Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Mahu Bincang Sumbangan Cukai P.Klang Dengan Persekutuan – FOKUS


Sinopsis

FOKUS Untuk 17062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negara (UPEN) selepas sidang pertama Dewan Rakyat bagi membincangkan sumbangan hasil cukai yang dikutip pihak Kastam kepada penduduk Klang.

2. Pejabat Tanah dan Daerah Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah berjaya meningkatkan kutipan dari hasil cukai kepada lebih RM 300 juta.

Kejayaan itu mendapat pujian daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

3. Penahanan 15 peserta ‘flashmob’ pada Sabtu lepas di hadapan pusat membeli belah Sogo jelas menunjukkan Kerajaan Umno/BN kini ketakutan dengan kebangkitan rakyat menjelang Perhimpunan Black 505.

4. Setelah sekian lama tidak diberi perhatian oleh Kerajaan Sarawak, penduduk pribumi Penan melahirkan kekecewaan dan mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Selangor.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Bincang Dengan Pemaju Hadapi Masalah Air Dua Minggu Lagi

MB PC Mic Tie Blue 01

SHAH ALAM 28 MAC : Kerajaan Selangor akan memanggil pemaju yang masih berhadapan dengan masalah kelulusan projek disebabkan status bekalan air dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah pemaju yang tidak mendapat kelulusan kerana bekalan air.

“Perkara itu sudah diselesaikan, sebelum ini ada usaha daripada Syabas untuk memberitahu kepada pemaju-pemaju yang mendakwa air tidak cukup.

“Jadi, saya telah menubuhkan satu jawatankuasa di bawah jagaan Setiauasaha Kerajaan Negeri untuk memantau keadaan ini, sehingga sekarang semua sudah dapat diselesaikan,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menyampaikan Sumbangan Kerajaan Negeri Selangor kepada waris-waris wira Negara yang terkorban dalam Operasi Lahad Datu Sabah yang diadakan di Bangunan Annex di sini.

Di dalam laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa banyak projek berskala besar yang tidak mendapat kelulusan kerana kononnya terdapat masalah bekalan air terawat.

Noh juga mendakwa lebih 80,000 unit perumahan baru yang memerlukan 147.87 juta liter sehari (jls) tidak dapat dimulakan kerana rizab air di Selangor kurang daripada 20 peratus.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, beliau mencabar Noh untuk mengemukakan senarai projek tertangguh tersebut.

“Baru-baru ini Kerajaan Negeri sudah menyiapkan projek Sungai Selangor Fasa 1 di mana sudah tingkatkan kadar pengeluaran air sebanyak 190 juta liter padu dan tambahan ini banyak untuk keseluruhan kawasan.

“Kelemahan berlaku apabila Kerajaan Barisan Nasional hanya memberikan monopoli kepada satu syarikat Syabas adalah tidak wajar kerana negeri Selangor adalah sebuah negeri yang membangun pesat,” katanya.

Jelas Xavier lagi, masalah projek tertangguh berlaku apabila ia melibatkan soal prosedur dan peraturan antara pihak Syabas dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita sudah memberikan arahan kepada pihak berkuasa tempatan untuk bagi kelulusan …

“Jatawankuasa khas … akan bekerjasama dengan Syabas, UPEN (unit perancang ekonomi negeri) dengan pihak berkuasa tempatan untuk duduk bersama dengan pihak pemaju,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB Arah Jurutera MDKS Kenal Pasti Punca Bumbung Rumah Condong

Tanah Hendap Ijok 01

IJOK, 7 JAN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan pasukan jurutera khas Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yang diketuai Yang Dipertuanya, Noraini Roslan mengenalpasti punca kejadian bumbung condong yang berlaku di Taman Pancaran, Ijok.

Menurut Abdul Khalid, setakat ini keadaan tidak begitu serius dan aspek rekabentuk bumbung, pembinaan serta kualiti bumbung akan diberikan tumpuan dalam mencari punca kejadian.

“Kita akan betulkan semuanya. Kos pembaikan akan ditanggung Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN),” katanya pada sidang media selepas melawat tempat kejadian

Kejadian runtuhan bumbung ini melibatkan 14 buah rumah yang kebanyakan mengalami kerosakkan dibahagian siling.

Turut kelihatan beberapa retakkan struktur dinding rumah terutama di kawasan bilik air.

Sementara itu, Abdul Khalid juga turut menyampakan sumbangan khas kepada semua mangsa berjumlah RM500 bagi setiap rumah.

Jelasnya lagi, terpulang kepada penduduk sama ada untuk berpindah sementara sehingga keadaan kembali selamat.

Seorang penduduk, M Kumaran menceritakan kejadian ini berlaku sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Ketika kejadian beliau dimaklumkan bapanya yang ketika itu mendengar bunyi runtuhan di belakang rumah.

“Bapa saya dengar bunyi macam ada benda jatuh.

“Bila masuk nampak kesan pasir di lantai. Kemudian nampak ada ketulan batu kecil pada siling.

“Kita periksa dan tanya orang sebelah mereka kata tidak ada apa-apa.

“Kemudian jiran pun beritahu dia juga nampak pasir ketika sedang menyapu,” katanya yang menetap di sini hampir 20 tahun.

Categories
SELANGOR

Alinah Mahu Warga PJ Dapat Manfaat ‘Value For Money’

MBPJ Alinah Serah Tugas 01

PETALING JAYA 2 JAN : Datuk Bandar Petaling Jaya yang baru, Datin Paduka Alinah Ahmad berhasrat untuk memastikan agar warga Petaling Jaya mendapat manfaat melalui dasar ‘value for money’ di bawah pentadbiran beliau di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bercakap dalam ucapan sulungnya sewaktu Upacara Penyerahan Nota Serahan Tugas Datuk Bandar Petaling Jaya di Ibu Pejabat MBPJ, beliau berkata hasrat tersebut merupakan perkara penting yang harus dicapai.

“Saya sedar MBPJ merupakan antara PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) yang kukuh kedudukan kewangannya.

“Mempunyai kedudukan kewangan kukuh memang satu kelebihan tetapi yang lebih penting lagi bagaimana pengurusan kewangan itu.

“Inilah merupakan cabaran besar MBPJ dalam memastikan warga pembayar cukai MBPJ rasa berbaloi dan puas dengan apa yang mereka sudah sumbangkan,” tegas Datuk Bandar Wanita Pertama ini di hadapan Ahli-ahli Majlis MBPJ dan ketua-ketua jabatan MBPJ.

Berterima kasih kepada kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang banyak mendidik beliau erti ‘value for money’, Alinah menambah hasrat tersebut tidak akan tercapai melalui usaha beliau seorang sahaja sebagai Datuk Bandar tetapi memerlukan komitmen semua pihak.

“Saya amat yakin, dengan sokongan dan dorongan daripada Kerajaan Negeri terutama Menteri Besar serta seluruh warga kerja, kita pasti berjaya merealisasikan dasar tersebut.

“Ini bukan sekadar tugas dan tanggungjawab kita semua, tetapi ia merupakan satu amanah yang perlu kita laksanakan dengan telus dan jujur,” ujar wanita yang berusia 63 tahun ini.

Berasal daripada Johor, Alinah yang juga merupakan ibu kepada tiga anak ini berpengalaman luas bertugas di bawah Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri sepanjang 24 tahun perkhidmatannya di sektor perkhidmatan awam.

Antara lain, beliau pernah bertugas di Unit Pelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, menjawat jawatan Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan) SUK, Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Ketua Penolong Setiausaha (UPEN) dan terbaru sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Cukai Taksiran MBSA Antara Terendah, Hanya Babitkan Kilang

mbsa-web lama

SHAH ALAM 20 DIS: Kenaikan cukai taksiran yang dikenakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh khususnya pemilik kilang-kilang di kawasan itu adalah antara yang terendah di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, sebagai contoh, kadar cukai taksiran di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah 8.8 peratus, Majlis Perbandaran Kajang (MPkJ) adalah di antara 9.35 hingga 11 peratus dan Majlis Perbandaran Selayang adalah 10.8 peratus.

Katanya, kadar cukai taksiran di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh yang dahulunya dikira mengikut kategori pertanian iaitu di antara satu hingga dua peratus dan setelah pengiraan semula dilakukan mengikut kategori perindustrian iaitu tujuh hingga 7.5 peratus.

“Semakan nilaian ini dilakukan berdasarkan beberapa perkara antaranya perubahan status kegunaan tanah dari tanah pertanian (kosong) kepada tanah industri, tanah kosong yang didirikan bangunan.

“Bagi Kampung Baru Sungai Buloh, semakan dilakukan MBSA pada tahun 2012 dan didapati banyak bangunan baru didirikan, terdapat juga perubahan kepada kegunaan bangunan serta kediaman yang dibina bangunan kilang,” katanya ketika sidang media di Wisma MBSA hari ini.

Sebelum ini, Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendakwa kenaikan cukai pintu sehingga 10 kali ganda berlaku di Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Subang serta kawasan lain mulai tahun depan.

Mohd Jaafar berkata, rata-rata kilang di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh merupakan kilang yang besar dan cukai yang dikenakan masih berpatutan jika dikira berdasarkan pengeluaran yang dikeluarkan kilang di kawasan itu.

“Kebanyakan produk kilang-kilang di kawasan itu ada yang dieksport ke luar negara dan mengeluarkan produk bermutu tinggi namun cukai taksiran yang dikenakan masih rendah,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri membentuk Jawatankuasa Mendengar Bantahan Peringkat Negeri yang dipengerusikan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah dan turut dianggotai beberapa wakil dari Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Negeri Selangor serta wakil daripada Pejabat Perbendaharaan Negeri.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri dan MBSA turut mengadakan sesi dialog sebanyak dua kali sepanjang tahun ini bagi menjelaskan kepada penduduk di Kampung Baru Sungai Buloh berkenaan kenaikan cukai ini.

MBSA turut membuka kaunter penerangan mulai 20 November lalu setiap hari Selasa dan Rabu sehingga bulan Disember ini bagi membantu pemilik tanah mendapatkan makluman berkenaan permohonan kebenaran merancang, permohonan bayaran premium tanah dan lain-lain.

“Kaunter penerangan ini turut diserta agensi-agensi luar seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta Jabatan Pengaliran dan Saliran Selangor,” katanya lagi.

Jika Pusat Tiada Wang, Kerajaan Negeri Sedia Dahulukan

SHAH ALAM 27 NOV : Selangor sedia mendahulukan wang rizab negeri bagi penyelenggaraan infrastruktur demi memberi keselesaan kepada rakyat sekiranya Kerajaan Pusat mengeluarkan jaminan surat hitam putih untuk membayar semula wang berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesa Kerajaan Pusat menunaikan tanggungjawab kerana ini menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya.

Bagi melicinkan gerak kerja ini Kerajaan Negeri akan menubuhkan pasukan khas yang terdiri daripada Menteri Besar, Pegawai Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pasukan khas ini akan membentangkan kepada Kerajaan Pusat mana-mana projek atau infrastruktur yang sepatutnya dibangunkan Kerajaan Pusat di negeri ini.

“Jika Kerajaan Pusat memberi kelulusan secara surat hitam putih kepada sesuatu projek menggunakan duit rizab negeri dan bersedia bayar kembali duit, Kerajaan Negeri sedia mendahulukan wang negeri,” jelas beliau.

Abdul Khalid yang juga Adun Ijok berkata demikian ketika mengulas peruntukan pembangunan bagi tahun 2013 yang diluluskan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebanyak RM59.6 juta.

Beliau turut mempertahankan sistem tender terbuka yang diamalkan Kerajaan Negeri dalam pemberian kontrak sesuatu projek sejak mengambil alih pemerintahan negeri ini.

Tambahnya, amalan ini terbukti menjimatkan wang peruntukan JKR kira-kira 20 peratus.

Setiap kontraktor jelasnya, hanya dibenarkan untuk memperolehi untung sekitar lapan hingga sepuluh peratus sahaja bagi mengelakkan mereka mengagihkan projek kepada sub-kontraktor.

“Pernah seorang kenalan memberitahu yang beliau memenangi kontrak bernilai RM2 juta namun tidak tahu apa-apa mengenai bagaimana projek dijalankan.

“Ini kerana menurutnya, beliau mendapat tender kerana kenal Menteri Besar (pada waktu itu) dan sekadar membahagikan kerja kepada sub-kontraktor.

“Amalan ini yang kita akan ubah,” tegas Abdul Khalid.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kadar Pengangguran Belia di Selangor Rendah

SHAH ALAM 22 NOV : Kadar pengangguran di Selangor adalah rendah dan masih kekal di bawah empat peratus kesan peningkatan sektor perkhidmatan di negeri ini.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, perangkaan yang diberikan Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) menyatakan kadar pengangguran di Selangor adalah 3.9 peratus dan sama seperti tahun sebelumnya.

Katanya, sektor perkhidmatan di Selangor bergerak positif dengan menyumbang sebanyak 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri ini dengan menyediakan lebih 20,000 peluang pekerjaan setiap tahun.

“Kadar pengangguran yang rendah ini didorong oleh perkembangan sektor perindustrian, pembuatan dan perkhidmatan yang memberikan peluang pekerjaan meliputi kerja mahir, separa mahir dan kurang mahir serta profesional,” katanya.

Dr Ahmad Yunus berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Datuk Marsum Paing (BN-Dengkil) mengenai peluang pekerjaan belia di Selangor.

Dalam pada itu, sejak Januari sehingga Julai 2012, sebanyak 142 projek pelaburan baru masuk ke Selangor dan sebanyak 13197 peluang pekerjaan disediakan bagi golongan belia di negeri ini.

Mengikut jumlah keseluruhan peluang pekerjaan sejak 2008 sehingga 2011, sebanyak 102,288 peluang pekerjaan telah diwujudkan di Selangor.

Sementara itu, Kerajaan Negeri sentiasa menggiatkan program bagi meningkatkan peluang pekerjaan di Selangor dengan menyediakan program ‘Jom Kerja’ yang dianjurkan setiap tahun.

Dr Ahmad Yunus berkata, bagi menyediakan golongan belia yang proaktif, Kerajaan Negeri menwujudkan skim latihan teknikal bagi melatih belia yang diadakan di kolej teknikal di Selangor.

“Sebagai contoh, kolej INPENS di Selangor menyediakan kursus-kursus teknikal bagi membantu golongan belia daripada golongan sederhana dan rendah supaya belia di negeri mendapat pekerjaan yang sesuai,” katanya yang merupakan Adun Sijangkang.

Selangor Peruntuk RM500 Juta Atasi Masalah Banjir

DENGKIL, 17 NOV – Kerajaan Selangor akan memperuntukkan RM500 juta bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di seluruh Selangor ekoran keengganan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukkan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Perkara ini bakal dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sesi Dewan Undangan Negeri Selangor, yang akan bermula minggu hadapan.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Kepada Mangsa Bencana Daerah Sepang berkata, Kerajaan Negeri bersedia berbuat demikian memandangkan rizab simpanan negeri telah meningkat sehingga RM2.5 billion.

Menurutnya, beliau telah memanggil pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat beberapa kajian dimana lokasi yang mempunyai potensi besar berhadapan bencana banjir apabila air pasang sebagai perancangan jangka pertengahan.

“Untuk perkara itu sudah semestinya kita memerlukan dana. Sudah semestinya proses pembaikan dana terbesar datangnya dari kerajaan persekutuan melaluli Rancangan Malaysia.

“Walaubagaimanapun empat tahun kebelakangan ini dana tersebut tidak turun.

“Untuk menyelesaikan masalah ini, saya akan menggunakan dana rizab Selangor.

“Rizab Selangor telah meningkat dari RM600 juta kepada RM2.5 billion. Oleh sebab itu, kita akan gunakan RM500 juta untuk mendahulukan peruntukkan Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Saya akan nyatakan perkara ini pada sesi Dewan Negeri nanti,” katanya.

Untuk perancangan jangka pendek, Abdul Khalid juga telah meminta Pegawai Daerah Sepang, Haris Kasim sebagai pengerusi untuk memantau dan memberi laporan mingguan terperinci berhubung masalah banjir di Selangor.

“Kedua saya meminta membuat cadangan, apa yang perlu kita lakukan antara lain seperti membuat kolam takungan, membesarkan parit bagi memudahkan penyimpanan air sebagai persediaan jangka panjang.

“Akhirnya, kita akan menyediakan pelan penempatan di lokasi banjir yang sukar diselesaikan,” jelasnya lagi.

Awal bulan ini menyaksikan beberapa kawasan di Dun Dengkil dan Daerah Sepang berhadapan bencana banjir yang melibatkan sembilan buah kampung dan tujuh buah taman.

Justeru itu, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan sebayak RM500 untuk setiap keluarga bagi meringankan beban yang dihadapi.

Majlis penyerahan sumbangan kepada 250 buah keluarga petang tadi, Abdul Khalid diiringi oleh Exco Kebajikan, Wanita, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail serta Pegawai Daerah Sepang, Haris Kasim.

Abdul Khalid juga turut meluangkan masa bertemu beberapa keluarga di Kampung Sri Tanjung dan melihat sendiri keadaan Sungai Langat yang terletak di Taman Permata.

Ahmad Tarmizi Mohd Zain, 31 dari Kampung Chemperai yang ditemu berkata, kejadian banjir kali ini merupakan yang terburuk pernah dihadapinya berbanding sebelum ini.

Katanya, dalam kejadian banjir sekitar jam 3.00 pagi itu, air naik sehingga paras bawah lutut.

“Saya sempat menyelamatkan ahli keluarga dan beberapa barangan untuk diletakkan di tempat yang tinggi.

“Ini kejadian kedua, sebelum ini bahagian dapur sahaja dinaiki air.

“Syukur Alhamdulillah kerana bantuan ini hadir disaat saya memerlukan. Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Tarmizi Ahmad, 39, dari Kampung Semarang, berkata, ini merupakan pengalaman pertama berhadapan bencana banjir dan beliau menghadapi kerugian yang dianggarkan bernilai RM7,000.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Agih Hamper Deepavali Kepada Keluarga Miskin

SHAH ALAM, 10 NOV : Kerajaan Negeri menyediakan 39,000 hamper barangan makanan sempena sambutan Deepavali pada Selasa ini untuk diagihkan kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata semua hamper barangan tersebut disumbangkan kepada masyarakat India berpendapatan rendah.

Beliau berkata setiap DUN akan menerima antara 500 hingga 700 hamper bergantung kepada populasi penduduk di dalam DUN berkenaan.

“Antara kandungan hamper ialah beras lima kilogram, minyak masak dua kilogram, meehun, tepung maruku serta paket kari ayam, kari kambing dan kari kurma,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, kerja pengagihan dilakukan pegawai dan kakitangan Seksyen Sektoral dan Unit Makro dan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Selangor.

“Pejabat DUN dan Pusat Khidmat akan mengagihkan semua hamper kepada penduduk di kawasan mereka apabila bekalan diterima.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Tidak Pernah Tolak Permohonan Buka Kilang

KLANG 07 NOV : Kerajaan Selangor akan membantu pengusaha yang ditolak permohonan untuk membuka kilang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) atas alasan tidak cukup bekalan air di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Kerajaan Negeri tidak akan menolak mana-mana syarikat atau pelabur baru yang mahu membuka operasi baru di Selangor.

Pengusaha kilang terbabit boleh berjumpa dengan agensi kerajaan negeri untuk mendapat penjelasan sebenar tentang status bekalan air Selangor.

Mereka disaran untuk berjumpa Majlis Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Pusat Pelaburan negeri (SSIC) serta Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN).

“Kalau mahu membuat permohonan untuk membuka kilang, pengusaha kilang boleh berjumpa dengan mereka atau saya sendiri di pejabat.

?Kita boleh beri penjelasan kerana kita mempunyai kajian terperinci.

“Pengusaha kilang tidak perlu berjumpa dengan mana – mana badan bukan kerajaan (NGO) atau Syabas,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Pelajar Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan mendakwa lebih 1,000 permohonan membuka kilang baru ditolak Syabas atas alasan terdapat krisis air di Selangor.

Dr Xavier berkata kajian yang dibuat oleh Jawatankuasa Air Negeri menunjukkan bahawa dakwaan terdapat krisis air di Selangor adalah tidak tepat.

Loji Rawatan Air Bukit Jelutong Perintis Teknologi Membran

 

SHAH ALAM, 31 OKT : Kerajaan Negeri Selangor merancang menjadikan loji rawatan air di Bukit Jelutong,Shah Alam yang ditutup pada 1995 sebagai projek perintis penggunaan teknologi penapisan membran.

Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia dilaksanakan bagi menambah keupayaan menghasilkan air terawat sebanyak 50 hingga100 juta liter sehari (mld) dan mampu membekalkan lebih daripada separuh keperluan permintaan air tambahan di Shah Alam.

“Saya bersama pegawai-pegawai Unit Perancang Ekonomi (Upen) Negeri Selangor melakukan lawatan ke loji tersebut yang terletak di Bukit Jelutung Shah Alam,” kata Dr Xavier dalam kenyataan medianya.

Turut serta ialah pegawai-pegawai dari Konsortium Abbas dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) serta wakil-wakil dari syarikat konsultan.

Beliau berkata, loji air tersebut dibina sekitar tahun 1963 dan ditutup awal 1995 ekoran sumber airnya di Sungai Damansara tercemar di tahap empat.

Katanya, aset tersebut adalah milik Kerajaan Negeri Selangor dan merancang membukanya semula selepas kerja-kerja baik pulih dan naik taraf insfrastruktur loji dalam tempoh 6 bulan.

“Anggaran kos tersebut sekitar RM50 juta hingga RM80 juta dengan Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos tersebut.

“Kerajaan Negeri mengarahkan syarikat konsultan untuk menyiapkan laporan dalam masa dua bulan bagi diteliti dan diberikan penilaian oleh seksyen Makro dan Penswastaan, Unit Perancang Ekonomi Selangor,” kata beliau.

Beliau berkata, ini merupakan antara daya usaha Kerajaan Negeri untuk mendapatkan sumber air alternatif serta teknoloji yang belum diterokai dalam usaha membekalkan air terawat yang mencukupi kepada rakyat Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Situasi Sebenar Air Selangor Akan Diketahui Setiap Hari

SHAH ALAM, 16 OGOS : Rakyat Selangor akan mendapat maklumat terkini tentang situasi bekalan air negeri setiap hari daripada Jawatankuasa Pemantau Kerajaan Negeri terhadapĀ  Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Jawatankuasa tersebut akan mengeluarkan kenyataan akhbar setiap hari selepas selesai mengadakan mesyuarat harian dengan pengurusan Syabas.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah ini bertujuan memaklumkan perkembangan terkini tentang status pembekalan dan perkhidmatan air kepada seluruh rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Cara ini juga membuktikan Kerajaan Selangor sangat telus dalam menangani isu pembekalan air demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan setimpal dengan kadar tarif air yang dibayar.”

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Jawatankuasa Pemantauan SYABAS yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi betanggungjawab memantau operasi SYABAS bermula 18 Julai lalu.

Ia anggotai pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS).

Laporan pertama jawatankuasa mendapati keupayaan pengeluaran semua 34 loji ialah 4,807 juta liter sehari (MLD) berbanding keupayaan agihan SYABAS 4,371 MLD.

Ini bermaksud terdapat lebihan 436 MLD yang Syabas tidak mampu agihkan.

Sebelum ini, dilaporkan jawatankuasa tersebut juga mendapati angka peratusan rizab air terawat yang dikeluarkan Syabas sebanyak dua peratus tidak tepat.

Rizab kapasiti pengeluaran sebenar pada masa ini adalah 11 peratus dan akan meningkat kepada 18 peratus selepas Mac 2013 apabila projek mitigasi air siap sepenuhnya.