Categories
ADN SELANGOR

450 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina untuk penduduk Kota Kemuning

SHAH ALAM, 30 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning mengagihkan 450 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina bagi meringankan beban penduduk menyediakan keperluan.

Wakil rakyat V Ganabatirau berkata 100 daripada baucar terbabit merupakan tambahan pihaknya dengan peruntukan RM10,000 selepas mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk.

“Hampir 90 peratus penerima merupakan mangsa banjir pada Disember lalu. Kita harap penambahan ini membantu mereka.

“Kebanyakan penerima adalah golongan B40 (keluarga berpendapatan rendah), warga emas, ibu tunggal atau orang kelainan upaya,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

EXCO kerajaan prihatin itu berkata pihaknya turut mengagihkan baucar dengan nilai sama sumbangan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) kepada 30 penerima layak.

“Penerima boleh menggunakan baucar berkenaan di pasar raya Giant Kota Kemuning dan mana-mana cawangan 99 SpeedMart berdekatan,” katanya.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar kumpulan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Categories
EXCO SELANGOR

2,000 keluarga di Taman Sri Muda terima bantuan banjir

SHAH ALAM, 22 JAN: Seramai 2,000 keluarga yang terkesan banjir di Taman Sri Muda menerima sumbangan RM1,000 melalui program Bantuan Selangor Bangkit (BSB), hari ini.

Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning berkata V Ganabatirau berkata pemberian itu merupakan fasa keempat untuk mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

“Mangsa banjir juga turut menerima bantuan wang ihsan RM1,000 dari kerajaan persekutuan pada hari ini.

“Selain itu pihak kami berharap kerajaan persekutuan dapat menyegerakan bantuan barang keperluan harian (BKH) bernilai RM2,500 kerana masih terdapat ramai yang belum menerima,” katanya menerusi Facebook.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Penganut Hindu patuh SOP rai Thaipusam di Batu Caves

SHAH ALAM, 18 JAN: Penganut Hindu kekal berdisiplin dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika meraikan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak hari ini.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata anggota polis, penguat kuasa dan sukarelawan ditempatkan di lokasi sejak awal pagi bagi memastikan tiada pelanggaran SOP dalam kalangan pengunjung.

“Keseluruhannya, masyarakat Hindu terima baik SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Mereka memakai pelitup muka, menyukat suhu badan selain mengawal penjarakan fizikal bagi mengelak dijangkiti Covid-19 atau dikenakan tindakan.

“Walaupun sambutan agak lengang tetapi paling penting mereka berpeluang menunaikan nazar,” katanya selepas meninjau upacara keagamaan itu bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Ganabatirau berkata pihaknya juga tidak mengesan mana-mana peniaga kecil menjalankan perniagaan di kawasan dalam atau luar kuil terbabit.

“Kerajaan memang tidak benarkan sebarang jenis perniagaan atau program yang boleh menarik perhatian bagi mengelak tumpuan masyarakat. Jadi, hari ini saya tidak nampak gerai jualan di dalam atau luar kuil,” kata Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau (dua, kiri) bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique (kanan) dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan (kiri) di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak sempena sambutan Thaipusam pada 18 Januari 2022. Foto Facebook V Ganabatirau

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan 4,000 bakul makanan akan diedarkan bagi meringankan beban masyarakat Hindu membabitkan perbelanjaan hampir RM200,000.

Menurutnya, agihan melalui Ketua Komuniti India dibuat mulai minggu depan dengan menumpukan kawasan terjejas banjir pada akhir tahun lalu.

Categories
ADN SELANGOR

Thaipusam: Masyarakat diseru ikut SOP demi keselamatan, kesihatan

SHAH ALAM, 16 JAN: Masyarakat Hindu diseru supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sempena perayaan Thaipusam demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Hindu Selangor V Ganabatirau berkata langkah itu penting bagi mengelak penularan wabak ketika menyambut perayaan terutama terhadap kanak- kanak dan warga emas.

“Walaupun disambut dengan keadaan SOP tetapi kebenaran untuk masyarakat Hindu membayar nazar dan sembahyang masih dibenarkan.

“Oleh demikian, saya seru masyarakat Hindu sucikan rohani dan tidak melawan apa yang ditetapkan kerajaan supaya niat baik dapat dilaksanakan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Rabu Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’  pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Kerajaan juga tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

1,366 keluarga mangsa bah Kota Kemuning terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 12 JAN: Seramai 1,366 keluarga mangsa banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menerima sumbangan RM1,000 melalui program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) semalam.

Ahli Dewan Negerinya berkata jumlah tersebut adalah daripada hampir 3,000 mangsa yang terjejas dari Bukit Lanchong, Lanchung Jaya dan Taman Alam Indah dekat sini.

V Ganabatirau turut menasihatkan keluarga yang belum memperolehnya termasuk kawasan lain di DUN itu agar bersabar berikutan jumlah permohonan yang banyak dan sedang diproses.

“Kita memahami situasi mangsa yang tertekan akibat banjir, namun perlu disemak semua dokumen sebaiknya. Dokumen mereka juga digunakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Justeru, kita mohon mereka yang belum dapat supaya bersabar kerana kita akan pastikan bantuan sampai kepada mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning V Ganabatirau menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 kepada keluarga mangsa banjir pada 11 Januari 2022. Foto Facebook V Ganabatirau

EXCO Kerajaan Negeri itu menjelaskan selain BSB, kesemua 1,366 keluarga mangsa turut menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan persekutuan dengan jumlah sama.

Manakala bantuan barang keperluan harian (BKH) bernilai RM2,500 sudah diagih kepada sebahagian daripada mereka.

“Ini menjadikan keseluruhan bantuan kewangan diterima ketua isi rumah terjejas bernilai RM4,500 hasil sumbangan Kerajaan Selangor dan persekutuan. Diharap ia meringankan beban mangsa ketika ini yang kehilangan banyak harta benda,” katanya.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

Categories
ADN SELANGOR

Bantuan RM1,000 mangsa banjir DUN Kota Kemuning disegera

SHAH ALAM, 9 JAN: Agihan bantuan RM1,000 untuk mangsa banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning termasuk Taman Seri Muda akan disegerakan.

Wakil rakyatnya V Ganabatirau berkata setakat ini seramai 100 penduduk menerima sumbangan berkenaan manakala baki diagih berperingkat minggu depan.

“DUN saya paling terjejas dalam banjir kali ini dan saya harap permohonan mangsa banjir disegerakan dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Dato’ Menteri Besar,” katanya.

Beliau yang ditemui pada Program Bazaar Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman di sini menambah pihaknya bersedia menyediakan lokasi bagi mempercepat agihan sumbangan.

“Pihak kuil dan beberapa masjid juga bersetuju untuk menjadikan tempat mereka sebagai lokasi pemberian bantuan,” kata Ganabatirau.

Setakat pagi semalam, seramai 20,086 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 dengan belanja keseluruhan RM20.196 juta.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Pusat jagaan lega terima sumbangan, tampung kos urus golongan istimewa

BANTING, 16 DIS : Pengurusan Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Selangor menarik nafas lega selepas menerima bantuan Kerajaan Negeri .

Pengerusinya S Murugaiyah @ Mr Jeevah berkata pihaknya mengalami kekurangan dana untuk beroperasi sejak penularan Covid-19 sehingga menjejaskan operasi pusat jagaan itu.

S Murugaiyah @ Mr Jeevah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sekarang kita kurang terima dana dan bantuan syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) sejak pandemik melanda. Jika sukar beroperasi dengan stabil, macam mana nak bayar gaji staf.

“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor, kami amat hargai sumbangan tunai ini yang sedikit sebanyak membantu untuk membeli kelengkapan harian,” katanya.

Beliau ditemui dalam Program Kebajikan Lestari Selangor 2021 di Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Selangor di sini hari ini.

Persatuan itu menerima sumbangan wang tunai RM45,800 yang disampaikan EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau.

Pada masa sama, Murugaiyah berharap lebih ramai masyarakat atau syarikat swasta menghulurkan bantuan kepada pusat jagaan terbabit.

Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Selangor ditubuhkan pada 1996 bermula di Ampang Jaya kemudian berpindah di Banting pada 2012.

Kini pusat jagaan itu mempunyai 24 kakitangan termasuk penjaga dan 78 penghuni.

Categories
EXCO SELANGOR

Penyelia pusat kebajikan lega dapat RM5,000 tampung kos operasi

SHAH ALAM, 11 DIS: Pusat kebajikan negeri ini menyambut baik sumbangan Kerajaan Selangor yang sedikit sebanyak membantu menampung kos operasi dan penganjuran program.

Penyelia Rumah Puteri Arafiah Siti Nurbaya Zakaria berkata dana tersebut digunakan untuk memanggil kaunselor berikutan sekian lama tidak berbuat demikian.

“Terima kasih Kerajaan Selangor, Insya-Allah dengan sumbangan ini kita akan berusaha melakukan lebih banyak aktiviti berbentuk motivasi atau ceramah kepada penghuni rumah ini.

“Semoga bantuan ini diteruskan pada masa akan datang dan lebih banyak pusat kebajikan dibantu,” katanya ditemui di pusat pentadbiran negeri semalam.

Penyelaras Rumah Insaniah Tun Dr Siti Hasmah Alif Asyraf Mohd Amin pula akan memanfaatkan sumbangan itu bagi meneruskan operasi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Terima kasih Kerajaan Selangor atas bantuan ini yang dapat membantu kami menguruskan bil utiliti, membeli keperluan asas dan perbelanjaan perubatan,” katanya.

Semalam, EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau menyerahkan RM5,000 kepada 13 pusat kebajikan terpilih di negeri ini sebagai tanda keprihatinan.

Berikut pusat kebajikan yang menerima bantuan:

1. Persatuan Pemulihan Orang-orang Cacat Selangor dan Wilayah Persekutuan
2. Pusat Jagaan Persatuan Komuniti Istimewa Ampang
3. Pusat Jagaan Anak Yatim/Miskin Rukaiyyah
4. Pusat Jagaan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat
5. Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah
6. Persatuan Orang Yang Amat Cacat Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan
7. Pusat Jagaan Rumah Aman
8. Pusat Jagaan Rumah Puteri Arafiah
9. Pusat Jagaan Darul Sakinah Angkasa
10. Rumah Victory Elderly Home
11. Pusat Jagaan Persatuan Insan Istimewa Cheras
12. Persatuan Jagaan Orang-orang Kurang Upaya dan Terbiar Lovely PJ
13. Pusat Jagaan Ekliptik

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Peruntuk RM65,000 bantu 13 pusat kebajikan

SHAH ALAM, 10 DIS : Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan RM65,000 kepada 13 pusat kebajikan untuk membeli barangan keperluan, mendapat rawatan perubatan dan membaik pulih kelengkapan asas.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata sumbangan itu sebagai tanda sokongan kepada pusat kebajikan selain memastikan kesejahteraan dalam kalangan penghuni.

“Setiap pusat kebajikan menerima sumbangan RM5,000. Pandemik Covid-19 mengekang tujuan asal kita untuk bersemuka turun padang bertemu penghuni pusat kebajikan.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada pusat kebajikan. Kita harap sumbangan ini memberi manfaat besar kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Sumbangan Program Santuni Pusat Kebajikan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

13 pusat kebajikan yang menerima bantuan adalah Persatuan Pemulihan Orang-orang Cacat Selangor dan Wilayah Persekutuan, Pusat Jagaan Persatuan Komuniti Istimewa Ampang, Pusat Jagaan Anak Yatim/Miskin Rukaiyyah dan Pusat Jagaan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat.

Selain itu, turut menerima Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Persatuan Orang Yaang Amat Cacat Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan, Pusat Jagaan Rumah Aman dan Pusat Jagaan Rumah Puteri Arafiah.

Manakala, Pusat Jagaan Darul Sakinan Angkasa, Rumah Victory Elderly Home, Pusat Jagaan Persatuan Insan Istimewa Cheras, Persatuan Jagaan Orang-orang Kurang Upaya dan Terbiar Lovely PJ dan Pusat Jagaan Ekliptik juga menerima sumbangan tersebut.

Categories
EXCO SELANGOR

Bantuan ibu tunggal diselaras pastikan ramai dapat manfaat

SHAH ALAM, 7 DIS: Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS-IT) diselaras bagi memastikan lebih ramai golongan itu menerima manfaat negeri.

EXCO pembangunan sosioekonomi berkata seramai 1,661 individu menerima bantuan tersebut setakat Oktober lalu berbanding 5,000 kuota yang disediakan.

“Kita sedar ramai ibu tunggal di luar sana. Apabila memohon, perlu pengesahan mereka benar-benar ibu tunggal dan dokumen sampingan untuk sahkan pendapatan dan keadaan mereka.

“Program ini akan dinaik taraf kepada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) tahun depan, kita akan selaraskannya,” kata V Ganabatirau.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Batang Kali Harumaini Omar berhubung permohonan rendah dalam program itu pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Berhubung statistik keluarga miskin bandar dan ibu tunggal di Selangor, Ganabatirau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mempunyai data tersebut.

“Namun, statistik terkini bantuan dalam kategori ini sehingga Oktober lalu ialah RM14.7 juta untuk Bantuan Kanak-Kanak (BKK) manakala Bantuan Am Negeri (BA) pula RM10.9 juta,” katanya.

Bingkas memperuntuk RM300 sebulan atau RM3,600 setahun yang akan memanfaatkan 30,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) tahun depan.

Categories
EXCO SELANGOR

Yawas, JPN kerjasama kongsi data warga emas, elak cicir bantuan

SHAH ALAM, 6 DIS: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menyelaraskan maklumat dan data ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, V Ganabatirau berkata kaedah itu bagi memastikan tiada golongan tercicir dan proses integrasi maklumat itu dilakukan dari semasa ke semasa.

“Yawas telah selesai melaksanakan pemurnian data-data SMUE dengan kerjasama JPN pada September 2021 dan proses ini akan dilakukan berdasarkan keperluan.

“Kemas kini pemilihan peserta untuk setiap program yang akan dijalankan berdasarkan pada setiap bulan kelahiran semasa,” katanya, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kota Damansara Shatiri Mansor mengenai mekanisma yang diguna bagi memastikan peserta SMUE menerima baucar pada bulan kelahiran mereka pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Ganabatirau berkata setakat ini seramai 319,087 individu layak menerima baucar berkenaan dalam tempoh 2019 hingga 2021.

Katanya, jumlah itu merangkumi 35,291 penerima pada 2019, 145,359 penerima pada 2020 dan 138,437 pada tahun ini.

Categories
EXCO SELANGOR

Program blueprint basmi kemiskinan bantu 2,642 peserta sejak 2016

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan RM10 juta bagi membantu 2,642 peserta Blueprint Pembasmian Kemiskinan meluaskan perniagaan sejak 2016.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata bantuan meliputi mesin dan alatan niaga perlu dimohon melalui pejabat daerah dan tanah (PDT).

“Bagi daerah Hulu Langat sahaja, seramai 212 orang lulus permohonan dengan peruntukan sebanyak RM902,450,” kata V Ganabatirau dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Semenyih Zakaria Hanafi yang meminta perincian jumlah penerima bantuan diberikan mengikut Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, Ganabatirau menjelaskan tiada perincian peserta berikutan permohonan dibuat melalui PDT termasuk perolehan pembelian alatan.

“Program dibuat mengikut daerah dengan borang permohonan perlu dikemukakan kepada pihak berkenaan untuk diproses dan disiasat sebelum dibawa masuk ke mesyuarat jawatankuasa pemilihan,” katanya.