Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ikon Agro: Peserta guna teknologi pertanian, seiring agenda Negeri Pintar

SHAH ALAM, 8 FEB: Dato’ Menteri Besar gembira serta berpuas hati dengan penyertaan peserta Ikon Agro Selangor 2021 yang menitikberatkan teknologi dalam pertanian.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kesungguhan peserta program tersebut selaras dengan cita-cita menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar.

“Setiap tahun kita mengenal pasti siapakah petani-petani yang boleh dicalonkan dan yang amat menggembirakan pertanian pintar sudah menjadi salah satu kriteria dalam kalangan peserta.

“Penglibatan teknologi pintar dalam kalangan peserta amat jelas yang bukan sahaja meningkatkan hasil tanaman tetapi juga selaras dengan cita-cita menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Ikon Agro Selangor 2021 di Dewan Orkid Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini malam tadi.

Amirudin berkata ikon yang terpilih berperanan menjadi duta kecil untuk sektor pertanian di negeri ini selain membimbing usahawan tani yang baharu berkecimpung dalam pertanian.

“Mereka harus mendidik semula di kalangan petani-petani baru yang lain supaya teknologi pintar ini menjadi salah satu kaedah terbaik pertanian di Selangor,” katanya.

Tiga pengusaha pertanian mengungguli saingan akhir untuk dinobatkan sebagai Ikon Agro Selangor 2021.

Tiga Ikon Agro Selangor itu ialah penguasaha ternakan udang bara, Siti Nurul Aishah Zakariah; pengusaha tanaman buah naga, Sam Chia dan pengusaha cendawan, Peggy Cheng.

Mereka menerima hadiah wang tunai dan bantuan input agro bernilai RM10,000 serta trofi yang disampaikan Dato’ Menteri Besar.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Nanas MD2 tawar pendapatan hingga RM80,000 seekar – usahawan tani

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Berpotensi menghasilkan pendapatan hingga RM80,000 bagi setiap ekar (0.4 hektar), perladangan nanas MD2 sememangnya berbaloi diteroka, dan Hasnul Amri Jamaluddin dari Johol, Negeri Sembilan antara yang sanggup meninggalkan kerjaya berpejabat dan menceburi bidang itu.

Hasnul Amri, 27, menukar kawasan bertanah mineral di lereng bukit seluas lapan ekar miliknya kepada ladang nanas MD2 yang dijangka mengeluarkan hasil pertama pada Mei ini.

Menurut usahawan muda itu, selain pulangan lumayan, tanaman nanas juga tidak banyak “kerenah” dan buah pula boleh menghasilkan pelbagai produk lain seperti jus yang semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Potensi pasaran buah nanas segar juga besar di negara ini dan tidak putus, katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Minat perniagaan tani 

Hasnul Amri berkata sebelum menjadi usahawan tani, beliau adalah penyelidik di Kementerian Kesihatan selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia pada 2018.

“… namun hati saya sebenarnya lebih meminati bidang perniagaan dan pertanian. Maka saya ambil keputusan menceburi bidang pertanian nanas,” katanya, menambah usaha beliau dibantu oleh bapa saudaranya.

Bagaimanapun katanya, sebelum membuka ladang nanas tersebut, beliau terlebih dahulu mempelajari ilmu tentang pertanian dan juga tanaman berkenaan.

Menurutnya, beliau memperoleh 24,000 benih nanas daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan memulakan penanaman fasa pertama pada Mac 2021, membabitkan 13,000 pokok berbekalkan modal RM45,000 bagi setiap ekar.

“Pokok nanas mencapai tempoh matang pada usia sembilan bulan, iaitu tempoh sesuai untuk menjalankan aktiviti aruhan pendebungaan.

“Proses ini dijalankan secara berperingkat bagi mengawal jadual pengeluaran hasil. Secara keseluruhan, tanaman nanas boleh dituai hasil dalam tempoh 14 bulan selepas penanaman,” katanya yang merancang memperluas ladang hingga 100,000 pokok dalam masa terdekat.

Berinovasi 

Sementara menunggu hasil ladang sendiri, Hasnul Amri tidak berpeluk tubuh, sebaliknya mengusahakan kilang jus nanas yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, beliau mendapatkan bekalan nanas berkualiti tinggi daripada pengusaha ladang nanas lain yang menyaksikan jus jenama Johol Pine mula dipasarkan secara dalam talian pada penghujung Jun tahun lepas.

“Hingga kini kami berjaya menjual kira-kira 8,000 botol jus segar dengan pendapatan keseluruhan sekitar RM24,000,” katanya, menambah beliau hanya menggunakan buah premium AA, iaitu dengan berat dua kilogram ke atas.

Menurutnya, pemilihan buah juga harus dilakukan secara berhati-hati bagi mengekalkan kesegaran jus dan rasa manis buah asli.

“Saya tidak menggunakan sebarang perisa tambahan apatah lagi perisa tiruan dalam jus ini,” katanya, menambah beliau bercadang untuk mengeluarkan produk sambal hitam nanas dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, Hasnul Amri yang berdaftar sebagai usahawan nanas dengan LPNM, menasihati mereka yang berminat menceburi bidang itu agar mematuhi kaedah penanaman mengikut teknologi yang disyorkan oleh LPNM, bagi memastikan penghasilan buah berkualiti dan mengikut tempoh yang sewajarnya.

Terus hulur bantuan 

Sementara itu, Pengarah LPNM Negeri Sembilan dan Melaka Siti Hajar Ramlee berkata terdapat pelbagai bantuan yang disediakan untuk pengusaha nanas mengikut program yang ditetapkan oleh lembaga itu.

Antaranya ialah Program Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi yang menyalurkan bantuan berupa 42,000 sulur nanas – mencukupi untuk sehektar, serta bantuan input pertanian berupa baja sebatian nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) mengikut keluasan ladang.

“Syarat permohonan pula ialah peserta mestilah warganegara Malaysia dan tanaman nanas yang dimiliki ialah secara tunggal, mempunyai pemilikan tanah yang sah serta keluasan minimum adalah seekar,” jelasnya.

Bagi peserta Program Integrasi Tanaman pula, mereka akan menerima bantuan berupa 8,000 hingga 10,000 sulur nanas setiap ekar, manakala untuk peserta Program Agropreneur Muda, bantuan geran akan diberikan dalam bentuk barangan (dengan nilai maksimum RM20,000 setiap individu).

“Syarat permohonan untuk program ini ialah individu berumur 18 hingga 40 tahun dan baru memulakan projek tanaman. Mereka juga wajib mengikuti latihan teknikal yang dianjurkan oleh jabatan/agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan atau yang diiktiraf kementerian,” jelasnya.

Menurut Siti Hajar, LPNM sentiasa mengadakan kursus secara teori dan juga amali kepada pengusaha dan maklumat lanjut boleh didapati daripada laman sesawang LPNM (www.mpib.gov.my) atau media sosial rasmi Facebook LPNM.

Potensi industri 

Berkongsi mengenai potensi industri nanas untuk pasaran di dalam dan luar negara, Siti Hajar berkata pasaran dalam negara mempunyai ruang untuk berkembang dengan lebih luas kerana kekurangan saingan dari luar negara.

“Untuk pasaran luar negara, permintaan nanas segar daripada negara China sahaja sebanyak 100 kontena sebulan. Industri nanas juga telah menguasai beberapa pasaran utama seperti di negara Timur Tengah, Singapura dan Jepun, selain penerokaan pasaran baharu seperti di Eropah yang akan membantu meningkatkan lagi kecemerlangan industri nanas Malaysia.

“Ini kerana pelbagai produk dapat dihasilkan daripada sebiji nanas. Antaranya ialah produk berasaskan makanan seperti kerepek nanas, sos nanas, kopi nanas, jus/minuman, jem dan tart nanas, manakala produk bukan makanan adalah seperti kertas, silaj, kosmetik dan benang serat nanas.

“Perlu kita tahu buah nanas penuh dengan khasiat seperti vitamin C, B, dan enzim bromelin. Nanas MD2 pula memiliki lebih kemanisan, pulpanya lebih manis, kurang serat dan mengandungi empat kali lebih banyak vitamin C daripada nanas jenis lain. Sebab itu kita jangkakan industri nanas, terutamanya MD2, mempunyai potensi besar dan perlu terus diteroka dari semasa ke semasa,” ujarnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM14 juta bantu 10,000 petani tangani harga baja, racun naik

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM14 juta bagi membantu petani dan pesawah terkesan akibat kenaikan harga baja serta racun pada tahun ini.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata bantuan itu memberi manfaat kepada 10,000 individu sekali gus mengurangkan kesan kenaikan harga.

“Selain bantuan negeri, kerajaan pusat juga memperuntuk lebih RM13 juta merangkumi RM6.3 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan RM7.05 juta kepada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Barat Laut Selangor.

“Kita berharap bantuan yang telah dan sedang dilaksanakan membantu petani dan pesawah menangani isu kenaikan harga input,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman mengenai langkah membantu petani dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Ir Izham berkata pihaknya mengenal pasti beberapa faktor penyumbang kenaikan harga baja dan racun sebanyak 10 peratus pada tahun ini.

“Antaranya kekurangan bahan mentah seperti unsur nitrogen, phospate dan kalium yang diimport dari luar negara serta kenaikan kos bahan mentah.

“Perubahan polisi negara pengeksport input pertanian, gangguan logistik dalam tempoh pandemik serta bekalan baja dan racun dalam pasaran yang berkurangan juga punca kenaikan ini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sasar 2,000 ekar ladang tani moden setahun, lahir usahawan muda

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kerajaan Negeri menyasarkan untuk membangunkan ladang pertanian moden seluas 2,000 ekar setahun sebagai salah satu usaha melahirkan usahawan tani muda.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata kaedah tersebut membolehkan petani dibimbing oleh pakar terlatih atau pemain industri yang telah berjaya sekaligus melahirkan kelompok usahawan tani baharu.

“Di Bukit Changgang kita sudah mulakan projek 30 ekar, di Sungai Air Tawar pula 120 ekar. Kita juga memulakan projek di Sungai Panjang menerusi program Smart Selangor Agro Park yang melibatkan kerjasama pemain besar industri.

“Jadi tanggungjawab syarikat-syarikat besar ini adalah untuk membimbing usahawan kecil dari segi pembangunan pertanian,” katanya dalam bual bicara bertajuk `Membangun negeri, menyambung merdeka’ menerusi platform Media Selangor malam tadi.

Izham turut meyakini kadar kejayaan program tersebut lebih tinggi berbanding konsep seseorang usahawan tani mengusahakannya sendiri tanpa dibimbing.

“Sebagai contoh `syarikat A’ ada kepakaran dalam menanam dan mengeksport pisang, jadi kita beri 100 ekar di mana 70 ekar syarikat itu akan buat sendiri manakala 30 ekar lagi kita agih kepada beberapa usahawan tani baharu.

“‘Syarikat besar ini bertanggungjawab membimbing mereka bermula kaedah benih, tanaman, pembajaan, kawalan serangga dan seterusnya membeli produk mereka untuk dieksport,” katanya.

“Kaedah baharu ini akan beri hasil berbanding kaedah lama iaitu beri duit, tanah dan mereka usahakan sendiri yang kadar kejayaannya rendah,” katanya.

Program jaminan bekalan makanan antara 25 inisiatif Kerajaan Negeri dalam Pakej Kita Selangor 2.0 memfokus merancakkan sektor pertanian agro makanan, kecekapan rantaian bekalan dan melahirkan 1,000 agropreneur dalam lima tahun.

Program itu akan menyediakan tanah, modal pusingan dan bimbingan bagi menarik peserta terbabit untuk menjadi usahawan tani

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Hampir lingkup kena khianat, anak muda bangkit jadi jutawan tani

Oleh NORHIDAYYU ZAINAL

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Usahawan tani ini nyaris gila pada 2011 sebaik syarikat kontraktor yang diusahakan sejak berusia 18 tahun, hampir gulung tikar gara-gara dikhianati.

Ahmad Shawal Mispan yang ketika itu berusia 27 tahun dan sedang seronok mengecap nikmat bergelar jutawan muda dengan memiliki pelbagai aset serta kenderaan mewah, ‘terduduk’ apabila kehilangan jutaan ringgit dalam sekelip mata selain dihimpit masalah hutang.

Ia menyebabkan beliau mengalami tekanan perasaan melampau sehingga hilang pedoman dan melakukan perkara pelik termasuk mengasingkan diri di bawah jambatan, menyebabkannya dipandang serong oleh masyarakat.

Namun, mujurlah bapanya Mispan Zaidin, 73, dan ibunya Siti Khatijah Musanif, 63, bertindak pantas ‘menyelamatkannya’ dan mengembalikan keyakinan sehingga beliau kembali bangkit dan bertatih menyertai bidang pertanian serta penternakan.

“Ibu bapa sedar diri saya yang mengalami tekanan mental, jadi mereka berusaha untuk ‘tarik’ saya kembali.

“Mereka bina kandang lembu hasil daripada jualan tanah di Negeri Sembilan dan saya jadikannya sebagai satu terapi. Hari-hari hidup saya hanya dengan lembu, bercerita dengan haiwan itu sehingga saya lupa dengan dunia luar dan masalah dihadapi sebelum ini,” katanya yang kini berusia 37 tahun.

Selepas lapan bulan menyendiri dalam dunia tersendiri, semangatnya akhirnya pulih dan tanpa menoleh ke belakang, Ahmad Shawal yang merupakan anak kelahiran Tanjong Sepat, Banting, Selangor membuat keputusan untuk bergerak secara serius dalam bidang penternakan dan pertanian pada 2013.

“Ketika itu saya masih mempunyai tanah yang berkeluasan lapan hektar (20 ekar) di sekitar Banting, jadi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat bantu saya bangkit kembali dengan memberi pinjaman bercagar mengikut nilai pasaran tanah ketika itu.

“Dengan modal yang diberikan, saya mula membangunkan empayar dalam bidang penternakan dan pada masa sama perniagaan dalam bidang kontraktor diteruskan sehingga mendapat kembali kepercayaan daripada pelanggan,” katanya yang juga merupakan pengasas Bumijaya Rezeki Sdn Bhd.

JUTAWAN HALIA

Percaturannya itu ternyata tepat apabila beliau kini bergelar jutawan halia dan lengkuas dengan memiliki ladang pertanian berkeluasan 80 hektar di Banting yang turut ditanam dengan pelbagai jenis tanaman lain seperti, kunyit, ubi kayu dan ubi keledek selain memiliki 0.8 hektar tanah untuk ternakan lembu.

Semua hasil tanaman itu, katanya dihantar ke pasar raya besar seperti Giant, Econsave, Tesco dan Sri Ternak Mart Sdn Bhd di seluruh negara serta Pusat Pengumpulan Hasil Ladang PPK Kuala Langat dan menjadi seorang daripada pembekal halia dan lengkuas utama di negeri ini.

Untuk perancangan masa hadapan, beliau yang banyak menerima bimbingan PPK Kuala Langat bercadang untuk mengusahakan penternakan ayam daging dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Walaupun saya hanya berkelulusan darjah enam dan pernah gagal, namun itu bukan batu penghalang untuk berjaya. Yang penting jangan putus asa, kena berfikiran positif dan mempunyai semangat kental untuk hadapi cabaran,” katanya.

Enggan nikmat kejayaan itu dikecapi sendiri, Ahmad Shawal yang juga mesra dengan panggilan Boboy turut berganding bahu bersama PPK Kuala Langat dengan menjadi tenaga pengajar dalam bidang keusahawanan tani.

Ia bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan golongan muda khususnya agar mampu berdaya saing terutamanya dalam kalangan B40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sehingga kini, Ahmad Shawal yang merupakan anak keempat daripada sembilan adik-beradik itu mampu mengupah seramai 20 pekerja untuk menjaga ladang tanamannya dan ternakan lembunya.

– BERNAMA