Categories
AGENDA NASIONAL

UTM sedia 10 bas bawa pelajar balik kampung sempena Aidilfitri

JOHOR BAHRU, 2 MEI: Lebih 800 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setakat ini susulan keputusan kerajaan membenarkan pelajar pulang sempena Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata angka itu diperolehi berdasarkan pengisian borang khas disediakan, meliputi kira-kira 25 peratus daripada 3,200 pelajar yang berada dalam kampus.

Ekoran itu, menurut beliau pihak universiti melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bersama UTM Fleet sedang menguruskan maklumat dan data pelajar yang memerlukan kemudahan pengangkutan.

“Setakat ini, universiti akan memperuntukkan enam bas bagi pergerakan pulang pelajar ke Zon Timur, Utara serta Tengah, dan empat buah lagi untuk Zon Selatan. Bas akan mula bergerak pada 6 Mei dengan pergerakan penghantaran terakhir ialah pada 11 Mei,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara dibenarkan pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri, kecuali bagi Sarawak, dan beberapa mekanisme telah ditetapkan termasuk melaksanakannya secara berfasa bagi mengawal pergerakan.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Umno-BN Selangor Seperti ‘Menepuk Air Di Dulang, Terpercik Muka Sendiri’

charles santiago

SHAH ALAM, 11 APRIL : Kelakuan Umno-BN menggunakan isu air untuk merampas kembali Selangor ibarat seperti ‘menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri’, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Menurutnya, isu air sebenarnya kekuatan Pakatan Rakyat (PR) dan tarikan untuk rakyat kekal mengundi PR.

“Orang ramai bukan bodoh untuk faham. Kalau mereka (Umno-BN) gunakan isu itu, ia akan menjadi kekuatan pada PR lebih daripada kekuatan kepada Umno-BN,” katanya ketika dihubungi.

Tiga perkara pokok yang menunjukkan kekuatan PR ialah pemberian air percuma, menyelesaikan kes gangguan air di Ampang dan pemberian saham air kepada rakyat.

“Saya fikir ini satu strategi mereka yang lemah dan tidak akan berjaya kerana sekarang Kerajaan Negeri Selangor memberikan air percuma kepada rakyat, itu membuatkan rakyat senang hati,” katanya.

Perkara kedua, jelas menunjukkan kelemahan Syarikat Bekalan Air Selangor Syabas. Bukan masalah air tidak cukup tetapi kegagalan Syabas memproses air untuk kegunaan rakyat.

Jelasnya, Syabas bekerja kuat dengan Umno-BN untuk memberikan pandangan negatif orang ramai terhadap Kerajaan Negeri.

“Dan yang lebih besar ketika ini, saham air untuk rakyat. Kerajaan Negeri tawar untuk memberi saham itu kepada rakyat, jadi keuntungannya akan dikongsi bersama rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, isu air yang dikatakan akan menjadi isu panas seperti yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar sebenarnya tidak melemahkan PR.

Sebelum ini, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan meramalkan BN Selangor akan menggunakan isu air sebagai ?senjata? utama dalam manifesto khusus untuk negeri itu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.