Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan 134 lagi kes baharu varian membimbangkan

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 134 lagi kes baharu kesemuanya melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) virus SARS-CoV-2 bagi tempoh 7 hingga 19 Okt, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan 132 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351), menjadikan jumlah keseluruhan kes VOC di negara ini, kini sebanyak 2,366.

Katanya, perkembangan baharu itu menjadikan kumulatif kes bagi varian Delta yang dikesan adalah 2,128 kes dan varian Beta (224 kes).

“Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM) mengenal pasti 79 kes varian Delta, Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE-UiTM) mengesan 10 kes varian Delta, Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC-UM) (tujuh kes varian Delta) dan Malaysia Genome Institute (MGI) dengan satu kes varian Delta.

“Sementara itu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengenal pasti 37 kes melibatkan 35 varian Delta dan dua kes varian Beta,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, tiga negeri yang mencatatkan kes baharu varian Delta tertinggi adalah Johor dengan 43 kes, diikuti Negeri Sembilan 18 kes dan Melaka sebanyak 15 kes.

Bagaimanpun, tiada kes baharu membabitkan varian mempunyai kepentingan (VOI) dikesan dalam tempoh sama.

Untuk rekod, VOC lain yang pernah dikesan di Malaysia ialah varian Alpha dengan jumlah kes setakat ini sebanyak 14 kes, manakala bagi kes VOI melibatkan 13 kes varian Theta, varian Kappa (empat kes) dan varian Eta (tiga kes).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM: 109 kes varian Delta, tiga Beta dikesan di Selangor

SHAH ALAM 7 OKT:  Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti sebanyak 109 lagi kes varian membimbangkan (VOC) Covid-19 di Selangor melibatkan jenis Delta dan tiga kes Beta sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan,Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 392 kes VOC yang dicatatkan dari 25 September hingga semalam dengan 384 kes melibatkan varian Delta (B.1.617.2) manakala lapan lagi Beta (B.1.351).

Kata beliau, varian tersebut berjaya dikesan melalui kajian dijalankan UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM), Faculty of Medicine (FOM-UM) dan Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE-UiTM).

Turut terlibat Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC-UM), Malaysia Genome Institute (MGI) dan Institute for Medical Research (IMR).

“UMBI-UKM telah mengenal pasti sebanyak 91 kes yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2).

“FOM-UM mengenal pasti sebanyak 83 kes iaitu 79 kes varian Delta (B.1.617.2) dan empat kes varian Beta (B.1.351),” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan, iPROMISE-UiTM pula telah mengenal pasti sebanyak 77 kes yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2).

Tambahnya, TIDREC-UM telah mengenal pasti sebanyak 51 kes iaitu 50 kes varian Delta (B.1.617.2) dan satu kes varian Beta (B.1.351).

Kata beliau, MGI telah mengenal pasti sebanyak sebanyak 48 kes iaitu 47 kes varian Delta (B.1.617.2) dan satu kes varian Beta (B.1.351) manakala IMR  mengesan 40 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351).

Menjelaskan lebih terperinci, Dr Noor Hisham berkata, VOC Beta turut dikesan di Sabah melibatkan tiga kes manakala masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Kelantan.

Tambahnya, bagi varian Delta pula Pulau Pinang  mencatatkan 46 kes diikuti Kuala Lumpur (42), Negeri Sembilan (34), Pahang (33), Melaka (31), Johor (28), Sabah (21), Terengganu (16), Kelantan (12), Perak (tujuh), masing-masing dua di Putrajaya dan Labuan serta satu di Kedah.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian di bawah pemantauan (VUM) adalah sebanyak 2,252 kes,” jelas beliau.

Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 2,232 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah varian mempunyai kepentingan (VOI), katanya.

Secara keseluruhan kata Dr Noor Hisham,  sehingga kini terdapat sebanyak 1,996 kes  VOC varian Delta, Beta (222) dan Alpha (14).

Bagi VOI, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyemak semula kategori ini pada 30 September lepas.

Terdapat hanya dua VOI yang baharu iaitu Lamba (C.37) dan Mu (B.1.621) manakala Theta, Kappa dan Eta telah dikategorikan sebagai (VUM).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM ingatkan varian membimbangkan VOC sudah menular dalam komuniti

SHAH ALAM, 1 JUN: Hampir semua negeri melaporkan sekurang-kurangnya satu jenis varian membimbangkan (VOC) dengan penularan lebih meluas dalam komuniti.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) situasi itu perlu diambil serius setiap individu berikutan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi.

“Sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ia akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes Covid-19,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Mengikut data dikongsi KKM, secara keseluruhan, terdapat 199 kes positif Covid-19 membabitkan 104 VOC iaitu B.1.135, B.1.1.7 dan B.1.167 selain baki 95 kes ialah varian mempunyai kepentingan (VOI) iaitu B.1.525 dan P.3 di seluruh negara, sehingga semalam.

Selangor merekodkan kes positif Covid-19 kategori VOC tertinggi dengan 42 kes, diikuti Sarawak 20 kes iaitu tujuh kategori VOC dan 13 (VOI).

Sebanyak 18 kes positif Covid-19 kategori VOC dicatatkan di Kelantan, Kuala Lumpur pula 11 kes dengan sembilan daripadanya membabitkan VOC.

Perak merekodkan 10 kes Covid-19 kategori VOC, tujuh di Kedah, tiga di Pulau Pinang masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Johor dan Perlis.

Masing-masing satu di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah.