Categories
AGENDA PENDIDIKAN

Gemar santuni masyarakat, penuntut UPSI terima Anugerah Ikon Siswa Johor

JOHOR BAHRU, 27 SEPT: Dorongan rakan dan pihak universiti supaya menghadiri temu duga bagi Anugerah Ikon Siswa Johor 2020 (AISJ 2020) membawa tuah buat seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), apabila membolot dua anugerah, semalam.

Muhammad Nur Aiman Mohd, 22, menerima Anugerah Menteri Besar Johor – Ikon Siswa Johor serta Anugerah Siswa Johor Terbaik (Akademik) dan menerima hadiah wang tunai RM3,000, yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis anugerah berkenaan, pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu itu berkata beliau pada mulanya tidak berniat untuk menghadiri temu duga itu kerana berada di Pulau Pinang.

“Tetapi atas dorongan keluarga, rakan-rakan dan pengurusan UPSI, saya pergi juga temu duga berkenaan dan Alhamdulilah, saya memperolehi dua anugerah ini. Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada pihak pengurusan UPSI yang sentiasa menyokong para pelajarnya untuk melibatkan diri dalam pelbagai program,” katanya

Muhammad Nur Aiman dipilih berdasarkan kecenderungannya memberi khidmat menyantuni masyarakat menerusi program sukarelawan yang memberi manfaat kepada komuniti.

Sementara itu, Mazlan dalam ucapannya berkata penglibatan mahasiswa dalam persatuan membolehkan golongan itu menyumbangkan idea kreatif, inovatif dan sumber tenaga bagi menjayakan agenda pembangunan masyarakat.

“AISJ pula bukan sekadar menghargai usaha mahasiswa dalam pembangunan masyarakat tetapi dalam skop yang lebih luas, iaitu menjadi medan dalam melahirkan insan yang seimbang dalam aspek kepimpinan, sukan, kebudayaan, kesukarelawan, inovasi dan keusahawanan atas penglibatan mereka bersama masyarakat setempat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Tiada jangkitan koronavirus 2019 di UPSI

IPOH, 11 FEB: Tiada jangkitan koronavirus 2019 dilaporkan di kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, termasuk di kawasan kediaman Marina UPSI.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI Prof Dr Md. Amin Md. Taff berkata Marina UPSI dijadikan lokasi pemantauan di rumah, bagi koronavirus 2019 terhadap pelajar antarabangsa dari China, yang mendaftar untuk sesi Februari 2020.

Tanpa menyatakan jumlah pelajar terlibat, Md. Amin berkata saringan awal yang rapi dilakukan Pusat Kesihatan UPSI, semasa proses pendaftaran dan didapati semua pelajar negatif serta bebas daripada jangkitan virus itu.

“Kementerian Kesihatan menggariskan proses pemantauan di rumah dijalankan bagi tempoh dua minggu, untuk memastikan semua pelajar antarabangsa China bebas dari virus tersebut.

“Proses ‘home surveillance’ ini dilakukan sebagai salah satu langkah awal, bagi mencegah simptom koronavirus. Proses ini turut dilaksanakan beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam lain,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi UPSI.

Md. Amin berkata pihak UPSI sentiasa peka dan waspada terhadap kesejahteraan seluruh warga UPSI dan penduduk daerah Muallim.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Unisel Terima Banyak Pengiktirafan Di Bawah Pakatan

SHAH ALAM, 11 JUL : Kerajaan Negeri hari ini memaklumkan Universiti Selangor (Unisel) menerima pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara, sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan pada 2008.

Demikian ujar Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali semasa menjawab pertanyaan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) berhubung kejayaan Unisel yang boleh dibanggakan.

Menurutnya, kedudukan Unisel adalah setaraf dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) apabila menerima pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), pada 2009.

?Unisel juga dikenali Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), berbanding dengan universiti di bawah pentabdiran Umno-BN.

“Ada juga berita Unisel yang disiarkan dalam akhbar pro kerajaan menceritakan tentang pencapaian Unisel antaranya menjadi juara mencipta model satelit nano dan pertukaran pelajar ke Jepun.

?Selain itu, ada juga akhbar melaporkan tentang kejayaan Unisel melahirkan pelajar terbaik dalam bidang kejuruteraan yang mendapat pengiktirafan Institut Kejuruteraan Malaysia,? katanya di dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

Beliau berkata, jumlah kemasukan pelajar pada tahun ini juga meningkat sebanyak 13,528 sehingga Jun lalu, berbanding ketika Umno-BN mentadbir Selangor.