Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS bantu naik taraf sosioekonomi usahawan mikro, teroka konsep digital

SHAH ALAM, 4 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bercadang membantu menaik taraf sosioekonomi usahawan mikro dengan beralih kepada konsep perniagaan pendigitalan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mahmud Abbas berkata beliau yakin langkah itu amat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan kecil pasca Covid-19.

“Usahawan kecil ini perlu maju dan tidak hanya berniaga setempat sebaliknya harus berusaha mengembangkan pasaran dengan berniaga melalui platform media sosial.

“Kita akan atur beberapa strategi dalam masa terdekat supaya mereka berkembang daripada ‘sekolah rendah’ sehingga berjaya ‘graduasi’, contohnya dari berniaga di gerai mampu berkembang memasarkan produk sehingga ke KLCC, Pavillion atau mungkin ke peringkat antarabangsa seperti Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Lafaz Ikrar Integriti dan Antirasuah di hadapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Pejabat Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Mahmud Abbas dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif baharu PKNS berkuat kuasa 1 Oktober bagi menggantikan penyandang terdahulu Siti Zubaidah Abd Jabar yang bersara pada 10 Ogos.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Brighton juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan pengarah urusan Central Spectrum Sdn Bhd.

Categories
RENCANA

Nadi rezeki wanita, bantu usahawan mikro

Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) yang diperkenal dalam Belanjawan Selangor 2021 membantu ramai usahawan wanita kecil-kecilan memulakan atau mengembangkan perniagaan.

Melalui pembiayaan mudah antara RM1,000 hingga RM5,000 dengan syarat tanpa perlu memiliki premis tetap dan mendaftar syarikat, seramai 492 orang menerima manfaat berjumlah RM1.45 juta setakat 22 Mac.

Dengan peruntukan RM10 juta, skim tersebut yang disusun dalam Pakej Kita Selangor melegakan ramai peniaga bagi mendepani kelembapan ekonomi berikutan wabak Covid-19.

Yayasan Hijrah Selangor, agensi Kerajaan Negeri yang giat membantu usahawan mikro, ditugaskan menjayakan program NaDi, pada awalnya disediakan dana RM6.08 juta.

Jurufoto Fikri Yusof dan Remy Arifin merakam sebahagian aktiviti niaga lapan penerima bantuan tersebut. NaDi dijangka dapat menarik 3,000 usahawan kecil seperti sasaran Kerajaan Negeri tahun ini.

Wanita yang berminat boleh hubungi talian 03-5519 1692 (Bahagian Khidmat Profesional) atau layari pautan www.hijrahselangor.com .

Normaleny Md Aris, 38, membuka gerai menjual air kelapa di Jalan Bukit Puchong, Subang Jaya melalui pinjaman RM5,000. Dibantu suaminya Mustafa Abdullah, 48, beliau mahu bangkit daripada kegagalan perniagaan kedai runcit akibat situasi buruk ekonomi

 

Nurhaslisa Mustafa, 33, menghias pelamin rumah pelanggannya di Batu Belah, Klang. Beliau yang berkecimpung dalam perniagaan itu sejak tiga tahun lalu dengan bantuan suami Adi Etwan Ujang, 35, membuat pinjaman RM5,000 untuk membeli peralatan

 

Siti Roza Ibrahim, 53, bersyukur pinjaman RM5,000 bagi meneruskan jualan nasi Arab sejak sebulan lalu diluluskan. Beliau juga menjual nasi lemak, laksam dan lemang kukus sekitar Puchong, Subang Jaya selepas suaminya kehilangan pekerjaan tahun lalu

 

Rosnah Mohd Saad, 33, menjual buah-buahan sejak empat tahun lalu di Pangsapuri Angsana, Subang Jaya. Beliau meminjam RM5,000 bagi membeli khemah dan alat penimbang, selebihnya digunakan untuk menampung modal pusingan

 

Syamimi Noor Ramli, 30, menayang pakaian kanak-kanak ketika menjual melalui media sosial. Bekas pegawai sebuah syarikat swasta yang berhenti kerja memperoleh pinjaman RM5,000 untuk mengembangkan perniagaan

 

Bekas guru tuisyen Noraidah Nordin, 33, menggoreng ayam di Pangsapuri Angsana, Subang Jaya. Beliau memperoleh pinjaman RM3,000 pada 13 Mac sebagai modal tambahan selepas memohon pada Februari

 

Nabilah Tasya Said Maarof, 33, berniaga air mangga mulai Januari tahun ini di Sungai Udang, Klang sejak suaminya Mohd Wazrul Ab Wahab, 40, diberhenti kerja tahun lalu. Beliau meminjam RM4,000 untuk memajukan perniagaan

 

Pinjaman RM3,000 diperoleh Natasya Liyana Zulkarnain, 29, untuk menaik taraf bilik sauna demi keselesaan pelanggan di rumahnya di Sungai Udang, Klang. Beliau menyediakan perkhidmatan urutan wanita dan spa sejak dua tahun lalu

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

e-Bazar Tahun Baharu Cina mulai 1 Februari, sasar 25,000 peniaga kecil

SHAH ALAM, 26 JAN: Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina menyasarkan penyertaan 25,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro termasuk 12,500 penjual baharu.

EXCO industri dan perdagangan berkata kempen jualan dalam talian itu akan berlangsung dari 1 Februari hingga 7 Mac dengan baucar bernilai RM2 juta disalur kepada laman dagang Shopee dan Lazada.

“Shopee dan Lazada akan terus merancakkan promosi untuk program ini. Justeru, kita berharap pendaftaran usahawan mendapat sambutan menggalakkan,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media hari ini.

Beliau menambah inisiatif tersebut membantu PKS dan usahawan mikro menerapkan pendigitalan dalam perniagaan terutama mendepani cabaran pasca Covid-19.

Menurutnya, kempen itu menyediakan platform yang selamat untuk pengguna mendapatkan pelbagai jenis barangan dengan harga berpatutan.

“Kita berharap kempen ini memberi semangat dalam meraikan Tahun Baharu Cina walaupun dalam situasi tidak mengizinkan,” katanya.

Chang Khim menambah kempen Selangor E-Bazar Raya dan Selangor E-bazar 11.11 Jualan Mega tahun lalu yang mencatat jualan jutaan ringgit membuktikan agenda ekonomi digital membantu ramai peniaga.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif tersebut menghasilkan kesan riak sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta.

Perolehan itu berdasarkan pemberian RM3 juta baucar oleh Kerajaan Negeri kepada Shopee dan Lazada.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ, usahawan mikro sumbang juadah berbuka

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 19 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan Program Jalinan Kasih bersama usahawan mikro untuk menyumbang juadah berbuka puasa kepada golongan memerlukan seperti asnaf, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Datuk Bandar, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, program itu adalah usaha membantu golongan berkenaan ke arah ‘zero poverty’ selari dengan matlamat dan objektif ‘sustainable development goals’.

“Kerjasama antara MBPJ dan usahawan yang berminat dapat memberi satu perkongsian baik kepada masyarakat di Petaling Jaya.

“Hasil sumbangan daripada program jalinan kasih ini akan dikumpul dan diserahkan kepada golongan terpilih melalui Ahli Majlis MBPJ setiap zon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel dan Taklimat Usahawan Mikro Bazar Dinamik 2019, di Dewan Banquet, Dewan Sivik, di sini.

Sementara itu, pada program itu, Sayuthi berkata, MBPJ turut menyediakan platform pendidikan kepada usahawan mikro bazar Ramadan untuk mengembangkan perniagaan selepas tamat permit bazar Ramadan.

Katanya, menerusi Bengkel dan Taklimat Usahawan Mikro Bazar Ramadan Dinamik, usahawan terbabit didedahkan teknik perniagaan yang berkesan serta cara mudah mendapatkan bekalan barangan murah dan berpatutan.

“Antara pengisian bengkel itu adalah sesi penerangan kempen sifar penggunaan beg plastik (Roadmap Towards Zero Single Used Bag Plastic 2018-2030) oleh Yayasan Hijau Malaysia, taklimat masyarakat tanpa tunai (Cashless Society) oleh wakil Boost e-Wallet.

“Selain itu, taklimat pemasaran produk atas talian oleh Syarikat Best Marketing Distribution Sdn Bhd dan MYNIC Berhad, taklimat pematuhan syarat permit bazar.

“Manakala, turut diadakan taklimat peniaga berintegriti (pencarian Pemenang Bazar Ramadan 2019) dan taklimat pelaksanaan kaedah pemantauan menggunakan sistem imbasan cap jari serta sistem Demerit,” katanya.