Categories
AGENDA NASIONAL

Bas terbabas akibat tumpahan minyak, empat pelajar USIM cedera

SEREMBAN, 8 FEB: Empat pelajar perempuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas bas persiaran yang dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kemalangan di Bandar Baru Nilai, di sini pagi tadi.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Raihan Che Mat berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada kira-kira 7.40 pagi.

Beliau berkata empat pelajar tersebut masing-masing mengalami kecederaan di tangan dan di bahagian tulang belakang.

“Bas itu membawa 17 pelajar dan sedang dalam perjalanan ke USIM. Kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan McDonald’s di Bandar Baru Nilai…dan bas dipercayai terbabas kemungkinan berpunca daripada tumpahan minyak itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya kesemua pelajar itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan ambulans unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Keberkesanan vaksin Covid-19 dapat diatasi guna mRNA – pakar

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Keberkesanan vaksin keluaran Pfizer terhadap varian baharu Covid-19 yang dikesan beberapa negara belum lagi diketahui, tetapi ancaman varian baharu itu boleh diatasi menerusi kaedah baharu Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohd berkata ada kemungkinan vaksin kurang berkesan atau langsung tidak berkesan terhadap varian baharu itu.

“Bagaimanapun, dengan teknologi mRNA masalah ini akan dapat diatasi. Kandungan mRNA dalam vaksin boleh ditukar dengan mRNA baharu yang menyerupai virus varian baharu dalam masa beberapa minggu sahaja,” kata Nurul Azmawati.

Beliau berkata demikian menerusi sesi webinar bertajuk ‘Takut Dengan Vaksin Covid-19’ anjuran bersama USIM dan Pusat Sains Media (SMC) Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan bekas pesakit Covid-19 untuk turut mengambil vaksin memandangkan ia membantu meningkatkan imuniti terhadap wabak itu.

Jumlah bekas pesakit yang mendapat jangkitan kedua adalah sedikit, oleh itu pakar menjangkakan antibodi yang dihasilkan hanya boleh melindungi seseorang bagi jangka masa beberapa bulan sahaja, katanya.

“Selepas dijangkiti Covid-19, sistem imuniti akan menghasilkan antibodi untuk menghalang jangkitan seterusnya. Masih banyak perkara yang belum difahami tentang antibodi terhadap virus penyebab Covid-19.

“Vaksin boleh diambil setelah seseorang bebas daripada sebarang jangkitan. Jika pesakit Covid-19 menerima rawatan ‘convalescent serum’, mereka perlu menunggu sehingga 90 hari sebelum mengambil vaksin,” katanya.

Sementara itu, Pengajar Khas Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak dalam webinar itu menyatakan kesan sampingan selepas suntikan vaksin merupakan perkara biasa dan positif kerana ia bermakna tindak balas imun berfungsi.

Antara kesan sampingan vaksin Covid-19 yang dilaporkan adalah sakit di tempat dicucuk, lemah lesu, sakit otot dan sendi, deman serta cirit-birit, dengan simptom itu kebiasaannya hilang dalam satu ke dua hari.

Beliau turut berkata kesan sampingan anafilaksi (reaksi alergi yang cepat) dilaporkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat merangkumi tekanan darah rendah, pening dan sesak nafas, namun, rawatan cepat boleh disediakan serta tiada kematian dilaporkan akibat anafilaksi selepas suntikan vaksin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Daftar pelajar baharu USIM secara dalam talian

SEREMBAN, 3 OKT: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menangguhkan kemasukan pelajar ke kampus itu secara fizikal atau bersemuka susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Naib Canselornya Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata justeru, pendaftaran pelajar baharu bagi sesi 2020/2021 dalam semua peringkat pengajian dilakukan secara dalam talian sepenuhnya.

“Kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik tersebut dan pelajar sedia ada ke kampus juga ditangguhkan ke tarikh dimaklumkan kelak.

“Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi pelajar baharu dan pelajar sedia ada pula dilaksanakan secara dalam talian pada tarikh dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi pelajar yang berada di kampus, mereka boleh kekal berada di kampus atau kolej kediaman sehingga pemakluman baharu dikeluarkan bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Jelasnya, sebarang program atau aktiviti yang melibatkan himpunan dalam kampus turut ditangguhkan pada tarikh diberitahu kemudian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

USIM tangguh kehadiran pelajar dari Sabah, PKPD, zon merah ke kampus

SEREMBAN, 1 OKT: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memutuskan, untuk menangguhkan sementara kehadiran semua pelajar dari Sabah termasuk pendaftaran pelajar baharu untuk hadir ke kampus, susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Naib Canselor USIM Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, penangguhan itu turut membabitkan pelajar dari kawasan zon merah dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“USIM telah disarankan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi, untuk menangguhkan kemasukan pelajar dari kawasan zon merah Covid-19 ke kampus.

“Memandangkan potensi risiko penularan wabak yang semakin meningkat, pihak pengurusan USIM juga membuat keputusan menangguhkan sementara kehadiran pelajar secara fizikal ke kampus, sehingga notis pemakluman baharu dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, proses pendaftaran serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi kumpulan pelajar yang terlibat dari kawasan zon merah dan Sabah dilaksanakan secara dalam talian.

Bagi pelajar yang bukan dari kawasan zon merah dan Sabah, Mohamed Ridza berkata kemasukan ke kampus adalah kekal, mengikut takwim akademik ditetapkan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan belum muktamadkan sambutan Maal Hijrah

NILAI, 11 OGOS: Kerajaan kini dalam peringkat akhir perbincangan bagi memutuskan sama ada mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 1442H/2020M atau sebaliknya, berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sambutan Maal Hjrah yang jatuh pada 20 Ogos ini, merupakan acara kebesaran umat Islam dan amat penting dalam menyebarkan syiar Islam meskipun ia diadakan dalam skala yang kecil.

“Insya-Allah kita akan muktamadkan dan kita akan isytiharkan. Kita akan cuba melihat sambutan Maal Hijrah yang mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini yang turut dihadiri Naib Canselor USIM Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Menurut Zulkifli jika diadakan sambutan Maal HIjrah tahun ini, jumlah peserta dan masa sambutan akan dihadkan.

Mengenai seminar berkenaan, Zulkifli berkata ia diadakan bertujuan mengumpul maklumat dan kajian bagi memperkasa, menambah baik serta mentransformasi pengurusan hal ehwal Islam dalam menghadapi cabaran dan keperluan semasa ummah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Naib Canselor USIM mahu bertemu Duta Oman

NILAI, 4 OKT: Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata beliau mahu bertemu Atase Kebudayaan Oman untuk mendapatkan penjelasan bersabit larangan ke atas pelajar negara itu daripada mengikuti pengajian di USIM.

“Saya harap mendapat penjelasan daripada beliau sendiri tentang mengapa USIM dikategorikan dalam empat universiti di Malaysia yang pelajar Oman dihalang mengikuti pengajian,” katanya kepada pemberita.

Dilaporkan larangan turut melibatkan Universiti SEGI, Limkokwing Universiti Teknologi Kreatif dan Binary University of Management & Entrepreneurship yang antara lain dikatakan universiti-universiti ini tidak bekerjasama dalam menyelesaikan kesukaran yang dihadapi pelajar Oman.

Musa berkata perkara berkenaan sangat mendukacitakan USIM dan menggambarkan seolah-olah USIM tidak mempunyai kualiti.

OMAN TIMES“Pada hari pertama berita ini tersebar, saya telah mengadakan perbincangan dalaman. Malah saya sudah berjumpa dengan beberapa pemimpin pelajar Omar yang menuntut di sini dan mereka menunjukkan sokongan padu kepada USIM dan mereka sendiri tidak nampak logik larangan itu.

“Pihak universiti mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Oman selama ini dan berhasrat untuk terus mengekalkan hubungan baik yang sedia terjalin. Kita sentiasa bersedia untuk membuat penambahbaikan kepada kekurangan yang ada tanpa berkompromi mengenai kualiti pendidikan tinggi yang USIM tawarkan,” katanya.

Beliau berkata kini terdapat 126 pelajar Oman berstatus aktif yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktr Falsafah dalam pelbagai bidang di USIM.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

USIM pandang serius larangan pelajar Kerajaan Oman

SHAH ALAM 3 OKT: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memandang serius arahan Kementerian Pendidikan Tinggi Oman melarang rakyatnya melanjutkan pengajian di empat universiti di Malaysia termasuk institusi pengajian tinggi awam itu.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Profesor Datuk Dr. Zulkiple Abdul Ghani berkata, pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi perkara itu sama ada daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Oman mahu pun pejabat Kedutaan Oman di sini.

“Perkara ini hanya diketahui universiti melalui penyiaran berita Times of Oman.com sahaja. Melalui semakan dibuat di peringkat dalaman, pada masa kini kita tidak mempunyai maklumat sahih dan lanjut mengenai larangan dilaporkan dan isu bersangkutan secara langsung dengan USIM.

“Sebagai sebuah universiti awam, kita sentiasa membuka pintu kepada pelajar antarabangsa termasuk dari Oman untuk melanjutkan pengajian di universiti ini kerana terdapat 126 pelajar Oman berstatus aktif melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam pelbagai bidang di universiti ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

OMAN TIMESSebelum ini, Times of Oman.com melaporkan, Kerajaan Oman melarang rakyatnya daripada melanjutkan pengajian di empat universiti di negara ini termasuk USIM berikutan aduan diterima daripada pelajarnya berhubung pelbagai isu.

Antaranya termasuk isu pentadbiran, pengurusan akademik, pematuhan syarat biasiswa serta kebenaran menyambung pengajian menggunakan visa pelancong di negara ini.

Zulkiple berkata, segala isu berkaitan pelajar antarabangsa sentiasa diberi perhatian pihaknya kerana mereka adalah pemegang kepentingan USIM.

“Ini termasuklah soal kebajikan, kewangan dan akademik. Justeru, pertemuan segera diatur USIM bersama Kedutaan Oman untuk memperhalusi isu berbangkit.

“Pihak universiti mempunyai hubungan baik dengan Kedutaan Oman selama ini dan berhasrat terus mengekalkan hubungan baik sedia terjalin ini.

“Kita sentiasa bersedia membuat penambahbaikan kepada kekurangan yang ada tanpa berkompromi mengenai kualiti pendidikan tinggi yang USIM tawarkan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kerajaan Oman larang pelajar terus pengajian di 4 IPT Malaysia

SHAH ALAM, 2 OKT : Kerajaan Oman melarang pelajarnya meneruskan pengajian di empat Institut Pengajian Tinggi (IPT) negara ini.

Jawatankuasa Pengiktirafan Institusi Pengajian Tinggi Luar-Oman dan Kesesuaian Kelayakan Pendidikan, di Kementerian Pengajian Tinggi negara itu mengeluarkan keputusan untuk berhenti berurusan dengan beberapa universiti di Malaysia.

IPT itu adalah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti SEGI, Limkokwing Universiti Teknologi Kreatif dan Binary University of Management & Entrepreneurship.

“Pelajar Oman tidak dibenarkan melanjutkan (pengajian) di institusi pendidikan yang disebutkan di atas selepas keputusan ini dikeluarkan,” kata jawatankuasa itu lapor Times Of Oman.

OMAN TIMESPortal itu melaporkan, keputusan itu dibuat selepas merujuk pelbagai ‘kegagalan’ yang dikaitkan dengan IPT berkenaan.

“Kebanyakan alasan ini adalah akademik dan pentadbiran, termasuk kewujudan aduan terhadap universiti-universiti ini oleh beberapa pelajar Oman yang belajar di sana.

“Universiti-universiti ini tidak mematuhi beberapa undang-undang negara seperti pelajar mendaftar, yang membolehkan mereka belajar (memperoleh) visa pelancong.

“Kebanyakan universiti-universiti ini tidak bekerjasama dalam menyelesaikan kesukaran yang dihadapi oleh pelajar Oman di negara itu,” lapor portal itu.

Selain Malaysia, beberapa Universiti di Switzerland turut dilaporkan atas alasan tidak diiktiraf pihak berkuasa Swtzerland.

SelangorKini sedang menghubungi empat IPT itu dan pihak berkaitan bagi memberikan penjelasan dan butiran lanjut berkenaan isu itu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM lawat Sidang DNS

SHAH ALAM, 16 APRIL: Dewan Negeri Selangor (DNS) menerima lawatan sambil belajar 20 orang pelajar tahun akhir Syariah dan Undang-Undang dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, semalam.

Lawatan terbabit bertujuan untuk mendalami proses pembelajaran teori subjek berkenaan Sistem Perundangan Di Malaysia, Undang-Undang Perlembagaan dan Falsafah Perundangan.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Dr Muzaffar Syah Mallow, berkata pelbagai faedah berjaya diperoleh pelajar terbabit sepanjang sesi lawatan antaranya melihat sendiri proses perjalanan sesi persidangan DNS serta memperlajari pengunaan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan negeri.

dewan-dun-selangor“Melalui sesi lawatan ilmiah ini, pelajar juga dapat membezakan segala peruntukan yang diperuntukkan untuk kerajaan persekutuan serta negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Ia adalah satu dokumen undang-undang bertulis yang dibentuk berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.

Katanya, pelajar terbabit diharap dapat meningkatkan lagipemahaman mereka berkenaan perjalanan pentadbiran negara yang mengamalkan konsep federalisme melalui peruntukan undang-undang yang wujud di Malaysia melalui sesi lawatan ilmiah terbabit.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Yatt Hamzah : Contohi Selangor Dekati Generasi ‘Y’

Generasi 'Y' 04

SHAH ALAM, 30 DIS: Artis popular Yatt Hamzah memuji langkah Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani masalah generasi muda di negeri ini.

Katanya, program seperti Seminar Generasi ‘Y’ yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK wajar dicontohi Kerajaan Negeri lain.

Seminar seperti itu dapat memberi panduan kepada generasi muda menyediakan diri menghadapi pelbagai cabaran kehidupan hari ini.

“Pengisiannya sangat baik sebab berbentuk keilmuan dan juga hiburan bagi menarik minat anak muda, syabas kepada Kerajaan Negeri,” ujar Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah ketika ditemui Tv Selangor dalam seminar tersebut.

Mel wings Generasi 'Y' 01Seorang lagi artis Mel Wings atau nama sebenarnya Ismail Zainuddin pula berkata beliau terkejut melihat sambutan menggalakkan dari generasi muda terhadap seminar ini.

“Program ini amat baik, perlu lebih kerap lagi samada sebulan sekali atau seminggu sekali kerana dapat memberi panduan kepada anak muda bagaimana menghadapi cabaran dunia zaman serba mencabar sebagaimana yang difitrahkan oleh Allah” kata Mel.

Sementara itu , peserta yang ditemui turut memuji program yang dianjurkan Kerajaan Negeri ini.

Pelajar Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Iiman Bte Mohd Zaki, 24, pula mencadangkan agar seminar ini dijadikan acara tahunan dengan penyusunan program yang lebih kemas lagi.

“Tahun lepas dan tahun ini dah buat, saya rasa sangat wajar diteruskan dengan promosi lebih besar dan awal lagi.

“Walaupun minggu ini adalah minggu belajar sebab peperiksaan, tetapi ramai rakan saya hadir, tetapi kalau lebih banyak promosi dan awal pasti lebih ramai yang datang,” kata Iiman.

Mohammad Taufiq Ramli pula berkata seminar ini mampu menarik golongan belia kerana menyediakan program seimbang untuk anak muda.

“Kita dapat lihat tadi ada Ulama, tokoh pakar psikologi, Prof Madya Dr Mariani dan juga golongan artis.

“Ia dapat membantu golongan remaja mengenalpasti indentiti mereka seperti generasi X, Y dan sebagainya.

Sebelum itu, Seminar Generasi ‘Y’ mendapat sambutan baik apabila berjaya mengumpulkan hampir 1,000 anak muda dari seluruh Selangor.

Yatt Hamzah 01Antara tokoh yang diundang dalam seminar itu termasuklah Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor.

Selain itu, dalam seminar terbuka kepada semua golongan anak muda itu turut diserikan dengan kehadiran artis popular Yatt Hamzah, Diana Amir dan Mel Wings yang kini bergiat sebagai pendakwah bebas sebagai ahli panel dalam forum bertajuk Gen ‘Y’ dan Seni.

Selain forum Gen ‘Y’ dan Seni, turut diadakan dalam seminar tersebut, Ekspresi Gen ‘Y’ Terhadap Dakwah, Fenomena Media Baru: Sikap dan Sudut Pandang Gen ‘Y’ dan lima segmen lain.

Generasi 'Y' 03

Generasi 'Y' 01