Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

UPKK ditunda ke Okt 2021, beri peluang sedia – menteri

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK) bagi tahun ini ditunda berikutan penularan pandemik Covid-19 dan akan dilakukan serentak dengan UPKK tahun depan iaitu dari 4 hingga 7 Oktober 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan itu dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) setelah mempertimbangkan kepentingan semua pihak.

Beliau berkata ia melibatkan lima subjek bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab dan Lughah Al-Quran.

“Sementara ujian bagi subjek al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan dan Tafsir al-Quran akan dilaksanakan 1 hingga 30 September 2021. Jadual pelaksanaan bagi ujian bertulis, amali dan lisan akan dimaklumkan kelak.

“Penjadualan ini membolehkan calon membuat persediaan mencukupi sebelum menduduki peperiksaan, tahun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan pindaan turut dilakukan untuk penilaian subjek berbentuk amali yang merangkumi Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam.

Katanya, sebarang catatan penilaian sepanjang sesi persekolahan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) termasuk ujian bulanan, aktiviti dalam dan luar bilik darjah, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh diambil kira sebagai satu bentuk penilaian.

UPKK dilaksanakan semasa pelajar berada di tahun lima dan calon UPKK perlu menduduki kelas KAFA iaitu program pengukuhan berkonsepkan pendidikan Islam peringkat rendah, sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun untuk menduduki peperiksaan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM saran Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dibatalkan – menteri

PUTRAJAYA, 15 APRIL: Semua Majlis Agama Negeri disaran agar membatalkan Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata kementeriannya telah berbincang dengan kesemua Majlis Agama Negeri mengenai pembatalan peperiksaan itu, mengambil kira keselamatan murid.

“Saya sudah berbincang dengan semua Majlis Agama Negeri berkaitan ujian Kafa dan sebagainya, kita tekankan bahawa negeri-negeri secara umumnya mengambil langkah yang sama.

“Apa yang penting adalah keselamatan anak-anak, mereka masih kecil dan tempoh pengajian masih jauh lagi,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Radzi berkata jumlah pelajar UPSR tahun ini iaitu lebih 450,000 orang disifatkan satu jumlah yang besar dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Susulan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menyampaikan saranan itu agar selaras dengan keputusan KPM.

Mengulas mengenai kelas pra-sekolah di bawah KPM, Mohd Radzi berkata ia juga perlu ditangguhkan sehingga keselamatan murid-murid terjamin.

“Fokus kita adalah kepada murid yang mudah dikawal oleh guru. Cabaran utama yang di Tadika adalah untuk melakukan penjarakan sosial (dalam kalangan murid-murid Tadika).

“Apabila sekolah dibuka (selepas PKP) yang pergi ke sekolah dahulu adalah tingkatan lima dan enam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kekal keputusan UPKK tertinggi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 APR: Selangor kekal mencapai kedudukan tertinggi dalam keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi kategori Negeri Terbaik dengan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 4.1.

Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan, Mohd Jaafar Komari berkata, Selangor juga dinobat sebagai negeri paling ramai calon yang mendapat agregat 8A iaitu 7,955 (30.49 peratus) yang diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepaa JAKIM kerana memberi peluang kepada pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) untuk turut mengambil ujian UPKK, tahun lalu.

“Pembabitan SRA dan SRI dalam UPKK menyumbang kepada peningkatan kecemerlangan UPKK negeri daripada sudut kuantiti serta kualiti calon.

UPKK (3)“Justeru, saya menyeru lebih banyak lagi sekolah SRA dan SRI Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil peluang sebaik mungkin, tahun ini,” katanya mewakili Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim.

Beliau berkata demikian ketika perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Tinggi Agama MAlaysia (STAM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi 2016 di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, pencapaian UPSR di SRAI terdapat 985 calon mencapai GPN 2.0 dengan peratus kelulusan 94.92 peratus.

“Cabaran tahun lalu apabila berlaku perubahan format ujian dari 5A kepada 6A dengan penambahan kertas Bahasa Inggeris dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Saya berharap warga SRAI JAIS terus berusaha menggilap potensi murid supaya terus cemerlang dalam bidang akademik, di samping tidak mengabaikan aspek sahsiah,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN

UPKK: 46,461 calon peroleh 8A

PUTRAJAYA 15 FEB: Seramai 46,461 calon (23.9 peratus) yang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2016 memperoleh 8A, peningkatan empat peratus berbanding tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata semua calon mencatat kelulusan 100 peratus, pencapaian selama tiga tahun berturut-turut bagi peperiksaan itu sejak 2014, lapor BH ONLINE.

“Mata pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) mencatat kadar lulus tertinggi iaitu 99.9 peratus, diikuti mata pelajaran al-Quran yang mencatat 99.6 peratus kelulusan.

“Pencapaian ini menunjukkan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, Tilawah Al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan UPKK 2016 di sini, hari ini.

Bagi mata pelajaran lain, Jawi dan Khat mencatat kelulusan (94.23 peratus), Lughatul Quran (91.83 peratus) dan Adab (Akhlak Islamiah) (90.48 peratus).

Seramai 194,258 calon menduduki peperiksaan itu 4,469 pusat peperiksaan seluruh negara.

Keputusan UPKK 2016 boleh disemak secara atas talian dan SMS bermula jam 11 pagi, serta di sekolah bermula jam 3 petang.

=EZY=

Categories
SELANGOR

UPKK: Selangor terbaik dengan 5,152 calon dapat 8A

SHAH ALAM 15 JAN: Selangor merekodkan pencapaian calon paling ramai mendapat 8A iaitu 5,152 calon dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata ia diikuti Kelantan dan Terengganu dengan masing-masing seramai 4,559 dan 4,148 calon.

Katanya seramai 37,271 atau 20.07 peratus calon yang menduduki UPKK di seluruh negara pada tahun lepas mencatat keputusan 8A.

upkk“Kejayaan itu merupakan peningkatan sebanyak 4.78 peratus daripada 15.29 peratus yang dicatatkan tahun sebelumnya.

“Keputusan UPKK 2015 juga menyaksikan semua negeri mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus tanpa D, sama seperti tahun sebelumnya,” katanya dipetik BERNAMA.

Othman berkata pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) adalah 1.70 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 1.76, menyaksikan Selangor muncul negeri terbaik dengan GPN 1.484 mata, diikuti Wilayah Persekutuan dan Melaka dengan GPN 1.488 dan 1.533 mata.

Seramai 185,675 calon menduduki peperiksaan UPKK melibatkan lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat; Penghayatan Cara Hidup Islam; Bidang Al-Quran; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Pelajaran Jawi; Sirah; Adab (Akhlak Islamiah) dan Bahasa Arab.

Othman berkata mata pelajaran Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 100 peratus, diikuti Bidang Al-Quran dengan 99.5 peratus lulus.

Ini menjadi penanda aras kepada kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian, katanya.

Beliau berkata mata pelajaran Jawi dan Khat mencatat kelulusan 92.27 peratus, diikuti Adab 90.74 peratus; Bahasa Arab (88.60 peratus); Ulum Syariah (82.92 peratus) dan Sirah (82.04 peratus).

“Bagi memastikan kecemerlangan berterusan JAKIM akan terus perkasakan kemahiran guru melalui latihan secara berterusan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Pelajar cemerlang UPKK buru kerjaya profesional

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerjaya profesor dan pakar sains menjadi buruan dua pelajar cemerlang Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) peringkat Selangor 2014.

Pelajar cemerlang kategori perempuan, Azzah Abdul Rahim, 12, percaya tangga seterusnya untuk dia bergelar profesor adalah menempatkan diri di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar (MTIB).

jais kafa 4“Saya minat menjadi profesor untuk memberi ilmu kepada anak muda.

“Semoga dengan ilmu baik itu dapat melahirkan lebih ramai orang Islam yang berjaya dunia dan akhirat,” kata anak keempat dari enam beradik ini.

Azzzah hadir menerima anugerah yang disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAais), Datuk Haris Kasim dalam satu majlis di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini, hari ini.

Sementara itu, pelajar cemerlang kategori lelaki, Muhammad Aliff Mahfuz Zulkarami, 12, dari Sekolah Sri As-Syakirin pula berminat menjadi ahli sains.

jais kafa 2“Sejak kecil lagi kami memang melakukan pelbagai ransangan minda untuknya seperti memasang cakera padat berbentuk keagamaan.

“Kejayaan ini juga hasil tunjuk ajar dan kerja keras guru yang tidak jemu mengadakan kelas tambahan selepas sesi sekolah tamat,” kata ibunya, Cik Azizah Ibrahim, 39, yang juga guru Matematik.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor ulangi kejayaan, 100% lulus UPKK & UPSR

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 FEB: Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Rendah Agama Integrasi seluruh Selangor sekali lagi mencatat kelulusan 100 peratus bagi tahun 2014.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya kini berbincang lanjut dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membenarkan pengambilan UPKK di Sekolah Rendah Agama (SRA) juga atas pencapaian cemerlang itu.

upsr-1“Kita jangkakan hujung tahun ini dapat dilaksanakan di SRA atau mungkin bermula tahun hadapan.

“Sukatan pelajaran tidak berbeza kerana ajaran Islam itu satu sahaja,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan UPKK dan UPSR 2014 peringkat Selangor, di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jais, Mohamad Amir Danuri dan Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jakim, Tarmizi Ahmad.

Lebih 17,000 calon UPKK di tahun lima sekolah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) mencatatkan kelulusan penuh dalam lapan mata pelajaran seperti amali solat, bidang Al- Quran dan ulum syariah.

Murid Kafa Selangor berpeluang menduduki dua peperiksaan iaitu UPKK di tahun lima dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) di tahun enam.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Cemerlang Dalam Ujian Kafa

SHAH ALAM 14 DIS : Selangor mencatatkan 100 peratus pelajar lulus Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK) 2012 sekaligus muncul negeri terbaik dengan mata 1.55 mata, diikuti Melaka dan Terenggganu.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata secara keseluruhannya, daerah Kuala Selangor muncul daerah terbaik dengan Gred Purata National (GPN) 1.36.

Ini diikuti Sepang dengan GPN 1.46 dan daerah Hulu Selangor dengan GPN 1.48.

Katanya, seramai 15,933 pelajar menduduki ujian yang bermula Oktober lalu itu.

Daripada jumlah itu, seramai 8,624 calon berjaya memperolehi pangkat A berbanding 6,617 orang pada 2011.

Bagi pencapaian agregat 8A adalah sebanyak 2,613 orang berbanding 1,185 pada 2011 yang mana peratusan tertinggi daerah yang teramai calon mendapat 8A ialah Kuala Selangor iaitu 34.05 peratus, Kuala Langat 23.23 peratus dan Klang 22.54 peratus.

Mengikut mata pelajaran, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam mencatat kadar lulus yang tertinggi iaitu 100 peratus dan Al Quran pula sebanyak 98.98 peratus.

Halimah menambah peningkatan pencapaian pelajar dalam peperiksaan itu membuktikan keberkesanan program pendidikan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri selama ini.

Jelasnya, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sentiasa ingin melihat sistem pendidikan Islam di Selangor mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam apa jua bidang.

Beliau berkata selain misi menjadikan Selangor sebagai hab pendidikan, sistem pendidikan Islam di Selangor diharapkan dapat menjadi contoh terbaik.

“Kejayaan ini diharapkan akan berterusan pada tahun seterusnya dan Kerajaan Negeri akan merancang inisiatif lain untuk pendidikan di negeri Selangor.

“Teras utama Kerajaan Negeri ialah untuk memacu permodenan insan,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, tiga belas buah negeri mencatatkan keputusan lulus seratus peratus dalam peperiksaan UPKK 2012 berbanding 12 buah negeri pada tahun lepas.

Hanya Wilayah Persekutuan mencapai keputusan 99 peratus lulus.

Secara keseluruhan, 24,962 calon mendapat 8A berbanding 17,684 pada 2011. Jumlah tertinggi mendapat 8A ialah di Terengganu iaitu sebanyak 21.69 peratus, diikuti Melaka 21.50 peratus dan Sabah sebanyak 18.34 peratus.