Categories
AGENDA NASIONAL

UPM lonjak kedudukan dalam ranking universiti terbaik dunia

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Kedudukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam QS World University Rankings 2021, melonjak ke tangga 132 universiti terbaik di dunia berbanding tangga 159 tahun lepas.

Menurut Naib Canselor universiti itu Datuk Dr Aini Ideris, ia merupakan peningkatan secara berterusan selama tujuh tahun berturut-turut, sekali gus membolehkan UPM mengekalkan kedudukan sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia.

“Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UPM naik dalam hampir semua indikator yang dinilai, dengan indikator pelajar antarabangsa meraih markah tertinggi, selari dengan usaha UPM dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program pengantarabangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Katanya kejayaan yang cukup memberangsangkan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen seluruh warga UPM, yang beriltizam untuk meletakkan UPM pada kedudukan yang terbaik di dunia.

Ini juga katanya, selari dengan visi UPM iaitu, menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa yang membantu melonjakkan lagi tahap kecemerlangan UPM, malah turut memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.

“Pencapaian ini menaikkan lagi semangat warga UPM untuk terus mengorak langkah bagi mencapai aspirasi dan sasaran Putra Global 100 (PG100), iaitu menjadi 100 universiti terbaik di dunia dalam tempoh tiga tahun yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, keputusan yang diumumkan itu menyaksikan 1,604 universiti antarabangsa dinilai, namun hanya 1002 universiti dari 93 buah negara sahaja yang tersenarai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA PENDIDIKAN

UPM hasilkan 700 cecair pembasmi kuman

SHAH ALAM, 1 April: Penyelidik Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan lebih 700 botol cecair pembasmi kuman 30 mililiter (ml) dan 300ml dengan formulasi gel lidah buaya bagi mencegah penularan Covid-19.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Prof Madya Dr Mohd Razif Harun berkata idea menghasilkan produk tercetus apabila cecair itu sukar didapati di pasaran ketika ini.

Beliau berkata produk itu diuji di makmal UPM dan terbukti boleh membasmi kuman mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta sesuai untuk kegunaan orang ramai.

“Selain gel lidah buaya, produk ini menggunakan air ternyah ion, alkohol ternyah asli dan minyak pati semula jadi seperti lavender, lemon, campuran pati minyak semulajadi, pudina dan minyak kayu ditambah dalam campuran kerana berpotensi melawan bakteria serta menghalang jangkitan.

“Cuma buat masa ini, kami hentikan operasi pengeluaran kerana kehabisan peruntukan. Namun, jika ada dalam kalangan orang luar berminat memasarkan produk ini kami mengalu-alukan kerana ia memerlukan peruntukan, staf sepenuh masa dan fasiliti yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Dr Mohd Razif berkata buat masa ini produk itu tidak dijual sebaliknya digunakan untuk kegunaan dalaman kampus seperti lokasi tumpuan sekitar fakulti terutamanya di kaunter pejabat dan lif sebagai langkah pencegahan.

Categories
BERITA UTAMA

Tiga sukarelawan UPM hasil pelindung muka, bantu petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 29 MAC: Dua pensyarah dan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi sukarelawan bagi menghasilkan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan memerangi wabak Covid-19.

Tiga sukarelawan itu dari Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina iaitu Dr Mohd Shahrizal Dolah, Dr Saiful Hasley Ramli dan pelajar pasca siswazah, Mohd Firuz Mohd Anward.

Dr Mohd Shahrizal selaku ketua kumpulan berkata inisiatif itu menggunakan perbelanjaan sendiri dan lebihan bahan dari geran penyelidikan serta sumbangan beberapa pensyarah termasuk pertubuhan bukan kerajaan, 3D Printing Malaysia Community for Covid-19.

“Antara hospital yang mendapat sumbangan pelindung muka ialah Hospital Pengajar UPM yang berperanan sebagai makmal ujian Covid-19, Hospital Serdang dan Hospital Kajang.

“Namun, pasukan kami tidak menang tangan dan hanya berupaya menghasilkan 45 keping pelindung muka sehari. Sehingga hari ini, sebanyak 180 keping pelindung muka diedarkan ke hospital sejak 25 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Shahrizal berkata untuk menghasilkan satu penutup muka itu mengambil masa sejam dan satu mesin cetakan tiga dimensi boleh menghasilkan 15 keping sehari.

“Buat masa ini kami menggunakan tiga mesin cetakan itu di rumah masing-masing serta mendapat bantuan produksi dari pasukan 3D printing Selangor,” katanya.

Beliau berkata permintaan dari klinik kesihatan dan hospital swasta sentiasa tinggi dan anggaran permintaan di negara ini dianggarkan 5,000 keping sehari kerana kes semakin meningkat.

“Diharapkan lebih ramai sukarelawan dapat mengambil inisiatif dalam menghasilkan pelindung muka ini terutama ketika menghadapi gelombang Covid-19 ketiga,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jom meriahkan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM

SERDANG, 9 OKT: Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menganjurkan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen (EPPK) UPM ke-43 selama tiga hari bermula 15 November.

Pengerusi EPPK ke-43 UPM, Dr Yahya Awang berkata, ekspo yang dibuka secara percuma itu bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam bertempat di Bukit Ekspo UPM.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada pengunjung antaranya pameran pelbagai jenis pokok dan haiwan, penyelidikan serta aktiviti khas untuk kanak-kanak.

“Pameran khas berkonsepkan pertanian bandar turut diadakan dengan mengetengahkan program berbentuk demonstrasi, teknik pengurusan tanaman dan pemeliharaan haiwan kesayangan melalui Klinik Pertanian yang dikelolakan oleh pakar pertanian UPM.

“Semasa EPPK, pengunjung juga berpeluang mendapatkan bahan tanaman berkualiti antaranya anak benih buah-buahan seperti durian, mempelam dan menariknya ia dihasilkan sendiri oleh UPM secara cantuman,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Yahya berkata, benih buah yang dijual juga mendapat pensijilan Skim Pengesahan Bahan Tanaman yang memperakukan ketulenan baka dan kualiti serta memenuhi standard ditetapkan Jabatan Pertanian.

“Antara anak benih durian yang akan dijual adalah klon Raja Kunyit atau Musang King, Hajah Hasmah dan Duri Hitam dengan harga serendah dari RM18 sepokok.

“Pada masa sama, hasil pertanian seperti sayur-sayuran, cendawan, daging rusa, daging kambing dan daging lembu serta susu segar juga akan dijual yang dihasilkan sendiri oleh UPM,” katanya.

Sementara itu, katanya, pengunjung juga dapat melihat gelagat pelbagai jenis kucing dan 15 ayam eksotik berkualiti serta istimewa seperti baka ayam Pekin bersaiz kerdil, berbulu lebat dengan kerjasama Persatuan Unggas Hiasan Malaysia.

Beliau yang juga Pengarah Taman Pertanian UPM berkata, petting zoo turut disediakan khusus untuk kanak-kanak bermain dan melihat haiwan yang dipamerkan antaranya seperti rusa, kambing dan arnab.

“Pengunjung juga tidak perlu khuatir untuk parkir kenderaan mereka kerana kita turut menyediakan tempat letak kereta percuma di beberapa kawasan sekitar kampus dan bas disediakan untuk bawa mereka ke Bukit Ekspo,” katanya.

Bagi pempamer atau orang ramai yang inginkan maklumat lanjut berkenaan EPPK boleh melawati Facebook ekspo iaitu https://www.facebook.com/tpuserdang/ atau hubungi talian hotline 03-97697282.

Categories
NASIONAL

UPM tolak amalan plagiat hasil kerja pelajar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUL: Universiti Putra Malaysia (UPM) memandang serius amalan eksploitasi, plagiat atau mencuri hasil kerja pelajar oleh golongan akademik di universiti.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, amalan tidak beretika itu sememangnya ditolak UPM kerana akan mencemarkan integriti dan reputasi universiti serta institusi pendidikan negara.

Katanya, justeru pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk tindakan tatatertib terhadap staf mahupun pelajar yang didapati terbabit dalam kes berkenaan.

“UPM ingin menegaskan bahawa kami mempunyai saluran aduan yang boleh dicapai oleh semua staf, pelajar dan juga orang awam.

“Antara saluran yang disediakan ialah melalui Sistem U-Respon yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan kebebasan bersuara dalam kalangan pelajar, staf mahupun orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz berkaitan isu integriti akademik dilaporkan sebuah media pada 29 Jun lalu.

Aini berkata, UPM melalui Unit Integriti Sekolah Pengajian Siswazah Bahagian Kemasukan dan Pusat Pembangunan Akademik telah bekerjasama untuk mengambil langkah pencegahan dan inisiatif bagi memupuk kesedaran.

Katanya, langkah sebegini membuktikan komitmen UPM dalam mengukuh dan memartabat universiti sebagai institusi pendidikan berintegriti.

“Justeru UPM sekali lagi ingin menzahirkan komitmen bahawa akan sentiasa memelihara integriti akademik dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku integriti akademik,” katanya.

Categories
NASIONAL

UPM rai media buka puasa, kongsi idea bangun minda rakyat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SERDANG, 14 MEI: Bagi memperkukuh hubungan silaturahim bersama media, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, di Restoran L’Apprenti UPM, di sini, semalam.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dato’ Seri Dr Aini Ideris berkata, majlis itu juga bertujuan untuk saling bertukar maklumat dan idea antara kedua pihak, sekali gus membantu keperluan media terhadap kepakaran universiti bagi menjawab isu-isu semasa negara.

Katanya, ramai pakar UPM aktif memberi maklum balas kepakaran dalam media massa, malah banyak cadangan yang dikemukakan pada media membantu dalam merangka polisi serta meningkatkan pengetahuan rakyat terhadap sesuatu bidang.

“Perkongsian kepakaran ini adalah usaha membangunkan minda rakyat melalui wacana ilmiah berkualiti sekali gus menyuburkan budaya Ilmu dan membina minda bangsa.

“Perkara ini dibantu oleh pihak media yang tidak jemu memberi publisiti kepada UPM. Selain itu, dalam berdepan segala cabaran, perkara penting adalah kita terus membina dan memelihara jalinan kerjasama yang baik.

“Ia supaya kita dapat memberi penjelasan tepat kepada masyarakat dalam memahami isu semasa bagi menyelesaikan masalah harian mereka,” katanya ketika memberi ucapan pada majlis terbabit.

Turut hadir pada program itu adalah Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Yang Amat Mulia Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Ibni Syed Putra Jamalullail.

Seramai 35 orang pengamal media daripada pelbagai agensi media tempatan hadir pada majlis itu.

Untuk rekod, pada 2018 penulisan kepakaran akademia UPM dalam akhbar adalah 108 artikel, meningkat daripada 27 artikel berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun sama, UPM mendapat hampir 8,000 liputan berita dengan nilai iklan dalam media yang diberi secara percuma kepada UPM dianggarkan berjumlah RM67.1 juta.

Categories
PENDIDIKAN

Naib Canselor UPM terima pengiktirafan Mauritius

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris menerima pengiktirafan Mauritius menerusi ‘Anugerah Sambutan Hari Kemerdekaan Mauritius ke-51′ anjuran Suruhanjaya Tinggi Republik Mauritius, di sini, semalam.

UPM menerusi kenyataannya memaklumkan, Kedutaan Mauritius memberi anugerah itu kerana peranan universiti terbabit terhadap pelbagai program dan hubungan baik kedua-dua pihak sejak 1996.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sin Chee Keong yang merasmikan sambutan Hari Kemerdekaan Mauritius sambil disaksikan Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia, Issop Patel dan 200 diplomat.

“Prof Aini memainkan peranan penting membantu pelajar Mauritius ketika beliau menjadi Dekan, Timbalan Naib Canselor dan kini sebagai Naib Canselor UPM,” tulis kenyataan itu.

Manakala, penyelidik UPM ke Mauritius, Dr Paramasivam Muthusamy berkata, antara sumbangan UPM kepada Mauritius adalah diskaun yuran untuk pelajar Mauritius, penyelidikan UPM dalam bidang gula dan bahasa, program anak angkat serta pertukaran budaya kedua-dua negara sebanyak tiga kali.

Categories
SELANGOR

S3KP UPM ruang pentadbir kongsi ilmu, kemahiran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MAC: Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menganjurkan Seminar Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (S3KP) selama tiga di Resort World Arena Genting Highlands, mulai esok.

UPM dalam kenyataannya berkata, seminar itu bertujuan memberi ruang kepada barisan pentadbir universiti berkongsi ilmu dan kemahiran dalam tadbir urus berkenaan keselamatan serta kesihatan persekitaran tempat kerja.

“Seminar ini untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan dan kebajikan kakitangan di tempat kerja.

“Ia juga bagi mengenalpasti persekitaran pekerjaan sesuai dengan keperluan fisiologi dan psikologi pekerja selain mewujudkan mekanisma pematuhan perundangan berasaskan peraturan dan peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, antara penekanan penting pada seminar itu adalah Pemberitahuan Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan, Hazard Identification Risk Assesment Risk Control, Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MS1722:2011 & OHSAS18001:2007, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Jawatankuasa Keselamatan Kesihatan Pekerjaan.

Kenyataan itu berkata, sasaran S3KP itu adalah kepada Pengetua Kolej, Pengurus Asrama, Pegawai Tadbir, Felo Kolej, kakitangan kolej, pelajar dan pihak berkaitan di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Malaysia.

“Harapan semoga seminar ini agar dapat menjadi pemacu dan pendorong pengurusan kolej kediaman ke arah transformasi tadbir urus berasaskan teknologi dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja,” katanya.

S3KP anjuran kolej kediaman UPM itu turut bekerjasama dengan Pejabat Timbalan Naib Canselor UPM, Majlis Perumahan Universiti Awam Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permasuri lawat Klinik Veterinar UPM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 MAC: DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melawat Klinik Veterinar yang menyediakan perkhidmatan untuk orang awam dan entiti.

Klinik terbabit menempatkan Unit Perkhidmatan Makmal Veterinar (VLSU) yang menyediakan kemudahan perkhidmatan diagnosis makmal.

Baginda bertitah Klinik Veterinar di Fakulti Perubatan Veterinar UPM itu boleh menjadi penanda aras kepada klinik veterinar lain dari aspek perkhidmatan inklusif yang ditawarkan untuk setiap haiwan peliharaan untuk rawatan.

“Usaha dilakukan fakulti ini mampu memberi kesedaran kepada pemilik haiwan peliharaan menjaga kebajikan haiwan masing-masing dan mendapatkan rawatan serta konsultasi terbaik,” titahnya.

Baginda turut tertarik dengan setiap perkhidmatan perubatan disediakan termasuk kelengkapan dan peralatan perubatan yang canggih serta moden bagi merawat haiwan peliharaan dan ternakan.

“Saya terharu dan bangga melihat sendiri keprihatinan dan tahap keseriusan kakitangan termasuk pelajar UPM dalam bidang veterinar yang pakar dan mahir dalam mengendalikan haiwan di sini,” titah baginda.

Baginda berharap klinik terbabit digunakan sebaiknya bagi tujuan membendung dan mengawal populasi kucing dan anjing terbiar daripada terus membiak tanpa jagaan sewajarnya.

Pada masa sama, baginda mahu klinik itu aktif dalam menjalankan rawatan pemandulan (neuter).

“Saya juga ingin menyeru buat kesekian kalinya kepada penggemar haiwan peliharaan untuk menjadi keluarga angkat kepada haiwan-haiwan terbiar,” titahnya.

Keberangkatan Baginda disambut Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris; Ahli Lembaga Pengarah UPM, Puan Sri Datuk Seri Rohani Abdullah dan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Prof Dr Mohd Hair Bejo.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

UPM lancar penemuan baharu Orkid ‘Vanilla Norashikiniana’

OLEH SABIRAH AZIZ

SERDANG, 3 NOV: Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini melancarkan penemuan baharu bunga Orkid Vanilla yang diberi nama ‘Vanilla Norashikiniana’ sempena nama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, penemuan orkid itu merupakan spesis baharu hasil penyelidikan UPM yang terdapat di dua hutan Semenanjung Malaysia.

“Memandangkan orkid ini mempunyai tempoh bunga mekar yang lama, berbunga lebat dan memiliki kecantikan warna tersendiri, UPM dan JPNS memohon perkenan menamakannya sempena nama Tengku Permaisuri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM ke-41 serta Pemasyhuran Bunga Orkid Vanilla Norashikiniana, di sini.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Pemasyhuran Bunga Orkid Vanilla Norashikiniana.

Sementara itu, Pensyarah Biologi Fakulti Sains UPM, Prof Dr Rusea Go berkata, pihaknya mengambil masa lama untuk mengesahkan spesis baharu vanilla diraja itu.

“Spesis anggerik baharu ini ditemui tidak berbunga pada tahun 2011 di sebuah Hutan Simpan Semenanjung semasa ekspedisi botani bersama kakitangan JPNS, kemudian ditanam di nurseri UPM dan mula berbunga pada tahun 2015.

“Pihak kami juga akan mengkomersialkan penghasilan bunga Orkid Vanila ini bagi tujuan hiasan dan produk makanan,” katanya yang turut mengesahkan pokok bunga tersebut hanya mempunyai lapan spesis sahaja di Malaysia.

Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM ke-41 diadakan di Bukit Eskpo dari 3 hingga 8 November, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Bertemakan ‘Ihsan: Kecemerlangan & Cabaran’, ekspo itu mengetengahkan pameran dan aktiviti berteraskan pertanian seperti jualan hasil pertanian dan produk hiliran serta turut menawarkan peluang kepada pengunjung memenangi hadiah melalui aktiviti disertai.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan sumbang RM17,200 kepada pelajar asnaf UPM

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 1 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri bernilai RM17,200 kepada 43 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) di Masjid UPM, di sini, hari ini.

Semua pelajar terdiri dari anak yatim, asnaf dan mualaf menerima sumbangan itu daripada baginda selaku Tuanku Canselor sebelum majlis berbuka puasa dan solat Terawih bersama kira-kira 1,000 warga UPM dan komuniti di situ.

Dalam majlis sama, baginda turut berkenan menerima sumbangan Wakaf Fasiliti Masjid UPM berjumlah RM1,104,663.40 daripada Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN) UPM, Dr Razali Othman.

IMG_20170601_185629-1024x732Sumbangan tabung Wakaf Ilmu UPM juga diserahkan kepada baginda oleh Dato’ Wan Azman Wan Omar (Pejabat Pendaftar UPM) sebanyak RM237,592.82; Bendahari UPM, Zulkiflee Othman (RM451,627.52) dan Pengarah Pusat Islam UPM, Mat Razi Abdullah (RM407,371.00).

Pengerusi UPM Holdings, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali juga menyembahkan zakat perniagaan tahun lalu berjumlah RM157,600 kepada Sultan Selangor.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan hadirin lain.IMG_20170601_190107-1024x897 IMG_20170601_190022-1024x711 IMG_20170601_185840-1024x682 IMG_20170601_185453-1024x722

10 bidang Dasar Belia Selangor mantapkan generasi muda

Selaras dengan penjenamaan semula Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama penyelidik Institut Penyelidikan Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Dasar Belia Selangor meliputi 10 bidang keutamaan bagi diguna pakai penggerak belia tempatan (PeBT)