Categories
PBT SELANGOR

MBSJ: Kongsi ucapan pendek, hadiah wang tunai menanti

SHAH ALAM, 23 OKT: Penduduk Subang Jaya dipelawa menyertai pertandingan video pendek bagi menzahirkan ucapan sempena ulang tahun pertama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) diisytihar sebagai bandar raya.

Menerusi Facebook, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan hadiah wang tunai sehingga RM1,800 ditawarkan dan peserta boleh mula sertai sejak 20 hingga 29 Oktober ini.

“Ekspresikan ucapan ulang tahun pertama MBSJ secara paling kreatif dan ungkapkan keunikan mendiami bandaraya ini dalam satu video pendek berdurasi tidak melebihi dua minit.

“Penyertaan adalah terbuka kepada seluruh komuniti Bandaraya Subang Jaya. Hadiah wang tunai yang lumayan menanti anda!,” kata kenyataan itu.

Hadiah pertama sebanyak RM500 ditawarkan manakala tempat kedua (RM400), tempat ketiga (RM300) dan tiga hadiah saguhati sejumlah RM200 kepada setiap peserta.

Setiap penyertaan perlu dimuat turun ke akaun media sosial dan peserta diwajibkan tag akaun rasmi MBSJ antaranya Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya, Instagram dan Twitter @sjcitycouncil serta tanda pagar #ucapanmbsjsetahun

Imbas kod QR yang tertera di poster untuk mengetahui syarat pertandingan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pelajar Yayasan Selangor dipelawa sertai pertandingan cipta video merdeka

SHAH ALAM, 20 OGOS: Pelajar tajaan Yayasan Selangor (YS) berpeluang menang hadiah wang tunai keseluruhan RM1,700 dalam pertandingan menghasilkan video pendek sempena bulan kemerdekaan negara ke-64.

Berdasarkan perkongsian agensi itu menerusi Facebook, johan pertandingan mendapat RM500, pemenang kedua RM300 diikuti ketiga RM200 manakala tujuh lagi peserta menerima sagu hati RM100 setiap seorang.

Cara penyertaan adalah peserta perlu menekan tanda suka dan mengikuti Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube rasmi YS melalui pautan:https://linktr.ee/yayasanselangor.

Syarat lain peserta perlu menghasilkan video selama tiga minit bertema kemerdekaan sama ada bentuk lakonan, nyanyian, puisi, syair, sajak dan rap.

Video kemudian dihantar ke e-mel [email protected] dan tarikh tutup penyertaan pada 27 Ogos

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://bit.ly/3CtIRpS

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais anjur tanding video pendek, tawar hadiah RM2,700

SHAH ALAM, 18 JULAI: Sejumlah RM2,700 menanti pemenang pertandingan video pendek sempena Bulan Faraid Negeri Selangor 2021 anjuran Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Mais menerusi Facebook memaklumkan pemenang pertama akan menerima RM1,500 dan sijil, kedua (RM700 dan sijil) serta ketiga (RM500 dan sijil).

Pertandingan menghasilkan video tidak melebihi tiga minit dengan tema ‘Ilmu Faraid dan Harta Pusaka’ dibuka mulai semalam sehingga 31 Julai.

Syarat pertandingan adalah terbuka kepada peserta beragama Islam dengan borang penyertaan boleh didapati menerusi www.mais.gov.my.

Peserta diminta memuat naik video di Facebook dan Instagram dengan kapsyen #pertandinganvideofaraidmais selain perlu menghantar borang lengkap, pautan muat naik video serta salinan video menerusi email [email protected]

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh hubungi Mais menerusi 013-3620108 (Muhammad Syafiq) dan 019-2647649 (Mohd Makhi).

Categories
PBT SELANGOR

Usahawan Hulu Selangor belajar teknik kreatif promosi produk

SHAH ALAM, 18 OGOS: Seramai 20 usahawan muda di Hulu Selangor didedahkan dengan teknik kreatif mempromosi produk melalui video pendek menggunakan telefon pada 15 dan 16 Ogos lalu.

Yang dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berkata program dengan kerjasama Pocket Production mengajar peserta kaedah rakaman, konsep penceritaan dan teknik suntingan.

“Program ini menarik minat usahawan untuk lebih berusaha memperkemaskan aktiviti perniagaan dengan menyediakan promosi berbentuk video pendek yang berkualiti antara 15 saat atau satu minit.

“Selain itu, ia juga meningkatkan keyakinan belia menceburi perniagaan dengan cara kreatif mengikut trend terkini malah boleh meraih pendapatan melalui penghasilan video,” kata Dr Mohd Azhar Mohamed Ali dalam kenyataan.

Beliau turut berharap usahawan di daerah itu lebih berkeyakinan memasarkan produk masing-masing dan meningkatkan ekonomi setempat, di samping menambah pendapatan sedia ada.

Majlis penutup dirasmikan Dr Mohd Azhar di Dewan Mesyuarat MDHS dan turut dihadiri Pengarah Urusan Pocket Production Syazrol Suhaimie.

Categories
AGENDA NASIONAL

Angin ahmar boleh dielak dan diubati

SHAH ALAM, 1 MAC: Pengalaman bangkit untuk pulih dari penyakit angin ahmar membuka peluang Wan Hilmi Wan Mohd Nor, 44 menjuarai pertandingan Video Pendek Masyarakat Prihatin OKU.

Video pendek berkisar proses pemulihan dan aktiviti Persatuan Stroke Survivor Malaysia berjaya menarik minat juri kerana menampilkan kesedaran amalan gaya hidup sihat.

“Saya tidak sangka boleh menang. Sebenarnya sakit angin ahmar ini sepatutnya boleh dicegah dengan syarat kawal pemakanan dan disiplin perubatan.

“Malangnya masyarakat tidak ambil berat. Saya mula kena angin ahmar pada September tahun lalu. Tanda awal sakit saya bangun dan terjatuh apabila anggota badan sebelah kanan saya berasa kebas,” katanya.

Beliau berkata pengalaman terlantar selama tiga bulan memberikan kesan kepadanya untuk berkongsi kepada masyarakat cara pemulihan menerusi blog video.

Wan Hilmi berkata beliau kini sudah 85 peratus pulih dan sudah kembali memandu kereta sejak seminggu lalu.

Selaku timbalan presiden persatuan beliau menasihatkan pesakit supaya kerap menjalani fisioterapi bagi menguatkan kembali anggota badan.

Pertandingan anjuran Majlis Tindakan OKU Selangor dengan kerjasama Majlis Alumni Malaysia-Jordan (MAJ) yang dianjurkan buat pertama kali menerima 54 penyertaan dari seluruh Malaysia.