Categories
AGENDA NASIONAL

98.5 peratus kes baharu bergejala ringan, kesan 88 varian Delta

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Sebanyak 98.5 peratus atau 6,282 kes daripada jumlah keseluruhan 6,380 kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini terdiri daripada kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 1.5 peratus atau 98 kes baharu Covid-19 pula dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 541 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 263 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh Covid-19 yang dilapor hari ini adalah sebanyak 5,760 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 2,472,283.

Beliau berkata sebanyak 88 kes baharu varian mutasi spike protein Covid-19 dilaporkan dan kesemuanya adalah varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2) menjadikan jumlah kumulatif kes VOC dan varian yang perlu diberi perhatian (VOI) kini sebanyak 3,918.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 3,898 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya.

Mengulas lanjut, Selangor mencatatkan kes baharu positif varian VOC tempatan dan import tertinggi hari ini dengan jumlah 19 kes diikuti Perak sebanyak 17 kes, Negeri Sembilan (13 kes), Johor (sembilan), Kelantan (lapan), Kedah (tujuh), Terengganu (enam), Perlis (empat), WP Kuala Lumpur (tiga) dan Melaka (dua).

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: 48 kes baharu varian Delta dilapor hari ini

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Sebanyak 48 kes baharu membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) iaitu Delta (B.1.617.2) dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 34 kes dikesan di Pulau Pinang, 12 di Pahang dan dua di Perlis.

Beliau berkata kesemua kes dikenal pasti menerusi kajian berterusan Institut Farmakogenomiks Integratif (iPROMISE–UiTM).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC serta varian yang perlu diberi perhatian (VOI) adalah sebanyak 3,830 kes dan daripada jumlah itu, 3,810 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

“Secara keseluruhan, sehingga kini bagi VOC terdapat sebanyak 3,570 kes varian Delta, 226 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Bagi VOI pula, sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta dikesan setakat hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak 98.5 peratus atau 6,226 daripada jumlah keseluruhan 6,323 kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini terdiri daripada kategori satu dan dua manakala baki 1.5 peratus atau 97 kes pula dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 538 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 274 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata kes sembuh yang dilapor hari ini adalah sebanyak 5,337 menjadikan jumlah kumulatif pesakit pulih setakat ini ialah 2,435,459 orang.

Katanya empat kluster baharu dikenal pasti melibatkan tiga di tempat kerja di Selangor, Johor dan Pahang manakala satu kluster pendidikan di Kuala Lumpur.

Maklumat terperinci berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1,047 kes baharu varian Delta dikesan setakat ini

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Sebanyak 1,047 kes baharu yang membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta dikesan dari tempoh 29 Oktober hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan termasuk yang dijangkiti SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) adalah sebanyak 3,692 kes.

“Daripada jumlah keseluruhan yang dikesan itu, 3,672 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi kes VOC sehingga kini, terdapat 3,432 kes varian Delta, 226 kes membabitkan varian Beta dan 14 kes adalah varian Alpha.

“Bagi kes-kes VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya.

Beliau berkata varian-varian kes ini dikesan hasil kajian berterusan oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM-UNIMAS), Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI-UKM), Institut Farmakogenomik Integratif Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM) dan Institut Genom Malaysia (MGI).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

265 kes Delta dikesan dalam tempoh dua minggu, hanya 11 di Selangor

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sebanyak 265 kes varian Delta (B.1.617.2) dikesan di seluruh negara dalam tempoh dua minggu, maklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berdasarkan infografik dikongsi KKM di Facebook, Selangor hanya mencatat 11 kes bagi tempoh 16 hingga 29 Ogos lepas.

Varian berbahaya dikesan di India, menjadi perbualan utama di seluruh dunia kerana cepat merebak dan mendatangkan risiko kematian.

Berdasarkan data sama, Sarawak catat kes Delta paling banyak dengan 178 kes diikuti Pulau Pinang (31), Pahang (19), Negeri Sembilan (lapan) dan Sabah (lima).

Perak, Kuala Lumpur dan Johor masing-masing catat tiga kes manakala Kedah serta Perlis catat satu kes.

Secara keseluruhan, Selangor catat 80 kes Delta termasuk tiga jangkitan import. Sarawak catat angka kes Delta paling tinggi dengan 697 kes termasuk satu kes import.

Selangor juga merekodkan 49 kes bagi varian Beta dan lapan kes Alpha.

Jumlah varian membimbangkan (VOC) dikesan ini hasil kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),  Institusi Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak, Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) dan Universiti Institut Mara (UiTM) Selangor.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Terus patuh SOP walau lengkap vaksin, varian Delta masih ganas – pakar kesihatan

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Rakyat Malaysia khususnya mereka yang lengkap divaksinasi tidak harus terlalu selesa dan leka sehingga mengabaikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) serta kawalan kendiri bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini berikutan, wabak itu masih merebak malah muncul dengan pelbagai mutasi lebih ganas terutama varian Delta yang diklasifikasikan oleh Pertubahan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai varian membimbangkan (VOC).

Bercakap kepada Bernama, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata rakyat harus faham dan akur walaupun vaksin dibangunkan untuk melindungi diri daripada virus itu, varian Delta masih mengganas bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

“Meskipun kita bakal capai 80 peratus populasi dewasa divaksin atau imuniti kelompok, Covid-19 akan sentiasa ada atau endemik pada paras yang rendah sama seperti penyakit sedia ada yang lain.

“Kita yang divaksin masih berpotensi dijangkiti virus itu, namun kesannya lebih minimum berbanding individu yang tiada perlindungan vaksin. Oleh itu, pematuhan SOP dan kawalan kendiri mesti diamalkan untuk lindungi semua orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Zainal Ariffin berkata usaha perlindungan terbaik ketika ini bukan sahaja menerusi pengambilan vaksin, malah perlu diperkuatkan dengan disiplin pematuhan SOP serta kawalan kendiri seperti pemakaian pelitup muka dan mengelakkan kawasan sesak bagi mengurangkan penularan wabak.

Endemik merujuk kepada kejadian kes penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu pada kadar rendah dan stabil. Di Malaysia contoh penyakit endemik adalah demam denggi.

Pada Julai lepas, WHO meramalkan varian Delta yang lebih mudah merebak telah dikesan sekurang-kurangnya di 111 negara, wilayah atau kawasan dan berkemungkinan menjadi strain Covid-19 dominan di seluruh dunia yang menyebabkan peningkatan kes jangkitan serta kematian baharu.

Dr Zainal Ariffin menambah dengan lebih banyak kelonggaran serta pembukaan pelbagai sektor yang diumumkan kerajaan sebelum ini, meletakkan tanggungjawab dan kepercayaan kepada rakyat untuk saling melindungi diri daripada wabak itu.

“Walaupun kita divaksin, masih ada lagi golongan amat berisiko mendapat kesan jangkitan yang parah seperti kanak-kanak, inidividu yang tidak sesuai dengan vaksin serta golongan antivaksin.

“Secara teknikalnya adalah mustahil untuk mendapatkan sifar jangkitan, namun tujuan vaksin ialah mengurangkan penularan dan kesan jangkitan terhadap inidividu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sakit kepala berpanjangan, lesu antara simptom baharu jangkitan varian Delta

SHAH ALAM, 17 JULAI: Sakit kepala berpanjangan, keletihan dan kelesuan antara simptom baharu yang perlu diberi perhatian menandakan jangkitan varian Delta.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan varian Delta yang pertama kali dikesan di India merupakan varian membimbangkan (VOC) paling dominan di seluruh dunia dan paling bahaya.

Simptom-simptom baharu yang perlu diberi perhatian antaranya:

  • Sakit kepala berpanjangan
  • Keletihan dan kelesuan
  • Hidung berair/tersumbat
  • muntah

KKM turut menggesa masyarakat melakukan ujian calitan Covid-19 sekiranya terdapat simptom tersebut.

Khamis lalu, ketua pengarah kesihatan memaklumkan varian baharu Delta boleh merebak dalam tempoh 15 saat melalui udara sekali gus meningkatkan risiko jangkitan terhadap komuniti.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perebakan pantas itu menyebabkan kes Covid-19 dalam negara mencatat peningkatan bermula 26 Jun lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Varian Delta boleh merebak dalam 15 saat – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 15 JULAI: Varian baharu Delta boleh merebak dalam tempoh 15 saat melalui udara sekali gus meningkatkan risiko jangkitan terhadap komuniti, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perebakan pantas itu menyebabkan kes Covid-19 dalam negara mencatat peningkatan bermula 26 Jun lalu.

“Kadar kebolehjangkitan (Rt) biasa adalah 2.5 hingga 3.0 tetapi varian Delta lebih tinggi iaitu antara 5 hingga lapan 8. Ini bermakna jika 100 orang dijangkiti, dalam masa terdekat boleh menjangkiti 500 hingga 800 orang.

“Sifat virus ini berubah, kalau dulu kes kontak rapat yang terdedah adalah dalam 15 minit atau kurang satu meter tetapi ini (varian delta) boleh berlaku dalam 15 saat sahaja melalui udara,” katanya pada sidang media hari ini.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai terus mengamalkan langkah pencegahan antaranya pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.

“Orang ramai perlu mengelak tempat sesak kerana kalau ada jangkitan berlaku di tempat sempit yang mana pengudaraan kurang baik, ia boleh mempercepat jangkitan.

“Masyarakat juga perlu tampil ke depan mendapatkan vaksin kerana vaksin cara kita membendung dan mengawal penularan dalam komuniti,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima lagi kes varian Delta dikesan di Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak lima lagi pesakit Covid-19 dikesan membawa varian Delta di Selangor setakat 13 Julai, semuanya membabitkan penularan tempatan.

Sebelum ini dua pembawa varian tersebut, pertama kali dikesan di India, adalah kes import yang dikesan di negeri ini setakat 30 Jun, menurut angka ketua pengarah kesihatan hari ini.

Kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan varian berbahaya ini (B.1.617.2) paling banyak dikesan di Labuan dengan 14 kes dan 10 di Pahang.

Kuala Lumpur pula mencatatkan lapan kes, Negeri Sembilan enam manakala Johor dan Melaka masing-masing merekodkan lima kes.

Selangor merekodkan tujuh kes varian Delta daripada 67 kes di seluruh negara.

Namun Selangor kekal mendahului negeri lain berkaitan penularan varian Beta (B.1.351), dikesan di Afrika Selatan, dengan 47 kes tempatan daripada 195 kes di seluruh negara.

Sarawak negeri kedua tertinggi merekodkan varian ini dengan 44 kes, diikuti Kelantan (24), masing-masing 13 kes di Kedah dan Perak.

Selangor juga merekodkan lima kes varian Alpha (B.1.1.7), pertama kali dikesan di United Kingdom, termasuk dua import. Setakat ini hanya 11 kes dikesan di seluruh negara.

Daripada tiga varian membimbangkan (VOC) berkenaan, Delta lebih cepat merebak dan mudah menyebabkan risiko kematian sehingga menjadi perhatian utama pakar perubatan saat ini.

Jumlah keseluruhan kes VOC di seluruh negara setakat ini 273 kes.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Dr Noor Hisham berkata varian Delta yang cepat merebak antara punca peningkatan kes di negara ini.

“Varian Delta, ia merebak dengan cepat, pada permulaan jangkitan R-naught (R0) ialah 5 hingga 8, bererti kalau 100 orang dijangkiti boleh menjangkiti 800 orang dalam tempoh singkat,” katanya.

“Ini kerana, kita lihat, jangkitan mengikut udara dan dalam masa yang singkat, ia (virus) boleh menjangkiti. Kita kena ambil tindakan untuk elak dijangkiti iaitu pakai pelitup muka dua lapis dan elak tempat sesak.”

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kaji suntikan ketiga vaksin atasi varian Delta

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Kerajaan sedang mengkaji keberkesanan vaksin terhadap kes Covid-19 yang melibatkan varian Delta dan keperluan untuk suntikan ketiga vaksin (booster).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata negara-negara maju sedang membuat perolehan vaksin untuk tahun hadapan kerana mereka menjangkakan kemungkinan terdapat keperluan untuk memberikan suntikan booster ketiga.

“Kami ingin mendapatkan data lebih baik mengenai berapa lama perlindungan vaksin ini bertahan dan apa butiran diperlukan dalam menawarkan vaksin dos ketiga. Ini untuk jangkaan tahun hadapan,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) ibu mengandung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Beliau berkata kajian data diperlukan agar Malaysia dapat membuat keputusan sama ada perlu memulakan rundingan perolehan vaksin untuk tahun hadapan.

Mengambil contoh situasi terkini di United Kingdom, Khairy menjelaskan 90 peratus jangkitan baharu Covid-19 yang melanda negara itu adalah disebabkan varian Delta.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada Khamis lepas.

Sementara itu, Khairy berkata Malaysia akan kekal menggunakan kaedah vaksinasi homolog pada masa ini kerana kekurangan data ‘real-world’ dan klinikal mengenai vaksinasi heterologi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan negara akan terus menjalankan kajian sendiri mengenai vaksinasi heterologi kerana banyak negara di dunia mula menjalankan kajian kaedah menggunakan dua vaksin berlainan untuk menggalakkan keberkesanan terhadap varian berbeza.

Dilaporkan, Malaysia menimbang untuk mencampurkan dua jenis vaksin berbeza bagi meningkatkan keberkesanan terhadap varian Covid-19 yang berbeza.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

21 varian Delta dikesan, paling banyak di Labuan dan Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 23 JUN: Sebanyak 21 kes varian membimbangkan (VOC) virus Covid-19 dikesan di seluruh negara sehingga 19 Jun lalu.

Varian lebih berbahaya Delta (B.1.617.2), yang dikesan di India, banyak direkodkan di Labuan dengan enam kes dan Kuala Lumpur (empat).

Menurut Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Johor pula merekodkan tiga kes; manakala Selangor, Negeri Sembilan dan Purajaya masing-masing dua.

Pulau Pinang dan Perlis pula masing-masing merekodkan satu kes varian Delta, dilaporkan 60 peratus lebih cepat merebak dan lebih mudah membawa kematian.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan sebanyak 137 kes varian Beta (B.1.351), yang dikesan di Afrika Selatan, juga dilaporkan dalam tempoh sama.

Varian Alpha (B.1.1.7), yang dikesan di United Kingdom, merekodkan sembilan kes sahaja di seluruh negara.

Jumlah terkumpul VOC dan varian yang perlu diwaspada (VOI) setakat 19 Jun lalu adalah 183 kes.

Pecahan jangkitan VOI seperti berikut: varian Theta (P.3), semuanya 12 kes di Sarawak, Eta (B.1.525) tiga kes dan Kappa (B.1.617.1) satu.

Theta, Eta dan Kappa masing-masing pertama kali dikesan di Filipina, Nigeria dan India.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Varian Delta 60 peratus lebih cepat merebak, bawa banyak kematian

SHAH ALAM, 18 JUN: Varian Covid-19 Delta 60 peratus lebih cepat merebak berbanding varian lain sehingga membawa banyak kematian, maklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kementerian berkata varian yang mencetuskan tsunami wabak di India sehingga melumpuhkan sistem perkhidmatan kesihatan republik terbabit dilaporkan sudah merebak ke 80 negara.

Varian berkenaan turut menjadi varian dominan di United Kingdom termasuk Pakistan, Bangladesh Sri Lanka dan Indonesia.

“Bermula 24 Mei lalu, semua pengembara (rakyat tempatan) yang masuk ke Malaysia dari India, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan perlu menjalani kuarantin wajib 21 hari di pusat kuarantin ditetapkan,” maklum KKM menerusi Facebook.

Setakat 10 Jun, sebanyak 13 jangkitan dikesan dalam negara membabitkan varian yang pertama kali muncul di India hasil survelans genomik.