Categories
AGENDA NASIONAL

40 varian bahaya Delta dikesan daripada hampir 400 VOC

PUTRAJAYA, 5 JULAI: Sebanyak 584 kes Covid-19 di Malaysia dikesan akibat varian baharu yang melibatkan jangkitan meluas dan pantas serta menular menerusi bawaan udara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, varian baharu itu dikesan menerusi beberapa tindakan pencegahan bagi ancaman varian Delta (B1617.2) termasuk jujukan genom susulan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa negara tertentu terancam dengan varian baharu itu.

“Kami dapati memang ada ancaman terhadap varian baharu di negara kita,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin, di sini hari ini.

Daripada 584 kes yang direkodkan itu, 40 kes adalah daripada varian Delta yang dikatakan ganas, varian Beta (B.1.351) sebanyak 136 kes, varian Alpha (B117) sebanyak 10 kes, dua kes melibatkan varian B1525, empat kes B161.7.14 dan varian membimbangkan (VOC) sebanyak 392 kes, katanya.

Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan kegiatan pencegahan dan kawalan berterusan antaranya berdasarkan kadar insiden tinggi dalam satu kawasan, kes menular dengan cepat dan membabitkan kematian.

“Kami akan buat jujukan genom dan dari situ kami akan tahu sama ada seorang individu itu mendapat jangkitan daripada varian baharu,” katanya.

“Ia ada kaitan dengan vaksin diberikan. Kami sudah maklumkan dua dos adalah dasar perlu dilaksanakan di negara ini supaya imunisasi dan ketahanan daripada varian baharu ini dicapai dengan baik,” tambah Dr Adham.

Mengenai Tabung Bantuan Mudarat Vaksin Covid-19, Dr Adham berkata masih belum ada dana daripada tabung berkenaan digunakan setakat ini.

Menurutnya, sebanyak 18.6 respons kendiri berhubung kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) diterima melalui aplikasi Mysejahtera bagi setiap 1,000 dos vaksin diberikan sejak bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kesakitan di tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan antara kesan sampingan yang sering dialami penerima vaksin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Varian baharu punca kes Covid-19 di ICU tidak turun

SHAH ALAM, 16 JUN: Kemunculan varian baharu antara punca kes Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) tidak menurun di sebalik pengurangan kes dalam tempoh dua minggu mulai 1 Jun.

Ketua pengarah kesihatan berkata varian tersebut mengakibatkan kes gejala serius, iaitu kategori empat dan lima, dengan kesihatan merosot pada kadar lebih cepat.

“Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap lain-lain penyakit.

“Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit memerlukan rawatan kritikal ditempatkan di ICU,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata penggunaan katil melebihi kapasiti turut didorong tempoh pemulihan panjang antara 14 ke 26 hari bagi pesakit ICU yang menghadapi komplikasi jangkitan serius.

Sehubungan itu, beberapa langkah diambil bagi mengatasi masalah tersebut antaranya:

1. Menambah kapasiti 11,598 katil di hospital dan 31,861 di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 awam

2. Menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19

3. Bekerjasama dengan hospital pengajar antaranya Pusat Perubatan di Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Hospital Kanak- kanak Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menggunakan fasiliti mereka bagi merawat pesakit Covid-19

4. Bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan. Setakat ini enam Hospital Medan ATM telah dibina di hospital-hospital KKM

5. Bekerjasama dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19 yang melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Varian baharu Covid-19 merebak cepat, orang ramai diminta amal PKP kendiri

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Kemunculan varian-varian baharu yang membimbangkan (VOC) amat merisaukan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala, malah ujian saringan Covid-19 juga sering mencatatkan keputusan negatif sekalipun ada pesakit sudah berada pada tahap kritikal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata varian-varian VOC itu juga merebak dengan lebih cepat dan dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi.

Katanya kebanyakan pesakit yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala seperti batuk atau demam tetapi hanya sakit sendi, berasa lemah badan, kelesuan dan hilang selera makan.

“Ada sebahagian daripada pesakit ini tidak menunjukkan gejala-gejala awal Covid-19 yang biasa seperti kehilangan deria bau atau deria rasa. Namun, varian baharu ini cepat merebak terus ke paru-paru.

“Sebilangan besar pesakit juga tidak menunjukkan gejala demam walaupun terdapat tanda-tanda radang paru-paru yang dikesan melalui imbasan X-ray,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini dilaporkan terdapat tiga varian VOC di negara ini iaitu varian Afrika Selatan (B.1.351), varian United Kingdom (B.117) dan varian India (B.1.617.1).

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri bagi mengelak dijangkiti wabak berkenaan.

Ini kerana katanya gelombang Covid-19 kali ini adalah lebih bahaya berbanding gelombang sebelumnya.

“Jangan kita lalai dan kita mesti sentiasa berwaspada. Duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting. Kita perlu amalan PKP kendiri,” katanya.

Beliau juga terus mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada pergi ke tempat-tempat sesak dan ruang sempit, sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau cecair pensanitasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Varian baharu Covid-19 menular di beberapa negeri

PUTRAJAYA, 11 MEI: Masyarakat dinasihat untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang digariskan, memandangkan varian baharu Covid-19 telah menular ke beberapa negeri seperti Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata setakat ini, terdapat tiga varian yang membimbangkan (VOC) di negara ini iaitu 62 kes varian Afrika Selatan (B.1.351), lapan kes bagi varian United Kingdom (B.117), dan dua kes varian India (B.1.617.1).

Daripada jumlah kes keseluruhan varian Afrika Selatan itu, 14 kes dikesan hari ini iaitu tujuh kes adalah di kluster Kampung Domis di Kelantan; tiga kes kontak rapat kepada kes aktif di Selangor; satu kes menjangkiti petugas kesihatan di Kelantan; dua kes di Kedah dan satu kes dikesan di Negeri Sembilan iaitu kluster Pengkalan Hulu.

“Kebimbangan kita adalah varian ini telah merebak dan menular dengan cepat, di mana ia akan berakhir dengan kematian, kita juga dapati ia jangkiti golongan muda dengan gejala yang teruk.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan buat ujian rawak untuk kenal pasti varian ini telah merebak ke negeri mana lagi,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.

Mengenai varian India yang dikategori sebagai VOC oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Noor Hisham berkata, seorang lelaki warganegara India meninggal dunia pada 21 April lepas, kerana dijangkiti Covid-19 daripada varian itu.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dikesan positif Covid-19 dengan varian itu pada 7 April dan dikuarantin oleh KKM.

“Beliau bergejala dan dua kali swab dilakukan dan hasilnya negatif, ini menunjukkan varian ini sangat merbahaya,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan yang 80 peratus daripada jangkitan Covid-19, bukannya daripada kluster tetapi adalah kes sporadik.

“Ini menunjukkan yang virus telah ada dalam komuniti, kita jangka kes akan meningkat,” katanya sambil menambah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dapat mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KP kesihatan: Varian baharu Covid-19 bawa gejala lebih teruk

PUTRAJAYA, 9 MEI: Varian baharu Covid-19 dikenal pasti menjadi antara punca lebih ramai golongan muda dijangkiti wabak itu dengan gejala yang dialami lebih teruk sehingga menyebabkan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sejak awal tahun ini hingga semalam, jangkitan Covid-19 tertinggi melibatkan mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun iaitu 1,531 kes manakala bagi 30 hingga 39 tahun pula sebanyak 1,452 kes.

“Ini adalah usia bekerja. Pakar-Pakar di Hospital Sungai Buloh mengesahkan jangkitan varian baharu adalah dari usia muda yang menyaksikan ada kes yang tidak terkesan dengan rawatan yang diberikan contohnya guna steroid juga tidak berkesan,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, KKM mengesan 56 kes varian yang membimbangkan (VOC) dan tiga kes varian yang perlu mendapat perhatian (VOI) di negara ini.

Daripada jumlah itu, 48 kes adalah daripada varian Afrika Selatan (B.1.351), lapan kes daripada varian United Kingdom (B.117), dua kes daripada varian Nigeria (B.1.525) dan satu kes varian India (B.1.617.1).

“VOC ini telah ada dalam komuniti, sebagai contoh kes varian B.117 di Sandakan, kita tidak dapat kenal pasti daripada mana jangkitan diperoleh.

“Varian baharu ini lebih ganas, jika ia menjangkiti golongan muda, KKM akan jalankan pemerhatian dan penjujukan genom untuk kesan varian apa,” katanya sambil menambah virus Covid-19 ini beradaptasi menjangkiti manusia dengan varian baharu.

Justeru, Dr Noor Hisham meminta masyarakat untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang digariskan serta tidak melakukan perjalanan rentas negeri bagi memutuskan penularan Covid-19.

“Apa yang boleh dilakukan ialah duduk di rumah kerana jangkitan sekarang berlaku dalam komuniti serta kes sporadik,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

UK pertama kali catat lebih 50,000 kes Covid-19 sehari

LONDON, 30 DIS: Britain buat pertama kali merekodkan lebih 50,000 kes Covid-19 semalaman sejak wabak itu merebak di seluruh dunia, menurut angka rasmi dikeluarkan pada Selasa.

Seramai 53,135 lagi penduduk Britain diuji positif virus itu, menunjukkan peningkatan baharu setiap hari. Jumlah kes di negara ini kini sebanyak 2,382,865, lapor agensi berita Xinhua.

Sementara itu, seramai 414 lagi meninggal dunia dalam tempoh 28 hari menjadikan jumlah kematian sebanyak 71,567.

Seorang saintis pada Selasa memberi amaran kepada kerajaan, langkah pencegahan lebih ketat mesti dilaksanakan untuk mengelak “malapetaka” pada tahun baru.

Britain “memasuki fasa baharu pandemik yang sangat berbahaya” disebabkan penularan varian baharu, kata anggota Kumpulan Penasihat Ancaman Kemunculan Virus Baharu (NERVTAG), Profesor Andrew Hayward.

“Kita memerlukan tindakan pencegahan awal dan ketat, untuk mencegah bencana lebih buruk pada Januari dan Februari,” katanya kepada program Radio 4 BBC.

“Tahap sekatan sebelum ini tidak mampu berfungsi lagi, sekatan Tahap Empat mungkin diperlukan, atau mungkin lebih daripada itu”

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock dijangka mengumumkan perubahan tahap sekatan pada Rabu.

– BERNAMA