Categories
NASIONAL

PAS PJS Urus Jenazah Percuma Ringankan Beban Waris

PETALING JAYA, 23 MAC: Menyedari kos menguruskan jenazah yang semakin tinggi, PAS Petaling Jaya Selatan (PJS) mengambil insiatif meringankan beban waris si mati dengan memberikan khidmat menguruskan jenazah secara percuma.

Perkhidmatan yang disediakan untuk masyarakat Islam PJS khususnya di Taman Medan itu turut meliputi semua urusan sehinggalah jenazah dikebumikan termasuk pengangkutan untuk jenazah.

Menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS PJS, Shamsudin Mahayuddin, PAS PJS membelanjakan kira-kira hampir RM15 ribu setiap bulan untuk menampung permintaan masyarakat Islam di kawasan terbabit.

“Purata setiap bulan kita menguruskan kira-kira 15 jenazah dan ianya memerlukan sekurang-kurangnya RM15 ribu setiap bulan untuk kos urus jenazah.

“Ada kala mencecah hingga lebih 20 jenazah yang kami uruskan sebulan, maklumlah kawasan Taman Medan ini sendiri memang padat dengan penduduk, apatah lagi seluruh PJS ini,” beritahu beliau ketika ditemui di Pejabat Pentadbiran PAS PJS baru-baru ini.


Sementara itu menurut Yang DiPertua PAS PJS, Ustaz Ghazali Shaari pula berkata, tugas menguruskan jenazah yang dilakukan ini bukanlah untuk meraih sokongan politik tetapi menjadi sebahagian daripada amal kebajikan parti Islam itu.

“Ini bukanlah nak raih sokongan politik, tetapi sebahagian daripada amal kebajikan yang termampu kami lakukan untuk masyarakat Islam di sini.

“Sebab nak uruskan jenazah sekarang bukanlah setakat dua, tiga ratus ringgit dah cukup, tetapi mencecah ribu.

“Soal mati pula bukanlah dapat tahu awal-awal supaya bolehlah sediakan duit siap-siap.

“Jadi, macam mana kalau ketika berlaku kematian, si waris ketika itu tidak mempunyai wang?

“Dengan adanya perkhidmatan urus jenazah percuma ini, waris tak perlu nak fikirkan kos upah gali kubur, van jenazah, mandikan, kain kafan dan sebagainya tetapi kami dah sediakan sukarelawan dari ‘A’ sampailah ke ‘Z’,” kata beliau.

Menurut Ghazali lagi, perkhidmatan yang disediakan ini terbuka kepada semua masyarakat Islam PJS tanpa mengira bangsa dan idealogi politik.

“Kalau nak ikutkan memanglah ada orang Umno yang tak senang denganĀ  perkhidmatan urus jenazah ini, terutama masa mula-mula kami mulakan pada 2008 lalu sampai ada yang cuba pulaukan waris yang gunakan khidmat kami.

“Tapi sekarang kebanyakan mereka dah tak kisah hinggakan ahli Umno pun dah ramai gunakan khidmat kami.

“Tak kira parti atau bangsa apa sekalipun selagi jenazah Islam bagi kami tak ada masalah sebab kami bantu ikhlas nak ringankan beban waris,” ujar Ghazali lagi.

Penduduk PJS boleh menggunakan perkhidmatan 24 jam itu dengan menghubungi talian 03-7785 7279/7285.