Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian setuju tanggung bayaran UPUOnline, Unik ID

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/Unik ID kepada semua pemohon bagi sesi akademik 2022/2023.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata melalui usaha itu, permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) boleh dibuat terus di laman sesawang upu.mohe.gov.my.

Beliau berkata tempoh permohonan ditetapkan bermula esok (4 Februari) hingga 31 Mac ini bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), lepasan matrikulasi serta diploma atau setaraf.

“Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan serta kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin Unik ID di Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membuat permohonan UPUOnline.

“Justeru, KPT berharap agar keputusan ini dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah,” katanya dalam kenyataan.

Pada tahun lepas, KPT bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran itu kepada semua pemohon bagi sesi akademik 2021/2022.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemohon gagal dapat tempat di universiti awam boleh kemuka rayuan

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Pemohon yang tidak berjaya mendapat tempat di universiti awam (UA) boleh mengemukakan rayuan selepas 11 hari hebahan semakan keputusan kemasukan ke UA sesi 2021/2022 yang diumumkan Rabu lepas.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi Wahi Nordin berkata rayuan boleh dikemukakan menerusi Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar (UPUOnline).

“Pemohon hanya boleh mengemukakan empat pilihan rayuan dan program bertemu duga atau ujian hanya untuk pilihan satu dan dua. Calon yang gagal sahaja akan mendapat menu rayuan, dan bagi yang berjaya nak tukar ke pilihan pertama itu tidak dibenarkan.

“Saya juga nak ingatkan kepada calon, permohonan kali ini agak sengit, ramai yang dapat keputusan cemerlang di peringkat STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) asasi dan matrikulasi tidak mendapat tempat berdasarkan pilihan program yang sengit persaingannya,” katanya ketika menjadi tetamu program Buletin Bernama hari ini.

Wahi berkata menerusi rayuan, pelajar memiliki peluang untuk mendapat tempat, dan menasihati calon-calon untuk tidak memilih semula 12 pilihan kursus yang dipohon sebelumnya memandangkan program tersebut berkemungkinan telah penuh.

“Jadi calon-calon boleh memilih program yang bersesuaian dengan keputusan dalam empat pilihan rayuan itu,” katanya.

Selain itu, calon yang ingin membuat permohonan baharu atau terlepas membuat permohonan menerusi UPUOnline, boleh mengambil maklum tentang permohonan yang dibuka oleh UA seperti Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang membuka permohonan pada semester kedua pada Mac 2022.

“Jadi calon-calon boleh melayari permohonan kemasukan semester kedua, bukan ambilan kedua, boleh buat permohonan terus kepada universiti berkenaan. Peluang di situ lebih cerah dengan keputusan yang ada,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengumumkan keputusan rayuan pada akhir Oktober selepas kumpulan pertama ini mendaftar masuk ke universiti mulai 15 Okt depan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan tawaran yang diberikan adalah muktamad dan pemohon tidak dibenarkan untuk membuat pertukaran kursus atau universiti.

“Kami telah membuat pilihan berdasarkan susunan merit, jadi kalau calon tidak berjaya pilihan pertama, tetapi berjaya mendapat pilihan kelima, maknanya markah merit dia tidak mencukupi untuk pilihan pertama,” katanya.

Semakan keputusan boleh didapati menerusi lima pautan antaranya https://jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; http://jpt.ums.edu.my; dan http://jpt.umt.edu.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPT buka fasa kemas kini UPUOnline mulai 15 Jun

PUTRAJAYA, 10 JUN: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 boleh mula mengemas kini pilihan program pengajian masing-masing menerusi UPUOnline yang dibuka untuk dikemas kini selama tujuh hari bermula 12 tengah hari pada 15 Jun ini hingga 5 petang, 21 Jun.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini, pemohon boleh mengemas kini semua pilihan program pengajian berdasarkan keputusan SPM 2020 kecuali bagi program pengajian yang telah dipanggil temu duga atau ujian.

“Hebahan keputusan permohonan UPUOnline lepasan SPM Sesi Akademik 2021/2022 dijangka dibuat pada minggu ketiga Julai ini,” kata KPT.

Serentak dengan pembukaan fasa pengemaskinian tersebut, KPT akan melaksanakan program Jom Masuk IPT Virtual 2021 (JMIPT Virtual 2021) dengan kerjasama Universiti Malaya, bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan akses pendidikan tinggi tidak terjejas walaupun negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Menurut KPT, program tersebut melibatkan penyertaan semua universiti awam, politeknik, kolej komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam, Agensi Kelayakan Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Bahagian Biasiswa KPT.

Program itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama mulai 15 hingga 21 Jun ini yang dikhususkan kepada pemohon lepasan SPM, manakala fasa dua bermula 8 hingga 12 Ogos, khusus untuk pemohon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau setarafnya, kata KPT.

Menerusi jaringan komunikasi sedia ada iaitu talian hotline, sistem maklum balas dan e-mel rasmi sepanjang program berlangsung, KPT berkata JMIPT Virtual 2021 menyediakan 29 slot webinar, sesi ‘live chat’ serta konsultasi secara berkelompok dan individu oleh pempamer secara maya.

– BERNAMA