Categories
AGENDA NASIONAL

10,000 pelajar UPM kembali ke kampus mulai 16 Mac ikut SOP ketat

PUTRAJAYA, 12 FEB: Seramai 10,000 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dibenarkan kembali ke kampus dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat secara berperingkat bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2021/2022 dan mendaftar di kolej kediaman bermula 16 hingga 18 Mac depan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM Prof Dr Arifin Abdu berkata selaras dengan ketetapan ini semua gerak kerja dan persediaan bagi menerima ketibaan pelajar untuk pulang ke kampus sedang giat dilaksanakan.

“Bagi mencegah risiko penularan pandemik Covid-19 dalam kampus UPM, pihak pengurusan kolej-kolej kediaman UPM telah mengambil keputusan bahawa semua proses dan prosedur berkaitan kemasukan dan pendaftaran pelajar hendaklah dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pendaftaran untuk menginap di kolej kediaman bagi pelajar Semester Kedua Sesi 2021/2022 akan mengutamakan langkah keselamatan seperti mengisi borang pengisytiharan kesihatan, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan pensanitasi tangan dan penjagaan kesihatan diri yang rapi.

Katanya pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin dan telah mendapat dos penggalak dibenarkan kembali ke kampus dan wajib melaksanakan kuarantin tujuh atau lima hari setibanya dari negara asal di pusat kuarantin yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (KKM) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Muda dilantik Pro Canselor UPM, berkenan kurnia ijazah kepada 954 graduan

SHAH ALAM, 15 JAN: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pemahsyuran disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang merupakan Canselor UPM pada Rabu lalu di Istiadat Konvokesyen ke-44.

Pelantikan berkuatkuasa selama tiga tahun bermula Oktober 2021 hingga Oktober 2024 itu turut melibatkan Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim untuk jawatan sama.

Facebook Selangor Royal Office memaklumkan selepas pemahsyuran terbabit Tengku Amir berkenan mengurniakan ijazah kepada 954 graduan.

Sultan Sharafuddin berkenan mengabadikan gambar bersama Tengku Amir yang baharu dilantik sebagai Pro Canselor UPM.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenan mengabadikan gambar bersama DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang baru dilantik sebagai Pro Canselor UPM. Foto Facebook Selangor Royal Office
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelajar buta bukti kemampuan, genggam ijazah UPM lepas empat tahun

SERDANG, 14 JAN: Kurang upaya penglihatan sejak dilahirkan bukan penghalang kepada Nurul Najwa Khairunissah Hassim untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu selepas mengikuti pengajian selama empat tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Nurul Najwa Khairunissah, 28, berkata dia menyambung pengajian di UPM pada 2016 selepas memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan bersekolah di St John’s Institution di Bukit Nenas, Kuala Lumpur.

Anak jati Terengganu itu berkata dia amat gembira kerana penantiannya selama dua tahun untuk bergraduasi secara bersemuka selepas menamatkan pengajian pada 2020 akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya bersyukur dan bernasib baik kerana dapat bergraduasi hari ini memandangkan masih ada universiti lain tidak dapat melaksanakan majlis seperti ini.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada UPM dalam menjayakan majlis ini walaupun kita masih dalam norma baharu,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Konvokesyen UPM ke-44 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, di sini semalam.

Berkongsi pengalamannya mengharungi cabaran sebagai seorang pelajar yang mempunyai kekurangan penglihatan, Nurul Najwa Khairunissah berkata antara cabaran yang terpaksa dihadapi ialah mendapatkan bahan rujukan.

“Bagi OKU penglihatan, agak sukar bagi kami untuk mendapatkan bahan kerana kebanyakan bahan di sini dalam bentuk salinan cetak.

“Saya perlu menukarkan salinan cetak itu kepada salinan lembut. Jadi, saya memerlukan sedikit masa untuk imbas dan mendengarnya menggunakan aplikasi Screen Reader’,” katanya yang turut menggunakan khidmat sukarelawan ‘Reader’ untuk membaca bahan tugasan ketika diperlukan.

Nurul Najwa Khairunissah berkata sepanjang pengajiannya di universiti itu, beliau merasakan kebajikannya terjaga.

“UPM sangat menjaga kebajikan pelajar OKU sama ada penglihatan mahupun fizikal. Sebagai contoh, universiti ini menyediakan kemudahan seperti pengangkutan untuk saya dan OKU lain dihantar ke kelas mahupun pulang ke kolej kediaman,” katanya.

Menurut Nurul Najwa Khairunissah, rakan-rakannya sentiasa mengambil berat terhadapnya manakala pensyarah pula mudah didekati.

“Jika kita tidak faham atau perlukan bantuan mereka (pensyarah), mereka sudi membantu tidak kira waktu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Muda kurnia ijazah kepada 945 graduan UPM

SERDANG, 13 JAN: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengurniakan ijazah kepada 945 graduan di dalam Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-44

Majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu melabuhkan tirainya dengan penuh teratur serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

Naib Canselor UPM Prof Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata 5,695 graduan telah selamat menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Beliau berkata 398 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana (1,093 graduan), Sarjana Muda (3,544 graduan) serta Diploma (660 graduan).

Tambahnya, pada sesi ini UPM berjaya melahirkan 11 graduan sulung bagi program Sarjana Keusahawan.

“Saya percaya, kejayaan pada hari ini boleh menjadi pemangkin kepada para graduan untuk memberikan sumbangan yang signifikan kepada keluarga, masyarakat dan negara, dalam apa-apa juga bidang yang diceburi,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Sementara itu beliau berkata UPM sentiasa cakna dalam melestarikan program kesukarelawan terutama dalam membantu warganya khususnya pekerja dan pelajar yang terlibat dalam bencana menerusi insiatif ‘Putra Cakna’ di bawah panji Putra Bakti.

“Sebanyak 60 misi bantuan banjir telah digerakkan oleh Pusat Tanggungjawab UPM yang melibatkan hampir 2,000 sukarelawan dari kalangan pelajar dan staf,” katanya.

Mohd Roslan merakamkam ucapan penghargaan kepada seluruh warga UPM yang bersama memakmurkan masyarakat yang terkesan akibat banjir khususnya di kawasan Selangor.

“Seiring dengan moto UPM ‘Berilmu,Berbakti’ inilah nilai empati dan semangat kebersamaan dan kekitaan yang ingin kita suburkan dan lestarikan dalam kalangan pelajar dan warga universiti ini secara amnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor gesa graduan UPM sanjung tinggi perlembagaan, undang-undang

SERDANG, 13 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) agar sentiasa menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara.

Baginda juga mengingatkan para graduan agar bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara sekali gus menjadi warganegara bertanggungjawab dan berintegriti tinggi.

“Beta ingin menggesa para graduan, berjuang untuk meningkatkan martabat ibu bapa, keluarga dan negara ke peringkat yang lebih tinggi dengan ilmu yang dipelajari,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-44 di sini semalam.

Sultan Sharafuddin yang juga Tuanku Canselor UPM dalam titahnya turut menyentuh peranan universiti bukan sahaja untuk menyediakan graduan bagi memenuhi pasaran kerja malah melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk menjadi individu yang aktif, bertanggungjawab, beradab, beramanah dan menjunjung tinggi tatacara kehidupan insaniah.

“Graduan seperti ini akan membawa rahmat dan kesejahteraan kepada insan lain dan alam persekitaran serta akhirnya menjamin masa depan yang lestari. Kejayaan diraih bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari segi keperibadian diri graduan,” titah Baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin juga bertitah Pelan Strategik UPM 2021-2025 dilancarkan pada Disember lepas mampu memperkukuh universiti berkenaan sebagai menara ilmu yang memacu kecemerlangan.

Baginda bertitah UPM memberi fokus kepada lima strategi utama di bawah pelan strategik iaitu memacu pertanian berteknologi tinggi; membangun karektor graduan; menaja kampus pintar dan pendigitalan; memastikan kesempurnaan institusi yang mantap dan melaksanakan pembudayaan norma baharu.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menitahkan warga UPM termasuk para graduan yang bakal menjadi alumni untuk menyokong pelaksanaan pelan strategik itu.

“Beta difahamkan pengurusan universiti ini sentiasa melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan berterusan untuk mengangkat UPM sebagai sebuah menara ilmu melalui peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional terhadap masyarakat,” titah Baginda.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenan menyampaikan Pingat Emas Canselor kepda Aini Nazihah Hasan ketika Istiadat Konvokesyen UPM ke-44 pada 12 Januari 2022. Foto BERNAMA

Pada istiadat konvokesyen itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan memasyhurkan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim sebagai Pro Canselor UPM selama tempoh tiga tahun mulai 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.

Baginda juga berkenan menyampaikan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Aini Nazihah Hasin@Hassan (Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik Dengan Kepujian) Fakulti Sains dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) kepada Putera Mohamad Iskandar Jamil (Ijazah Sarjana Muda Sains Hortikultur) Fakulti Pertanian.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia Fakulti Ekologi Manusia, Chow Heng Yee pula menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera).

Sultan Selangor turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan warga UPM atas kejayaan berada di tangga 143 dalam penarafan QS World University Ranking 2022 serta kejayaan mengekalkan kedudukan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan ranking ke-27 terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

UPM kekal universiti paling lestari di Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus cemerlang sebagai universiti paling lestari di Malaysia apabila merangkul kedudukan pertama di negara ini dalam Ranking Universiti Dunia UI-GreenMetric 2021, 12 tahun berturut-turut.

Menurut UPM dalam satu kenyataan, universiti itu juga berjaya meningkatkan kedudukan kepada tangga ke-27 dalam “Top 50 Sustainable Universities in The World” (50 Universiti Lestari Terbaik di Dunia) bagi penarafan berkenaan pada tahun ini dan juga disenaraikan sebagai universiti ketiga terbaik di Asia.

Naib Canselor UPM Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dalam kenyataan itu berkata universiti itu akan terus komited mendukung usaha kelestarian dan menyebarluaskan pengetahuan dengan memfokus kepada pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Usaha-usaha kelestarian akan terus dilaksanakan oleh warga kampus dalam menyahut hasrat UPM iaitu “Menggema Seruan Al-Falah Dari Menara Ilmu” dan memastikan Pelan Strategik UPM 2021-2025 mampu dicapai,” kata Mohd Roslan.

Penarafan kampus lestari meliputi skop infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan pendidikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI sedia dana RM5 juta kepada UPM, perkasa penyelidikan

SERDANG, 1 NOV: Sebanyak RM5 juta dana endowmen akan disediakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tujuan penyelidikan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyelidikan berkaitan ekonomi dan pengurusan di Malaysia dan dunia itu dilakukan selepas penubuhan Kursi MB Selangor.

“Ini situasi menang-menang di mana kajian-kajian tersebut akan segera kita gunakan dan dijadikan panduan.

“Pada masa sama UPM dapat mengembangkan kajian… sekali gus meningkatkan kualiti dan taraf universiti ini sebagai universiti terkemuka di Malaysia dan juga dunia suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penubuhan Kursi MB Selangor antara MBI dan UPM di Bangunan Canselori UPM di sini, hari ini.

Amirudin berkata beliau yakin kerjasama itu mampu memberikan hasil dan impak yang besar kepada kedua-dua pihak sama ada UPM atau Kerajaan Negeri.

“Kita sediakan endowmen RM5 juta…saya percaya endowmen sebagai contoh pelaburan…dan dikembangkan menjadi pinjaman dan biasiswa kepada mereka yang kita akan letak di Kursi ini,” katanya.

Bentuk kajian akan dicadangkan sendiri pengisi Kursi di mana kemudiannya jawatankuasa profesional akan menilai cadangan kajian berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB dilantik penaung Persatuan Alumni UPM

SHAH ALAM, 21 OKT: Dato’ Seri Amirudin Shari dilantik sebagai penaung Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) untuk sesi 2021-2023.

Pusat Perhubungan Alumni UPM dalam kenyataan di Facebook semalam mengucapkan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar atas pelantikan itu.

Menurut laman sesawang universiti berkenaan, Amirudin yang juga bekas graduan meraih Ijazah Sarjana Muda dalam Pembangunan Manusia pada 2003.

Beliau bergiat aktif dalam aktiviti pelajar semasa di kampus selain terkenal sebagai seorang pendebat.

Selepas meninggalkan universiti, beliau berkhidmat sebagai penyelaras program di Institut Kajian Dasar, yang menyumbang kebangkitan kebudayaan dan pembinaan masyarakat madani.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sirim bantu IMR, UPM bangunkan pelalian tempatan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Sirim Bhd akan bekerjasama dengan institusi tempatan dalam kajian di peringkat permulaan pembangunan vaksin Covid-19 di Malaysia, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Ahmad Sabirin berkata tiga institut yang terlibat iaitu Institut Kajian Perubatan (IMR), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Veterinar di Ipoh, Perak serta Sirim berupaya melaksanakan pengujian bagi vaksin yang dibangunkan oleh tiga agensi ini.

“Sirim sedia memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada pembangunan vaksin tempatan, agar mematuhi standard antarabangsa bagi keselamatan, keberkesanan dan proses pembuatan.

“Sirim telah mengadakan perbincangan dengan pihak IMR untuk turut sama menyumbang dalam pembangunan vaksin tersebut di peringkat pra-klinikal sebelum ‘clinical trials’ dan peringkat penghasilan vaksin pada skala pilot,” katanya.

Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad bercakap pada sidang media selepas Program Vaksinasi Pandu Lalu Sirim bersama Selvax di ibu pejabat Sirim, Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Vaksinasi Pandu Lalu Sirim-Vaksin Selangor (Selvax) yang berlangsung selama satu hari di Ibu Pejabat Sirim, di sini yang dikendalikan oleh Selgate Healthcare Sdn Bhd.

Ahmad Sabirin berkata Sirim juga mempunyai fasiliti untuk menjalankan ujian berkenaan di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian Pengurusan (IBRC) yang telah memenuhi kriteria makmal ujian yang diperlukan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Kita punya fasiliti IBRC di Sirim ini…di mana kita mempunyai kelengkapan yang komprehensif di Malaysia bagi pengujian vaksin di negara ini, jadi kita cuba bekerja secara kolaboratif dengan semua agensi yang ada,” katanya.

Sebelum ini Ahmad Sabirin berkata Sirim telah melaksanakan pelbagai peringkat ujian ke atas vaksin Sinovac untuk mengesahkan proses serta memastikan produk akhir vaksin itu adalah selamat dan berkesan kepada penerima.

Ahmad Sabirin berkata ujian ke atas vaksin Sinovac yang diamanahkan kepada Sirim melibatkan keperluan fasiliti yang lengkap dan makmal berstatus Amalan Makmal Baik (GLP).

Jelasnya, Sirim menghasilkan data sokongan untuk proses pengesahan dan pemeriksaan kualiti untuk kumpulan vaksin ‘fill’ and ‘finish’, manakala NPRA memeriksa data tersebut secara terperinci sebelum membuat keputusan untuk meluluskan vaksin ataupun tidak.

“Bagi ujian ketoksikan, Sirim menjalankan ujian Abnormal Toxicity di mana kumpulan vaksin yang telah ‘fill’ and ‘finish’ mengikut kumpulan kestabilan tertentu, manakala untuk pengujian keberkesanan, ujian ‘Immunoassay Relative Potency’ dijalankan, di mana vaksin secara pukal yang diterima bersama vaksin rujukan (reference vaccine),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sirim Berhad Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali berkata Sirim menganjurkan program ini bagi memastikan anggota kerja selamat untuk keluar bekerja.

“Pada masa ini, pejabat Sirim di Sabah dan anak syarikat Sirim iaitu National Precision Tooling Sdn Bhd berjaya melengkapkan vaksinasi anggota kerjanya pada bulan ini. Program pandu lalu ini hari ini bertujuan mempercepatkan proses vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam sidang media itu.

Terdahulu seramai 120 kakitangan Sirim Shah Alam dan keluarga mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang masih belum mendapat temujanji vaksin Covid-19, menerima dos pertama mereka hari ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Vaksin keluaran Malaysia mampu atasi varian bahaya

Malaysia membangunkan dua jenis vaksin menggunakan teknologi sama seperti penghasilan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

Mula dibangunkan November tahun lalu, penyelidikan kini pada peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2.

Keberkesanannya akan diuji menerusi praklinikal ke atas haiwan besar dan kecil, seterusnya kajian klinikal terhadap manusia peringkat fasa satu, dua dan tiga.

Wartawan Amin Ridzuan Ishak menemu bual Ketua Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr Norazah Ahmad dan Pakar Perunding Virologi IDRC IMR Dr Rozainanee Mohd Zain yang mengetuai satu daripada dua projek penghasilan vaksin Malaysia. Foto dirakam Fikri Yusof.

Ketua Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Norazah Ahmad

Boleh jelaskan bagaimana usaha membangunkan sendiri vaksin bermula?

Dr Norazah: Apabila berlaku penularan penyakit berjangkit itu, Kementerian Kesihatan merujuk kami untuk menjalankan siasatan. Kami bukan hanya menjalankan proses diagnosis tetapi turut mengenal pasti virus ini unik dan tidak pernah ditemui sekali gus bermakna tiada lagi vaksin bagi virus tersebut.

Jadi, timbul idea untuk membuat vaksin. Namun, Malaysia sebenarnya tidak pernah menghasilkan vaksin untuk manusia. Berdasarkan perebakan penyakit berjangkit itu di seluruh dunia yang memberi kesan terhadap populasi serta kesejahteraan masyarakat, kami terus bercadang menjalankan penyelidikan.

Apakah platform untuk menghasilkan vaksin itu?

Kami mempunyai dua platform iaitu vaksin ternyahaktif diketuai Pakar perunding Virologi, Dr Rozainanee Mohd Zain serta mRNA (RNA utusan). Idea menghasilkannya bermula sejak Mac tahun lalu lagi (ketika awal penularan wabak di Malaysia) dan memperoleh peruntukan pada November.

Tetapi kita tidaklah menunggu sehingga dana masuk sebaliknya kita teruskan. Setakat ini, projek penyelidikan vaksin nyahaktif berjalan mengikut perancangan dan kini peringkat mengaktifkan virus (Covid-19).

Apakah manfaat jangka panjang dalam menghasilkan vaksin pertama di Malaysia?

Kita baru menceburi bidang vaksin ini tahun lalu apabila berlaku perebakan Covid-19, jadi bila ada pengalaman boleh kita hasilkannya sendiri.

Sebelum ini, kita mudah beli vaksin. Tetapi apabila terjadi pandemik seperti sekarang, kita (berasa) ada keperluan untuk menghasilkannya sendiri dan tidak lagi boleh bergantung kepada orang lain pada masa depan.

Ini sebagai persediaan. Negara luar sudah lama menghasilkan vaksin untuk manusia. Di Asia Tenggara antaranya Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Berapa jumlah dana penyelidikan vaksin?

Kerajaan meluluskan peruntukan RM3.1 juta dan jumlahnya bergantung kepada kemajuan kepada fasa seterusnya termasuk pra serta penyelidikan klinikal.

Pakar perunding Virologi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Rozainanee Mohd Zain

Boleh jelaskan proses penyelidikan vaksin ternyahaktif?

Dr Rozainanee: Sebagaimana diketahui IMR sedang membangunkan dua vaksin dan saya penyelidik utama bagi projek vaksin ternyahaktif Covid-19. IMR yang menjadi satu daripada makmal untuk mengesahkan kehadiran virus SARS-CoV-2 dan ia memberi peluang mendapat virus tertentu untuk calon vaksin.

Apabila seseorang mendapatkan vaksin dihasilkan menggunakan pendekatan ternyahaktif, sistem ketahanan badan akan menghasilkan imuniti dan lebih bersedia bagi menghalang jangkitan virus ataupun cuma mendapat jangkitan tidak teruk.

Terdapat empat aktiviti utama penyelidikan. Pertama, aktiviti pemencilan virus bagi mendapat kuantiti virus lebih tinggi. Penjujukan genom secara keseluruhan juga dijalankan bagi memastikan calon vaksin terpilih adalah sesuai.

Aktiviti kedua adalah proses penyahaktifan virus dengan menggunakan bahan kimia yang akan dilakukan dengan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) di Makmal Bio Keselamatan Tahap Tiga (BSL 3).

Proses seterusnya membabitkan kerja penambahan pelengkap yang penting bagi memastikan calon vaksin terpilih dapat memberi tindak balas imun sepatutnya.

Aktiviti keempat pula, menjalankan ujian keberkesanan dan keselamatan pada tikus telah dikenal pasti di Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh, Perak.

Penggunaan makmal tahap tiga penting kerana premis itu mempunyai tekanan negatif bagi memastikan penyelidikan selamat dengan mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Sekiranya semuanya berjalan lancar dan keputusannya memuaskan, kita akan mula ke langkah fasa klinikal pada 2023.

Petugas kesihatan sedang mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Apakah jenis penyelidikan dalam fasa klinikal?

Terdapat tiga fasa klinikal dan kita akan memastikan perkara seperti berikut:

  • Fasa pertama: Vaksin diberi kepada sebilangan kecil individu
  • Fasa kedua: Vaksin diberi kepada ratusan individu
  • Fasa ketiga: Vaksin diberi kepada ribuan individu

Reaksi kepada vaksin dapat dilihat dengan lebih jelas oleh penyelidik jika ujian klinikal melibatkan ramai peserta.

Semua fasa klinikal penting bagi memastikan vaksin yang dihasilkan selamat dan berkesan untuk digunakan masyarakat sebaik sahaja didaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Adakah vaksin tempatan membantu mengurangkan jangkitan varian baharu?

Kemunculan varian baharu memberi kesan kepada penyelidikan vaksin kami kerana dapat melakukan kajian lebih lanjut untuk menghasilkan vaksin yang benar-benar komprehensif dan mampu berdepan virus.

Kami mengkaji virus dari varian baharu daripada bank virus yang diperoleh daripada aktiviti pengesanan tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) di makmal kami.

Apabila ada varian baharu, kita boleh sesuaikannya dengan penyelidikan.

Petugas kesihatan sedang mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bilakah vaksin boleh dipasarkan dan digunakan?

Mungkin terlalu awal untuk menyatakannya kerana kami perlu melalui pelbagai proses panjang termasuk fasa klinikal bagi memastikannya benar-benar berkesan sebelum diluluskan NPRA. Mungkin seawal 2024 (vaksin Malaysia digunakan) jika keputusan penyelidikan benar-benar berkesan.

Proses menghasilkannya mengambil masa dan prosesnya rumit.

Kalau ikut sejarah pembangunan vaksin di luar negara, ia mengambil masa 10 tahun dan prosesnya dipercepat kerana ada teknologi lebih canggih dan keperluan semasa.

Pada masa ini, kita sedang dilanda pandemik dan proses menghasilkannya perlu segera tetapi ia harus dipastikan selamat serta berkesan.

Mengapa negara luar menghasilkan vaksin dalam tempoh singkat?

Malaysia baharu menceburi bidang vaksin untuk manusia dan memerlukan kemudahan teknologi tertentu. Berbanding negara luar, mereka telah lama berkecimpung dan mempunyai pengalaman. Pihak kami juga sedang berbincang untuk bekerjasama dengan pengeluar vaksin utama di dunia untuk melancarkan penyelidikan.

Boleh jelaskan keanggotaan pasukan penyelidik?

Kami mempunyai 25 penyelidik dari IMR, UPM dan IPV yang kesemuanya anak tempatan dan memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing, umpamanya virologi serta berpengalaman dalam pembangunan vaksin haiwan.

Ini dapat melancarkan proses menghasilkan vaksin.

Bagaimana pula status halal vaksin ini, lebih-lebihnya majoriti penduduk Malaysia beragama Islam?

Dari sudut halal kita sebagai negara yang majoritinya umat Islam memang menggunakan sumber halal, malah banyak vaksin di luar pun sudah menggunakan kandungan halal. Kita berharap dapat menjadi Malaysia sebagai hab halal vaksin.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Atlet pecut gigih bahagi masa antara pelajaran, aksi di Tokyo

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Pelajaran tetap menjadi keutamaan atlet pecut muda wanita negara Azreen Nabila Alias dalam kesibukannya membuat persediaan rapi menjelang Sukan Olimpik Tokyo bulan ini, yang turut menjadi penampilan sulungnya di temasya berprestij itu.

Tatkala fokus atlet lain sudah tertumpu kepada Sukan Olimpik, Azreen Nabila, 21, yang mendapat tiket “wild card” ke Tokyo kini gigih membahagikan masa antara pelajaran dan sesi latihan apabila bakal menduduki peperiksaan akhir semester kedua bermula 11 hingga 21 Julai ini.

Situasi tersebut menjadikan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi itu lebih kreatif dalam memanfaatkan sepenuhnya masa 24 jam sehari bagi mentelaah kesemua enam mata pelajaran dan mencapai objektif sesi latihan.

Namun, jadual harian padat yang dilalui tidak dianggap sebagai bebanan, malah beliau yang akan bertanding dalam acara 100 meter(m) pecut wanita di Tokyo turut enggan meletakkan sebarang tekanan tidak perlu untuk memastikannya berada pada tahap terbaik untuk beraksi di negara matahari terbit.

“Sekarang sangat sibuk sebab peperiksaan akhir semakin hampir, dalam sehari saya perlu berlatih dan menghadiri kelas. Tetapi itu tidak menjejaskan persiapan ke Tokyo kerana saya sentiasa berikan tumpuan sepenuhnya dalam sesi latihan,” katanya kepada Bernama.

“…dan ketika ini saya juga tidak mahu terlalu memikirkan pasal pertandingan (Olimpik), apabila saya terlalu fikirkan ia akan memberi tekanan kepada diri sendiri,” kata beliau yang dijadual berlepas ke Tokyo pada 25 Julai.

Atlet dengan rekod peribadi terbaik 11.81 saat (s) yang dilakukannya di Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak itu layak ke Tokyo selepas menjadi atlet pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang diberikan satu slot “wild card”.

Catatan terbaik Azreen Nabila musim ini adalah 12.00s yang dilakukan pada April lepas, selepas mencipta kejutan menewaskan nama besar antaranya S Komalam Shally dari Perak dan atlet Johor Siti Fatimah Mohamad untuk merangkul emas 100m pecut Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia.

Berdasarkan catatan dilakarnya dan kekurangan kejohanan kompetitif di samping impak pandemik Covid-19, Azreen Nabila mengakui beliau perlu berpijak di bumi nyata apabila bakal bersaing dengan barisan jaguh dunia, selain perlu mempunyai sasaran realistik di Tokyo.

“Pecah rekod kebangsaan? Saya hanya mahu buat yang terbaik. Sasaran utama saya bersama jurulatih adalah memperbaiki catatan peribadi, saya memang berhasrat nak perbaharui rekod 11.81s sebelum ini,” katanya yang dinobatkan sebagai Olahragawati Sukma 2018.

Rekod kebangsaan 100m pecut wanita berusia 28 tahun dipegang bekas ratu pecut negara G Shanti dengan catatan masa 11.50s yang dicipta pada Pra-Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1993.

Sementara itu, Azreen Nabila yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik menyasarkan untuk menurunkan berat badan sebanyak tiga kilogram (kg) sebelum berlepas untuk membantunya mencapai prestasi puncak di Tokyo.

Dengan masa semakin suntuk, beliau yang mempunyai berat badan 54kg berharap dapat mencapai berat badan ideal melalui kaedah mengurangkan pengambilan kuantiti makanan yang diamalkannya sejak terpilih ke Tokyo.

“Saya tidak boleh gandakan latihan atau membuat sesuatu di luar program kerana ia boleh menggugat persiapan sehingga mendatangkan kecederaan. Saya lihat dengan cara mengawal pemakanan sahaja dapat turunkan berat badan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui terkejut namanya terpilih mengisi slot “wild card” ke Sukan Olimpik Tokyo, namun melihat itu sebagai rezeki serta berkat doa ibu dan arwah bapanya yang merupakan individu terpenting sepanjang beliau bergelar atlet.

Malah, Azreen Nabila mengakui keputusannya melanjutkan pelajaran di peringkat prauniversiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) suatu ketika dahulu sebagai memenuhi kehendak arwah bapanya yang mahu beliau mendapat akses terbaik dalam kariernya.

“Saya tidak menyesal ikut permintaan ibu dan arwah ayah, sebab dengan kata-kata mereka selama ini lah yang bawa saya sampai ke tahap sekarang, boleh beraksi di Olimpik. Kalau saya tidak tunaikan permintaan mereka mungkin saya tidak berada di sini,” katanya.

Profil Azreen Nabila

Nama penuh: Azreen Nabila Alias

Tarikh lahir: 29 Jun 2000 (21 tahun)

Tempat lahir: Hospital Kuala Terengganu

Hobi: Mendengar lagu dan menonton filem

Cita-cita: Ahli perniagaan

Keluarga: Anak ketujuh daripada lapan beradik (lima kakak, seorang abang dan adik lelaki seorang)

Catatan masa terbaik: 11.81 saat

Jenama kasut: Asics

Idola: Allyson Felix (Amerika Syarikat)

Penampilan antarabangsa: Sukan SEA 2019 di Filipina

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Asap ubat nyamuk risiko asma kronik, barah

SHAH ALAM, 4 APRIL: Penggunaan ubat nyamuk lingkaran selama tiga malam berturut-turut boleh meningkatkan risiko asma dan sesak nafas.

Kajian ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia turut mendapati kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun berisiko mendapat kahak kronik, lapor Harian Metro.

“Penggunaan berterusan pula boleh menjejaskan fungsi paru-paru obstruktif dan restriktif,” kata Profesor Dr Juliana Jalaludin.

Kajian membabitkan komuniti Hulu Langat, Selangor mengesan ada hubungan signifikan antara pendedahan asap ubat nyamuk berterusan dengan kerosakan DNA.

Antara bahan pencemar hasil proses pembakaran termasuk formaldehid, acrolein, partikel ultra-halus dan polisiklik aromatik hidrokarbon (PAH).

“Penemuan daripada kajian ini menunjukkan bahawa pendedahan kepada asap ubat nyamuk lingkaran yang diuji dapat menimbulkan risiko kesihatan akut dan kronik yang ketara seperti asma, bronkitis dan barah dalam jangka masa panjang,” kata Dr Juliana.

Beliau menambah penilaian kadar pelepasan pencemar pembakaran ubat nyamuk jauh melebihi piawai kesihatan atau garis panduan kualiti udara yang ditetapkan.