Categories
AGENDA NASIONAL

Azizulhasni dapat tawaran biasiswa, jawatan pensyarah Upsi

IPOH, 7 SEPT: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyerahkan surat tawaran biasiswa melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, semalam.

Dalam satu sesi ringkas yang diadakan di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di Tanjung Malim, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff turut menyampaikan surat tawaran jawatan pensyarah universiti di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan kepada Azizulhasni.

Menurut Md Amin, tawaran berkenaan adalah penghargaan pihak UPSI atas pencapaian cemerlang atlet berbasikal negara itu yang meraih pingat perak untuk negara dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos lepas.

Beliau berkata Azizulhasni dipelawa melanjutkan pengajian pasca siswazah dengan tajaan Biasiswa Bitara Pasca Siswazah peringkat Sarjana selama dua tahun bernilai RM42,225 atau Doktor Falsafah selama tiga tahun bernilai RM103,700.

“Penawaran insentif kecemerlangan itu ditawarkan secara terbuka bermula 1 Sept 2021 hingga 31 Dis 2024,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Md Amin berkata tawaran itu membolehkan Azizulhasni memberi fokus dan tumpuan untuk meraih pingat emas pertama negara di Olimpik Paris pada 2024.

Sementara itu, Azizulhasni berkata beliau teruja dengan segala kemudahan sukan yang ada di UPSI Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah kerana ia memberi manfaat terhadap kemajuan sukan bukan sahaja untuk mahasiswa UPSI malah masyarakat sekitar dan penggiat sukan seluruh negara.

Sejurus tamat sesi penyerahan surat tawaran, Azizulhasni dibawa melawat Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI Sport City seterusnya disusuli sesi perkongsian pengalaman kejayaan dalam bidang sukan, “From Zero To Hero” secara dalam talian anjuran Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan dan Persatuan Sains Sukan.

Antara kisah yang memberi inspirasi ialah bagaimana kesungguhannya untuk bersaing dalam sukan dipelopori oleh masyarakat Eropah yang mempunyai kelebihan fizikal dan petua kejayaan 4D, iaitu disiplin, determination (keazaman), dedikasi dan direction (hala tuju) yang menjadi pegangan beliau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Covid-19: UPSI bangun pedagogi relevan dunia pendidikan

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Akibat penularan Covid-19 di seluruh negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mahu membangunkan pedagogi yang dihormati dan relevan tanpa mengira waktu serta suasana yang menjadi rujukan pelbagai pihak dalam dunia pendidikan.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata ia selari dengan sasaran UPSI menjadi “Universiti Nombor Satu Pendidikan“ menjelang 2022 berteraskan amalan strategi 3R iaitu ‘Refered’ (Dirujuk), ‘Relevant’ ( Relevan) dan ‘Respected’ (Dihormati).

“Apabila Covid-19 berlaku, sistem pembelajaran secara konvensional seperti bersemuka terpaksa dihentikan. Maka, pensyarah perlu berani, kreatif dan proaktif menampilkan teknik pembelajaran yang menjadi rujukan sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi sekali gus menjadi pencetus pedagogi di negara ini.

Kita juga mahu pedagogi dirujuk dan pendidikan awal kanak-kanak menjadi sumber inspirasi dalam membangunkan keusahawan dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya semasa Program “3R@UPSI: Pasca Covid-19 ” yang disiarkan secara dalam talian semalam.

Kata Dr Mohammad Shatar, perkara itu akan berjaya direalisasikan jika warga UPSI mengadaptasi dan mengaplikasikan amalan 3R itu secara holistik.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan staf dan mahasiswa UPSI untuk tidak mengamalkan elemen negatif seperti fitnah, dan tohmahan dalam media sosial.

Katanya, warga UPSI perlu bersatu dan komited bertindak mulai sekarang untuk kelangsungan masa depan dan kerelevanan UPSI dalam dunia pendidikan di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Tiada jangkitan koronavirus 2019 di UPSI

IPOH, 11 FEB: Tiada jangkitan koronavirus 2019 dilaporkan di kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, termasuk di kawasan kediaman Marina UPSI.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI Prof Dr Md. Amin Md. Taff berkata Marina UPSI dijadikan lokasi pemantauan di rumah, bagi koronavirus 2019 terhadap pelajar antarabangsa dari China, yang mendaftar untuk sesi Februari 2020.

Tanpa menyatakan jumlah pelajar terlibat, Md. Amin berkata saringan awal yang rapi dilakukan Pusat Kesihatan UPSI, semasa proses pendaftaran dan didapati semua pelajar negatif serta bebas daripada jangkitan virus itu.

“Kementerian Kesihatan menggariskan proses pemantauan di rumah dijalankan bagi tempoh dua minggu, untuk memastikan semua pelajar antarabangsa China bebas dari virus tersebut.

“Proses ‘home surveillance’ ini dilakukan sebagai salah satu langkah awal, bagi mencegah simptom koronavirus. Proses ini turut dilaksanakan beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam lain,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi UPSI.

Md. Amin berkata pihak UPSI sentiasa peka dan waspada terhadap kesejahteraan seluruh warga UPSI dan penduduk daerah Muallim.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis, Penguatkuasa DBKL Tumbuk, Rampas Khemah Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 16 APR: Perkhemahan aktivis mahasiswa sejak Sabtu lalu di Dataran Merdeka yang menuntut agar Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan telah dirampas oleh pihak berkuasa pagi ini.

Pada masa kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi, hampir 20 aktivis mahasiswa tersebut telah berhadapan dengan kira-kira 50 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota polis berpakaian seragam serta preman.

Kejadian rampasan baki lima khemah yang masih bertahan itu turut menyebabkan berlaku pergelutan dan ahasiswa-mahasiswa tersebut telah dikasari termasuk ada yang ditumbuk oleh anggota-anggota penguatkuasa tersebut.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, kesan daripada pergelutan tersebut telah menyebabkan salah seorang dari mereka mengalami pendarahan.

“Masa tu kami cuba pertahankan khemah-khemah kami tetapi mereka gunakan kekerasan.

“Pada masa itu berlaku pergelutan dan dalam keadaan kelam kabut itu beberapa mahasiswa telah ditumbuk termasuklah saya sendiri.

“Salah seorang dari kami, Alif dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula berdarah di bahagian leher.

Syahid memberitahu barisan pemimpin aktivis mahasiswa terbabit akan mengadakan perbincangan untuk meputuskan samada akan mengemukakan laporan polis terhadap keganasan yang dilakukan ke atas mereka atau sebaliknya.

“Pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa akan bincang samada nak lapor kepada polis atau tidak tetapi apa yang pasti, kami akan terus berada di sini walaupun khemah kami telah dirampas.

“Kami masih menunggu respon dari pihak kerajaan,” katanya lagi.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi menuntut PTPTN dimansuhkan telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak Sabtu lalu lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara pihak yang melawat perkhemahan aktivis mahasiswa tersebut Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Selain itu turut kelihatan adalah ahli-ahli dari Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa ahli-ahli politik lain dari Pakatan Rakyat.

Pada masa ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah gagal dihubungi TVS untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung isu ini.

Categories
SELANGOR

Peguam: Pertuduhan Pada Adam Adli Tiada Asas Peruntukan

KUALA LUMPUR, 6 JAN : Pihak polis tiada mempunyai asas peruntukan dalam perlembagaan untuk meneruskan siasatan terhadap mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan IDris (UPSI) Adam Adli, 23 berhubung insiden menurunkan kain rentang bergambar Datuk Seri Najib Razak bulan lepas.

Adam yang ditemani peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 11.30pagi untuk disoal siasat dan keluar kira-kira sejam selepas itu.

“Apabila saya meminta untuk melihat laporan, pegawai penyiasat Muhammad Nor tidak membenarkan dengan alasan ketuanya melarang. Jadi kita tidak tahu samada laporan itu benar-benar wujud dan apakah tuduhan yang telah diletakkan dalam laporan tersebut,” ujar peguam hak asasi manusia itu.

Menurutnya lagi, sewaktu siasatan dijalankan, Adam dikemukakan 11 soalan yang mana Adam menggunakan haknya mengikut seksyen 112 (2) Kanun Prosedur Jenayah untuk tidak menjawab sebarang soalan.

Fadiah turut mempersoalkan salah satu soalan daripada pihak siasatan tentang kesahihan Adam memijak bendera yang telah diturunkan sedangkan ianya merupakan satu aligasi yang palsu.

“Walhal tiada langsung insiden memijak apa-apa pada ketika itu. Adam hanya menurunkan kain rentang yang ada wajah Najib untuk 5 minit bagi digantikan dengan bendera kebebasan akademik. Kemudian kain rentang Najib itu dinaikkan semula,” jelas Fadiah lagi.

Fadiah turut menjelaskan bahawa tindakan Adam itu tidak menyalahi undang-undang malah setiap orang mempunyai hak untuk berbuat demikian.

“Kita tidak tahu mengapa polis sanggup membazirkan masa dan sumber-sumber mereka untuk mengheret mahasiswa yang hanya mempratikkan hak mereka di bawah undang-undang dengan taktik-taktik intimidasi dan ugutan bagi mengheret mahasiswa ke balai polis,” tambah Fadiah.

Adam pula memberitahu beliau berharap agar pihak polis dapat menjalankan sisatan dengan adil dan jika tiada asas pertuduhan, maka tidak perlu membazirkan masa beliau lagi.

Adam disiasat di bawah peruntukan 504 kanun keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan yang boleh membawa hukuman penjara selama dua tahun.