Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar di lima daerah terkawal, tiada kawasan terjejas

SHAH ALAM, 16 NOV: Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor hari ini adalah terkawal dan tiada limpahan besar sehingga mengakibatkan banjir.

Pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS) berkata paras air laut paling tinggi direkodkan 5.6 meter (m) pada 6.25 pagi di Pelabuhan Klang namun tiada penempatan terjejas.

“Selain itu pemantauan benteng pesisir pantai di daerah Klang, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam mendapati struktur penahan air masih kukuh serta selamat.

“Namun kita menasihatkan penduduk di kawasan berisiko mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dari semasa ke semasa,” kata Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir kepada SelangorKini hari ini.

UPBNS mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi dilaksanakan di lima daerah tersebut pada semalam dan hari ini.

Fenomena air laut pasang besar di persisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 m dijangka berlaku berlaku antara jam 5 pagi hingga 6 petang.