Categories
EXCO SELANGOR

337 murid SJKT terima anugerah cemerlang UPSR

SHAH ALAM, 4 DIS: Seramai 337 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2019 menerima pengiktirafan Kerajaan Negeri.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata daripada jumlah itu, seramai 101 murid memperoleh keputusan 8A menerima wang tunai RM200, 113 murid 7A (RM150) dan 123 murid 6A (RM100).

“Kerajaan Negeri memperuntuk RM49,450 secara keseluruhan bagi mengiktiraf usaha pelajar meskipun majlis keraian agak lewat selepas tertangguh selama dua tahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Majlis yang diadakan pada setiap tahun sejak 2013 merupakan agenda pendidikan yang bertujuan menghargai kejayaan pelajar, guru dan pihak sekolah,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR bagi pelajar SJKT di Selangor.

Pada majlis sama, Ganabatirau turut menyampaikan anugerah Anugerah Tokoh Guru SJKT dan wang tunai RM500 kepada lima individu R Ramasamy, P Chelliah, K Chandrathevy, P Pachiappan dan L Balasundaran.

SJKT Simpang Lima pula meraih SJKT terbaik dan membawa pulang RM10,000 diikuti tempat kedua SJKT Kajang (RM6,000) dan SJKT Puchong (RM4,000).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB sokong UPSR dimansuh demi agenda baharu pendidikan

AMPANG JAYA: Dato’ Menteri Besar meminta semua pihak menyokong pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) demi menjayakan agenda baharu pendidikan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata era penilaian murid bersandarkan keputusan peperiksaan perlu diubah kepada pendekatan baharu yang holistik.

“Anak-anak berdepan cabaran sejak perebakan Covid-19 apabila sesi sekolah tidak berjalan seperti biasa sehingga memberi kesan kepada calon peperiksaan.

“Keadaan ini mewujudkan generasi keliru atau kelam kabut, justeru sekarang masa terbaik semua pihak menyokong usaha ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau kerosakan bumbung Blok E Flat PKNS AU2 di Taman Keramat di sini, susulan kejadian ribut semalam.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pemansuhan UPSR bermula tahun ini.

Katanya, keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk 1,700 peserta sesi libat urus dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

UPSR mansuh sepenuhnya, PT3 tahun ini batal

SHAH ALAM, 28 APRIL: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau turut memaklumkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.

Radzi mengumumkan perkara itu menerusi sidang media khas di sini hari ini.

“Selaras dengan pemansuhan UPSR, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran juga dimansuhkan,” katanya.

Beliau berkata dengan pemansuhan UPSR, kaedah pentaksiran murid Tahun 6 akan diberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai tahun ini dan kemasukan ke asrama untuk  2022, akan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Menjelas lanjut, Radzi berkata keputusan pemansuhan UPSR itu dibuat setelah mendapat pandangan dan input menerusi pelbagai proses libat urus melibatkan lebih 1,700 peserta terdiri daripada guru, ibu bapa, murid serta kesatuan dan persatuan seluruh negara dalam pelbagai sesi yang diadakan.

Beliau berkata antara pandangan diperoleh dari sesi libat urus berkenaan daripada guru ialah apabila mereka terpaksa menghabiskan banyak masa di sekolah bagi memberi tumpuan untuk cuba menghabiskan sukatan pelajaran secepat mungkin bagi membolehkan latih tubi UPSR dapat dijalankan.

Malah katanya, ada guru-guru menceritakan bagaimana mereka terpaksa ‘mencuri’ masa mata pelajaran lain yang tiada peperiksaan khusus bagi membolehkan tumpuan diberi untuk murid-murid membuat persiapan UPSR, sekali gus mengurangkan ruang untuk guru menggunakan kreativiti dalam menyampaikan pengajaran di sekolah.

Ibu bapa pula, kata beliau, ada yang berkongsi bagaimana tumpuan kepada UPSR yang dianggap sebagai peperiksaan penting itu telah menyebabkan anak-anak mereka mendapat ruang terhad terhadap aspek lain dalam pendidikan memandangkan ada yang mula dihantar ke kelas tuisyen seawal Tahun 1.

Radzi berkata menerusi pertemuan dengan murid-murid, kebanyakan mereka melihat UPSR sebagai komponen untuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), namun ketika PKSK dilaksanakan tahun lepas untuk kemasukan ke SBP atau sekolah khusus, hanya satu per empat daripada keseluruhan murid Tahun 6 2020 menduduki peperiksaan itu.

“Jadi kita lihat bahawa sekiranya diberi pilihan tidak semua murid yang ingin menduduki peperiksaan khusus untuk ke asrama penuh,” katanya dan menambah, murid juga menghadapi tekanan menghadiri pelbagai kelas selepas waktu sekolah.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul.

Mengenai PT3, beliau menjelaskan, asas utama dipertimbangkan untuk membatalkan peperiksaan itu tahun ini adalah setelah mengambil kira masa pelajar untuk membuat persediaan khususnya secara bersemuka di sekolah berikutan penularan Covid-19.

Sehubungan itu, beliau berkata kaedah pentaksiran bagi peperiksaan itu untuk tahun ini adalah sama seperti tahun lepas iatu menerusi PBS yang turut merangkumi komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikokemterik (PPsi).

“PT3 dibatalkan tahun ini namun pentaksiran ini kekal dalam sistem pentaksiran kebangsaan dan ini berbeza dengan UPSR yang dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021,” katanya.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM tiada kaitan dengan UPSR, PT3 dalam talian

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Khas (UPSRx) dan Pentaksiran Tingkatan 3 Khas (PT3x) secara dalam talian seperti yang ditawarkan sebuah portal bukan di bawah kendalian Lembaga Peperiksaan dan tiada kaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan perkara itu setelah pihaknya mendapati kedua-dua peperiksaan itu ditawarkan portal terbabit yang akan diadakan secara dalam talian pada bulan September dan Oktober.

KPM pada 15 April lepas mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun ini dibatalkan.

“KPM memandang serius perkara ini kerana melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Untuk makluman, KPM telah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang terlibat,” kata kementerian itu.

KPM menasihatkan agar orang ramai terutama ibu bapa kepada murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga merujuk portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my/ dan portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai peperiksaan yang dilaksanakan oleh kementerian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penilaian baharu UPSR dan PT3 perlu menyeluruh, adil kepada semua

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan kaedah penilaian menyeluruh untuk menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dibatalkan tahun ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang berkata penilaian tidak harus berlandaskan akademik semata-mata tetapi turut meliputi aspek sahsiah dan kokurikulum.

“Sekiranya penilaian membabitkan kemasukan ke asrama penuh yang lazimnya menggunakan keputusan UPSR dan PT3, mungkin satu kaedah pemilihan khas boleh diadakan sama seperti hendak melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Cuma NUTP belum jelas mengenai kaedah baharu penilaian disebut Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin semalam, apa pun kita sokong pembatalan UPSR dan PT3 mengambil kira keadaan sekarang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan pula berharap Kementerian Pendidikan dapat menerangkan lebih awal kaedah penilaian baharu bagi membolehkan murid, ibu bapa dan guru bersedia.

“Bagi saya penilaian harus mengambil kira nilai jasmani, rohani, akhlak dan akademik selain memberi keadilan kepada penduduk luar bandar dan kurang berkemampuan terutama dalam kemasukan ke asrama penuh,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong 2, Suzana Abd Latip berkata pengumuman Kementerian Pendidikan berhubung kaedah baharu penilaian semalam masih belum jelas dan menimbulkan pertanyaan dalam kalangan guru, murid serta ibu bapa.

“Harap diumumkan lebih awal kerana ia membabitkan masa depan murid dalam menentukan aliran ingin dipilih dalam melanjutkan pelajaran,” katanya yang berpandangan UPSR seharusnya diadakan hujung tahun ini.

Bagi Guru Besar SK Jalan Empat, Ainon Mohamed Salehuddin pembatalan UPSR dapat meringankan beban guru dan membolehkan mereka memfokuskan kepada pembentukan sahsiah murid yang sebelum ini mungkin kurang diutamakan.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM saran Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dibatalkan – menteri

PUTRAJAYA, 15 APRIL: Semua Majlis Agama Negeri disaran agar membatalkan Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata kementeriannya telah berbincang dengan kesemua Majlis Agama Negeri mengenai pembatalan peperiksaan itu, mengambil kira keselamatan murid.

“Saya sudah berbincang dengan semua Majlis Agama Negeri berkaitan ujian Kafa dan sebagainya, kita tekankan bahawa negeri-negeri secara umumnya mengambil langkah yang sama.

“Apa yang penting adalah keselamatan anak-anak, mereka masih kecil dan tempoh pengajian masih jauh lagi,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Radzi berkata jumlah pelajar UPSR tahun ini iaitu lebih 450,000 orang disifatkan satu jumlah yang besar dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Susulan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menyampaikan saranan itu agar selaras dengan keputusan KPM.

Mengulas mengenai kelas pra-sekolah di bawah KPM, Mohd Radzi berkata ia juga perlu ditangguhkan sehingga keselamatan murid-murid terjamin.

“Fokus kita adalah kepada murid yang mudah dikawal oleh guru. Cabaran utama yang di Tadika adalah untuk melakukan penjarakan sosial (dalam kalangan murid-murid Tadika).

“Apabila sekolah dibuka (selepas PKP) yang pergi ke sekolah dahulu adalah tingkatan lima dan enam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: SPM dipinda kepada 16 November, UPSR kekal

SHAH ALAM 28 MAC: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipinda 16 November hingga 7 Disember ini, berikutan penularan wabak Covid-19.

Namun, tarikh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kekal pada 1, 2, 3, 7 dan 8 September.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, penjadualan semula dibuat selepas meneliti keadaan semasa dan memastikan semua kurikulum subjek berkaitan dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, tarikh bagi Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA); Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) lisan dan bertulis; Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bertulis serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester Tiga juga kekal seperti tarikh asal.

Peperiksaan SPM sepatutnya dijalankan bermula 5 hingga 14 Oktober bagi fasa satu dan bersambung 2 hingga 19 November bagi fasa dua.

Bagi Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), KPM menetapkan 28 dan 29 September bagi ujian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Categories
AGENDA NASIONAL

Maszlee: Calon UPSR jangan tertekan

PUTRAJAYA, 4 SEPT: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini dan menasihati mereka untuk tidak merasa tertekan ketika menjawab soalan.

Seramai 445,641 calon mendaftar untuk menduduki UPSR pada tahun ini di 8,076 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Maszlee yang melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) di sini hari ini turut menasihati ibu bapa supaya tidak memberi tekanan kepada anak mereka.

“Saya dapati ibu bapa lebih cemas dan tertekan daripada anak-anak, maka saya nasihatkan mereka jangan terlalu menekan anak mereka.

“Tekanan ini tidak elok, mereka (pelajar) sudah berusaha, anggap ini sebagai kehidupan,” katanya kepada media ketika membuat tinjauan itu.

UPSR 2019 akan dijalankan pada 4, 5, 10, 11 dan 12 September.

Maszlee berkata, UPSR hanyalah salah satu komponen pentaksiran bagi sekolah rendah, selain pentaksiran lain iaitu Pentaksiran Bilik Darjah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik.

“Saya yakin anak-anak dapat lakukan ujian ini. Selamat berjaya dan cemerlang serta sentiasa tenang dalam menghadapi ujian mereka ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas sesetengah pihak yang mempersoalkan pemilihan Aungerah Sasterawan Negara yang diumumkan semalam, Maszlee berkata, itu perkara biasa.

Semalam, pengkaji seni budaya, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

“Biasalah ramai tak puas hati. Anugerah ini (untuk) seorang, yang tak dapat selalu tak puas hati.

“Hakikatnya calon yang terpilih adalah berdasarkan merit dan pencapaian ini telah diiktiraf penggiat sastera,” kata Maszlee.

Tokoh Sasterawan Perak, Dr Malim Ghozali dilaporkan mendakwa keputusan pemilihan Sasterawan Negara Ke-14 itu sebagai suatu bentuk tindakan ‘pintu belakang’ dan turut memberi gambaran wujud campur tangan dalam hal ehwal penjurian memilih tokoh berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB doakan kejayaan calon UPSR

SHAH ALAM, 4 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mendoakan kejayaan semua murid tahun enam di seluruh negara yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), hari ini.

Doa itu disampaikan Amirudin melalui ciapan di akaun Twitternya, pagi ini.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar yang akan menduduki UPSR bermula hari ini.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan diberi kelapangan dalam menjawab soalan peperiksaan dengan baik,” tulisnya.

Seramai 445,641 calon berdaftar untuk menduduki UPSR di 8,076 pusat peperiksaan seluruh negara selama lima hari yang akan berakhir pada 12 September ini.

Di Selangor, 87,483 calon berdafar menduduki peperiksaan itu membabitkan 60,350 calon bagi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina (18,224), SJK Tamil (4,428) dan swasta (4,481).

Categories
AGENSI SELANGOR

87,483 calon duduki UPSR di Selangor

SHAH ALAM, 4 SEPT: Seramai 87,483 calon menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 di seluruh Selangor, bermula hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 60,350 calon bagi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina (18,224), SJK Tamil (4,428) dan swasta (4,481).

“Pihak kami mengucapkan selamat menduduki UPSR buat calon dan semoga sentiasa tenang serta menjawab dengan baik untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

“Uruslah masa dengan baik dan kepada semua ibu bapa, diharap dapat menjadi pendorong terbaik dengan membina motivasi tanpa tekanan.

“Moga beroleh kejayaan dan memenuhi harapan aspirasi pendidikan Kerajaan Selangor dan Kementerian Pendidikan Malaysia serta Jabatan Pendidikan Selangor buat anak-anak kita semua,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Peperiksaan UPSR 2019 dijadulkan bermula hari ini dan berakhir pada 12 September ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, seramai 445,641 calon mendaftar untuk menduduki UPSR di 8,076 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

UPSR lewat punca keputusan umum ketika cuti sekolah

PUTRAJAYA, 22 NOV: Kelewatan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), pada tahun ini ekoran peperiksaan itu dilaksanakan hampir dua minggu lewat, berbanding tahun sebelumnya.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum kerisauan dibangkitkan ibu bapa, iaitu keputusan UPSR akan dikeluarkan semasa cuti persekolahan.

Namun, menurut kementerian itu, Lembaga Peperiksaan (LP) sebelum ini juga pernah mengeluarkan keputusan UPSR semasa cuti persekolahan.

“Kelewatan pelaksanaan peperiksaan kali ini menyebabkan kelewatan pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan.

“LP juga perlu mematuhi prosedur penjaminan kualiti ditetapkan bagi memastikan ketepatan keputusan yang akan dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata, peperiksaan UPSR 2018 lewat diadakan kerana terdapat beberapa cuti umum, pada awal dan pertengahan September.

Ia membabitkan 31 Ogos bagi Hari Kebangsaan; 9 hingga 10 September bagi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong; 11 September bagi Awal Muharam dan 16 hingga 17 September bagi Hari Malaysia.

“Sehubungan itu, kementerian memohon pelajar Tahun 6 mendapatkan PPSR dan keputusan UPSR, pada 29 November (Khamis) ini bermula jam 10 pagi, di sekolah masing-masing,” katanya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Dr Maszlee: Selamat berjaya calon UPSR

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 SEPT: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengucapkan selamat berjaya kepada semua calon yang bakal menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dr Maszlee tulisnya di Twitter, beliau mendoakan supaya segala ilmu yang dipelajari dapat dizahirkan dengan lancar semasa menjawab soalan peperiksaan.

“Mohon doa daripada ibu bapa dan penjaga untuk dijadikan pelengkap di waktu peperiksaan, selain rehat serta tidur yang cukup agar minda terus cerdas.

“Jadikan kebahagiaan sebagai matlamat utama anda. Jadikan kasih sayang guru-guru sebagai pendorong anda. Hormati mereka kerana bakti yang dicurahkan mereka adalah untuk melihat anda terus berjaya dalam hidup. Semoga berjaya semua!”,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu, UPSR yang bermula sejak 20 September hingga Khamis ini membabitkan seramai 440,743 calon, dengan 430,031 daripadanya merupakan calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, manakala 10,712 pula calon sekolah swasta.

Sejumlah 8,100 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara membabitkan 54,253 petugas peperiksaan tahun ini.