Categories
AGENDA NASIONAL

462 kes varian delta dikesan dalam tempoh empat hari

SHAH ALAM, 22 JAN: Sebanyak 462 kes baharu varian Delta dikesan dalam tempoh 19 Januari hingga hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Institut Kesihatan dan Komuniti Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) mengesan 278 kes, Institut Genom dan Vaksin (155 kes), Institut Penyelidikan Perubatan (18 kes) dan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (11 kes).

“Pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan varian membimbangkan (VOC) dan varian yang perlu diwaspada  (VOI) di negara ini sebanyak 6,894 kes.

“Sebanyak 6,874 kes adalah VOC, manakala 20 kes ialah VOI. Secara keseluruhan sehingga kini bagi VOC, sebanyak 6,188 kes membabitkan varian Delta, 439 kes Omicron, 233 kes Beta dan 14 kes Alpha.

“Bagi VOI pula, 13 kes membabitkan varian Theta, empat kes Kappa dan tiga kes Eta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Omicron: Tangguh sementara kemasukan pelajar antarabangsa, pekerja asing

PUTRAJAYA, 1 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan beberapa langkah menyekat penularan varian Omicron antaranya menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara-negara yang mempunyai kaitan dengan varian baharu itu. 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian turut melakukan sekatan perjalanan sementara ke atas lapan negara dengan Malawi menjadi yang terkini dalam senarai tersebut susulan penularan varian berkenaan.

Beliau berkata pada 26 November lepas, KKM menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dalam senarai sekatan perjalanan sementara.

“Hari ini Malawi tersenarai menjadikan jumlah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan adalah sebanyak lapan negara,” katanya pada sidang media perkembangan semasa varian Omicron dan Covid-19 di Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata sebanyak 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian Omicron setakat semalam dan 203 daripada 215 kes varian itu telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

“KKM akan menyediakan senarai negara yang melaporkan kes varian Omicron atau berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan varian baharu itu secara harian untuk diedarkan kepada Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen melalui Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada langkah-langkah kawalan serta pencegahan varian Omicron yang telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 semalam.

Khairy berkata kerajaan juga menangguhkan perancangan untuk mewujudkan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara yang dikenal pasti melaporkan penularan varian Omicron sehingga gambaran lebih jelas diperoleh mengenai varian itu di peringkat global.

Beliau berkata pengembara yang menyertai VTL udara dan darat Malaysia-Singapura digalakkan untuk melakukan ujian pengesanan Covid-19 kendiri pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan.

Selain itu, Khairy berkata pelancong dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi tidak dibenarkan menyertai program gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi, Kedah.

“Warganegara Malaysia (penduduk Langkawi) yang pulang dari negara melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan Omicron dibenarkan memasuki Malaysia melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.

“Pelancong asing yang disahkan positif COVID-19 varian Omicron akan diisolasi di hospital swasta dan perlu menanggung sendiri kos rawatan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

261 kes baharu varian bahaya dikesan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Sebanyak  261 lagi kes baharu COVID-19 melibatkan varian yang membimbangkan (VOC)  dikesan di negara ini dengan varian Delta mencatatkan angka tertinggi iaitu 259 kes jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain Delta, satu lagi varian VOC dikesan adalah Beta yang merekodkan dua kes.

Katanya varian-varian kes ini dikesan hasil kajian berterusan oleh Institut PenyeIidikan Perubatan (IMR), Fakulti Perubatan (FOM-UM), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE-UiTM), Institut Genom Malaysia (MGI) dan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC-UM).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan  Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) adalah sebanyak 2,645 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 2,625 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan, sehingga kini terdapat 2,385 kes varian Delta, 226 kes varian Beta dan 14 kes varian Aplha berada dalam kategori VOC.

Bagi VOI pula terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

— BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Hanya 31 kes Delta di Selangor, Sarawak paling banyak

SHAH ALAM, 10 OGOS: Selangor merekodkan 31 kes varian Delta (B.1.617.2), termasuk dua import, daripada 424 kes di seluruh negara.

Varian berbahaya ini, dikesan di India, menjadi perbualan utama di seluruh dunia kerana cepat merebak dan mendatangkan risiko kematian.

Menurut perangkaan yang dikongsi ketua pengarah kesihatan, Selangor mendahului negeri lain dalam penularan Beta (B.1.351) dengan 48 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan varian Delta banyak dicatat di Sarawak dengan 272 kes dan juga Beta dengan 47 kes.

Negeri lain yang tinggi jangkitan Delta seperti berikut: Pahang dengan 19 kes, Johor (16), Labuan (14), Kuala Lumpur dan Kedah masing-masing 13 kes.

Beta, yang dikesan di Afrika Selatan, banyak juga ditemui di: Kelantan dengan 25 kes, Perak (16), Kedah (14) dan Johor (10).

Di seluruh negara varian ini merekodkan 209 kes, varian membimbangkan (VOC) yang paling banyak tersebar daripada 424 kes.

Sementara varian VOC yang kurang tersebar pula Alpha (B.1.1.7), pertama kali dikesan di United Kingdom. Daripada 14 kes semuanya, lapan dikesan di Selangor.

Varian yang perlu diwaspadai (VOI) pula tidak banyak dikesan di negara ini, hanya 20 kes dengan pecahan: Theta sebanyak 13 kes, Kappa (empat) dan Eta (tiga).

Theta (P.3), Kappa (B.1.617.1) dan Eta (B.1.525) masing-masing dikesan di Filipina, India dan beberapa negara.

Jumlah VOC dan VOI yang dikesan ini hasil kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institusi Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor hanya catat 18 kes Delta daripada 199 kes seluruh negara

SHAH ALAM , 28 JULAI: Selangor merekod 18 kes varian Delta (B.1.617.2), termasuk dua import, daripada 199 kes di seluruh negara.

Varian berbahaya ini, dikesan di India, menjadi perbualan utama di seluruh dunia kerana cepat merebak dan mendatangkan risiko kematian.

Menurut perangkaan yang dikongsi ketua pengarah kesihatan di Facebook pada 28 Julai, Selangor mendahului negeri lain dalam penularan Beta (B.1.351) dengan 48 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan varian Delta banyak dicatat di Sarawak dengan 93 kes dan juga Beta dengan 45 kes.

Negeri lain yang tinggi jangkitan Delta seperti berikut: Pahang dengan 18 kes, Labuan (14), Kuala Lumpur (11) dan Johor (11).

Beta, yang dikesan di Afrika Selatan, banyak juga ditemui di: Kelantan dengan 24 kes, Perak (16), Kedah (14) dan Johor (10).

Di seluruh negara varian ini merekodkan 206 kes, varian membimbangkan (VOC) yang paling banyak tersebar daripada 419 kes.

Sementara varian VOC yang kurang tersebar pula Alpha (B.1.1.7), pertama kali dikesan di United Kingdom. Daripada 14 kes semuanya, lapan dikesan di Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes pertama varian Delta di Kelantan

KOTA BHARU, 25 JULAI: Kelantan mengesan kes pertama varian Delta melibatkan seorang wanita di Pasir Puteh yang disahkan positif dua hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata wanita berkenaan juga pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini.

Beliau berkata perkembangan ini amat membimbangkan, justeru beliau menyeru seluruh penduduk Kelantan supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak jangkitan.

“Kerjasama rakyat termasuk para pemimpin dalam aspek pematuhan SOP amat penting bagi membendung penularan virus ini. Sekiranya tiada urusan penting jangan tubik (keluar) dan jangan kederak (bersiar-siar),”katanya dalam persidangan media di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Setakat semalam, Kelantan mencatatkan 502 kes positif baharu dan 2,625 kes masih dalam rawatan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bahaya varian Delta, orang ramai diingat terus patuh SOP

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian berkaitan varian baharu Delta.

Menerusi perkongsian di Facebook, KKM memaklumkan tiga peringatan yang perlu diketahui mengenai varian tersebut adalah:

  • Boleh menjangkiti seseorang dalam tempoh 15 saat
  • Mempunyai kadar kebolehjangkitan (Rt) lebih tinggi iaitu 5 hingga 8 berbanding varian lain iaitu Rt antara 2.5 hingga 3 sahaja
  • Boleh berjangkit dengan cepat di tempat yang sempit dan ruang pengudaraan yang tidak baik

Justeru, KKM menasihati orang ramai terus mengamalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter dan elak ke tempat sesak dan sempit.

Pada 15 Julai, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perebakan pantas varian Delta menyebabkan kes Covid-19 dalam negara mencatat peningkatan bermula 26 Jun lalu.

Varian Delta merebak dengan cepat pada kadar 5 hingga 8, bererti sekiranya 100 orang dijangkiti ia boleh menjangkiti 800 orang dalam tempoh singkat.

Selain lebih cepat merebak, varian Delta juga mudah menyebabkan risiko kematian sehingga menjadi perhatian utama pakar perubatan ketika ini.

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Ancaman varian bahaya Delta, ekonomi global dijangka lambat pulih

SHAH ALAM, 11 JULAI: Menteri Kewangan Negara G20 memberi amaran varian Covid-19 Delta yang merebak dengan cepat dan melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan awam boleh memperlahankan pemulihan ekonomi global.

Menurut kenyataan bersama semalam, pemulihan ekonomi itu adalah berdasarkan perbezaan bagi setiap negara yang tetap terdedah kepada penyebaran varian baharu virus Covid-19, lapor AFP.

Menteri kewangan G20 itu juga mengingatkan bahaya ‘kadar kemajuan program vaksinasi berbeza’ di seluruh dunia.

Kebimbangan utama adalah varian Covid-19 Delta, yang pertama kali muncul di India dan merebak dengan cepat di benua Asia dan Afrika sebelum menular ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

“Kami mempunyai ramalan ekonomi yang baik bagi semua negara G20,” kata Menteri Ekonomi Perancis, Bruno Le Maire.

“Satu perkara yang boleh mengancam pemulihan ekonomi yang kukuh dan pesat adalah varian Covid-19 serta gelombang baharu pandemik. Kita mesti menambah baik program vaksinasi di setiap negara seluruh dunia,” katanya.

Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak dalam nada bertentangan, apabila berkata kepada AFP dalam satu temubual di negara itu bahawa vaksin berkesan dalam menghalang kemasukan ke hospital dan kematian, termasuk varian Covid-19 Delta.

“Saya fikir ia memberi kita keyakinan untuk bergerak ke hadapan dan secara perlahan serta selamat membuka semula ekonomi dan negara kita,” kata Sunak.

Banyak negara, dari Sepanyol hingga ke Thailand, bagaimanapun mengambil langkah melaksanakan semula sekatan anti Covid-19.

G20 menggesa kempen vaksinasi di seluruh dunia dipercepat dan berjanji akan melakukan lebih lagi bagi membantu negara membangunan memberikan suntikan kepada warga mereka.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes di India menurun tapi cetus varian lebih serius Delta Plus

NEW DELHI, 23 JUN: Jumlah kes Covid-19 di India melebihi 30 juta pada Rabu selepas 50,848 lagi jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kematian baharu pula 1,358, menjadikan jumlah terkumpul setakat ini seramai 390,660, menurut data Kementerian Kesihatan.

Walaupun India menyaksikan penurunan kes dalam beberapa hari lalu, timbul kebimbangan berikutan kemunculan varian Delta Plus.

Kerajaan persekutuan mengeluarkan amaran di negeri Maharashtra, Kerala dan Madhya Pradesh selepas banyak kes dikesan membabitkan varian baharu itu.

Dikenali varian membimbangkan, kerajaan meminta semua negeri untuk segera mengambil langkah pencegahan, meningkatkan saringan, pengesanan dan vaksinasi di daerah yang terjejas.

Delta Plus ialah strain mutan baharu dari varian Delta yang pertama kali dikesan di India dan mudah merebak.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Ancaman tiga varian VOC, jangkitan tular lebih pantas

SHAH ALAM, 28 MEI: Covid-19 menular lebih cepat dan meluas, termasuk jenis baharu yang dikesan bermutasi dari India (B.1.617), United Kingdom (B.117) dan Afrika Selatan (B.1.351).

Kementerian Kesihatan Malaysia percaya varian yang membimbangkan (VOC atau variant of concern) dibawa masuk pengembara ke negara ini.

Sesuatu virus kerap bermutasi, atau berubah kod genetiknya, bagi memastikan kelangsungan hidupnya dalam tubuh manusia. Perubahan kod virus SARS-CoV-2 menyebabkan wujudnya varian yang lebih berbahaya.

Penyelidik menjejak perubahan arahan kod protein tegak di dinding luar virus, bahagian yang berperanan menyerang sel manusia.

VOC boleh menyebabkan:

  • penularan jangkitan yang pantas
  • jangkitan dengan gejala teruk dan komplikasi hingga membawa kematian
  • kesan perlindungan vaksin berkurangan
  • jangkitan sukar dikesan melalui ujian makmal

(sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia, 24 April 2021)

Ciri-ciri VOC seperti berikut:

  • merebak lebih cepat dan dikaitkan dengan kadar kematian lebih tinggi
  • kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala batuk atau selesema
  • mengalami sakit sendi, lemah badan, lesu dan hilang selera makan
  • merebak terus ke paru-paru; tanda radang hanya dikesan melalui sinar-X
  • saringan lazimnya menunjukkan keputusan negatif walau pesakit tahap serius

(sumber: Infografik BERNAMA, 18 Mei 2021)

United Kingdom (B.117)

  • dikesan di United Kingdom pada Disember 2020
  • tersebar ke lebih 70 negara termasuk India
  • sebilangan besar kes Covid-19 di UK
  • mutasi menjadikan virus lebih mudah masuk ke sel manusia dan membiak
  • tingkatkan risiko kematian berbanding virus bukan B.117

Mutan berganda India (B.1.617)

  • pertama kali dikesan di India pada Disember 2020
  • meliputi hampir 70 peratus kes di India
  • merebak sekurang-kurangnya ke lapan negara, antaranya United Kingdom, Singapura, Australia dan Amerika Syarikat
  • mutasi E484Q mudah masuk ke sel manusia dan menyebar jangkitan
  • mutasi L425R pula meningkatkan kadar jangkitan
  • mungkin bantu virus elak antibodi yang dihasilkan vaksin atau jangkitan sebelumnya

Afrika Selatan (B.1.351)

  • dikesan di negara ini pada Oktober 2020
  • menyumbang lebih 90 peratus sampel SARS-CoV-2 di negara ini
  • ditemui di lebih 30 negara
  • ada dua mutasi lain iaitu E484K dan K417N yang lemahkan sistem ketahanan badan untuk melawan virus

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia kesan varian Covid-19 India dan Afrika Selatan

JAKARTA, 5 MEI: Varian Covid-19 India dan varian B1351 Afrika Selatan kini dikesan di Indonesia.

Terdapat dua kes di Jakarta melibatkan varian yang pertama kali dikesan di India sementara satu kes melibatkan varian Afrika Selatan dilaporkan di Bali, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

“Kita mesti mengekang penularan virus. Virus ini mudah berjangkit dengan cepat,” katanya semasa sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan di sini semalam.

Setakat ini, Indonesia juga telah mengesan 13 kes varian B117 dari United Kingdom (UK).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenal pasti B117 dan B1351 sebagai varian yang membimbangkan. Varian India, dikenali B1617, menjadi perhatian memandangkan negara ini sedang diancam lonjakan kes tertinggi dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan sembilan kes Covid-19 varian Afrika Selatan

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Sembilan kes Covid-19 di Malaysia dikenal pasti dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kewujudan varian itu mula dikenal pasti dalam kalangan empat kes tempatan pada Mac 2021.

Hasil siasatan awal mendapati keempat-empat kes itu mempunyai kaitan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti yang ditunjukkan dalam analisis filogenetik.

“Dua kes dipercayai dari Kluster Jalan Lima yang merupakan pekerja di sebuah syarikat berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Bagaimanapun, cara penularan atau jangkitan varian B.1.351 kepada pekerja kes itu sukar untuk dikenal pasti dan disahkan. Satu kes pula adalah daripada Kluster Kebun Baru dan satu kes lagi merupakan ahli keluarga kepada kes Covid-19 yang tinggal serumah,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.

Susulan penemuan pertama varian itu, Dr Noor Hisham berkata lebih banyak ujian jujukan genom dijalankan dengan menggunakan sampel positif Covid-19 dari lokasi geografi termasuk daerah Kuala Langat dan Sepang.

Beliau berkata hasil ujian menunjukkan terdapat lima kes lagi dikesan dari lokaliti itu yang dijangkiti varian berkenaan dengan empat kes daripada Kluster Kebun Baru dan satu kes daripada Kluster Jalan Lima.

Dr Noor Hisham berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti dan mengesahkan kewujudan varian South African B.1.351 dalam kalangan kes positif Covid-19 tempatan melalui survelan genomik.

Strategi survelan genomik ini, kata beliau, melibatkan sampel yang disahkan positif sepanjang Januari tahun ini hingga semalam.

“Ia melibatkan kes positif daripada kluster tempatan di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Labuan; kes positif dengan sejarah perjalanan ke negara lain serta kes kematian disebabkan Covid-19,” katanya.

Penemuan varian South African B.1.351 pertama kali dilaporkan di dunia pada Disember tahun lepas di United Kingdom dan Afrika Selatan, kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata sejak awal tahun ini kewujudan varian itu turut dilaporkan oleh negara lain termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia, dan Korea Selatan.

-BERNAMA