Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 200 individu terima Vaksin Selangor di Bandar Utama

PETALING JAYA, 6 NOV: Seramai 230 individu diberi suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama setakat jam 2 petang tadi.

Wakil Rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata program yang diadakan di Dewan Komuniti Bandar Utama 3 itu masih menerima kehadiran orang awam secara terus sehingga jam 5 petang ini.

“Kita menyediakan 1,000 dos vaksin dan setakat ini lebih 250 pendaftaran diterima… saya alu-alukan penduduk sekitar Bandar Utama atau luar kawasan yang belum divaksin hadir ke sini hari ini.

“Saya berharap dengan inisiatif disediakan Kerajaan Negeri sedikit sebanyak membantu mempercepatkan vaksinasi bukan hanya kepada remaja tetapi setidaknya mampu sampai kepada kadar hampir semua penduduk divaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan ke program Selvax Remaja DUN Bandar Utama di sini hari ini.

Jamaliah berkata peratusan pendaftaran vaksin bagi program hari ini agak rendah berikutan rata-rata penduduk sudah divaksinasi.

“Secara keseluruhan DUN Bandar Utama telah menjalankan lebih 10 program vaksinasi dan kita yakin majoriti penduduk telah pun divaksin,” katanya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.