Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

USM sedia terima kemasukan pelajar baharu mengikut SOP

GEORGE TOWN, 3 FEB: Universiti Sains Malaysia (USM) sedia menerima kemasukan pelajar ke kampus secara berfasa bermula 1 Mac depan, seiring dengan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM Profesor Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19, USM sentiasa peka dan mengambil kira beberapa faktor utama, dalam menyediakan pelan senario sebagai persediaan menerima kemasukan pelajar.

Beliau berkata pelan itu meliputi beberapa perkara merangkumi keselamatan semua warga kampus, keperluan kritikal dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta memastikan kualiti PdP terjaga dengan baik.

“Pengumuman terkini daripada KPT dilihat sebagai satu langkah proaktif ke arah mewujudkan satu persefahaman dalam kalangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini. Ia memang sesuai dengan mengambil kira keadaan semasa Covid-19 pada masa kini.

“Pastinya ini adalah normal baharu dalam dunia universiti dan semua perlu menyahut cabaran ini secara positif,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Terdahulu pada 31 Januari, KPT menyenaraikan enam kategori pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus secara fizikal bermula 1 Mac 2021, antaranya pelajar peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas, selain daripada pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif, untuk melaksanakan PdP dalam talian.

Selain itu, para pelajar di peringkat asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus untuk meneruskan pembelajaran secara hibrid, pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom, pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan akhir sekali pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan badan profesional.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

USM saran pelajar dari Sabah, zon merah tangguh pulang ke kampus

GEORGE TOWN, 29 SEPT: Universiti Sains Malaysia (USM) menyarankan semua pelajar universiti itu yang datang dari Sabah dan zon merah di negeri lain menangguhkan perjalanan balik ke kampus memandangkan penempatan kuarantin di dalam kampus sangat terhad.

Menurut USM dalam kenyataan hari ini, pelajar dari Sabah termasuk zon merah atau tidak dan zon merah bagi negeri-negeri lain boleh mengikuti pengajian secara dalam talian.

“Pelajar baharu (selain dari Sabah atau zon merah negeri-negeri lain) boleh mendaftarkan diri pada 2, 3 dan 4 Okt secara pandu lalu (di kampus USM), manakala pelajar baharu dari Sabah atau zon merah negeri-negeri lain boleh mendaftarkan diri pada 5 Okt secara dalam talian melalui laman web pohon.usm.my atau aplikasi Hebat@USM (Android).

“Bagi pelajar senior selain dari Sabah atau zon merah negeri-negeri lain boleh mendaftar kursus secara dalam talian mengikut jadual yang ditetapkan dan dibenarkan masuk kampus mulai 9 Okt,” menurut kenyataan itu.

USM juga meminta semua pelajar membuat deklarasi kesihatan secara dalam talian tiga hari sebelum datang ke kampus dan mereka juga diminta mematuhi panduan pentadbiran dan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan oleh universiti.

Menurut kenyataan itu, ibu bapa dan pelajar sahaja dibenarkan datang dengan kenderaan yang akan mendaftar secara pandu lalu dan hanya pelajar sahaja dibenarkan turun bersama bagasi serta barangan manakala ibu bapa tidak dibenarkan sama sekali turun dari kenderaan.

“Bagi semua pelajar dari Sabah dan zon merah negeri-negeri lain, mereka boleh kembali ke kampus apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pengumuman rasmi tentang status kawasan-kawasan tersebut. Bagi pendaftaran secara dalam talian, SOP berkenaan perkara tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan urusan pendaftaran pelajar baharu, boleh menghubungi Unit Pengambilan Pelajar, Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar di talian 1 300 888 876 / 04-653 3196 / 4663 / 3425 / 2688 atau emel [email protected], atau Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) di talian 04-653 3106 / 5825 / 5823 / 3482.

Pelajar senior boleh menghubungi BHEPA untuk maklumat lanjut.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MyWATCH : Kadar Jenayah Semakin Meningkat, Kerajaan Perlu Bertindak

PETALING JAYA, 28 NOV : NGO Malaysian Crime Watch Task Force (MyWATCH) mendakwa statistik Kerajaan Pusat tidak melambangkan realiti sebenar di mana kes-kes jenayah semakin menular sehingga anggota polis menjadi mangsa.

Pengerusinya, R Sri Sanjaven berkata masyarakat kini dibelenggu rasa ketakutan kerana jenayah boleh berlaku tidak mengira waktu dan tempat.

“Kita sekarang dalam keadaan tidak selamat lagi, kejadian kecurian dan pembunuhan semakin meningkat itupun kerajaan mendakwa bahawa negara masih lagi selamat,” katanya di dalam satu sidang media di sini semalam.

Hadir bersama Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang juga penaung MyWatch.

Sebelum ini, Unit Pencegahan Jenayah Pemandu telah mengeluarkan angka yang menunjukkan penurunan indeks jenayah sebanyak 11.1 peratus dari 2010 sehingga tahun lalu, manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus pada tempoh sama.

Akan tetapi statistik tersebut dipertikaikan Sanjaven yang merujuk kepada kes berprofil tinggi seperti kecurian kereta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar yang ketika itu menjawat Ketua Polis Selangor.

Malah juga terdapat cubaan untuk merompak rumah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye turut Oktober lepas.

Ujar beliau, kerajaan perlu memberi penjelasan dan telus dalam mengumumkan indeks statistik jenayah.

Dalam pada itu, Musa berkata pihak polis dan kerajaan sewajarnya melantik pihak ketiga yang bebas seperti universiti untuk memberikan data statistik jenayah.

Katanya semasa beliau menjadi Ketua Polis Negara, pakar-pakar bebas yang mempunyai pengalaman luas dipanggil bersama untuk membuat kajian berkenaan indeks statistik jenayah.

“Semasa menjadi KPN, kita mendapatkan geran daripada kerajaan untuk Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membuat penyelidikan terhadap statistik kadar jenayah dari pihak polis.

“Kajian itu telah dijalankan oleh Professor Sundramorthy, dan program itu sepatutnya terus berjalan sehingga kini,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

UITM Kaut Hadiah Pertandingan Rekabentuk Rumah Mampu Milik Selangor

SHAH ALAM 20 SEPT : Sekumpulan pelajar arkitek daripada UiTM Shah Alam memenangi tempat pertama dalam pertandingan rekabentuk unit rumah mampu milik (RMM) anjuran Kerajaan Selangor.

Kumpulan itu yang dinamakan ?Superblock? menerima wang tunai RM 12,000 beserta sijil.

Manakala tempat kedua dimenangi kumpulan ?Rekabentuk S&V Residents? juga daripada UiTM Shah Alam yang menerima RM 8,000.

Tempat ketiga pula dimenangi kumpulan ?Rekabentuk Urban Renewal Openness? daripada UiTM Seri Iskandar di Perak.

Tujuh perserta lain menerima saguhati RM 1,000. Kesemua hadiah tersebut disampaikan di dalam satu majlis di sini oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam ucapannya Abdul Khalid berkata, pertandingan yang dianjurkan ini diharap mampu merangka garis panduan baharu bagi pembangunan RMM.

“Kita harap agar idea yang diserlahkan oleh para pelajar IPTA pada reka bentuk ini dapat menghasilkan bangunan dengan kos yang berpatutan di pihak pemaju dan mampu dibayar pembeli rumah.

“Ia juga seharusnya berkonsepkan green building, mesra alam sekitar dan berfungsi sebagai pusat pembangunan komuniti berpusat,” jelasnya.

Pertandingan anjuran bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor itu disertai 65 peserta daripada empat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Mereka adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM).

Pertandingan tersebut bermula pada 10 September lalu dan diadili oleh tujuh juri professional yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.