membangunkan laluan pejalan kaki berbumbung kepada pengguna dari asrama untuk ke destinasi lain seperti fakulti, perpustakaan dan masjid,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah sebanyak 200 unit kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar kampus sebagai pengawasan dan keselamatan untuk warga Unisel terutama mahasiswa.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang keselamatan anak mereka kerana kami menyediakan kawalan pengawal keselamatan 24 jam di pintu masuk utama asrama dan Felo residen yang bertugas setiap masa bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga,” katanya.

Berkeluasan sekitar 50 ekar, KKBJ mempunyai sembilan kluster kolej yang menempatkan 44 blok kediaman dengan 842 unit, 2,442 bilik dan 5,167 katil.

Categories
SELANGOR

UNISEL bawa pulang tiga perak dua gangsa SUKIPT

SHAH ALAM – Universiti Selangor (UNISEL) mencatatkan pencapaian amat membanggakan dalam Kejohanan Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) apabila berjaya membawa pulang tiga perak dan dua gangsa.

UNISEL dalam laman rasminya menyifatkan kejayaan itu sebagai yang terbaik sepanjang tiga kali penyertaan mereka dalam kejohanan tersebut.

Ia membuktikan prestasi UNISEL di dalam kejohanan tersebut menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

SUKIPT-UNISELTiga perak diperolehi dalam acara judo 66 kilogram (kg) lelaki melalui Muhamad Danish Shamsudin, 400 meter perempuan (Sherrina Mohamad Shaffrin), taekwondo lelaki (Muhammad Shafiq Istijab)

Manakala gangsa diperoleh Muhammad Khairi Mukim dalam pencak silat kelas D dan Mohamad Hashri Fikri Mohamad Taupik (ping pong perseorangan)

SUKIPT berlangsung pada 25 Januari hingga 5 Februari lalu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

-nR-

Categories
SELANGOR

Minat dorong pelajar raih Anugerah Naib Canselor

unisel konvo

BESTARI JAYA 26 OKT : Minat mendalam terhadap bidang diagnostik dan kajian terhadap penyakit mendorong graduan Unisel, Henkie Isahwan Ahmad Mulyadi, 24, sehingga berjaya menerima Anugerah Naib Canselor Unisel pada Istiadat Konvokesyen Ke-8 di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya, di sini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Makmal Perubatan (Kepujian) itu memperoleh Ijazah Kelas Pertama dan menerima Anugerah Dekan selama lima semester berturut-turut.

Beliau juga pernah merangkul Anugerah Akademik di peringkat fakulti dan Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti Bioperubatan dan Sains Kesihatan Unisel pada tahun ini.

Berbekalkan prinsip yang tidak pernah kenal erti berputus asa dan jangan berhenti untuk berusaha menjadi tonggak kejayaannya.

“Jangan putus asa jika gagal pada peluang pertama,cuba dan cuba lagi sehingga kita berjaya dapat apa yang kita impikan,” katanya ketika ditemui.

Anugerah disampaikan Canselor Unisel, Raja Tan Sri Arshad AlHaj Raja Tun Uda Alhaj.

Turut hadir di majlis istiadat berkenaan, Menteri Besar yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Industri Unisel, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Permodalan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Pelajar Unisel Cemerlang

Seramai 2,003 graduan bakal menerima ijazah masing-masing dalam majlis istiadat yang berlangsung selama dua hari itu.

Pada majlis itu, Unisel turut menganugerahkan Anugerah Canselor kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer daripada Nigeria, Shuaib Yunus kerana berjaya mengekalkan Anugerah Dekan di sepanjang pengajiannya di Unisel.

Turut diberikan penghargaan, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Nurul Izzah Ahmad yang merangkul Anugerah Pengerusi kerana usaha gigihnya di sepanjang pengajiannya.

Nurul merupakan graduan pertama Fakulti Komunikasi dan Media yang diterima menjalani latihan praktikal di syarikat multinasional Sime Darby Berhad.

Beliau turut ditawarkan bekerja sebagai Eksekutif di Jabatan Komunikasi Korporat di Sime Darby Berhad, Kuala Lumpur.

Anugerah Exco Pendidikan pula dianugerahkan kepada graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Hafiz Jaini.

Beliau yang berasal daripada Sandakan, Sabah itu mempamerkan prestasi cemerlang di bidang akademik mahupun kokurikulum sepanjang pengajiannya di Unisel.

-EZY