Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Vaksin Selangor langkah tepat, dulu ditohmah kini dipuji

SHAH ALAM, 12 NOV: Program Vaksin Selangor (Selvax) yang dilancar pada Jun membabitkan peruntukan RM200 juta bagi mengekang Covid-19 merupakan langkah tepat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata walaupun dicerca dan ditertawakan ketika mengumumkan pembelian vaksin sendiri namun Kerajaan Selangor terus istiqamah dan kini tindakan dipuji serta disanjung ramai.

“Kita memang sering diuji dengan tohmahan, dicerca dalam pelbagai perkara namun kita sabar, cekal, fokus kerja serta tugasan untuk pastikan apa kita lakukan adalah betul dan ikut landasan undang-undang, komitmen dan piagam penjawat awam negeri.

“Saat negeri lain masih tunggu penyelesaian vaksinasi kita datang dengan peruntukan sendiri RM200 juta. Program vaksinasi kita mampu cepatkan pemulihan sehingga kita masuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam audio dimuat naik di Facebook.

Audio itu merupakan petikan ucapan Amirudin pada  Majlis Perhimpunan Penjawat Awam di sini baru-baru ini.

Pada Selasa Amirudin berkata pelaksanaan Selvax membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyuntik lebih ramai individu yang kini mencecah 75 peratus.

Lembah Klang dan Selangor merekodkan lebih 89 peratus penduduk disuntik dengan Selvax menyumbang lebih 370,000 dos vaksin kepada pekerja kilang serta masyarakat.

Selvax Komuniti dan Industri dilancarkan pada Jun bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak yang tamat 17 Oktober.

Pada 7 Oktober Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rakaman audio boleh diikuti menerusi pautan https://www.facebook.com/amirudinbinshari/videos/3094753684147103

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Vaksin Selangor Remaja di Flora Damansara esok

SHAH ALAM, 29 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja berumur 12 tahun ke atas diadakan di Dewan Serbaguna Komuniti Blok G, Apartment Flora Damansara esok.

Orang ramai perlu mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dengan menekan butang VAX dan masukkan kod baucar AFD30OCT.

Berdasarkan poster dikongsi EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook, program terbuka kepada rakyat tempatan dan bukan warganegara khusus buat peserta yang belum menerima dos pertama atau tercicir dos kedua Selvax.

Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 melalui Selvax Remaja bermula 24 Oktober di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 13,000 individu disuntik menerusi program Selvax bergerak

SHAH ALAM, 21 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak tamat pada 17 Oktober selepas lima minggu beroperasi, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pemberian vaksin yang dijalankan di 25 Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya menyuntik 13,238 individu termasuk lebih 4,000 warga asing.

Antara DUN terlibat Sungai Tua, Hulu Bernam, Sijangkang, Kuala Kubu Bharu, Bukit Lanjan, Bandar Utama, Kinrara, Tanjung Sepat dan Batang Kali.

“Untuk DUN Batu Tiga, Dengkil dan Bandar Baru Klang, kita adakan dua kali program suntikan selepas mendapat sambutan.

“Lepas ini kita fokus kepada Selvax Remaja untuk pelajar 12 hingga 17 tahun yang dijangka berjalan pada November ini,” katanya kepada SelangorKini.

Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk belum dapat suntikan boleh sertai Vaksin Selangor bergerak

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kerajaan Negeri mengalu-alukan semua rakyat termasuk warga asing untuk menyertai program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak bagi mendapat suntikan pelalian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang dimulakan di pelbagai Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan ini bagi memastikan negeri mencapai imuniti kelompok.

“Menginsafi bahawa “tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat”, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan Selvax bergerak telah dimulakan di pelbagai DUN untuk memvaksin penduduk Selangor.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan semua meliputi rakyat Malaysia dan bukan warganegara untuk turut serta dalam usaha imunisasi ini,” katanya dalam perutusan sempena perayaan kuih bulan hari ini.

Amirudin turut mengingatkan orang ramai untuk hidup dalam norma baharu bersama Covid-19 apabila pandemik itu menjadi endemik kelak.

“Kita telah memerangi wabak Covid-19 selama hampir 18 bulan. Kini, kita mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai musuh yang tidak kelihatan ini berbanding dua tahun lepas,” katanya lagi.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu dibuat secara berperingkat antaranya membabitkan DUN Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali dan Hulu Bernam.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan
membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sumbang bekalan vaksin bukti solidariti perangi Covid-19 – MB

SEBERANG PERAI, 31 OGOS: Sumbangan bekalan vaksin oleh Kerajaan Selangor kepada Pulau Pinang adalah bukti solidariti dalam memerangi pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian 20,000 dos vaksin kepada kerajaan Pulau Pinang secara percuma itu mampu memanfaat seramai 10,000 individu.

“Alhamdulillah setelah pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat dilihat trend penurunan kes.

“Oleh demikian, dalam mesyuarat bersama ketua menteri saya memberitahu jika tidak melakukan sesuatu tindakan vaksinasi dengan segera di Pulau Pinang dan beberapa negeri lain mungkin akan berlaku lonjakan kes seperti di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam program Penyerahan Vaksin Selangor kepada Kerajaan Pulau Pinang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Integrasi Seberang Perai (SP Arena) pada 31 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita berharap sumbangan vaksin kepada Pulau Pinang dapat menggerakkan imunisasi dengan pantas dan dapat kurangkan kes,” katanya ketika penyerahan vaksin Selangor kepada Pulau Pinang di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 Integrasi Pusat Konvensyen Seberang Perai di sini, hari ini.

Amirudin berkata berdasarkan proses vaksinasi dalam tempoh sebulan di seluruh Selangor kapasiti penggunaan katil di Selangor dapat dikurangkan daripada 130 peratus kepada 88 peratus iaitu lebih 50 peratus penurunan.

“Saya percaya dengan sumbangan diberikan ini adalah usaha bersama memerangi Covid-19,” katanya.

Pada 19 Ogos, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan pelalian ketika ini antaranya Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin Selangor bantu Pulau Pinang percepat imuniti kelompok

SEBERANG PERAI, 31 OGOS: Sumbangan bekalan vaksin oleh Kerajaan Selangor kepada Pulau Pinang diharap membantu mempercepat imuniti kelompok rakyat negara ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Dato’ Menteri Besar dan ketua menteri Pulau Pinang berkata usaha itu tanda solidariti dua negeri dalam memerangi wabak Covid-19.

“Meminjam semangat Hari Kebangsaan, Kerajaan Selangor amat berbesar hati menyumbangkan 20,000 dos vaksin kepada kerajaan Pulau Pinang secara percuma.

“Ini merupakan tanda solidariti antara warga Selangor dengan warga Pulau Pinang dalam perang melawan Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dan Chow Kon Yeow.

Kenyataan itu dibacakan Kon Yeow ketika penyerahan vaksin Selangor kepada Pulau Pinang di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 Integrasi Pusat Konvensyen Seberang Perai di sini.

Dalam kenyataan sama, ketua menteri Pulau Pinang berkata sejumlah 1.14 juta atau 64.4 peratus penduduk negeri itu menerima satu dos vaksin setakat semalam.

Sementara sebanyak 55.7 peratus daripada populasi dewasa Pulau Pinang lengkap dos vaksin.

“Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas inisiatif semua pihak dalam menjayakan usaha murni yang bakal mengeratkan hubungan antara dua negeri ini.

“Semoga usaha ini membantu mempercepat kekebalan kelompok dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Pada 19 Ogos, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan pelalian ketika ini antaranya Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perak pula mohon pinjam vaksin Selangor selepas Pulau Pinang

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerajaan Perak meminjam sejumlah dos vaksin Covid-19 daripada Selangor bagi membolehkan suntikan pelalian diberi kepada penduduk dewasa negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad menjelaskan surat rasmi berhubung perkara itu dihantar pagi tadi  kepada kerajaan Selangor, lapor Berita Harian.

“Surat dihantar untuk membolehkan kita meminjam vaksin dari Selangor,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAKATAN- Sungai Rapat) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Tanpa memperinci jumlah dos yang ingin dipinjam Saarani menjelaskan vaksin tersebut akan diganti selepas menerima bekalan daripada kerajaan persekutuan.

Hari ini, Dato’ Menteri Besar Selangor berkata pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan sebuah negeri lagi yang mahu meminjam vaksin dari program Vaksin Selangor (Selvax).

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan perkara itu kini diurus bersama Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang akan memutuskan sama ada membenarkan atau tidak untuk memberi pinjaman berkenaan.

Pada 19 Ogos lalu, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri CITF dan antara negeri bakal menerima bekalan tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang serta Sabah.

Esok, sebanyak 200,000 vaksin akan diserahkan kepada Pulau Pinang bagi membantu negeri itu memberi suntikan pelalian lebih cepat untuk penduduk.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: 2.51 juta penduduk Selangor lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 17 OGOS: Seramai 2.51 juta atau 52.9 peratus penduduk Selangor yang layak divaksin lengkap menerima dua dos suntikan pelalian setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi perkongsian infografik di Facebook memaklumkan sejumlah 6.28 juta dos vaksin diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Daripada jumlah itu, 3.77 juta penduduk atau 79.4 peratus menerima dos pertama, tambahan 299,102 dos pula bagi program Vaksin Selangor (Selvax).

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat pemberian vaksin rakyat.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Program Selvax Komuniti diberi secara percuma dapat memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) membabitkan 500,000 dos.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 300,000 dos vaksin negeri sudah disuntik setakat semalam

SHAH ALAM, 16 OGOS: Sebanyak 296,213 dos vaksin Covid-19 sudah disuntik di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) setakat semalam.

Berdasarkan data dikongsi jawatankuasanya Dato’ Teng Chang Khim, sebanyak 160,519 dos diberikan di bawah Selvax Komuniti manakala sebanyak 135,694 dos menerusi Selvax Industri.

Maklumat itu juga menjelaskan seramai 82,304 individu memohon lengkap menerima dua dos vaksin dengan pecahan 21,966 bagi kategori orang ramai manakala 60,338 pekerja industri.

Selangor menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 50 peratus rakyat Selangor lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 15 OGOS : Seramai 2.36 juta atau 49.7 peratus rakyat Selangor telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah penduduk yang mendapat dos pertama pula adalah 3.73 juta atau 78.6 peratus.

“Setakat 15 Ogos, sejumlah 6.09 juta dos vaksin telah disuntik di Selangor menerusi  Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Manakala, menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) tambahan sebanyak 292,026 dos telah disuntik,”  katanya menerusi Facebook.

Bagi mempercepatkan kadar vaksinasi penduduk, Kerajaan Negeri melancarkan Selvax Industri dan Komuniti pada Jun dengan menumpukan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Usaha membabitkan kos RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Semalam Dato’ Menteri Besar berkata hampir 100 peratus penduduk dewasa di Selangor yang mendaftar telah menerima dos pertama suntikan pelalian.

Berdasarkan perkembangan itu, beliau menjangkakan penurunan kes Covid-19 di negeri ini pada September.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

400 petugas KDEBWM di lapangan terima vaksin Selangor

SHAH ALAM 5 JULAI: Seramai 400 petugas KDEB Waste Management (KDEBWM) terutama di lapangan sudah menerima dos pertama vaksin melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata suntikan pelalian itu diterima pada 27 Jun manakala dos kedua pada 18 Julai.

“Petugas barisan hadapan KDEBWM terutama penyelia kawasan yang mewakili 70 peratus warga kerja (termasuk kakitangan anak syarikat Hebat Abadi Sdn Bhd) antara individu terawal menerima vaksin bawah Selvax Industri.

“Kita mahu memberikan perlindungan sepenuhnya kepada petugas yang sentiasa berdepan risiko dijangkiti wabak ketika bertugas di lapangan,” katanya ketika dihubungi.

Mahfuzah berkata pihaknya juga sedang menguruskan fasa kedua vaksin kepada kru dan pemandu sub kontraktor pembersihan membabitkan 10,500 orang.

“Mereka ini menjadi keutamaan pengurusan kerana bekerja secara langsung di lapangan,” katanya.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta pekerja negeri ini melalui program Selvax Industri.

Usaha Kerajaan Negeri itu bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitarnya memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.