Arab Saudi Naiktaraf Kediaman Sebab Jemaah Haji Dikurang

SHAH ALAM, 26 MEI: Kerajaan Arab Saudi dijangka terpaksa mengurangkan jemaah haji dari Malaysia dan negara-negara lain disebabkan kerja menaiktaraf kediaman jemaah dan tiada kena mengena dengan perhimpunan BERSIH 3.0 yang turut diadakan di negara itu.

Demikian menurut Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Ustaz Mokhtar Senik ketika dihubungi TVS hari ini.

“Memang begitulah, maklumat yang kita perolehi, akhbar-akhbar di Arab Saudi tak keluar kenyataan sebagaimana yang dinyatakan oleh akhbar arus perdana Malaysia.

“Cuma pengurangan itu memang ada berlaku tetapi disebabkan penempatan lama seperti pangsapuri diruntuhkan, yang baru belum bina lagi.

“Jadi jumlah kouta haji dari Malaysia dan juga negara-negara lain terpaksa dikurangkan, jelas bukan kesan BERSIH 3.0,” katanya lagi.

Mokhtar turut menghubungi beberapa rakan beliau yang terdiri dari pelajar dan individu warganegara Malaysia yang tinggal di sana.

“Pelajar kita di sana pun ada hubungi beberapa pihak di sana, tetapi kata pihak berkuasa di sana, mereka cuma abaikan, tak ada apa-apa bagi dia,” katanya lagi.

Mokhtar turut memberitahu TVS, akhbar-akhbar di sana melaporkan Kerajaan Arab Saudi akan mengurangkan kouta jemaah haji dari negara-negara luar disebabkan kediaman yang sedia ada agak terhad pada masa ini.

Selain itu, Mokhtar Senik turut memberitahu bahawa tiada mana-mana rakyat Malaysia yang menetap di sana menjadi buruan pihak polis Arab Saudi kerana menyertai perhimpunan yang diadakan di Madinah, Arab Saudi.

“Kita berharap kerajaan Malaysia bercakap benar, jangan cuba mengambi kesempatan dengan pengurangan kouta haji itu dengan menghempapkan semuanya di atas BERSIH 3.0.

“Kita mahu masyarakat umum mendapat maklumat yang benar,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini beberapa media arus perdana dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendakwa bahawa kouta jemaah haji Malaysia akan dikurangkan gara-gara tindakan sekumpulan pelajar dan pekerja dari Malaysia mengadakan perhimpunan aman BERSIH 3.0. di Mekah dan Madinah.