Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 dijangka melonjak sehingga 15,000 sehari – menteri

SHAH ALAM, 6 FEB: Gelombang Omicron dijangka melonjak kes Covid-19 dalam negara sehingga 15,000 kes sehari tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter, hari ini.

“Fully into Omicron wave (berdepan sepenuhnya gelombang Omicron). Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi. Masih ada satu juta warga emas yang tiada dos penggalak.

“Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkongsi pautan Twitter ketua pengarah kesihatan mengenai model Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) yang menunjukkan unjuran kes dari 31 Ogos 2021 hingga 30 Mac depan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan liputan vaksin dan dos penggalak yang meluas dapat mengurangkan keparahan kes Covid-19 yang kembali meningkat.

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini melepasi paras 10,000 dengan 10,089 kes berbanding 9,117 semalam.

Ia menunjukkan peningkatan 972 kes hari ini iaitu hampir separuh daripada pertambahan dicatat semalam 1,883.

Categories
AGENDA NASIONAL

162 kes varian Omicron dikesan sejak 23 Jan – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Sebanyak 162 kes baharu varian Omicron dikesan sejak 23 Januari lepas hingga hari ini oleh pelbagai institusi kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti 89 kes, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM) mengesan 71 kes manakala dua kes dikesan Institut Genom dan Vaksin Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian yang dibimbangi (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 7,056 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 7,036 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat 6,188 kes varian Delta, 601 (Omicron), 233 (Beta) dan 14 (Alpha).

Menurutnya bagi kes VOI pula, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

Mengenai kes baharu Covid-19, Dr Noor Hisham berkata 4,066 kes dicatatkan hari ini dengan 50 kes (1.2 peratus) daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,016 kes (98.8 peratus) lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 4,066 kes itu, 442 adalah kes import dan 3,624 pula adalah kes tempatan dengan 131 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 65 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata 13 kluster baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif adalah 244 manakala kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) Malaysia semalam pula adalah 1.09.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

186 kes varian Omicron dikesan sejak 14 Jan – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Sebanyak 186 kes baharu varian Omicron dilaporkan sejak 14 Januari lepas hingga hari ini oleh pelbagai institusi kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Integrative Pharmacogenomics Institute Universiti Teknologi Mara (iPROMISE-UiTM) mengenal pasti 46 kes baharu, The Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre Universiti Malaya dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGI) masing-masing 43 kes, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) (28) manakala Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) (26).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 6,432 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 6,412 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kes baharu Covid-19 menunjukkan peningkatan dengan 3,245 kes dilaporkan hari ini berbanding 2,342 semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,813,934 setakat 12 tengah hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan daripada jumlah kes baharu, sebanyak 98.8 peratus atau 3,206 kes adalah pesakit kategori satu dan dua manakala hanya 39 kes atau 1.2 peratus kategori tiga, empat dan lima.

“Kes sembuh pula adalah sebanyak 3,093 menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu kini 2,741,355 kes manakala 183 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 84 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 17 kluster baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 188 manakala nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini adalah pada paras 0.98.

Beliau berkata bilik gerakan banjir di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) pula telah ditutup secara berperingkat bermula dengan Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah, Pahang, Melaka, Sarawak, dan Johor.

Beliau berkata tiada kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir menjadikan jumlah keseluruhan sepanjang kejadian banjir adalah kekal 471 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM siasat punca jangkitan kes indeks Omicron

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat punca jangkitan kes indeks positif Covid-19 varian Omicron yang dikesan di Malaysia pada Khamis.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ini kerana kes indeks tersebut telah menjalani ujian saringan Covid-19 prapelepasan sebelum memasuki negara ini dari Singapura dan semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 19 November lepas.

“Kita tidak tahu (kes indeks) dijangkiti di mana dan nilai kitaran ambang (CT value) agak tinggi, maksudnya kalau CT value menghampiri 30 dia boleh dikatakan tidak berapa berjangkit, dekat nak habis jangkitannya, jadi saintis kita sedang melihat apa sebenarnya berlaku,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Luka Global Asia Ketiga 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata saringan kontak rapat bagi kes indeks berkenaan masih giat dijalankan dan memaklumkan setakat hari ini jumlah kontak rapat bagi kes tersebut kekal tujuh orang.

Ditanya mengenai laporan kajian di Afrika Selatan yang menyatakan Omicron tiga kali ganda berpotensi mengakibatkan jangkitan semula, Khairy berkata kerajaan perlu memantau perkara itu dan bergantung kepada data lebih jelas dari negara yang mempunyai kadar prevalen varian lebih tinggi.

Beliau memaklumkan maklumat itu akan diperoleh dalam tempoh satu atau dua minggu ini seterusnya mengingatkan orang ramai supaya tidak panik, sebaliknya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta mendapatkan vaksin terutama dos penggalak bagi kumpulan berisiko tinggi.

“Langkah kita adalah antara langkah paling ketat di seluruh dunia. Malaysia ada kadar vaksinasi tinggi, kita ada stok yang cukup untuk dos penggalak dan telah mengoptimumkan kapasiti sistem kesihatan awam sekiranya berlaku kemasukan hospital meningkat,” katanya.

Mengenai langkah mewajibkan dos penggalak vaksin berikutan varian baharu ini, Khairy berkata pihaknya akan mengumumkan keputusan berkaitan perkara tersebut pada minggu hadapan.

Beliau berkata sasaran 75 peratus individu lengkap vaksinasi menerima dos penggalak dijangka dicapai pada Mac 2022, memandangkan pemberian dos penggalak adalah mengikut sela masa tiga hingga enam bulan selepas lengkap dos vaksinasi.

“Kita dah ada (bekalan) vaksin tapi ia mengambil masa sedikit kerana sela masa tiga hingga enam bulan, melainkan kita pendekkan tempoh sela masa tersebut dan sudah pasti kumpulan kerja kita sedang melihat perkara itu,” katanya.

Mengenai beberapa negara telah disenaraikan sebagai negara berisiko tinggi susulan penularan varian Omicron, Khairy berkata buat masa ini kerajaan hanya mengenakan sekatan perjalanan sementara ke atas pengembara dari Malawi, Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Semua kontak rapat kes pertama varian Omicron didapati negatif

SHAH ALAM, 3 DIS: Semua lapan sampel ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) Covid-19 membabitkan kes indeks Omicron pertama dalam negara  negatif, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sampel ujian itu termasuk tujuh kontak rapat kepada pelajar dari Afrika Selatan yang didapati positif.

“Kesemua lapan sampel ujian RT-PCR hari ini adalah negatif iaitu kes index Omicron pertama dalam negara.

“Tujuh kes kontak rapat iaitu pemandu, pekerja universiti, tiga rakan pelajar universiti (dua Ghana dan satu India) dan dua rakan sebilik. Alhamdulillah,” katanya menerusi Twitter.

Hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan kes pertama varian Omicron dikesan di negara ini membabitkan penuntut antarabangsa yang belajar di Ipoh, Perak.

Beliau menjelaskan pelajar berusia 19 tahun itu yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November menjalani ujian RT-PCR Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif Covid-19 pada 20 November,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil ujian jujukan genom mengesahkan pelajar berkenaan positif varian Omicron pada 2 Disember

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong gusar penularan varian Omicron, nasihat rakyat patuh SOP

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kegusaran terhadap penularan varian baharu Covid-19, Omicron yang dikategorikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian yang membimbangkan (VOC).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata sehubungan itu, Seri Paduka menasihati seluruh rakyat untuk terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan serta menyeru supaya mereka berwaspada dan tidak alpa dalam menjalani aktiviti harian.

“Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat supaya melengkapkan suntikan dos vaksin Covid-19 dan mendapatkan dos penggalak bagi melindungi dan memelihara kesihatan serta keselamatan diri, ahli-ahli keluarga tersayang dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baginda turut menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas kerajaan untuk membendung penularan varian tersebut yang diklasifikasikan sebagai lebih berbahaya dan cepat merebak.

“…khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara, mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan, kawalan sempadan dan survelan Covid-19 bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara, terutama dari negara yang melaporkan kes Covid-19 varian Omicron,” katanya.

Ahmad Fadil berkata menurut WHO, varian Omicron juga berkemungkinan mempunyai risiko lebih tinggi untuk dijangkiti berbanding varian-varian lain serta mutasi dalam varian tersebut berpotensi mengurangkan keberkesanan vaksin.

Beliau berkata Seri Paduka berharap rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekali pun tidak bergejala.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berpandangan segala pengorbanan dan usaha semua pihak termasuk petugas barisan hadapan selama ini dalam memerangi Covid-19 akan menjadi sia-sia sekiranya negara menghadapi ancaman gelombang baharu penularan wabak itu.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan terhadap langkah proaktif yang diambil KKM dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan hospital-hospital dan klinik-klinik bagi menghadapi kemungkinan peningkatan bilangan kes harian sekiranya varian Omicron menembusi kawalan sempadan dan menular dalam negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat dan kerajaan, penularan jangkitan Covid-19, khususnya varian Omicron, dapat dikekang demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara yang dicintai,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan supaya rakyat dan negara ini sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ada kemungkinan varian Omicron lebih mudah menjangkiti berbanding Delta

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Jangkitan varian Covid-19 baharu B.1.1.529 yang kini dinamakan Omicron, mungkin lebih mudah menular berbanding varian Delta, namun setakat ini belum dipastikan sejauh mana ‘ganasnya’ (virulent) virus itu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Apa yang boleh kita lakukan setakat ini adalah meningkatkan intervensi kesihatan awam (pemakaian pelitup muka, penjarakan, jaga kebersihan), menambah baik pengaliran udara, jaga kesihatan tubuh badan dan ambil dos penggalak vaksin apabila ditawarkan,” katanya menerusi akaun twitternya hari ini.

Jumaat lepas Khairy mengumumkan bahawa rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk melawat tujuh negara yakni Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe susulan kemunculan varian baharu itu.

Menurutnya ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan langkah kawalan dan menjaga sempadan negara, berkuat kuasa esok.

Beliau berkata tiga negara yang melaporkan kes-kes berkaitan Omicron setakat ini ialah Afrika Selatan, Botswana dan Hong Kong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tingkat pengawasan di pintu sempadan kesan varian Omicron

SHAH ALAM, 29 NOV: Kementerian Kesihatan (KMM) akan meningkatkan pengawasan genomik di pintu masuk antarabangsa untuk memastikan kewujudan varian baharu Omicron dapat dikesan dengan cepat.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata setakat ini kerajaan berjaya meningkatkan kapasiti analisis jujukan genom penuh kepada 1,500 sampel sebulan.

“Dengan adanya varian membimbangkan (VOC) ini saya akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk tambah lagi peruntukan agar kita dapat tingkatkan lagi kapasitinya bagi melaksanakan pengawasan genomik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas Covid-19 Institut Kesihatan Negara hari ini.

Beliau berkata jujukan genom penuh itu penting kerana melalui cara tersebut pihaknya akan dapat mengesan jenis varian yang berada di Malaysia.

“Melalui jujukan genom penuh, kita mengesan varian Delta telah ada di Malaysia dan analisis itu juga penting sekiranya varian baharu, Omicron juga wujud di Malaysia.

“Setakat hari ini melalui KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi yang membentuk konsortium bagi meningkatkan kapasiti penjujukan genom Covid-19, belum lagi menerima laporan mengenai varian Omicron di Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Varian Omicron: KKM pantau laporan WHO, negara lain

KAPAR, 28 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain berkaitan perkembangan Omicron, varian baharu Covid-19.

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata pemantauan berterusan itu akan membantu KKM membuat keputusan bagi meluaskan sekatan pengembaraan terhadap mana-mana negara, sekiranya perlu.

Beliau berkata setiap hari, KKM akan melihat kewujudan varian ini dan sejarah perjalanan pengembara yang disahkan positif dijangkiti varian ini.

“Sekiranya penilaian risiko KKM menunjukkan bahawa risiko sesebuah negara itu sudah meningkat maka kita akan meletakkan negara berkenaan sebagai senarai merah dan mungkin sekatan akan dibuat.

“Setakat ini, tiada kes Omicron dikesan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Klinik Kesihatan Kapar semalam.

Pada Jumaat, Khairy mengumumkan pengembara warga Malaysia yang merancang lawatan ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak akan dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Beliau berkata ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkat langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara.

Katanya tiga negara telah melaporkan kes membabitkan varian Omicron iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat) dan Hong Kong (dua).

– BERNAMA