Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Pelajar PhD Malaysia terima biasiswa fizik perubatan antarabangsa

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Pelajar PhD Malaysia, Umi Nabilah Ismail, 26, menerima Anugerah Biasiswa Fizik Perubatan Kerjaya Awal berprestij atas penyelidikannya dalam mengembangkan biopenanda yang dapat menilai keberkesanan rawatan talasemia beta.

Talasemia beta adalah antara gangguan genetik yang lazim di Malaysia, dengan anggaran 4.5 peratus penduduk adalah pembawa. Namun sehingga kini, masih belum ada penawar untuk penyakit ini.

“Satu-satunya pilihan kuratif yang ada adalah pemindahan sumsum tulang, tetapi kadar kejayaannya agak rendah. Oleh itu, majoriti pesakit hanya diurus dengan menjalani transfusi darah seumur hidup,” katanya kepada Bernama.

Foto: Tangkap layar laman sesawang Winter Institute of Medical Physics

Penyakit ini boleh menyebabkan anemia teruk. Walaupun terdapat banyak terapi baharu yang dikembangkan, biopenanda serum yang digunakan untuk menilai keberkesanan rawatan tidak begitu tepat, katanya.

“Agak mustahil untuk mengetahui sama ada rawatan itu berkesan atau tidak tanpa biopenanda. Penyelidikan untuk mencari biopenanda yang mampu mencerminkan keberkesanan rawatan sedang giat dilakukan di seluruh dunia. Saya sangat berharap penyelidikan saya dapat membantu,” katanya .

Umi Nabilah sedang mengkaji kemungkinan pengukuran lemak di sumsum tulang menggunakan pengimejan resonans magnetik (MRI) sebagai biopenanda untuk talasemia beta.

Pelajar PhD tahun kedua di Jabatan Pengimejan Bioperubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) itu berkata kesimpulan kajian akan membantu pengembangan biopenanda baharu yang dapat meningkatkan keberkesanan rawatan pesakit.

Institut Fizik Perubatan Winter turut menganugerahkan US$1,000 sebagai tambahan kepada biasiswa yang merangkumi program mentor dengan pakar antarabangsa dalam bidang fizik perubatan.

Umi Nabilah mengucapkan terima kasih kepada penyelianya, Prof Ng Kwan Hoong kerana memberitahu tentang biasiswa tersebut serta mendorong beliau untuk memohon.

“Saya tak sangka saya berjaya. Sebenarnya agak terkejut juga kerana kebanyakan pemohon lain adalah dari institut antarabangsa yang terkenal seluruh dunia,” kata Umi Nabilah.

Umi Nabilah adalah salah seorang daripada 18 ahli fizik perubatan awal kerjaya dari 15 negara yang disenarai pendek untuk membentangkan projek mereka pada pusingan akhir pertandingan ketika mesyuarat maya Institut Fizik Perubatan Winter 2021.

“Pertandingan dibahagikan kepada dua pusingan. Pemohon harus menghantar vitae kurikulum dan cadangan penyelidikan pada pusingan pertama. Pada pusingan akhir, kami harus membentang penyelidikan kami dalam program seminar.

“Tiada jalan mudah menuju kejayaan. Semuanya sukar, tetapi pasti akan ada jalan,” jelas beliau lagi.

Program tahunan Institut Fizik Perubatan Winter ini adalah pertemuan para penyelidik dan profesional Amerika Syarikat dalam bidang fizik perubatan. Salah satu tujuan utama adalah untuk menyokong ahli fizik perubatan di awal kerjaya dengan pelbagai peluang biasiswa dan program bimbingan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Air Selangor, UM jalin kerjasama atasi isu gangguan bekalan

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Universiti Malaya (UM) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membolehkan kedua-dua pihak berkolaborasi menjalankan penyelidikan dalam usaha memelihara sumber air.

UM diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abdul Syukor manakala Air Selangor diwakili Ketua Pengawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman.

Menurut Mohd Hamdi melalui MoU itu, UM akan berkongsi kepakarannya dengan Air Selangor melalui penyelidikan dan Air Selangor akan memanfaatkan hasil penyelidikan berkenaan untuk meningkatkan keberkesanan dalam kempen kesedaran awam, pendidikan dan amalan air lestari.

Penyelidikan yang akan dijalankan tertumpu kepada kajian punca serta sumber masalah pencemaran dan cadangan penyelesaian serta kesan daripada gangguan air, khususnya di lembangan Sungai Selangor,” kata Mohd Hamdi sepena majlis MoU berkenaan.

Menurut Mohd Hamdi universiti itu mempunyai ramai profesor dan penyelidik yang menjalankan penyelidikan berkaitan pengurusan air, rawatan air, teknologi membran, dan kepakaran mereka perlu dimanfaatkan sejajar dengan wawasan UM yang ingin mucul sebagai “A Global University Impactiong the World”.

Sementara itu, Suhaimi berharap kerjasama antara UM dan Air Selangor itu dapat membekalkan sumber air kepada 8.4 juta pengguna, terutama dalam memelihara dan memulihara bekalan air pada masa hadapan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Prof Diraja Ungku Aziz satu dalam sejuta, tiada galang ganti

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Tokoh pendidikan dan ekonomi tersohor negara Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia hari ini ibarat satu dalam sejuta, satu kehilangan yang tiada galang gantinya.

Allahyarham, yang lebih mesra dipanggil Pak Ungku, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 4.00 petang pada usia 98 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara kerana sakit tua.

Berita kematian Ungku Aziz menyentuh perasaan banyak pihak, terutamanya Universiti Malaya, yang begitu sinonim dengan Allahyarham. Menerusi laman sosial Facebook rasmi, universiti itu menyifatkan pemergian Ungku Aziz, naib canselor yang paling lama berkhidmat selama 20 tahun, suatu kehilangan yang tiada galang gantinya.

Banyak pihak menyifatkan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negara, melihat kepada sumbangannya dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, ekonomi, pembasmian kemiskinan dan gerakan koperasi negara.

Jasa dan sumbangan Ungku Aziz kepada umat Islam dan ekonomi orang Melayu tiada tolok bandingnya kerana Allahyarham merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap penubuhan Lembaga Tabung Haji (dulu dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji) pada November 1962.

Ungku Aziz yang dilahirkan pada 28 Januari 1922 di Hampstead, London mendapat pendidikan awal di Bukit Zaharah English School dan Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bahru. Pada tahun 1940 beliau berkhidmat sebagai pegawai dalam percubaan di bawah skim Pegawai Melayu Kerajaan Johor dan dihantar dengan biasiswa ke Raffles College, Singapura setahun selepas itu.

Menempa sejarah sebagai satu-satunya tokoh akademik yang bergelar Profesor Diraja Ekonomi, penglibatan beliau dalam dunia akademik bermula pada 1948 apabila dipinjamkan ke Raffles College berstatus penolong pensyarah.

Pada 1951, Ungku Aziz mendapat ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Malaya di Singapura dan setahun kemudian menjadi pensyarah Universiti Malaya di Singapura.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1956 sehingga 1957.

Allahyarham dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Ekonomi selama lima tahun mulai 1961 sebelum memegang jawatan Dekan Fakulti Sastera Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada April 1965 dan pada Disember tahun sama beliau menjadi Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.

Pada 1966, allahyarham memperoleh ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi dari Waseda University, Tokyo, Japan.

Pada 1 Okt 1968, Ungku Aziz menjadi naib canselor Universiti Malaya yang ketiga dan rakyat Malaysia pertama menyandang jawatan itu sehinggalah bersara pada 1988.

Komitmen Ungku Aziz dalam memperkasakan ekonomi masyarakat begitu signifikan. Selain penubuhan TH, Allahyarham merupakan penggerak koperasi negara dan merupakan presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) selama hampir 40 tahun iaitu dari 1971 hingga 2009.

Ungku Aziz dianugerahkan Profesor Diraja Ekonomi daripada kerajaan Persekutuan pada 1978, dan beliau juga menerima anugerah kehormat dari lebih 10 universiti dalam dan luar negara termasuk University of Pittsburgh, University of Warwick dan Chulalongkorn University, Bangkok.

Pada 1997, Ungku Aziz merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1418 Hijrah.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama tokoh budaya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, lebih dikenali sebagai Azah Aziz yang meninggal dunia pada 2012. Seorang lagi isteri beliau ialah Rahaiah Baheran.

Kepakaran Ungku Aziz dalam bidang ekonomi turut diwarisi anak tunggal beliau Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Berhad dan wanita pertama yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi posting di akaun laman sosial Facebooknya tiga hari lepas dalam segmen Kenali Tokoh menyebut Ungku Aziz merupakan ahli ekonomi Melayu pertama, selain digelarkan The Renaissance Man kerana kepakaran beliau membuka pintu perkembangan khususnya dalam pembaikan dan pelaksanaan ekonomi negara.

Ramai pemimpin negara dalam ucapan takziah masing-masing menyifatkan kehilangan Ungku Aziz sukar dicari ganti. Semoga pencapaian Allahyarham akan menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi akan datang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahasiswa UM boleh jumpa naib canselor jika tidak puas hati

KUALA LUMPUR, 8 OKT:Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) perlu bertemu Naib Canselor universiti itu, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim jika terdapat sebarang rasa tidak puas hati, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Katanya, pertemuan antara kedua-dua belah pihak adalah lebih baik berbanding menyelesaikan isu itu dengan membuat kenyataan kepada media.

“Mereka boleh suarakan rasa tidak puas hati terus kepada Naib Canselor (Dr Abdul Rahim) dan saya percaya beliau (Abdul Rahim) seorang yang berfikiran terbuka dan akan mendengar apa yang pelajar mahu suarakan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Pada 6 Oktober lalu, dilaporkan kesatuan mahasiswa berkenaan menggesa Abdul Rahim meletakkan jawatan berhubung ucapannya pada Kongres Maruah Melayu.

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan ke atas pelajar itu, Maszlee berkata: “Kita bukan berada di zaman (kerajaan) Barisan Nasional”.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kertas siasatan insiden pelajar UM dikasari diserah kepada Peguam Negara esok

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Kertas siasatan berkaitan insiden beberapa penuntut Universiti Malaya (UM) dikasari oleh penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara esok, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Kita telah mengambil 26 keterangan berhubung kejadian itu dan menunggu arahan selanjutnya daripada Peguam Negara,” katanya ringkas ketika ditanya perkembangan siasatan insiden itu yang berlaku di hentian bas di Pantai Baharu, Jumaat lepas.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Hari Polis Ke-212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, hari ini.

Semasa kejadian, Najib sedang menyampaikan ucapan kepada sekumpulan penuntut di sebuah restoran di luar UM yang terletak berhadapan hentian bas berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung fahaman Neo Nazi di negara ini, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan terhadap fahaman atau kumpulan itu setakat ini.

“Kita tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu (Neo Nazi)…tetapi kita akan pantau,” jelasnya.

SUMBER: BERNAMA

40 tahun dari UM ke Penjara: “saya tiada masalah dengan universiti, tetapi jangan jadi perkakas!”

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan kira-kira 3,000 hadirin dalam gelap di dataran Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) dengan semua lampu ditutup, kecuali lampu jalan.

Ribuan mahasiswa dan penyokong PKR merempuh pintu pagar Universiti Malaya membolehkan mereka memasuki kampus itu bagi mengikuti pidato Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pidato malam itu tidak mendapat kebenaran daripada pentadbiran UM.

Menurut Anwar, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol bersama pimpinan persatuan lainnya tekad melawan.

Categories
NASIONAL

Halang Forum Pilihan Raya Di UM, Bukti Tranformasi Najib Retorik

nik nazmi

SHAH ALAM 20 FEB : Tindakan Kerajaan Umno-BN menyekat penganjuran forum pilihan raya di Universiti Malaya (UM) membuktikan bahawa slogan transformasi yang diuar-uarkan hanya retorik kosong semata-mata.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan pihak UM ditekan agar membatalkan forum tersebut yang sepatutnya turut membariskan ahli politik Pakatan Rakyat(PR) dan BN.

“Pengarah UMCEDEL Mohammad Redzuan Othman memaklumkan bahawa beliau menerima SMS untuk membatalkan program tersebut, dan arahannya datang daripada Pejabat Perdana Menteri(Datuk Seri Najib Razak) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” tegas Nik Nazmi dalam satu kenyataan medianya.

Semalam, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMCEDEL) menganjurkan sebuah forum bagi membincangkan sama ada Pakatan atau BN akan menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Forum itu pada asalnya dijadualkan menampilkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa serta Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

“Ironisnya Saifuddin Abdullah sendiri merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang dilantik oleh Perdana Menteri.

“Najib selaku Perdana Menteri ?transformasi? yang turut melantik Saifuddin ke jawatan beliau harus tampil dengan jawapan mengenai insiden ini yang sekali lagi menjadi tamparan hebat kepada kebebasan akademik di universiti,” tambah Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia.

Ekoran tekanan yang diterima, pihak penganjur terpaksa menggantikan ahli panel tersebut dengan ahli akademik yang terdiri daripada penyelidik UMCEDEL, Shaharuddin Badaruddin dan Thock Ker Pong serta Profesor Datuk Mohammad Abu Bakar.

Bagaimanapun, Nurul Izzah tetap hadir sebagai penonton di forum tersebut dan turut diberi peluang naik ke pentas ketika sesi soal jawab, selepas seorang pelajar mengajukan soalan mengenai keupayaan PR untuk memerintah.

Kartun Rakyat : 5 – 12 Oktober, 2012