Categories
AGENDA NASIONAL

KKM nafi video tular pelajar sekolah alami reaksi selepas vaksinasi

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan video tular menerusi media sosial yang mendakwa pelajar sekolah mengalami reaksi selepas divaksinasi.

Kementerian itu menerusi kenyataan hari ini memaklumkan video berkenaan adalah video lama berkaitan kejadian keracunan gas di sebuah sekolah di Pasir Gudang, Johor pada 2019.

“Orang ramai disaran agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sebaliknya merujuk media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Henti sebar video remaja dimandi seperti ‘jenazah’, elak tanggapan negatif

SHAH ALAM, 14 JAN: Masyarakat diharap menghentikan penyebaran video mengenai seorang imam dan sekumpulan jemaah sebuah masjid di Selangor yang bertindak memandikan seorang remaja seperti ‘jenazah’ kerana cuba mencuri tabung masjid, dalam media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata penyebaran video tersebut tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif.

“Selain menjatuhkan maruah remaja terlibat, ia juga turut memberikan persepsi buruk tentang sikap pengurusan institusi masjid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zawawi berkata tindakan sewajarnya telah diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan institusi masjid di negeri itu sebaik sahaja mendapat maklumat yang betul tentang perkara tersebut.

“Saya difahamkan imam yang terlibat telah mengambil tindakan meletakkan jawatan dan Jais sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat khasnya umat Islam di Selangor, supaya bertenang dan tidak mengambil pendekatan agresif dalam menangani apa-apa isu dan kes yang melibatkan institusi Islam.

“Biarlah pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka mengikut lunas undang-undang, manakala masyarakat setia membantu pihak berkuasa untuk menyempurnakan tugas dan bukannya mengambil alih tugas pihak berkuasa,” katanya.

Media melaporkan seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, dekat sini semalam.

Video berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus selepas ditangkap kerana perbuatannya itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB nafi video tular, CAC Stadium Malawati bukan pusat kuarantin

SHAH ALAM, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar memaklumkan video tular mengenai dakwaan suasana terkini di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati adalah tidak benar.

Dato’Seri Amirudin Shari berkata CAC itu adalah pusat penilaian tahap kesihatan pesakit Covid-19 dan bukan pusat kuarantin seperti yang didakwa.

“CAC Stadium Malawati adalah sebagai pusat penilaian tahap kesihatan pesakit Covid-19 dan bukan pusat kuarantin seperti di MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia).

“Pesakit Covid-19 juga tidak dibenarkan bermalam di CAC Stadium Malawati,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berkongsi contoh gambar aktiviti di CAC berkenaan.

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp audio selama lebih dua minit berserta video TikTok selama 14 saat mendakwa suasana di satu lokasi pusat kuarantin.

Berdasarkan audio berkenaan individu itu mendakwa suasana terkini di CAC Stadium Malawati yang jumlahnya terlalu ramai pesakit Covid-19.

Awal Februari lalu, Stadium Malawati beroperasi sebagai CAC bagi daerah Petaling menggantikan CAC Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di SS15.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pusat itu memainkan peranan untuk menilai pesakit Covid-19 sebelum menempatkan mereka di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Serdang atau hanya diarah menjalani kuarantin di rumah.

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis buka kertas siasatan video tular pengawal keselamatan dipukul

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung video tular memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan warga Nepal dipukul dengan sebatang kayu di tempat letak kereta dekat sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju pada 7 Julai lepas.

“Kejadian dipercayai melibatkan suspek warga Pakistan dan mangsa warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan tersebut.

“Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan telah dibuka dan polis sedang menyiasat punca kejadian serta menyeru pihak yang terlibat supaya segera tampil untuk membantu siasatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima daripada mangsa berhubung insiden itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Shahrul Azzuan Sharom (016-2014334) atau Pegawai Penyiasat Kanan DSP Stephen Ganeson (016-376 7390) atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

Hari ini, satu video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan sebatang kayu.

– BERNAMA