Categories
AGENDA NASIONAL

Kuliah dalam talian program asasi dan diploma mulai Ogos

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Pengajaran dan pembelajaran penuntut baharu program Asasi dan Diploma sesi akademik 2021/2022 akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bermula Ogos.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan di sini malam ini menyatakan keputusan itu mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 dalam negara ketika ini.

Bagaimanapun, menurut KPT universiti awam (UA) boleh mempertimbangkan kemasukan penuntut Asasi dan Diploma ke kampus secara fizikal bermula pada Oktober atau pada semester berikutnya bergantung kepada kesediaan dan ketetapan UA masing-masing.

Ibu bapa dan penuntut yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/6628.

Mereka juga boleh melayari laman web institusi pengajian tinggi (IPT) atau terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB seru anak Selangor mohon hadiah masuk universiti sebelum 31 Mac

SHAH ALAM, 2 MAC: Dato’ Menteri Besar mengalu-alukan anak Selangor memohon Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1,000 ditawarkan kepada mereka yang bakal memasuki institut pengajian tinggi (IPT).

“Setiap tahun, Kerajaan Negeri menawarkan insentif yang dinamakan HPIPT ini bagi meringankan beban persediaan belajar.

“Layari https://hpipt.selangor.gov.my/ dan mohon segera sebelum 31 Mac ini,” katanya menerusi Facebook.

Inisiatif ini ditawarkan kepada anak Selangor dalam kalangan keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah.

Pemohon mestilah pelajar tahun pertama yang menerima tawaran pengajian sepenuh masa ijazah sarjana muda, diploma serta sijil kemahiran tahap empat di IPT awam dan swasta.

Antara syarat lain, mereka pemastautin di negeri ini lebih setahun, warganegara dan mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dokumen sokongan boleh dihantar ke Urus Setia HPIPT Bahagian Sumber Manusia, Tingkat 3 Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40503 Shah Alam, Selangor.

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Mangkin perubahan corak pembelajaran baharu dalam talian

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin dan Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Tirai 2020 bakal dilabuhkan yang telah menyaksikan pelbagai perubahan dinamik yang belum pernah berlaku terhadap corak pendidikan negara, sehingga menyebabkan sesi persekolahan dan universiti ditangguhkan sementara, berikutan penularan pandemik Covid-19.

Situasi itu juga turut ‘memaksa’ jutaan pelajar di seluruh negara untuk memanfaatkan sepenuhnya komputer riba atau peranti elektronik mereka sebagai medium untuk meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian dari rumah.

Persoalannya, bersediakah Malaysia untuk mengharungi era corak pembelajaran yang baharu ini?

Begitupun, kesan pandemik tersebut telah memungkinkan teknologi memainkan peranan penting dalam mengubah corak pengajaran dan pembelajaran (PdP) sistem pendidikan negara, sekali gus menyaksikan kerajaan berusaha untuk meningkatkan kebolehcapaian internet terutamanya di kawasan yang mengalami akses internet yang terhad.

Gelombang Covid-19 Bermula

Gelombang pertama jangkitan Covid-19 di negara ini mula dikesan pada 24 Januari dengan 22 kes dilaporkan meliputi 12 individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara dan wilayah yang terjejas jangkitan tersebut. Lapan kes mempunyai kontak rapat manakala dua dijangkti semasa misi kemanusiaan.

Pada 30 Januari, Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sementara pendaftaran pelajar dari bandar Wuhan dan Wilayah Hubei, China dan menyekat kawasan sekitar di semua institusi pendidikan di negara ini, sebagai langkah memerangi virus tersebut.

Ketika gelombang kedua melanda negara pada 27 Februari, KPM telah mengarahkan penangguhan semua program melibatkan perhimpunan ramai seperti program sukan dan kegiatan kokurikulum di semua sekolah seluruh negara, mulai 13 Mac.

Alesha Abdullah Sani mengaminkan doa sebelum makan tengah hari di dalam kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) dalam suasana pematuhan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah pada 24 Jun 2020. Foto: BERNAMA

Kerajaan kemudiannya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 18 Mac yang mengakibatkan penutupan semua institusi pendidikan termasuk taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan sekolah rendah, menengah dan prauniversiti, kolej dan institusi pengajian tinggi.

Rentetan penutupan itu, para guru disarankan untuk mengaplikasikan corak PdP secara maya di rumah sebagai kaedah baharu dan terbaik, disebabkan kekangan dan situasi semasa penularan Covid-19 di dalam negara.

Hakikatnya, terdapat halangan untuk melaksanakan PdP secara maya dari rumah dengan KPM mendapati daripada maklum balas daripada 670,000 ibu bapa dan kira-kira 900,000 murid menunjukkan hanya enam peratus memiliki komputer peribadi, tablet (5.76 peratus), komputer riba (sembilan peratus) dan telefon pintar (46 peratus). Sementara 36.9 peratus pelajar tidak mempunyai peranti.

Menteri Kanan Pendidikan Senator Dr Radzi Jidin yang menerajui KPM mulai 10 Mac, berkata guru seharusnya mengambil berat masalah dan kekangan yang dihadapi murid untuk mengikuti PdP dari rumah serta menentukan kaedah terbaik dalam melaksanakan proses PdP secara dalam talian.

Wartawan Bernama membaca notis perintah tutup premis yang digantung di pagar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) pada 9 Oktober 2020 susulan terdapat kes Covid-19 membabitkan warga sekolah itu. Foto BERNAMA

Setelah sekatan pergerakan dilonggarkan dan kes harian Covid-19 merekodkan angka yang menurun setelah menikmati cuti persekolahan selama berbulan-bulan lamanya, kerajaan memutuskan agar sesi PdP sekolah menengah di seluruh negara dibuka semula pada 24 Jun, khusus untuk pelajar yang menduduki peperiksaan awam tahun ini.

Ini termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan yang setaraf dengannya.

Pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat dan Kelas Peralihan serta murid Tahun Lima dan Tahun Enam, kembali ke sekolah mulai 15 Julai sementara murid Tahun Satu hingga Tahun Empat, memulakan sesi pembelajaran di sekolah pada 22 Julai. Ini meliputi semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar di bawah KPM.

Penjadualan Semula Peperiksaan

Kerajaan juga membuat penjadualan semula tarikh SPM, SVM dan STAM ke 22 Feb 2021 dan STPM akan diadakan pada 8 Mac 2021. Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pula telah dibatalkan bagi tahun ini.

Malangnya, ibu bapa yang prihatin berpendapat bahawa keputusan memulakan sesi persekolahan itu dibuat dengan tergesa-gesa kerana mereka bimbang kes Covid-19 akan melonjak tinggi apabila sekolah dibuka semula.

Pegawal keselamatan Parameswary menutup pintu pagar sekolah yang diarah tutup berikutan daerah Petaling dikelaskan sebagai Zon Merah penularan COVID-19 ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4) pada 12 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Ternyata, mimpi ngeri ibu bapa itu, akhirnya menjadi kenyataan. Gelombang ketiga Covid-19 melanda negara ini pada hujung September selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Sebagai reaksi segera, kerajaan pada 8 Nov, mengumumkan bahawa sekolah dan kolej vokasional akan ditutup pada keesokan harinya (9 Nov) hingga berakhirnya kalendar sesi akademik 2020.

Bagi pelajar IPT awam dan swasta, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa semua kuliah wajib dijalankan secara maya tanpa dibenarkan pelajaran secara bersemuka mulai 27 Mei hingga 31 Dis dengan pengecualian kepada lima kategori akademik yang melibatkan pelajar.

Pengumuman itu telah mendorong para pelajar universiti wajib membudayakan normal baharu dalam PdP secara dalam talian.

Rentetan itu, kebanyakan pelajar memohon agar yuran pengajian dikurangkan memandangkan mereka tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di universiti.

Prihatin dengan maklum balas dan gesaan pelajar serta ibu bapa yang pendapatan isi rumahnya terjejas teruk oleh wabak itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan bayaran asrama dan kemudahan di semua universiti awam untuk semester kedua sesi akademik 2019/2020 dikurangkan sehingga 15 peratus.

Langkah itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM72 juta, dengan RM20 juta diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan RM52 juta lagi adalah daripada peruntukan dalaman universiti.

Yang pasti, 2020, telah menyaksikan anjakan paradigma dalam sektor pendidikan negara khususnya dalam dalam mengadaptasi proses PdP normal baharu yang banyak bergantung terhadap teknologi sama ada dalam kalangan pelajar, pensyarah, guru malah semua yang terlibat dalam institusi sektor pendidikan.

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia untuk perubahan sedemikian?

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

10 universiti tempatan dalam kelompok 110 terbaik Asia

PUTRAJAYA, 25 NOV: Sepuluh universiti tempatan terdiri daripada tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta – berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia berdasarkan laporan Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) : Asia 2021.

Menurut laporan QS yang dikeluarkan hari ini, Universiti Malaya (UM) mendahului universiti lain dengan berada di tempat kesembilan, diikuti Universiti Putra Malaysia ke-28, Universiti Sains Malaysia (ke-34) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35).

Universiti Teknologi Malaysia di tempat ke-39, Universiti Teknologi Petronas (ke-70), Taylor’s University (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke-107) dan Universiti Teknologi Mara (ke-108).

“Kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di atas landasan yang betul,” kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan hari ini mengenai pencapaian berkenaan.

Noraini berkata kejayaan itu juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia dan dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia.

Noraini berkata UM buat kali pertamanya telah berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat kesembilan berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas.

UM juga, menurutnya berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat-10 dalam penarafan tahun ini.

Shang Jiao Tong University merupakan universiti terkemuka yang memperkenalkan Ranking Akademik Universiti-universiti Dunia atau lebih dikenali sebagai “Shanghai Jiao Tong University Rankings” yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.

Pada siri penarafan kali ini, 35 universiti tempatan tersenarai iaitu pertambahan enam universiti berbanding dengan 29 universiti yang tersenarai pada tahun lepas, katanya.

“Sebanyak 24 universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, tiga buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas,” katanya.

Dalam laporan QS itu juga menyatakan Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini, katanya.

“Sistem pendidikan negara diterima sebagai bereputasi tinggi di kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia,” katanya.

Noraini berkata 2020 merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA PENDIDIKAN

KPT saran 27 April, 1 Jun mula semester kedua di universiti awam

SHAH ALAM, 28 MAC: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan semua universiti awam (UA) menyambung semester kedua untuk sesi 2019/2020 seawal 27 April atau selewat-lewatnya 1 Jun depan.

KPT dalam satu kenyataan media berkata dengan perlanjutan itu semester pertama untuk sesi 2020/2021 dijangka bermula pertengahan Oktober.

Katanya keputusan itu diambil selepas perbincangan UA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan pelbagai faktor iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta arahan berkaitan Covid-19 dan keberadaan pelajar majoritinya berada di kampung atau bersama keluarga.

“Ia juga bagi keselamatan dan kebajikan pelajar, kesediaan UA serta IPTS melaksanakan pengajaran menggunakan pelbagai kaedah termasuk atas talian, cuti sambutan Aidilfitri dijangka 24 Mei dan keperluan penamatan semester kedua sesi 2019/2020 serta permulaan semester pertama sesi 2020/2021.

“Sehubungan itu, UA perlu menguruskan pergerakan ke kampus (disarankan secara berfasa dan berhemah) dengan mengambil kira faktor di atas,” katanya di sini, hari ini.

KPT berkata bagi IPTS pula mereka boleh menyambung semester sedia ada dan memulakan semester baharu mengikut kalender akademik dengan mengambil kira faktor sama.

“UA dan IPTS juga perlu memaklumkan jadual akademik dikemaskini kepada semua pelajar tempatan dan antarabangsa

“Bagaimanapun cadangan ini dikemukakan berdasarkan keputusan kerajaan berhubung PKP, KPT akan memaklumkan segera sebarang pindaan sekiranya ada perubahan berhubung status PKP pada masa depan,” katanya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Malaysia tinjau peluang buka universiti di Indonesia

JAKARTA, 10 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia meninjau peluang untuk membuka cawangan universiti awamnya di Indonesia yang mempunyai lebih 260 juta penduduk.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, program lawatan kerja pertamanya ke Indonesia sejak menerajui kementerian itu juga bagi meningkatkan kerjasama pendidikan sedia ada antara kedua-dua negara.

“(Dalam lawatan kerja ini) kita akan melihat ruang dan peluang yang boleh ditawarkan kepada pendidikan Indonesia.

“(Antaranya) ruang yang boleh diterokai untuk membina atau menubuhkan cawangan universiti kita, di Indonesia,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Selain itu, Dr Maszlee berkata, beberapa universiti di Indonesia juga menyatakan minat mereka untuk membuka cawangan, di Malaysia.

Dr Mazlee dijadual bertemu dengan rakan sejawatnya, Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy, untuk perbincangan lanjut berhubung misi lawatannya itu, esok.

Pada lawatan kerja dua hari itu, Dr Maszlee juga akan mengadakan lawatan ke Universitas Muhammadiyah Prof Dr Hamka dan Tzu Chi School selain mengadakan perjumpaan bersama pelajar Malaysia.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Apa guna ranking jika graduan tak dapat kerja

OLEH MAHASISWA PAKATAN HARAPAN

Kami daripada pihak Mahasiswa Pakatan Harapan mahu mengucapkan ribuan tahniah kepada kesemua tenaga kerja universiti-universiti tempatan, kami berbangga dengan pencapaian Universiti Malaya yang kini dalam kalangan 50 universiti terbaik Asia menurut ranking ‘The Times Higher Education World University Rankings 2018’.

Dengan objektif untuk membawa kesedaran di kalangan golongan mahasiswa dalam perbincangan isu-isu nasional, Mahasiswa Pakatan Harapan ingin menyuarakan pendapat berkait kenaikan ranking universiti tempatan baru-baru ini.

Berdasarkan kenyataan ‘The Times Higher Education World University Rankings’, institusi ini menghakimi universiti-universiti berdasarkan 13 faktor prestasi yang menyediakan perbandingan seimbang dalam kalangan universiti-universiti terpilih. 13 faktor prestasi ini boleh di kumpulkan kepada 5 bahagian, iaitu Persekitaran Pembelajaran (30 peratus), Penyelidikan (30 peratus), Petikan (30 peratus), Prospek Antarabangsa (7.5 peratus), dan Pendapatan Industri (2.5 peratus).

Bagaimana pula dengan ranking antarabangsa yang lain seperti Quacquarelli Symonds (QS) yang juga turut diperkatakan oleh menteri-menteri sebelum ini?

Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS)

1. Reputasi Akademik (40%)
2. Reputasi Majikan (hanya 10% & berdasarkan culaan kualitatif)
3. Nisbah Fakulti / Pelajar (20%)
4. Nisbah Petikan setiap fakulti (20%)
5. Nisbah Fakulti Antarabangsa (5%)
6. Nisbah Pelajar Antarabangsa (5%)

Berdasarkan Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS) dan The Times, kebanyakan institusi-institusi antarabangsa lebih memberi tumpuan kepada kualiti pendidikan dan reputasi universiti dalam mempertimbangkan ranking universiti yang dikeluarkan oleh mereka. Institusi-institusi ini tidak menitikberatkan faktor prestasi yang mungkin lebih bermakna kepada mahasiswa-mahasiswa dan graduan-graduan sebagai contoh kadar pengangguran dan purata gaji dalam kalangan graduan.

Besar kemungkinan, situasi ini yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan mahasiswa dan graduan yang semakin lantang dalam mempersoalkan keputusan ranking-ranking universiti tempatan. Ranking kian meningkat tetapi masih gagal dalam menghasilkan graduan-graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang memadai untuk membolehkan graduan mendapatkan pekerjaan di dalam pasaran buruh dan mendapat gaji yang setimpal dengan kelayakan dengan kerja yang mereka lakukan.

Situasi pengangguran di kalangan graduan kini berada di dalam keadaan kritikal. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia, lebih separuh daripada jumlah pengangguran di Malaysia terdiri di kalangan belia walaupun mereka merangkumi hanya 1/3 daripada pasaran buruh negara.

Mungkin masih ramai lagi mahasiwa-mahasiswa dan graduan-graduan di luar sana yang masih belum sedar bahawa dalam kalangan belia yang bekerja, hanya 16 peratus adalah graduan yang berpendidikan tinggi. Ini bermakna 84 peratus belia yang mempunyai pekerjaan kini mempunyai pencapaian pendidikan paling tinggi hanya di peringkat menengah. Kajian yang sama juga menunjukkan lebih separuh daripada jumlah graduan mendapat gaji kurang daripada RM2,000 selepas tamat pengajian.

Mahasiswa Pakatan Harapan menggesa Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh untuk menimbang semula strategi kementerian beliau yang kini lebih mementingkan ranking antarabangsa daripada kebajikan mahasiswa-mahasiswa dan graduan-graduan universiti tempatan.

Mahasiswa Pakatan Harapan juga ingin mencadangkan agar Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh untuk mendedahkan dimanakah anak-anak dan keluarga terdekat beliau melanjutkan pelajaran mereka. Tujuan persoalan ini diutarakan adalah untuk memulihkan kepercayaan kepada beliau dan kementeriannya daripada tuduhan-tuduhan yang telah dilemparkan oleh pelbagai pihak sejak kian lama tetapi kekal tidak berjawab sehingga kini.

Sebagai sebuah organisasi mahasiswa di antara yang terbesar di Negara ini, Mahasiswa Pakatan Harapan berharap Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh akan mengambil serius cadangan-cadangan ini dan akan memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang telah diajukan oleh pihak kami.

MAHASISWA PAKATAN HARAPAN

Na’im Brundage
Mahasiswa Keadilan Malaysia

Khuzairi Mazlan
Mahasiswa Amanah Nasional

Yu Sheng Leong
DAP Varsity

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Kolej Universiti Insaniah kini dikenali UniSHAMS

PUTRAJAYA, 9 FEB: Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah kini secara rasmi bertukar status sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS) selepas menerima Perakuan Pendaftaran daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, semalam.

Perakuan Pendaftaran itu juga sudah diserahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir kepada Rektor UniSHAMS, Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti pada satu majlis, di sini, kelmarin, lapor Berita Harian.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UniSHAMS.

Pada masa sama, Idris berkata, antara syarat penukaran status bagi sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) kepada universiti penuh adalah perlu mencukupi daripada segi bilangan pensyarah berkelulusan doktor falsafah (PhD), mempunyai modal berbayar RM20 juta, program ditawarkan mendapat akreditasi selain menjalankan kajian pendidikan.

“Justeru, perkara ini bukan suatu yang mudah, malahan ada IPT memohon untuk mendapat status universiti penuh tetapi tidak berjaya kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan kementerian.

“Kementerian Pendidikan Tinggi tidak akan berkompromi walaupun kita mesra dengan mereka kerana perlu memastikan semua syarat dipenuhi pihak IPT yang berkenaan dalam menjadikan sistem pendidikan negara terus berkualiti,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Prestasi universiti awam mungkin lebih baik, jika…

OLEH MOHD AMMAR ATAN

Hari ini universiti awam di Malaysia sekali lagi telah mencatatkan peningkatan dalam QSWorld University Rankings tahun ini. Tahniah saya ucapkan kepada universiti-universiti awam seperti Universiti Malaya (bekas universiti saya), Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

Jujur saya katakan saya bangga.

Walau bagaimanapun, kedudukan antarabangsa semata-mata tidak boleh menjadi kaedah komprehensif sepenuhnya untuk menilai sesebuah universiti. Kedudukan antarabangsa menambah nilai sesebuah universiti, dan alat yang sangat baik dalam membimbing pelajar yang mencari universiti yang berpotensi untuk subjek yang mereka minat, tetapi seseorang mesti mengakui bahawa mereka mempunyai had-had juga.

QS World University Rankings, misalnya, mengambil kira enam faktor: reputasi akademik, nisbah pelajar kepada fakulti, petikan (citations) setiap fakulti, reputasi majikan, nisbah fakulti antarabangsa dan nisbah pelajar antarabangsa. Walau bagaimanapun, ini mungkin meletakkan tekanan kepada universiti untuk meningkatkan staf fakulti antarabangsa atau pengambilan pelajar antarabangsa tanpa mengira kualiti individu – menghentam markah dan manipulasi sistem, so to speak.

Lebih penting untuk konteks Malaysia, tiada mana-mana metodologi menyatakan bahawa ia mengambil kira tahap autonomi universiti dalam menjalankan perananya berbanding kerajaan negara-negara masing-masing. Ini juga terpakai kepada Education World University Rankings Times tinggi (yang mengukur pengajaran, penyelidikan, petikan, tinjauan antarabangsa dan pendapatan industri).

Ini bermakna bahawa walaupun universiti awam Malaysia skor baik pada semua tuntutan tersebut, dalam kedua-dua kedudukan, ia mungkin masih tidak menangani masalah besar, iaitu hakikat bahawa universiti awam kita masih tidak menikmati tahap autonomi sebenar dalam kedua-dua bidang akademik dan pentadbiran. Difahamkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi sedang mencuba untuk secara beransur-ansur menukar ini, ia perlu disokong, tetapi berharap ini benar-benar akan membuahkan hasil dalam jangka masa panjang.

Baru-baru ini saya telah mengikuti Seminar Anjuran sebuah badan Think Tank yang menjemput Datuk Seri Idris Jusoh dalam program ini antara banyak-banyak cadangan yang saya perolehi ada satu perkara yang mencuri tumpuan saya, yakni agar
1. Perlembagaan universiti membolehkan profesor untuk memilih kakitangan mereka sendiri untuk menyertai Senat universiti
2. mewakilkan semua membuat keputusan di universiti, dasar pengurusan kepada Lembaga Universiti
3. Memastikan pelantikan semua naib canselor dilakukan secara terbuka dan kompetitif untuk memilih calon yang terbaik

Dan ketiga-tiga cadangan tersebut belum lagi dilaksanakan.

Ammar_AtanKekurangan autonomi universiti bukanlah sesuatu yang baru, telah berlaku sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diluluskan pada tahun 1971 dan pindaan yang lebih drakonian telah dibuat pada tahun 1975. Sejak itu, autonomi dan kebebasan universiti yang pernah dinikmati pada pra- 1971 tidak lagi dirasai generasi terkemudian dan hari ini.

Realiti hari ini, kepimpinan universiti terikat dengan hal birokrasi yang melampau, sebagai contoh urusan rasmi ke luar negara. Naib Canselor perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak lembaga pengarah, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi dan ketua setiausaha kepada kerajaan untuk ke luar negara atas urusan rasmi. Manakala, semua kakitangan universiti lain perlu mendapatkan kebenaran lembaga Naib Canselor, pengarah dan setiausaha agung untuk perjalanan.

Sesetengah universiti awam telah diberikan taraf “autonomi”, tetapi masih tertakluk kepada rangka kerja tadbir urus yang sama dengan perkhidmatan awam, yakni pada gaji, kriteria dan prosedur kenaikan pangkat. Malah, Universiti tidak dibenarkan untuk memutuskan bagaimana untuk memperuntukkan dana dan geran penyelidikan dan perlu mematuhi tatacara perolehan dan kewangan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan. Lebih dahsyat lagi, pelantikan Naib Canselor masih tidak berdasarkan merit dan terletak di atas budi bicara Menteri Pengajian Tinggi.

Mana-mana cubaan untuk meningkatkan autonomi universiti mestilah dengan pindaan tertentu kepada rangka kerja perundangan dan dasar pendidikan tinggi. Ini bermakna bahawa AUKU perlu dipinda. Pindaan tersebut akan membuat struktur tadbir urus dan sistem universiti awam sangat jelas, yang kita semua tahu birokrat perlu melaksanakan apa-apa dasar.

Berkait rapat dengan autonomi universiti adalah hal kebebasan akademik. Sekiranya, pentadbiran universiti tidak bebas dan neutral, bagaimana mungkin kepimpinan universiti mampu untuk mempertahankan kajian staff akademik mereka sendiri apabila mereka meneruskan projek penyelidikan, mengajar atau menerbit kertas yang dianggap “sensitif” kepada kerajaan? Adakah ahli akademik di universiti awam mempunyai kebebasan untuk menyelidik kerja-kerja ilmiah tanpa perlu gusar kepada kerajaan akan langkah apa yang mereka ambil?

Baru-baru ini, Michael Ignatieff, rektor dan presiden Central European University Hungary, menulis berita yang panjang dan lantang tentang apa yang dimaksudkan dengan kebebasan akademik. Dia mengatakan bahawa orang-orang yang beriman kepada universiti perlu bangganya menyatakan bahawa kebebasan kita bukanlah keistimewaan tetapi hak yang telah diraih, “apabila kita menyampaikan kebenaran dan pengetahuan, semua ini adalah amanah rakyat”.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kebebasan akademik bergantung kepada tahap kesihatan institusi demokrasi. Soalan yang tepat buat Malaysia kita tercinta adalah adakah kita mempunyai institusi yang kukuh seperti media bebas, badan kehakiman yang bebas dan agensi-agensi penguatkuasaan yang melindungi rakyat di negara ini di atas semua? Tanpa budaya politik yang betul, ia akan menjadi satu cabaran yang besar untuk meneruskan autonomi universiti dan kebebasan akademik.

Justeru, mereka yang tidak berjuang untuk kebebasan mereka, meraka akan kehilangan kebebasan. Universiti awam di Malaysia hilang autonomi mereka sejak 46 tahun yang lalu. Adakah kebebasan tersebut boleh diperoleh semula?

Jika autonomi sebenar dalam kedua-dua bidang akademik dan pentadbiran dapat diberikan kembali kepada universiti awam yang berdiri sejak lamanya atas dana rakyat, saya percaya mungkin universiti awam di Malaysia boleh pergi lebih tinggi daripada kedudukan antarabangsa dan ruh atau semangat sesebuah universiti boleh diresapi bersama ahli akademik, mahasiswa dan rakyat keseluruhannya.

*Mohd Ammar Atan adalah Mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (2014/2015) dan Exco Pemuda AMANAH Nasioanal

Categories
NASIONAL

Lima universiti Malaysia tersenarai 300 terbaik dunia

SHAH ALAM, 8 JUN: Lima universiti penyelidikan Malaysia tersenarai dalam kalangan 300 universiti terbaik dunia, berdasarkan senarai dikeluarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2017-2018.

Universiti berkenaan adalah Universiti Malaya (UM); Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pencapaian itu sekali gus meletakkan universiti terbabit di kelompok satu peratus teratas dunia dari 26,000 universiti seluruh dunia.

UM kini berada pada kedudukan ke-114 universiti terbaik dunia, meningkat 19 tangga berbanding 133 tahun lalu iaitu di ambang kelompok 100 terbaik dunia.

Manakala UPM berada di kedudukan ke-229 terbaik dunia, UKM meningkat 72 tangga di kedudukan ke-230 berbanding tahun lalu iaitu 302, sementara UTM (253) dan USM (264).

*Sumber: BH Online

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Tujuh universiti Malaysia tersenarai 980 terbaik dunia

SHAH ALAM, 23 SEPT: Tujuh universiti negara ini tersenarai antara 980 teratas dalam Ranking Universiti Dunia Times Higher Education (THE) 2016-17.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berada dalam kelompok 601-800, manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam kelompok 801 ke atas.

Sementara itu, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) buat pertama kali berjaya tersenarai dengan masing-masing dalam kelompok 601-800 dan 801 ke atas.

universiti“Ia adalah berita yang hebat apabila tujuh universiti Malaysia berada dalam senarai terbaru universiti terbaik dunia, termasuk lima yang berada dalam kelompok 601-800,” kata pengarang Ranking Universiti Dunia THE, Phil Baty.

Memetik Bernama, Baty berkata, Malaysia melakukan pelaburan yang besar dalam pengajian tinggi dan memasarkannya sebagai ekonomi pengetahuan dan hab inovasi sejak kebelakangan ini.

“Bagaimanapun, universiti awam negara ini berdepan pemotongan bajet 15 peratus tahun ini, selepas ekonomi terjejas akibat penurunan harga minyak dan komoditi,” katanya.

Secara keseluruhan, 21 universiti dari rantau ini berjaya berada dalam senarai itu tahun ini, berbanding 15 universiti tahun lalu dan Filipina tersenarai untuk kali pertama, manakala Indonesia berjaya menggandakan jumlahnya kepada dua.

Lima universiti terbaik dunia adalah University Oxford, United Kingdom yang berada di tempat pertama, diikuti California Institute of Technology dan Stanford University, kedua-duanya di Amerika Syarikat; University Cambridge, United Kingdom di tempat keempat dan Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat di kedudukan kelima.

Categories
NASIONAL

Lelaki ‘pupus’ di IPTA, Kerajaan perlu tambah universiti dan jurusan berasaskan kemahiran

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Pusat perlu menambah lebih banyak universiti awam bersifat teknikal dan berkemahiran tinggi yang bersesuaian kepada pelajar lelaki bagi memastikan imbangan pasaran pekerjaan adil di masa hadapan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan berkata kedudukan hanya satu universiti awam menawarkan kursus kemahiran perlu diberikan perhatian serisu kerajaan bagi menampung guna tenaga sumber manusia dalam bidang pekerjaan.

universiti“Ini kerana kita khuatir sekiranya peluang yang adil tidak diberikan kepada pelajar lelaki berbanding perempuan kita risau nanti pelajar lelaki tidak mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan semasa,” katanya katanya kepada Selangor Kini.

Laporan media sebelum ini memaklumkan seramai 26,030 orang atau 69.5 peratus pelajar perempuan diterima masuk menyambung pelajaran di IPTA tahun ini berbanding pelajar lelaki seramai 11,437 orang atau 30.5 peratus.

Situasi ini menyaksikan nisbah pelajar lelaki dan perempuan di universiti adalah 30:70.

Berdasarkan statistik daripada 13 IPTA di Malaysia, hanya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatatkan kemasukan pelajar lelaki yang tinggi berbanding universiti lain.

Amidi berkata antara punca kurangnya pelajar lelaki di universiti adalah faktor kematangan pemikiran dalam menentukan hala tuju perancangan masa berbanding pelajar perempuan.

Meskipun bukan sebahagian besar daripada pelajar lelaki berfikiran sedemikian namun kebanyakkan antara mereka cenderung memutuskan hala tuju menyambung pelajaran selepas melihat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selepas tahap umur 17 atau 18 tahun, pelajar lelaki biasanya lebih serius memikirkan hala tuju seterusnya.

“Saya tidak menyebut kesemuanya, tetapi sebahagian besar bahkan mungkin ada segelintir yang telah berjaya dipupuk lebih awal oleh ibu bapa atau individu tertentu dalam menentukan hala tuju lebih awal.

Katanya lagi, meskipun terdapat usaha dilakukan kolej komuniti menambah peluang pendidikan pelajar lelaki namun usaha berkenaan dilihat kurang menarik minat mereka.

“Biasanya pelajar lelaki lepas SPM baru dia fikirkan. Mungkin disebabkan pendedahan tidak begitu baik kepada pelajar terhadap kerjaya masa akan datang.

“Ini menyebabkan mereka tidak tahu apa yang seharusnya mereka lakukan dalam hidup mereka dan apa yang seharusnya mereka capai,” katanya.

EZY